User Tools

Site Tools


sejarahbangi-1970-1979

Kronologi Peristiwa Berkaitan Bangi: 1970-1979

1970-01-25: Masjid Kg Batu 3 Jln Bangi

Pengerusi Jawatankuasa Lembaga Kemajuan Kampung Batu 3 Jalan Bangi, En. Alias Pensil memohon bantuan dana pembinaan masjid baru untuk kampung itu, yang telah uzur dan tidak dapat menampung pertambahan penduduk kampung.

CATATAN: Bangunan lama masjid ini telah dibina pada tahun 1959.

Masjid Kg Batu 3 Jln Bangi, 1970
Bangunan lama masjid (1970).

Masjid Kg Batu 3 Jln Bangi (2013)Lokasi Masjid Kg Batu 3
Bangunan baru masjid (Jabatan Agama Islam Selangor, 2013) serta lokasinya kini (Mapcarta).

1970-02-16: Padi 2 Kali Setahun

Jabatan Pertanian Daerah Ulu Langat giat memperkenalkan penanaman padi dua kali setahun. Urutan peristiwa:-

  • 1963: Percubaan pertama di mukim Beranang: 600 ekar.
  • 1964: Bertambah kepada 1,005 ekar.
  • 1965: Dibatalkan atas sebab kemarau.
  • 1966: Keluasan meningkat kepada 1,150 ekar.
  • 1970: Percubaan kedua: kawasan seluas 1,100 ekar, 250 ekar daripadanya di Kampung Batu 3 Jalan Bangi, diusahakan oleh 100 orang warganya diketuai oleh pengerusi jawatankuasa kampung, En. Alias Pensil.

Kunci air di Kg Batu Tiga, Jalan BangiAlias Pensil

1970-05-18: Penubuhan UKM

UKM ditubuhkan pada 18 Mei 1970, dan kampusnya ketika itu di Jalan Pantai, Kuala Lumpur, bersebelahan dengan Universiti Malaya (UM). Canselornya yang pertama ialah Tun Abdul Razak: “Universiti Kebangsaan Malaysia telah ditubuhkan secara rasminya pada 18 Mei 1970, dan ianya beroperasi dalam bulan yang sama di kampus sementaranya, iaitu di Maktab Perguruan Persekutuan di Lembah Pantai. Penggunaan premis tersebut dilakukan setelah 80 orang pelatih tahun dua maktab berkenaan dipindahkan ke Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bharu.”

UKM Lembah Pantai, Kuala Lumpur
UKM Lembah Pantai, Kuala Lumpur (Fakulti Ekonomi dan Pengurusan: |"Background").
UKM's pioneer batch of students heading for lectures at the Lembah Pantai campus.
Kiri: “A 1977 photo of the old administrative and basic science building.” (Rebecca Rajaendram @ The Star, 18 May 2020: |"Universiti Kebangsaan Malaysia: 50 years of inspiring excellence"). Kanan: Pelajar perintis UKM di kampus Lembah Pantai. (Tan Shiow Chin @ The Star, 8 May 2005: |"UKM celebrates 35 great years").

CATATAN: Cetusan penubuhan UKM adalah di dalam suatu pertemuan Jawatankuasa penajanya, yang terdiri daripada 50 orang cendekiawan Melayu, di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 25 Ogos 1968. Ianya dipengerusikan oleh Syed Nasir Ismail, Ketua Pengarah DBP ketika itu.
Mengapa Universiti Kebangsaan di-perlukan?
(Sumber gambar: UKM (Malaysia) @ Twitter, 11 Mei 2020: |"Jawatankuasa Penaja Universiti Kebangsaan...").

1971-01-13: Sekolah Sg Kembong Ditutup

Sekolah Kebangsaan Sungai Kembong Bangi ditutup selamanya, atas arahan Pejabat Pelajaran Selangor.

1972-01-19: Pengumuman Kampus UKM Bangi

Perdana menteri, Tun Abdul Razak, mengumumkan tapak rancangan Universiti Kebangsaan di Bangi, seluas 2,300 ekar. Menteri Pendidikan ketika ini ialah Tun Hussein Onn. Antara faktor pilihan lokasi ialah jaraknya yang sederhana jauhnya dari kota Kuala Lumpur, agar ianya dapat membina identitinya sendiri. Kampung-kampung di sekelilingnya akan turut dibangunkan, namun tema pembangunannya harus kekal sebagai tempat kediaman atau perumahan.

CATATAN 1: “Pada tahun 1972 Tun Abdul Razak Canselor UKM yang juga Perdana Menteri Malaysia mengumumkan bahawa Bangi menjadi pilihan bagi Kampus tetap UKM. Keluasan kampus ialah 2,709.2 elar. Seluas 5,118 ekar di Bangi diplilih menjadi kawasan perumahan dan perbandaran sebagai pemangkin bagi kemajuan UKM dan sebaliknya. Pada 1975 kerja-kerja tanah dimulakan di BBB. BBB dimajukan oleh Pebadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).” (Dr Shafie Abu Bakar, November 7, 2017: |"40 TAHUN BANDAR BARU BANGI : PENCAPAIAN DAN KEMAJUAN - RUMUSAN").

CATATAN 2: Ketika laporan akhbar ini disiarkan, 195 orang para graduan sulungnya (1971-1974) dalam Fakulti Sains, Sastera dan Pengajian Islam sedang dalam tahun kedua pembelajaran. (Dr Shafie Abu Bakar, May 28, 2014: |"UKM Di Era Canselor Tun Abdul Razak").

Antara graduan sulung UKM
Antara graduan sulung UKM (Dr Shafie Abu Bakar, October 23, 2014: |"Sambil Menunggu Ketibaan Naib Canselor Ke Majlis Mengimbau Kenangan `Graduan Sulung UKM` Ambil Kesempatan Bermesraan").

1972-11-02: Tapak UKM: Kekhuatiran Penduduk Bangi

Penduduk-penduduk Bangi gelisah
“'Tiada apa-apa faidah yang kami dapati dari pembinaan Universiti Kebangsaan di sini', tegas salah seorang daripada penghuni Kampung Bangi Bahagia bila ditanya pendapatnya mengenai persediaan yang dibuat untuk menyambut pembinaan komplek UKM nanti. Begitulah keluhan rata-rata penduduk Kampung Bangi Bahagia, kampung yang secara langsung terlibat dengan pembinaan komplek UKM, yang mana kesemua penghuninya adalah orang-orang Melayu. Kebanyak- kan daripada mereka memberi pendapat yang berlainan, berhubung dengan peluang dan masa depannya bila UKM akan ujud dalam masa beberapa tahun lagi.” (Gemasiswa, 2hb November 1972: "Penduduk-penduduk Bangi gelisah").

“Sejak tercetusnya berita (Januari 1972) bahawa Bangi menjadi pilihan bagi kampus tetap UKM, maka berlaku apa yang Penulis sifatkan sebagai `Fenomena Bangi`. Bermaksud berlaku kejutan, persediaan, tindakan, perubahan dan penyesuaian bagi merealisasikan Kampus UKM berkenaan serta kesan kepada warga kampus UKM dan masyarakat di Kajang dan Bangi. Tanah yang diperuntukkan kepada UKM sebanyak 2,300 ekar tidak seluruhnya hutan asal yang tidak diteroka. Terdapat kumpulan Orang Asli yang tinggal di bahagian utama Kampus UKM, manakala terdapat pula orang-orang Melayu yang tinggal di tepian jalan dari bahagian berdekatan dengan Hentian Keretapi Sungai Tangkas (kini UKM) memanjang tepi jalan hingga selekoh ke Jalan Dengkel yang dari Sungai Tangkas hingga ke sini (kiri) termasuk di bawah kawasan Kampus UKM. Melalui rundingan dan pampasan Orang Asli bersetuju berpindah ke kaki Bukit Tunggul (kini Bukit Unggul), manakala bagi orang-orang Melayu diberi pampasan dan lot tanah di Sungai Tangkas. Sebahagian daripada mereka diganti dengan tanah dan pampasan di Kg. Baharu, Pekan Bangi.” (Dr Shafie Abu Bakar, May 31, 2014: |"Fenomena Bangi-UKM").

1973-05: UNIKEB Diasaskan

“Sejarah Syarikat Kerjasama Tenaga UNIKEB Berhad sebenarnya tumbuh sebagai tunas kecil dibawah pohon rimbunan hijau Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diasaskan oleh beberapa orang kakitangannya yang mempunyai visi dan misi untuk menyatukan kepakaran dan tenaga bagi menubuhkan satu pergerakan koperasi yang sah bagi kegiatan ekonomi dan kebajikan kakitangan UKM. Maka pada bulan Mei tahun 1973, satu jawatankuasa penaja Syarikat Kerjasama Tenaga UNIKEB Berhad yang terdiri dari En. Nik Rashid Ismail, En. Sabardin Ahmad, En. Mohd Nazran Shaarin, En. Abd Hamid Abdullah, En. Mohd Kabir Hj Hashim, En. Radin Samah, Dr. J. Chandran dan En. Yep Putih telah memanggil Mesyuarat Agung Pertama bagi merasmikan penubuhannya. Mesyuarat itu telah diadakan di Orditorium Universiti Kebangsaan Malaysia Lembah Pantai, Kuala Lumpur.”

1974-01-07: Pembinaan UKM dan Bandar Baru Bangi

Daripada kenyataan-kenyataan tawaran pembekal khidmat dan perkakasan, serta laporan pertambahan perolehan tanah sebanyak 358 lot, tampaknya pembinaan UKM dan Bandar Baru Bangi berjalan dengan pesatnya sepanjang tahun 1974.

LATAR PERISTIWA: Tapak UKM pada asalnya ialah Hutan Simpan Bangi (Bangi Forest Reserve).

LATAR PERISTIWA: Pembangunan Bandar Baru Bangi.

CATATAN: Ringkasan sejarah UKM: |Buku Mewah Jubli Emas UKM.

1974-02-10: Penjelasan Isu Pembalakan UKM

Hampir 5,000 pelajar dari pusat-pusat pengajian tinggi di sekitar Kuala Lumpur telah hadir ke sebuah perjumpaan di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya. Perancangan asalnya adalah sesi dialog dengan Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato' Harun Idris, berkaitan dakwaan kegiatan pembalakan tanpa permit oleh Syarikat Dengkil Sdn Bhd di Hutan Simpan Bangi, iaitu tapak pembinaan UKM. Namun pihak Menteri Besar menolak dan mencadangkan ia ditunda ke tarikh 12 Mac di Kajang. Perjumpaan tersebut diteruskan sebagai suatu sesi pembentangan beberapa orang wakil pelajar dan penduduk Bangi. Antara pembentangnya ialah Halim Arshat (Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia - PMUKM), Hishamuddin Rais (wakil Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya - UM), Idris Jusi (Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia), Ibrahim Ali (wakil Persatuan Siswa Institut Teknoloj(g)i Mara - ITM). Antara yang hadir dan turut menyokong ialah Encik Sidek Fadhil (wakil Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia - PKPIM), para pelajar Universiti Pertanian, dan penduduk Bangi. Turut menyatakan sokongan ialah ketua cawangan UMNO Bangi, Zainul Harun.

CATATAN 1: Suatu ringkasan latar belakang peristiwa: “Sementara itu kerja-kerja tanah yang berlangsung mulai tahun 1973 itu menimbulkan kekocohan. Untuk membangun kampus dan mendirikan bangunan terpaksa dibersihkan bagi tapak-tapak bangunan. Sebenarnya selepas pengumuman Bangi sebagai Kampus UKM, ramai yang datang melihat dan meninjau. Melihat kepada kawasan dibersihkan, timbul tuduhan terhadap orang politik berkuasa di negeri Selangor sebagai mengambil kesempatan mengeluarkan balak-balak sebagai habuan. Perkara ini menjadi isu kepada Persatuan mahasiswa UKM (PMUKM) yang turut datang melawat dan mendapati banyak balak-balak dikeluarkan. Ini menyebabkan pihak PMUKM menganjurkan demontrasi terhadap yang mengambil kesempatan. PMUKM mau keaslian kampus dipelihara dan tidak memotong pokok-pokok sembarangan, kecuali jika perlu. Isu ini berlarutan hingga terjadi tuduhan dan ketegangan dengan orang-orang politik peringkat negeri.” (Dr Shafie Abu Bakar, May 31, 2014: | "Fenomena Bangi-UKM").

CATATAN 2: Kemungkinan liputan ini adalah antara liputan-liputan yang dirujuk sebagai "Isu Bangi" atau "Bangi Affair", yang dijadikan contoh dakwaan kegiatan subversif terhadap pengarah Berita Harian ketika itu, Abdul Samad Ismail.

LATAR PERISTIWA: Tapak UKM di Hutan Simpan Bangi (Bangi Forest Reserve).

1974-07-05: Perasmian Masjid Al-Falah Sg Ramal Dalam

MASJID AL-FALAH SG. RAMAL DALAM (2010)
Gambar Masjid Al-Falah kini (2010).

“Pengasas: YTM RAJA MUDA SELANGOR
Perasmi: DYMM Tengku Idris Shah Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Tarikh : Dibina pada:1969-05-13 Perasmian pada:1974-07-05
Kapasiti: 1500 orang Keluasan:124X 124 K.P”

(Jabatan Agama Islam Selangor, 2010: |"MASJID AL-FALAH SG. RAMAL DALAM").

CATATAN: Dibina pada: 1969-05-13.

LATAR PERISTIWA: Kampung Sungai Ramal

1975-08-13: Visi Perancangan Bandar Baru Bangi

Ketua perancangan Bandar Baru Bangi, En. Mohamed Ahyat bin Mohamed Nor menyatakan, bandar tersebut bakal menjadi bandar untuk pejalan kaki dan penunggang basikal, setelah siap pada tahun 1977 kelak. Populasinya dijangka mencapai 180,000 menjelang tahun 1990.

CATATAN 1: Dari 1974 hingga 1990, pembangunan serta pertumbuhan penduduk Bandar Baru Bangi tidak sepesat yang dijangka (hanya 27,620 daripada jangkaan 180,000 orang menjelang 1990): “Bandar Baru Bangi mula dimajukan pada tahun 1974 dengan penghuni awal tidak sampai 1,000 orang. Pada tahun 1990, penduduknya dianggarkan seramai kira-kira 27,620 orang (PKNS 1990)” (Katiman Rostam, Wan Maimunah Wan Ismail @ Akademika 50, Januari 1997, m.s. 25-41: |"Pola Interaksi Sosial di Kawasan Perurnahan Terancang di Bandar Baru Bangi").

CATATAN 2: Hasil kajian semula pada tahun 1979: “Pembangunan peringkat awal Bandar Baru Bangi adalah berdasarkan kepada pelan struktur yang disebabkan oleh PKNS dan Jabatan Perancang Bandar dan Desa pada tahun 1974 dan selepas itu dikaji semula pada tahun 1979 dengan matlamat untuk mewujudkan pembangunan yang sederhana bagi menampung seramai 75,000 penduduk dalam tahun 2000 dan dengan harapan Bandar Baru Bangi ini menjadi sebuah Bandar wilayah yang terbesar di kawasan Selatan Negeri Selangor Darul Ehsan.” (Bahagian Pentadbiran, Jabatan Kemajuan Bangi. Dipetik oleh Lee Jun Seng, Lim Sook Yee, Livia binti Lahat, Low Yoke Yen @ UKM, 2006: |"KKKH 4543: Perancangan Pembangunan Bandar: Projek Kajian Lalulintas Bandar Baru Bangi, m.s.12)

CATATAN 3: Peningkatan penduduk pada tahun 1980-an masih perlahan: “Despite the high demand for its industrial lots, the overall population residing in Bangi has remained consistently below the predicted totals. Employees prefer to live outside Bangi in the nearby towns of Kajang, Petaling Jaya and Kuala Lumpur. The Central business district had yet to be developed in the eighties because the population had failed to attain a minimum threshold of about 30.000 persons.” (D.R. Phillips and A.G.O. Yeh (eds.), New Towns in East and South-east Asia: Planning and development, New York 1987, 160, taken from International New Town Institute: |"Bangi, Malaysia, Asia").

LATAR PERISTIWA: Keadaan Lorong Basikal dan Pejalan Kaki di Bangi kini.

LATAR PERISTIWA: Pembangunan Bandar Baru Bangi.

1976: UNITEN dan Duopharma Diasaskan

UNITEN (ketika ini ILSAS) dan Duopharma Manufacturing telah diasaskan.

“Universiti Tenaga Nasional mula beroperasi pada tahun 1976 sebagai Institut Latihan Sultan Ahmad Shah (ILSAS), yang berkhidmat banyak tahun sebagai pusat latihan korporat untuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan bekasnya, Lembaga Lektrik Nasional. Pada tahun 1994, ILSAS menjelma sebagai sebuah institut pelajaran tinggi dan dinamakan semula sebagai Institut Kejuruteraan Teknologi Tenaga Nasional (IKATAN). Institut ini menawarkan program akademik dalam kejuruteraan dan pengurusan perniagaan pada tahap sebelum siswazah dan tahap siswazah melalui pautan berkembar dengan universiti tempatan dan universiti luar negara. Pada tahun 1997, IKATAN dipertingkatkan sebagai Universiti Tenaga Nasional.”

“Duopharma Manufacturing (Bangi) Sdn. Bhd. was established in 1976 in Bangi, Selangor. It was acquired by CCM Berhad in 1995 and became a wholly-owned subsidiary. In 2015, Duopharma Manufacturing (Bangi) Sdn. Bhd. went through a merger exercise with the consolidation of all pharmaceutical companies under Duopharma Biotech Berhad (formerly known as CCM Duopharma Biotech Berhad) before the eventual de-merger between Duopharma Biotech Berhad and CCM Berhad in 2017.”

CATATAN: Duopharma Biotech ialah salah sebuah syarikat yang terpilih dalam perolehan sebahagian daripada vaksin COVID-19 di Malaysia: “ Syarikat Duopharma (M) Sdn. Bhd. pula akan membekalkan sebanyak 6.4 juta dos vaksin Sputnik V yang dihasilkan oleh Gamaleya Research Institute of Epidemiology and Microbiology di Russia. Vaksin ini dijangka akan mula dibekalkan secara berperingkat mulai penghujung bulan Mac 2021.” (Kementerian Kesihatan Malaysia, 26 Jan 2021: |"VAKSIN COVID-19 - KKM Menandatangi Dokumen Terms Sheet Bersama Syarikat Pharmaniaga dan Duopharma").

1976-06-28: Bangi Affair

Pada 16 Jun 1976, Hussein Jahidin, editor Berita Harian Singapura, telah ditahan oleh Internal Security Department kerajaan Singapura, di bawah ISA), di atas tuduhan kegiatan subversif komunis. Turut ditahan ialah bekas pembantu beliau, Azmi Mahmud. Di dalam pernyataan Kementerian Ehwal Dalam Negeri Singapura ketika itu, kedua-dua tahanan tersebut mengakui bahawa mereka telah mengolah laporan berita dan artikel Berita Harian untuk menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan orang Melayu Singapura, seterusnya mempengaruhi mereka agar menyokong komunisme sebagai wadah penyelesaian masalah-masalah mereka itu. Turut dinyatakan dalam pengakuan mereka, kegiatan tersebut adalah di bawah seliaan dan arahan |Abdul Samad Ismail, editor pengurusan New Straits Times Group di Kuala Lumpur, sejak tahun 1972 lagi.

Sementara itu, pernyataan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Malaysia turut menuduh A Samad Ismail merancang meperluaskan sokongan komunis di Singapura, seterusnya mempengaruhi orang Melayu Semenanjung Malaysia. Seminggu sebelumnya, beliau dan Samani bin Mohammed Amin (pembantu editor di Berita Harian Malaysia), telah ditahan oleh Cawangan Khas / Special Branch di Kuala Lumpur.

Pada 27 Jun 1976, TV Singapura menyiarkan wawancara dengan kedua-dua tahanan ini. Di dalam wawancara ini, selain penjelasan lanjut mengenai pengakuan di atas, Azmi Mahmud turut menyebut suatu peristiwa yang digelar “Bangi Affair”, sebagai salah satu contoh bentuk tugasan mereka: “He also mentioned that student issues can be used because we use this wisely this can stir up emotions. As an example, he mentioned the “Bangi Affair”. He said in the “Bangi Affair” Berita Harian exploited the issue in such a way that the paper is read by everybody. especially the students because they championed the cause of the students.”

Di dalam sidang parlimen pada 2 Julai 1976, En. Abdullah Ismail, wakil pemuda UMNO, telah membentangkan usul menyokong langkah kerajaan meneruskan tangkapan terhadap sebarang elemen-elemen komunis dan subversif serta pendukung mereka, tanpa mengira statusnya di dalam masyarakat. Usul ini telah diluluskan sebulat suara. Ketika pembentangan ini, beliau antara lain ada menyebut perihal “Bangi Issue” (merujuk “Bangi Affair” di atas), sebagai salah satu contoh taktik pihak komunis menyebarkan pengaruh mereka ke dalam masyarakat, kerajaan dan parti politik. Di dalam peristiwa ini, beliau mendakwa pihak komunis telah menyusup masuk ke dalam persatuan pelajar universiti, dan pihak akhbar (ketika itu di bawah seliaan A Samad Ismail) telah memberi tumpuan yang khusus kepada mereka.

CATATAN: Antara liputan Berita Harian yang mungkin berkaitan dengan atau dimaksudkan sebagai “Bangi Affair”:-

LATAR PERISTIWA: Penangkapan Wartawan (1976).

LATAR PERISTIWA: Perihal Hussein Jahidin.

1976-07-02: Lebuhraya KL-Seremban

Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban sedang dalam pembinaan. Antara susur keluar-masuk ialah di Bangi, yang kekal hingga ke hari ini.

“Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dimulakan pembinaannya sebagai salah satu projek Rancangan Malaysia Kedua (RMK-2) pada 27 Mac 1974 melalui tiga fasa pembinaan. Fasa pertama adalah dari Kuala Lumpur ke Nilai, manakala fasa kedua pula dari Nilai ke Senawang. Fasa ketiga pula melibatkan kerja-kerja pembaikan Jalan Persekutuan 1 dari Kuala Lumpur ke Seremban, memandangkan tidak semua pengguna jalan raya yang mahu membayar tol di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban. Sekurang-kurangnya Jalan Persekutuan 1 dikekalkan sebagai laluan alternatif bebas tol. Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dibina dengan kos RM32.9 juta hasil pinjaman daripada Bank Dunia. Kerja-kerja pembinaan dilaksanakan sepenuhnya oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia, sebagaimana beberapa jajaran terawal Lebuhraya Utara-Selatan yang lain seperti jajaran Ipoh-Changkat Jering, Bukit Kayu Hitam-Jitra dan Jitra-Gurun. Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dibuka kepada lalu lintas pada 16 Jun 1982.

Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban membentuk laluan perintis bagi pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan Jajaran Selatan E2. Asalnya, ia hanya dibina dari Kuala Lumpur sehingga ke Senawang (iaitu di persimpangan Jalan Seremban-Tampin FT1) sebelum ia dipanjangkan secara berperingkat-peringkat sehingga ke Johor Bahru. Exit 220 Persimpangan Senawang dibina bagi melencongkan lalu lintas ke arah Johor Bahru.

Pada tahun 1987, pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan diswastakan sepenuhnya, yang mana Highway Concessionaires Berhad (kini Plus Malaysia Berhad) mengambil alih kesemua kerja pembinaan serta jajaran Lebuhraya Utara-Selatan yang sudah siap, termasuklah jajaran Kuala Lumpur-Seremban. Namun, jajaran yang diambil alih oleh Plus Malaysia Berhad hanyalah dari Plaza Tol Sungai Besi ke selatan, (KM310.8 sehingga KM0), manakala jajaran selebihnya dari Persimpangan Jalan Istana sehingga Plaza Tol Sungai Besi sepanjang 8.1 km pula diserahkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Jajaran berbaki 8.1 km inilah yang kini masih dikenali sebagai Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37, manakala jajaran selebihnya pula membentuk Lebuhraya Utara-Selatan E2.”

(squall-shinoda @ Blog Jalan Raya Malaysia, June 18, 2014: |"Reviu dan sejarah Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37 / Kuala Lumpur-Seremban E37 review and history").



Gambar: Sebahagian lebuhraya PLUS (mungkin termasuk jajaran asal, Kuala Lumpur-Seremban), dalam pembinaan (PLUS Malaysia Berhad / Hezeri Samsuri @ Careta.my, 03-10-2020: |"5 PERKARA ANDA TAK TAHU TENTANG LEBUHRAYA PLUS").

CATATAN: Susur keluar-masuk di Bangi ini berjaya disiapkan sebelum pembukaan kampus UKM Bangi pada tahun 1977: “Matlamat membangunkan BBB sejak 1975 dan penghuni terawal mulai pindah pada 30 November 1977 selepas UKM berpindah secara berperingkat pada bulan Oktober 1977 pada dasarnya berjaya menurut perancangan yang diatur. Lebuhraya Kuala Lumpur-Bangi (Bakal menjadi lebuhraya Utara-Selatan) siap setakat ke Bangi sahaja - siap menjelang sedikit awal dari perpindahan, maka trailer-trailer yang mengangkut barang dari UKM di Jalan Pantai ke Bangi dapat menggunakan lebuhraya berkenaan yang hanya sampai ke Bangi sahaja (belum ada tol).” (Dr Shafie Abu Bakar, January 11, 2018: |"TAKMILAH : MASALAH KEPENDUDUKAN ").

1977-10-16: Perpindahan Perpustakaan UKM

Bangunan Perpustakaan Universiti di Jalan Pantai BaruPerpindahan perpustakaan ke kampus Bangi, di-Paras 3 dan 5 bangunan Pentadbiran.
Kiri: “Bangunan Perpustakaan Universiti di Jalan Pantai Baru” (Harith Faruqi Sidek @ Kitab Tawarikh 2.0, October 10, 2012: |"Penubuhan UKM: Pencarian Kakitangan Perintis..."). Kanan: Perpustakaan UKM dipindahkan dari Jalan Pantai, Kuala Lumpur, ke perpustakaan sementara di tingkat 3 dan 5, bangunan pentadbiran, kampus Bangi. (Dr Shafie Abu Bakar, June 3, 2014: |"Perpustakaan Induk UKM Dinamakan `Perpustakaan Tun Seri Lanang`". Dr Shafie Abu Bakar, June 3, 2014).

CATATAN: “Sebenarnya pada permulaan perpindahan ke Kampus Bangi, bangunan perpustakaan masih dalam pembinaan, tetapi ianya perlu berpindah dengan fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan ke Bangi. Pada peringkat permulaan perpustakaan mengambil tempat sementara di aras 3 dan 5 bangunan Pentadbiran UKM Bangi sementara perpustakaan sebenarnya siap. Sebahagian dari perpustakaan ialah di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu yang mempunyai perpustakaannya sendiri dan berpindah sejak perpindahan dilakukan.” (Dr Shafie Abu Bakar, June 2, 2014: |"Dekad Pertama UKM Melengkapkan Diri Di Bangi").

1977-11: Perpindahan Kampus UKM

“Perpindahan ke kampus UKM dari Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur (kampus sementara sejak 18 Mei 1970) ialah pada bulan Oktober 1977 (berperingkat). Penulis selaku pensyarah pada masa itu mula menghantar buku-buku ke pejabat kampus Bangi pada 26 Oktober 1977, diikuti pemindahan mereka yang membeli rumah di Bandar Baru Bangi ialah pada 30 November 1977. PKNS yang berpejabat di Taman Mesra Kajang menyerahkan kunci rumah pada tarikh tersebut dibuat di tapak perumahan BBB.” (Dr Shafie Abu Bakar, May 10, 2015: |"Tapak Masjid Al-Umm Setua Bandar Baru Bangi").

“Pada November 1977, kampus UKM secara beransur telah berpindah ke kampus tetapnya di Bangi. Dengan perpindahan ini, Kolej pertama turut terlibat sama. Di Bangi, nama kediaman mahasiswa telah ditukar dari Kolej kepada KOMSIS iaitu kependekan dari Kompleksiswa, menurut laporan tahunan pengetua kompleksiswa A, seramai 1,374 mahasiswa yang dahulunya merupakan penghuni Kolej Pertama telah menjadi warga sulung KOMSIS A. Namun tidak semua mahasiswa di Kolej pertama dahulu dipindahkan ke Bangi, kira-kira 375 orang mahasiswa Sains dan perubatan masih dikekalkan di Asrama yang terletak di Jalan Pantai Baru.”

Jaksa terakhirShow perpisahan
Kiri: “JAKSA terakhir Kolej Kediaman Pertama UKM yang dilantik semula sebagai JAKSA Pertama KOMSIS A.” Kanan: “Aksi acara 'Malam Perpisahan K.Lumpur - Bangi'. (Sumber: Semesta, 1977/78)”

(Sumber: Harith Faruqi Sidek @ Kitab Tawarikh 2.0, March 15, 2013: |"Kenang - Kenangan Kolej Kediaman Pertama Universiti Kebangsaan Malaysia 1970 - 1977").

Detik2 Pemindahan UKM dari Kampus Jalan Pantai ke Bangi
“Sebahagian Info , Detik2 Pemindahan UKM dari Kampus Jalan Pantai ke Bangi.” (Koleksi Arkib & Khas, Perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM @ Facebook, 2 Julai 2020: |"Detik2 Pemindahan UKM dari Kampus Jalan Pantai ke Bangi").

CATATAN 1: Kolej Pertama / KOMSIS A kemudiannya dinamakan Kamsis A, dan kini Kolej Dato' Onn: “Kolej Dato’ Onn (KDO) merupakan Kolej Pertama yang ditubuhkan di UKM Bangi selari dengan pemindahan Kampus UKM ke Bangi. Kolej Pertama telah ditukarkan namanya kepada Kompleks Siswa A pada 25 November 1977. Pada tahun 1981 Kompleks Siswa A telah dinaiktaraf sebagai Kampung Siswa A atau lebih dikenali sebagai Kamsis A di mana kamsis tersebut telah mampu menampung 1480 orang penghuni. Pada tahun 1986, KDO sekali lagi menjalani proses penjenamaan apabila kamsis ini dinaiktaraf menjadi Kamsis Dato’ Onn. Kemasyhuran dan ketokohan Dato’ Onn telah menyebabkan namanya diabadikan dalam lipatan sejarah untuk terus dikenang. Justeru itu tanggal 30 Januari 1986 bersamaan 20 Jamadil Awwal 1406 Hijrah kedudukan kolej ini diperkukuhkan dengan perasmian oleh YAB Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia ke-3. Ini merupakan detik bersejarah sepanjang penubuhan UKM dan sejarah ini dipahat kukuh di bangunan pentadbiran Kamsis Dato’ Onn. Dengan perasmian inilah, Kamsis Dato’ Onn mula dikenali sebagai Kolej Dato’ Onn.” (Laman Media Sosial Rasmi Kolej Dato' Onn: |"Kolej Dato' Onn: Sejarah").

CATATAN 2: Ketika ini, semua Fakulti UKM berpindah, kecuali Fakulti Sains dan Fakulti Perubatan:-

  • “Tidak semua Fakulti berpindah ke Bangi pada akhir 1977. Tatkala Fakulti Sastera (Sains Kemanusiaan dan Kemasyarakatan) berpindah, Fakulti yang paling ramai dengan pelajar, beberapa Fakulti masih lagi belum berpindah, iaitu Fakulti Sains masih berada di Jalan Pantai dan Fakulti Islam dan sebahagian dari Fakulti Sains masih di Seksyen 17 Petaling Jaya. Ini ialah kerana bangunan-bangunan bagi fakulti-fakulti berkenaan masih belum siap. Sebahagian dari Fakulti Sains sedang dalam pembangunan, manakala Fakulti Islam masih belum dibangunkan. Adapun Fakulti Perubatan mempunyai kampus tersendiri bersebelahan dengan Hospital Besar Kuala Lumpur dan Cheras. Sebuah lagi Cawangan UKM ialah di Sabah yang kemudian diangkat taraf menjadi Universiti Malaysia Sabah (UMS).” (Dr Shafie Abu Bakar, June 2, 2014: |"Dekad Pertama UKM Melengkapkan Diri Di Bangi").

  • “Pada waktu itu semua Fakulti UKM di Kuala Lumpur baru berpindah ke Kampus yang lebih besar di Bangi kecuali Fakulti Sains dan Fakulti Perubatan. Saya menjalani minggu orientasi bersama-sama mahasiswa baru yang lain di Bangi. Selepas selesai orientasi di Bangi pelajar-pelajar Fakulti Sains dan Fakulti Perubatan pulang ke kampus di Kuala Lumpur. Kampus Kuala Lumpur ada lah di Pantai Bahru, bersebelahan dengan Universiti Malaya dan di Jalan Universiti, Seksyen 17, Petaling Jaya.”
    Contoh surat tawaran UKM untuk sesi 1978/1979
    Contoh surat tawaran UKM untuk sesi 1978/1979. (Siti Khadijah Othman, 27th October 2010: |"Kenang-kenangan (UKM: 1978-1982)").

  • Fakulti Sains dipindahkan ke Bangi 5 tahun kemudiannya, iaitu pada tahun 1982: “Tahun 1982 saya dan warga Fakulti Sains UKM perlu berpindah ke Bangi kerana bangunan baru telah siap. Mulai tahun ini juga sejarah UKM telah tercipta apabila Fakulti Sains berpecah (distrukturkan)kepada empat fakulti. Mulai tahun ini juga wujudnya Fakulti Sains Hayat, Sains Fizik dan Gunaan, Sains Matematik dan Sains Sumber Alam (di kampus Sabah) sehinggalah tertubuhnya Universiti Malaysia Sabah (UMS) Fakulti Sains Sumber Alam “dibawa” balik ke Bangi.” (Abd Raai Osman P.J.K, 13 September 2020: |"Dari Daerah Permai Ke Lembah Rezeki").

1977-12-01: Penduduk Terawal Bandar Baru Bangi

“Dalam laporan News Straits Times bertarikh 22 Disember 1987, Ishak Osman telah berkongsi pengalaman beliau sewaktu mula-mula menjejak kaki di Bandar Baru Bangi. Menurut beliau, sebelum berpindah masuk ke kediaman yang terletak di jalan1/2C, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi pada pada 1 Disember 1977, beliau sekeluarga tinggal di Kampung Kerinchi.

Perkara pertama yang beliau lakukan setelah berpindah ialah menaiki basikal disekitar kawasan kediamannya dengan harapan akan bertemu dengan penduduk lain, malangnya tidak seorang pun yang beliau temui. Suasana persekitaran yang pada ketika itu masih dipenuhi hutan belantara serta tanpa kemudahan elektrik menyebabkan beliau sangat gusar memikirkan keselamatan dirinya sekeluarga.

Menurut Ishak lagi, beliau akan memastikan setiap tingkap dan pintu rumahnya dikunci rapi seawal jam 7 malam lagi, ini kerana pada ketika itu suasana sudah mulai gelap dan beliau bimbang akan keselamatan keluarganya. Perkara ini berlarutan selama seminggu, sebelum penduduk lain mulai beransur pindah ke kawasan tersebut. Meskipun begitu, bekalan elektrik masih belum dibekalkan oleh pemaju, lalu penduduk disitu terpaksa menggunakan lampu kerosin untuk tempoh beberapa bulan sehinggalah mereka mendapat bekalan elektrik pada sekitar bulan mac 1978.

Pengangkutan awam merupakan satu lagi masalah asas yang dihadapi oleh para penduduk awal di Bandar Baru Bangi, kebanyakkan mereka tidak mempunyai kenderaan sendiri, lalu terpaksa berjalan kaki berbatu-batu jauhnya untuk sampai ke perhentian bas bagi meneruskan perjalanan menghantar anak ke sekolah dan ketempat kerja.

Sebagai menghargai serta mengiktiraf beliau sebagai penduduk terawal Bandar Baru Bangi, Ishak Osman telah diberi penghargaan oleh Menteri Besar Selangor pada ketika itu, Datuk Muhammad bin Muhammad Taib sewaktu perayaan ulangtahun ke-10 Bandar Baru Bangi pada 21 Disember 1987.”

Ishak OsmanBuku daftar pekerja UKM
Kiri: “Encik Ishak Osman”. Kanan: “Nama Encik Ishak Osman (No. Pekerja 0005) dalam buku daftar pekerja Universiti Kebangsaan Malaysia.”

(Sumber: Harith Faruqi Sidek @ Kitab Tawarikh 2.0, July 04, 2013: |"Ishak Osman,kakitangan UKM jadi penduduk terawal Bandar Baru Bangi.").

LATAR PERISTIWA: Pembangunan Bandar Baru Bangi.

1977-12-17: Penubuhan Grupemuisi

“Nawawee Mohammad bersama sahabat-sahabatnya telah mencipta sejarah tersendiri menubuhkan Grupemuisi pada 17 Disember 1977 di Kampus UKM Bangi. Ia adalah merupakan badan sastera yang memberi tumpuan kepada kegiatan berpuisi dan bersifat terbuka bagi semua mahasiswa di UKM. Dapatlah dikatakan ianya adalah merupakan Persatuan Kumpulan Berpuisi yang diberi nama Grupemuisi pertama tertubuh di mana-mana pengajian tinggi di Malaysia. Kesan dari penubuhan Grupemuisi berjaya mewarnai kegiatan bersastera di Kampus UKM dalam tempoh dua dekad (1977-1997). Bahkan kesannya turut sama menggemai kegiatan sastera tanahair, khususnya di dalam bidang puisi.” (Dr Shafie Abu Bakar, June 11, 2013: |"Nawawee Mohammad Pengasas Grupemuisi UKM: Kegiatan Pada Eranya (Memoir)").

Mempengurusi majlis anjuran Grupemuisi UKM 1978
“Mempengurusi majlis anjuran Grupemuisi UKM 1978 kelihatan sdr Azmi Yusoff, Tan Seri Dr Anwar Mahmud Naib Canselor UKM dan Dr Ramli Isin selaku Penasihat Grupemuisi.” (Abdulhadi Muhamad @ keroncong dari ana, October 4, 2013: |"Antara Kegiatan GRUPEMUISI UKM 80an").

LATAR PERISTIWA: Perihal Grupemuisi

1978: Permulaan Cilibangi di UKM

Tarikh Butiran Keratan
Sejarah Cilibangi 1978 "Sejarah Cilibangi". Cilibangi


“Program biak baka cili di UKM bermula pada tahun 1978 oleh Mendiang Profesor K.M.Graham dan berterusan pada tahun 1987 oleh Profesor Dr Ahmed Mahir Mokhtar Bakri Mohamed.

Penyelidikan selanjutnya adalah di bawah seliaan IRPA (Intensified Research in Priority Areas) yang diketuai oleh Profesor Madya Dato ‘ Dr Zakri A. Hamid. Dua daripada penyelidik yang terlibat adalah Profesor Madya Dr Ahmed Mahir Mokhtar Bakri dan Profesor Madya Dr Ismail Ahmad , Fakulti Sains dan Teknologi. Kajian saringan dan pemilihan, tindak balas genotip – persekitaran, percubaan pengesahan tempatan di Rhu Tapai (Terengganu), Lundang ( Kelantan), Titi Tergantung (Perak ) dan plot eksperimen UKM (Selangor); ujian kestabilan genetik, menguji heterosis dan ujian baja telah dijalankan pada baka cili yang terpilih.

Selepas 15 generasi, variti Cilibangi seperti Cilibangi 1 dan 2 telah dibangunkan dan diperkenalkan pada 13 Disember , 1995 di Makmal Bioteknologi Tumbuhan oleh Profesor Dato ‘ Dr Sham Sani , Naib Canselor UKM pada masa itu.”

1978-01-08: Akhbar Nadi Bangi

Nadi Bangi”, akhbar terbitan mahasiswa dan pensyarah Jabatan Perhubungan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), merupakan lidah rasmi UKM. Ia mula diterbitkan sejak Jun 1977 di kampus Pantai Baru, dan kini mula beroperasi di kampus baru di Bangi, setelah empat keluaran sebelumnya. Selain melaporkan aktiviti semasa mahasiswa (termasuk perpindahan ke kampus baru), ia juga turut melaporkan kegiatan penduduk kampung-kampung berdekatan.

Abdul Rahman sedang menemuramah seorang penduduk Bangi
Abdul Rahman Jaafar, salah seorang wartawan Nadi Bangi (mahasiswa tahun kedua UKM), sedang menemuramah seorang penduduk Bangi.

CATATAN: Nadi Bangi masih diterbitkan sehingga kini oleh mahasiswa UKM, namun dalam bentuk berbeza, dan tidak lagi menjadi lidah rasmi UKM: “Nadi Bangi merupakan akhbar makmal mingguan atas talian terbitan program MENTION, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di bawah kursus (SKKC3166) Pengurusan dan Penerbitan Media oleh para pelajar tahun 3 Komunikasi Media, UKM. Namun begitu, sebarang pandangan yang disiarkan tidak mewakili pandangan rasmi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).” (Nadi Bangi, UKM: |"TENTANG KAMI").

1978-02-04: Penubuhan Persatuan Penduduk B B Bangi

“PKNS Dan Lahirnya Persatuan Penduduk menjadi faktor penting kemajuan BBB. Persatuan penduduk bermulanya dari adanya badan kebajikan yang ditubuhkan pada 4 Februari 1978 bertempat di Kedai Satu tingkat Jalan 1/1A, BBB dengan tujuan menyalurkan pengaduan dan kerosakan rumah, perparitan, kebersihan dan sebagainya. Dari Badan Kebajikan ini meningkat menjadi Persatuan Penduduk BBB. Yang Dipertua pertama ialah Tuan Haji Omar Ja`far (1978- 1981), Kedua Tuan Haji Banhawi Mohamed (1982-1990), Ketiga Dr. Ta(j)ul Ariffin Noordin (1990-2012) dan kini Haji Sufi Muasir (2012 – Kini).”

1978-03-19: Konvensyen Ekonomi Bumiputra


Gambar kanan: “Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad merasmikan Konvensyen Ekonomi Bumiputra di Universiti Kebangsaan Bangi pada petang ini (19hb Mac, 1978).” (Jabatan Penerangan Malaysia, 19.3.1978: |"KONVOKESYEN EKONOMI BUMIPUTRA, PERASMIAN OLEH TIMBALAN PERDANA MENTERI, DI UNIVERSITI KEBANGSAAN BANGI, SELANGOR; 19.3.1978").

LATAR PERISTIWA: Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (1971-1990). Maklumat lanjut:-

1978-05-01: Ladang Sungai Merab

Malakoff Berhad bakal memperolehi Ladang Sungai Marap (Sungai Merab) seluas 255 hektar (250 daripadanya telah dipenuhi pokok getah matang). Ladang ini adalah sebahagian daripada Ladang Broome.

Ladang Sungai Marap (Sungai Merab) dan Broome
Ladang Sungai Marap (Sungai Merab) dan Ladang Broome.

LATAR PERISTIWA: Broome Estate.

1978-08: Kad Perakam Waktu Pertama

“Ini adalah mesin kad perakam waktu yang terawal digunakan di UKM. Sewaktu mula diperkenalkan pada Ogos 1978, Perpustakaan Tun Seri Lanang merupakan jabatan pertama yang menggunakan sistem kad perakam waktu ini bagi merekod kedatangan waktu kerja bagi 130 orang kakitangannya. Waktu perkhidmatan perpustakaan pada ketika itu adalah mulai jam 8.15 pagi hingga 11.00 malam. Mesin kad perakam waktu ini dipamerkan di Galeri Tuanku Canselor, aras 2, Bangunan Canselori UKM.

Rujukan: Perpustakaan Tun Seri Lanang perintis kad perakam waktu. Nadi Bangi (Jilid 4), 10 Ogos 1981.”

Punch card
“Kad Perakam waktu dari model yang sama kini dipamerkan di Galeri Tuanku Canselor, Aras 2, Bangunan Canselori UKM.”

(Sumber: Harith Faruqi Sidek @ Kitab Tawarikh 2.0, October 11, 2015: |"UKM 45 Tahun : PTSL jabatan perintis guna sistem kad perakam waktu").

1978-08-06: Pembukaan Surau Pertama di B B Bangi

“Untuk memenuhi keperluan penduduk pihak PKNS membenarkan sebuah rumah semi D di No. 6 Jalan 1/3G dijadikan surau. Ini merupakan pertama kali surau di BBB dan mula digunakan pada 6 Ogos 1978 bersamaan 1 Ramadhan 1398H. Pertambahan surau berlaku dengan bertambahnya seksyen-seksyen sehingga ada yang melebihi dua surau bagi satu seksyen.”

Surau Al-Umm, 2015Surau Al-Umm, 2016
Surau Al-Umm kini (Dr Shafie Abu Bakar, Kiri: December 10, 2015: |"Jangka Panjang: Pembangunan Tiga Peringkat", Kanan: July 6, 2016: |"ADA GARIS PILU PADA PENGHUJUNG RAMADHAN INI").

CATATAN: Sejak 16 Disember 2017, peranan surau ini telah digantikan oleh Masjid Al-Umm: “Usia Masjid al-Umm masih setahun jagung, namun ia menjadi saksi sejarah kepada pembangunan bandar itu sejak dibuka sebagai kawasan penempatan baharu pada 1975. Ia pernah menjadi surau pertama apabila didirikan di rumah disebabkan belum ada masjid yang dibangunkan ketika itu untuk kegunaan jemaah setempat. Hanya selepas Bandar Baru Bangi melewati usia 40 tahun, barulah proses pembinaan Masjid al-Umm bermula dan digunakan secara rasmi pada 16 Disember 2017.” (Latifah Arifin @ Berita Harian, Februari 22, 2019: |"Masjid al-Umm sasar jadi hab ilmu, intelektual").

LATAR PERISTIWA: Surau dan Masjid di Bandar Baru Bangi

1978-11-28: DECTAR UKM Siap Dibina

“Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) telah siap dibina pada 28 November 1978. Dewan ini telah digunakan buat pertama kalinya pada Majlis Konvokesyen UKM yang ke-6. Pembinaan yang bermula pada 21 Jun 1976 itu telah menelan belanja sebanyak RM6,9222,821. Saiz asal sewaktu siap dibina ialah seluas 153,450 kaki persegi dan merupakan dewan yang terbesar di Malaysia pada ketika itu. DECTAR telah dirasmikan pada 29 September 1979. Sumber: Dewan Besar dan Teater Experimen UKM. NADI BANGI. Jilid 2, Bil 2. Julai 1978.

Ruang Dalam DECTARPandangan dari tempat duduk sisi kiri dewan.
Kiri: “Ruang Dalam DECTAR”. Kanan: “Pandangan dari tempat duduk sisi kiri dewan”.

DECTAR dari luarDECTAR sewaktu mula digunakan semasa Konvokesyen UKM ke-6.
Kiri: “DECTAR dari luar”. Kanan: “DECTAR sewaktu mula digunakan semasa Konvokesyen UKM ke-6.”

(Sumber: Harith Faruqi Sidek @ Kitab Tawarikh 2.0, June 21, 2012: |"Sejarah Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), UKM").

Perihal gambar sebelah kanan (bawah): “Kalau tak silap saya gambar ini diambil pada tahun 1977. Berdiri dua dari kanan tu guru seni silat gayong UKM tahun 1977, Mohd Yusuf. dia juga penuntut tahun dua fakulti Ekonomi dan Pengurusan 1977/1978.” (Asari Idris, Ruangan Komen (20 Ogos 2015) @ Facebook Siswa UKM, 19 Ogos 2015: |"SEJARAH PENUBUHAN UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA").


DECTAR, setelah siap dibina, sekitar 1978-1980 (Kiri: Berlatarkan B B Bangi yang masih tandus: Rebecca Rajaendram @ The Star, 18 May 2020: |"Universiti Kebangsaan Malaysia: 50 years of inspiring excellence". Kanan: Abd Raai Osman P.J.K, 18 Mei 2016: |"Hari ini UKM berusia 46 tahun").

Dectar dari sisi (1970-an)
Gambar sisi DECTAR, setelah siap dibina (Universiti Kebangsaan Malaysia @ Parlimen Malaysia, 2020: |"Laporan Tahunan Dan Penyata Kewangan Universiti Kebangsaan Malaysia Bagi Tahun 2018").

1979-01-21: Lawatan Sultan Selangor ke UKM

Bangunan Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi. 21.01.1979Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah berkenan bersalaman dengan pelajar-pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. 21.01.1979Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah berkenan berbual dengan pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. 21.01.1979
Kiri: “Bangunan Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi. 21.01.1979”. Tengah: “Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah berkenan bersalaman dengan pelajar-pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. 21.01.1979”. Kanan: “Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah berkenan berbual dengan pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. 21.01.1979”.

Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah berkenan melawat sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi. 21.01.1979Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah berkenan bersalaman dengan pelajar-pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. 21.01.1979
Kiri: “Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah berkenan melawat sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi. 21.01.1979”. Kanan: “Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah berkenan bersalaman dengan pelajar-pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. 21.01.1979”.

1979-03-16: Pembinaan Masjid UKM

“MASJID UKM telah dibina di atas tapak seluas dua hektar yang terletak di hadapan pintu masuk utama Universiti Kebangsaan Malaysia. Pembinaannya dimulakan pada 16 Mac 1979 dengan kos berjumlah RM 5.1 juta. Ia telah diserahkan secara rasmi kepada pihak Universiti Kebangsaan Malaysia pada hari Rabu 14 April 1982. Usaha pengimarahan masjid ini bermula pada hari Jumaat 16 April 1982. Reka bentuk Masjid UKM adalah hasil ilham Encik Abdullah Bakri, bekas Pengarah Unit Pembangunan, UKM. Bangunan ini dikelilingi oleh enam menara dan sebuah menara besar setinggi 6666 sentimeter yang telah diilhamkan oleh Tun Syed Nasir, bekas Pro Canselor UKM.”

Masjid UKM dalam pembinaan
Masjid UKM dalam pembinaan

(Sumber: Pusat Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM): |"Sejarah Penubuhan Masjid". Pusat Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)).

Masjid UKM dalam pembinaan (Dari sudut lain)
Masjid UKM dalam pembinaan (Dari sudut lain) (Sumber gambar: ibangi.my : Bandar Baru Bangi Online Community, 23 Mac 2016: "FOTO KOMUNITI" (Sumber asal: Penerbit UKM)).

CATATAN 1: “Masjid UKM dibina dengan kos RM6.5 juta, hasil sumbangan kerajaan Malaysia dan Arab Saudi. Mula dibina pada 16 Mac 1979 dan digunakan buat pertama kalinya pada 16 April 1982, iaitu untuk solat fardhu Jumaat - Sumber : SENADA, April 1982 (ms. 01)” (Harith Faruqi Sidek, February 06, 2013: |"Sejarah Masjid UKM").

CATATAN 2: “Setelah menumpang kawasan Perpustakaan Seri Lanang, maka tapak Masjid di UKM dipilih di tepi jalan berdepan dengan Dewan Konvensyen Tun Abdul Razak. Kerja bagi membina masjid ini memakan masa yang agak lama iaitu mulai pembinaan tapak pada 16 Mac 1976 dan siap pada 16 April 1982, iaitu memakan masa enam tahun. Walau bagaimana setelah bangunan Masjid UKM dapat disiapkan, maka tidak timbul kepada keperluan masjid didirikan di Bangi, oleh kerana Masjid UKM yang dua lapis lebih dari cukup bagi menampung mahasiswa Islam dan penduduk BBB yang pada masa itu ada dua seksyen sahaja, iaitu Seksyen Satu dan Dua yang penduduknya dalam lingkungan seribu penghuni, Sebahagian besar dari mereka adalah pekerja-pekerja dan tenaga-tenaga pengajar di UKM dan sebahagian adalah tenaga pengajar dan pekerja UPM yang diberi peluang memiliki rumah di Bangi. Pada masa itu kemudahan jalan dari BBB ke kampus UKM telah sempurnma dengan pembinaan jambatan yang menghubungkan BBB dengan kampus, UKM. Sebelum dari itu , pada peringkat permulaan untuk ke UKM terpaksa melalui Teras Jernang dengan melalui jambatan kayu yang agak uzur.” (Dr Shafie Abu Bakar, December 5, 2019: |"KEPENTINGAN MASJID").

1979-09: Perpindahan Institut Aminuddin Baki

“Institut Aminuddin Baki (IAB) adalah sebuah institusi latihan kepimpinan dan pengurusan pendidikan bagi membangunkan keupayaan pengurus dan pemimpin pendidikan di semua peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Sejarah penubuhan IAB yang dahulunya adalah dikenali sebagai Malaysian Educational Staff Training Institute (MESTI) pada Mac 1979. Lokasi MESTI pada masa itu bertempat di Bahagian Pendidikan Guru telah berpindah ke kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pada bulan Ogos 1979 sehingga September 1980. Pengurusan MESTI telah diterajui oleh Dr. Chew Tow Yow selaku Pengetua dan Dr. Mohd. Yaacob Haji Mat Nong sebagai Naib Pengetua. Kemudiannya berpindah pula ke Blok 1, Kompleks Pantai Puri, Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur sebelum berpindah ke kampus rasminya di Sri Layang, Genting Highlands, Pahang Darul Makmur pada bulan Mac 1985.”

1979-09-19: Perancangan PUSPATI

1979-09-19: Di dalam suatu majlis “Great Economic Debate” di Kuala Lumpur, En. Gurmit Singh, Presiden Persatuan Environmental Protection Society of Malaysia (EPSM) menyeru Petronas agar menyumbang lebih banyak dana kepada penyelidikan tenaga alternatif di institusi-institusi penyelidikan dan pengajian tinggi negara. Sebagai penyokong tegar polisi tenaga negara, beliau turut disokong oleh Dr Mohamed Anwar Adnan dari UKM, yang mencadangkan agar tabung amanah diadakan bagi mendanai penyelidikan tersebut. Dr Anwar juga menyeru agar pihak kerajaan tegas dalam usaha penjimatan tenaga, contohnya mengenakan had terhadap pengeluaran kereta, menaikkan kadar cukai jalan, serta mendirikan empangan-empangan mini-hidro. Sementara itu, Dr Jomo K S, juga dari UKM, menyeru kerajaan agar memastikan langkah-langkah keselamatan yang ketat dan menyeluruh dijalankan di pusat penyelidikan nuklear yang bakal dibina di Bangi, PUSPATI.

1982-07: Reaktor nuklear pertama PUSPATI mula beroperasi: “A TRIGA MARK II research reactor has been installed at the Tun Ismail Atomic Research Centre (PUSPATI), Selangor, Malaysia. The reactor was commissioned in July 1982.” (Dr. Ahmad Tajuddin Ali, Yaziz b. Yunus, Mohd. Puad b. Hj. Abu, 1982: |"The construction, installation and commissioning of the PUSPATI TRIGA reactor").

1984-06-06: Menurut perdana menteri, DS Dr Mahathir Mohamad, kerajaan Malaysia merancang untuk membangunkan PUSPATI (ketika ini telah pun siap dan beroperasi sepenuhnya) sebagai salah sebuah pusat penyelidikan paling terkehadapan di Asia Tenggara.

CATATAN: Perihal En. Gurmit Singh: “Gurmit crusaded fearlessly, speaking out about environmental issues in many national news-making events such as the construction of the Bakun Dam in Sarawak; the proposed construction of the Tembeling dam in Taman Negara, Pahang; the pollution of the Klang Valley’s Sungai Klang and Penang’s Sungai Juru; the storage of radioactive waste in Bukit Merah, Perak; and the destruction of Batu Caves, Selangor, through limestone quarrying.” (Terence Toh @ The Star, 30 Apr 2017: |"This man has been fighting to save Malaysia's environment for half a century").

LATAR PERISTIWA: Perihal PUSPATI.

Pengakuan penting: Kami bukan ahli sejarah! Sila klik di sini untuk penjelasan lanjut.

sejarahbangi-1970-1979.txt · Last modified: 2021/10/19 03:51 by sazli