User Tools

Site Tools


kg_sungai_ramal_dalam

Kampung Sungai Ramal Dalam

Dirujuk oleh

Sejarah Awal

“Sungai Ramal Dalam (atau lebih dikenali sebagai Kampung Sungai Ramal Dalam) adalah merupakan sebuah penempatan perdesaan tengah bandar yang terletak di mukim Kajang, daerah Hulu Langat, Selangor. Nama Sungai Ramal ini adalah diambil sempena nama sebatang sungai yang mengaliri kawasan tersebut dan merupakan pecahan dari Sungai Ramal Luar yang lokasinya lebih hampir dengan bandar kajang. Tidak dapat dipastikan siapa orang pertama yang membuka kawasan ini, tapi apa yang pasti hari ini Sungai Ramal Dalam adalah merupakan antara kawasan penempatan kampung yang agak 'masyhur' di Lembah Klang ini oleh kerana lokasinya yang strategik yang dikelilingi oleh kawasan pembangunan yang maju lagi pesat membangun. Antara kawasan kejiranannya ialah, Country Heights (sebuah kawasan penempatan elit) yang terletak di bahagian utara, Bandar Baru Bangi di sebelah selatan, bandar Kajang di Timur dan juga Putrajaya di sebelah barat. Dengan berposkodkan alamat 43000 Kajang, maka melihat situasi ini, tidak hairanlah mengapa Sungai Ramal Dalam sering kali menjadi tumpuan penduduk sehinggakan nilai hartanahnya saban tahun sering kali mengalami peningkatan yang amat tinggi sama seperti mana yang berlaku di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Termasuk dalam rancangan pembangunan yang berwawasankan 'Greater Kuala Lumpur', beberapa tahun dari sekarang, tidak mungkin Sungai Ramal Dalam ini akan berubah wajah dari segi infrastruktur dan reka binaan rumahnya yang bercirikan moden serta mempunyai penduduk yang berorientasikan pendapatan yang tinggi. Dari segi demografik pula, Sungai Ramal Dalam dihuni oleh masyarakat Melayu keseluruhannya yang mana berakar umbikan masyarakat dari suku Kampar dan Jawa serta sebahagian daripadanya merupakan imigran dari Aceh dan Madura. [perlu rujukan]

Melihat keadaan ini, masyarakat setempat sering kali menganggap kawasan ini adalah 'Indonesia Malaysia'[perlu rujukan] oleh kerana kesemua penduduknya berketurunan suku Melayu yang berasal dari negara jiran itu. Beberapa ketika yang lalu, Sungai Ramal Dalam pernah dipimpin oleh seorang ketua kampung yang bernama Haji Salleh bin Taruddin yang telah pun meninggal dunia pada tahun 2010 pada usia 80 tahun. Allahyarham disifatkan sebagai seorang ketua yang mempunyai jati diri keMelayuan yang kuat sehinggakan berjaya menyatukan suku Kampar dan Jawa yang sering kali bertelagah suatu ketika dahulu, yang mana pada hari ini mereka dapat hidup bersatu padu dan makmur di sini tanpa sebarang permasalahan yang berlaku lagi. Ini kerana di Indonesia sendiri, sehingga hari ini suku Kampar dan Jawa itu adalah disifatkan masyarakat sebagai 'anjing dan kucing yang tidak boleh berjumpa' kerana sering kali menimbulkan ketegangan walaupun pada hakikatnya mereka adalah sama taraf kewarganegaraannya. Allahyarham Haji Salleh dilahirkan di Tanah Kampar, Riau, Sumatera yang hidup pada era pemerintahan Sultan Syarif Kasim II dari Kesultanan Siak Sri Indrapura sehinggalah penyerahan kedaulatan kepada kerajaan Republik Indonesia semasa negara tersebut memperoleh kemerdekaan dari Belanda. Beberapa tahun setelah itu, beliau berhijrah ke Tanah Melayu dengan menaiki sampan sehingga ke Kuala Linggi, Melaka oleh kerana faktor peribadi beliau sendiri. Sebaik sahaja Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, beliau sendiri turut menyaksikan permasyhuran kemerdekaan oleh Almarhum Tuanku Abdul Rahman di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada keesokannya itu. Maka tidak hairanlah mengapa beliau mempunyai jati diri keMelayuan yang tinggi oleh kerana beliau sebenarnya adalah seorang yang boleh dikatakan bangsawan yang berkerakyatan bukan Indonesia dan juga bukan Malaysia, akan tetapi yang lebih tepat adalah Nusantara.”

(Sumber: Wikipedia: Sungai Ramal Dalam).

“Sekarang terdapat dua buah kampung yang dikenali sebagai Sungai Ramal Luar dan Sungai Ramal Dalam. Pada asalnya kedua-dua kampung ini adalah sebuah kampung yang dikenali dengan Sungai Ramal sahaja. Sungai Ramal sudah wujud sejak dari abad ke 18 lagi. Selangor pada masa itu telah terkenal sebagai negeri yang makmur lantaran mempunyai bijih timah, turut dihadiri berbagai pendatang terutama ke kawasan Kuala Lumpur. Kemakmuran melempah keluar dari kawasan Kuala Lumpur. Turut datang ke luar dari Kuala Lumpur mereka yang datang dari Sumatera dan Jawa. Antaranya ke Hulu Langat, khususnya ke kawasan Kajang. Antara kelompok yang datang ialah ulama` yang mengajar agama Islam sambil berniaga. Mereka sampai antaranya melalui sungai dan mendarat di tepi sungai dan menjalankan perniagaan. Mereka memerlukan tempat ibadat. Lantaran mereka mendirikan surau di tepi sungai. Di tepi sungai berkenaan tempat mendarat dan dekat tempat berniaga adalah berpasir putih dan bersih dari tepi sungai berpasir ini mereka mengambil wudhu` bagi menunaikan solat. Nama kampung ini dinamakan `Kampung Sungai Ramal` diambil dari perkataan `Arab `Ramlu bererti Pasir` bermaksud Kampung Pasir` yang disebut di dalam bahasa `Arabnya `Kampung Sungai Ramal.` Ianya meliputi semua kawasan (Sungai Ramal Luar dan Dalam). Selepas British menguasai Selangor, maka untuk tujuan pentadbiran, maka pada tahun 1847, dipecahkan kampung Sungai Ramal kepada Sungai Ramal Luar dan Dalam. Kini kedua kampung ini dipisahkan oleh jalanraya utama – Kajang ke Serdang.
….
Dengan pemisahan sempadan antara Sungai Ramal Luar dan Sungai Ramal Dalam, maka selepas tahun 1930an timbul inisiatif penduduk Sungai Ramal Dalam mendirikan surau ditempat masjid al-Falah sekarang yang kemudiannya ditingkatkan kepada taraf masjid. Bangunan masjid yang agak kecil ditambah sedikit demi sedikit sesuai dengan pertambahan penduduk. Pada masa Penulis menjadi ADUN Kajang (1999-2004) yang kedua-dua Kampung Sungai Ramal termasuk di bawah kawasan ADUN Kajang, masih belum timbul hasrat untuk membangunkan sebuah masjid yang baru. Yang didirikan ialah sekolah agama berdekatan masjid dengan menggunakan sebahagian dari tanah masjid.”

(Sumber: Dr Shafie Abu Bakar, March 2, 2018: |"SEJARAH SUNGAI RAMAL DAN PEMBINAAN MASJID").

Kronologi Peristiwa

1932-09-19: Kg Sungai Ramal Tambahan

19/09/1932: |"EXTENSION OF SUNGEI RAMAL MALAY RESERVATION".

Kemungkinan Kampung Sungai Ramal Dalam? Atau Kampung Sungai Ramal Baru?

1944-07-25: Kelahiran Haji Samuri

“Tarikh Lahir: 25 Julai 1944
Lahir: Sungai Ramal Dalam, Kajang”

(Sumber: Jutawan Melayu, July 11, 2016: |"Sejarah Bermulanya Satay Kajang").

“Haji Samuri bin Haji Juraimi dilahirkan pada 25 Julai 1944 di Sungai Ramal Dalam, Kajang Selangor . Tuan Haji Samuri adalah pemimpin Sate Kajang Samuri . Haji Samuri memulakan pengalaman beliau dalam perniagaan pada usia 13 tahun dengan bekerja dengan Haji Tasmin . Pada tahun 1965, beliau bekerja di Telekom Malaysia sambil beliau bekerja dengan Haji Tasmin . Selepas beberapa tahun beliau berhenti bekerja, beliau memulakan perniagaan sendiri dengan modal RM18,000 – RM30,000 dan memulakan perniagaan sebagai pengusaha Sate Kajang . Haji Samuri memulakan perniagaan sate di Gerai No 5 Medan Sate Kajang yang diambilalih daripada majikan Cina yang menjual jus tebu.Sekarang,Tuan Haji bin Haji Juraimi adalah usahawan yang berjaya di Malaysia .” (NUYULFANA95 @ USAHAWAN KORPORAT MALAYSIA, APRIL 27, 2015: |"CIRI – CIRI KEUSAHAWANAN YANG BOLEH DICONTOHI").

1953: Kedai Runcit Sungai Ramal Dalam

“Kedai sharikat kerjasama menjual barang2 runchit Sungai Ramal Dalam, Kajang, ada-lah sa-buah kedai sharikat yang paling maju sa-kali di-daerah ini dan telah mendapat keuntongan sa-banyak $4,000.00 dalam tahun 1962. Setiausaha kedai sharikat ini Inche' Abdul Ghafar bin Jamin menyatakan kapada Berita Harian bahawa kedai sharikat ini telah di-tubohkan pada tahun 1953 dengan ahli sa-ramai 95 orang. Inche' Abdul Ghafar juga menerangkan kedai ini menjual barang2 runchit kapada sa-ramai 120 keluarga di-kampong ini. Semenjak tertuboh-nya pada tahun 1953 dahulu kedai ini tidak pernah mengalami kerugian, kerana kejujoran dua orang penjaga-nya dan sokongan yang penoh daripada pendudok di-kampong ini. Menurut Inche Ghafar pada masa mula2 di-tubohkan kedai sharikat ini mempunyai modal sa-banyak $900 sahaja. Tetapi kerana ahli2 kedai sharikat ini setia membeli barang2 di-kedai ini maka ia telah maju sampai-lah di-hari ini. Pada hari Sabtu yang lalu ahli sharikat ini telah mengambil keputusan dengan sa-bulat suara menderma sa-banyak $10 kapada Derma Perwira Berita Harian.” (Berita Harian, 6 March 1963, Page 9: | "Kedai sharikat yg untong $4,000 dari modal $900").

Peristiwa-peristiwa yang mungkin berkaitan:-

  • 03/03/1963: Sumbangan derma berikutan konfrontasi Indonesia-Malaysia 1963-1966: “Derma perwira kebangsaan yang di-lancharkan oleh akhbar2 penerbitan Straits Times bersama2 semua akhbar2 di-Malaya dan Singapura telah mendapat dorongan yang pesat hari ini manakala Sharikat Akhbar Straits Times (M) Berhad memberikan sumbangan $10,000. Jumlah sumbangan yang di-terima hari ini oleh akhbar2 Straits Times Berita Harian dan Malaya meningkat angka $10,693,00. Orang yang paling awal sekali menderma kapada Tabong kita ia-lah satu rombongan dari ahli2 sharikat kerjasama kampong Sungai Ramal Dalam, Kajang. Rombongan itu yang di-ketuai oleh Dato Dagang Othman bin Yamin, Ketua Kampong Sungai Ramal Dalam, telah datang sendiri ka-pejabat Berita Harian, untok menyampaikan derma $100 kapada Tabong Derma Perwira kita. Dato Dagang Othman memberitahu Berita Minggu hari ini: “Derma ini kami pungut daripada ahli2 sharikat kerjasama di-kampong kami untok menyahut seruan Perdana Menteri Persekutuan, Tengku Abdul Rahman. “Tanah ayer kita sekarang dalam anchaman dari pehak2 yang tidak mengingini terbentok-nya Malaysia.” Dato Dagang Othman berkata derma itu di-kumpulkan sa-chara kilat sa-telah tersiar berita bahawa pengarang2 dan penerbit2 akhbar negeri ini telah memutuskan untok melancharkan Derma Perwira itu. Beliau menegaskan: “Pendudok2 kampong kami terdiri dari orang2 yang berasal daripada Indonesia. “Tetapi kami tetap berdiri di-belakang Tengku Abdul Rahman untok mempertahan-kan tanah ayer kami walau pun ketitisan darah yang akhir”. Dato Dagang Othman berjanji akan berusaha mendapatkan lagi derma daripada orang ramai untok Tabong Derma Perwira.” (Berita Harian, 3 March 1963, Page 1: |"TABONG KITA-$10,693").
  • 22/09/1964: Perasmian pembukaan balai raya dan syarikat kerjasama di Kampung Sungai Ramal Dalam oleh Menteri Besar Selangor Datuk Harun Idris pada 22 September 1964 (Berita Harian, 24 September 1964, Page 3: |"MB Selangor ingatkan tentang kegiatan ajen2 Indonesia"). “Menteri Besar Selangor, Inche' Harun bin Haji Idris akan merasmikan dua projek pembangunan luar bandar di-Kampong Sungei Ramal Dalam di-daerah Ulu Langat pada 22 September. Projek2 itu ia-lah sa-buah kedai bekerjasama berharga $6,000 dan dewan masharakat berharga $5,000.” (Berita Harian, 5 September 1964, Page 2: |"MB rasmikan projek2 PLB"). “Selangor's Mentri Besar, Inche Harun bin Haji Idris, will open two rural development projects at Kampong Sungei Ramal Dalam, in Ulu Langat District on Sept. 22. The projects are a $6,000 co-operative shop and a $5,000 community centre.” (Straits Budget, 9 September 1964, Page 19: |"Opening of two rural projects").

1958: Surau dan Sekolah Agama

“Pada tahun 1958,asalnya merupakan sebuah surau yang digunakan berkongsi dengan penduduk Sg. Ramal Luar. Lokasi surau itu adalah bersebelahan dengan tapak masjid sekarang. Pada 1962, seorang penduduk mewakafkan tanah dan sebuah surau dibina khas untuk penduduk di sini. Pada tahun 1969, ianya dinaiktaraf kepada masjid.” (Portal Masjid Malaysia: |"MASJID AL - FALAH").

“Menurut YDP PIBG En. Kamsari Bin Haji Noor Sekolah Agama Sungai Ramal dibuka pada tahun 1958. Oleh kerana tidak kecukupan tempat pernah menggunakan Masjid Sungai Ramal sebagai tempat belajar pada 1963. Bangunan sekolah yang lengkap kini digunakan pada tahun 1986.” (Dr Shafie Abu Bakar, 19 November 2009: |"Khatam Qur`an Dan Hari Kecemerlangan").

1959: Warga Kampung

06/05/1959: “ARIFIN A. M. ZAIN, Sungai Ramal Dalam, Kajang, Selangor (16, badminton, bola sepak, membacha, surat menyurat, bertukar gambar).” (Berita Harian, 6 May 1959, Page 6: |"GAMBAR2 TA' DAPAT DI-SIARKAN KERANA RUANGAN INI TERLALU TERBATAS").

1961-08-29: Perlantikan Ketua Kampung

“Sa-ramai lima orang ketua kampong telah dilantek oleh kerajaan Selangor bagi beberapa kawasan Ulu Langat. Mereka itu ia-lah:- Inche' Halim Bin Sirap, bagi kampong Sungai Sekamat, Inche' Ali bin Bayon bagi kawasan batu 10 Cheras, Tuan Haji Mohd. Kasim bin Omar bagi kawasan Pulau Meranti Kajang, Inche Othman Bin Jamin Sungai Ramal Dalam dan Inche' Daros Bin Saidi bagi kawasan Sungai Ramal Luar.” (Berita Harian, 29 August 1961, Page 2: |"5 orang ketua2 kampong di-pileh").

1961-08-29: Gotong-Royong Pembinaan Jalan

“Sa-ramai 160 orang pendudok kampong Sungai Ramal Dalam telah bekerja bergotong royong membena sa-batang jalan sa-panjang sa-batu tiga suku pada hari Ahad 20 Aug. yang lalu. Pekerja2 itu di-ketuai oleh Pegawai Daerah Kajang, Inche' Othman Bin Mohd. Din dan juga ahli2 jawatankuasa pembangunan luar bandar termasok ahli Dewan Ra'ayat, ahli Dewan Negeri, penolong Pegawai Daerah dan juga Pegawai Penerangan Kajang di-bantu oleh sebilangan pemuda2 MCA Sungai Chua. Pekerjaan ini berjalan dengan lanchar-nya dan telah siap kira2 pukol empat petang. Chara bekerja bergotong royong ini akan di-adakan bergilir2 di-bawah ranchangan luar bandar untok memperbaiki keadaan penghidupan di-kampong2.” (Berita Harian, 29 August 1961, Page 2: |"PENDUDOK2 KAMPONG BERGOTONG ROYONG").

1962-01-09: Kemiskinan Warga

“Sa-orang penuntut form tiga di-High School Kajang mungkin tidak dapat melanjutkan pelajaran-nya tahun ini kerana ayah-nya miskin dan tidak mampu untok mengadakan wang membeli buku dan perbelanjaan sekolah. Penuntut itu, Abdul Rahman bin Jaafar, 16 tahun, tinggal di-Kampong Sungai Ramal Dalam, enam batu dari Kajang, menyatakan kapada Berita Harian bahawa dia tidak dapat hendak melanjutkan pelajaran-nya tahun ini kerana kesulitan wang. … Inche Jaafar bin Kasab, 55 tahun, ayah Abdul Rahman, menyatakan bahawa dia telah di-beri tahu oleh guru Abdul Rahman bahawa anak-nya telah lulus pepereksaan L.C.E. tahun ini mendapat grade 2 dengan markah terbaik sa-kali dari murid2 lain. Inche Jaafar bekerja sabagai buroh kasar di-estate dengan pendapatan $50 sa-bulan dan menanggong enam orang anak. Tiga daripada anak2-nya sedang bersekolah. Dia tidak mampu mengadakan wang sa-banyak $120 untok membeli buku2 dan perbelanjaan sekolah Abdul Rahman yang akan melanjut-kan pelajaran-nya ka-form IV, bila sekolah di-buka nanti. Tuan Haji Mohamed Zain bin Tamar, sa-orang ulama yang terkenal di-kampong ini, menerangkan bahawa Abdul Rahman ada-lah sa-orang budak yang rajin dan berkelakuan baik. Pada tiap2 hari dia pergi ka-sekolah menaikki basikal dan pada hari chuti dan hari minggu dia menolong ibu-nya menoreh getah. Beliau juga telah melancharkan kutipan derma di-kalangan pendudok2 kampong ini untok membantu Abdul Rahman membeli buku2 sekolah-nya. Tetapi kerana pendudok2 kampong ini terdiri dari keluarga yang miskin maka wang kutipan itu tidak chukup untok membeli buku2 Abdul Rahman.”

Abdul Rahman bin Jaafar

(Sumber: Alias Yunos @ Berita Harian, 9 January 1962, Page 4: |"Orang tua-nya ta' mampu").

1962-11-16: Pendalaman Sungai

Memandangkan permulaan pendalamannya di West Country Estate, kemungkinan sungai yang dimaksudkan ialah Sungai Ramal, yang merentasi Kampung Sungai Ramal Dalam: “Jabatan Tali Ayer Daerah Kajang, telah mendalamkan sa-batang sungai sa-jauh empat batu dari sempadan daerah Beranang Ulu Negeri Sembilan sampai ka-jalan raya Beranang Selangor, untok menchegah bahaya banjir yang selalu menimpa sa-luas 500 ekar tanah sawah di-daerah ini. Pengerusi Pembangunan Luar Bandar Daerah Kajang, Inche' Othman bin Mohd Din menyatakan bahawa Jabatan Tali Ayer daerah ini telah berusaha mendalamkan sungai ini dengan menggunakan kapal korek sa-lama sa-tahun. Inche' Othman berkata: Dengan berjaya-nya usaha mendalamkan sungai ini dapat-lah di-chegah bahaya banjir yang selalu mengancham sawah2 di-kawasan ini. Beliau juga menerangkan bahawa usaha lain untok mendalamkan sa-batang sungai lagi untok menchegah bahaya banjir yang selalu mengancham pendudok2 kampong Sungai Ramal Kajang telah pun mula di-kerjakan. Sungai ini sa-jauh empat batu setengah dan telah mula di-gali dari West Countery Estate. Usaha ini di-jangka akan dapat menyelamatkan sa-ramai 200 keluarga yang di-timpa banjir pada tiap2 tahun.” (Berita Harian, 16 November 1962, Page 6: |"Dalamkan sungai utk jauhi banjir").

1963-01-12: Institut Wanita

“The District Officer, Ulu Langat, Inche Mohamed Osman bin Mohamed Din, yesterday opened a Women's Institute Centre at Kampong Sungei Ramal Dalam. The building was constructed under the gotong royong (self help) system with materials costing $300 supplied by the district rural development committee.” (Straits Budget, 23 January 1963, Page 6: |"Village gets new WI centre").

1963-03-01: Kemarau

Kemarau telah melanda seluruh daerah Kajang selama beberapa bulan pada tahun 1963. Oleh kerana ketiadaan paip air, bekalan air terpaksa dihantar setiap hari kepada warga Kampung Sungai Ramal Dalam. Laporan-laporan akhbar yang berkaitan:

01/03/1963: Kemarau telah 2 minggu berlangsung: “Sa-banyak 1,000 gelen ayer telah di-hantar pada hari raya ini ka-kampong Sungai Ramal Dalam Kajang, untok mengatasi kekurangan ayer di-kampong itu akibat musim kemarau yang menimpa di-daerah Ulu Langat dan Kajang sa-lama sa-bulan. Pegawai Daerah Kajang, Inche' Othman bin Mohd. Din, menyatakan kapada Berita Harian bahawa Majlis Bandaran daerah in terpaksa menghantar ayer pada tiap2 hari ka-kampong ini untok memberi bantuan kapada 95 keluarga yang keputusan ayer minum semenjak dua minggu yang lalu. Inche' Othman juga menerangkan sunggoh pun daerah ini selalu juga ditimpa kemarau tetapi pendudok2 kampong belum pernah mengalami keputusan ayer lagi untok keperluan hari2. Ini-lah kali pertama Majlis Bandaran menghantar bekalan ayer minum ka-kampong2 daerah ini akibat panas terek yang mengeringkan semua ayer perigi. Sementara itu kira2 3,000 orang pendudok daerah Ulu Langat dan Kajang terpaksa menggunakan ayer sungai untok mandi dan menchuchi pakaian akibat kekurangan ayer. Mereka terpaksa menjimat-kan ayer perigi untok di-buat ayer minum di-sepanjang bulan puasa ini.” (Berita Harian, 1 March 1963, Page 6: |"1,000 gelen ayer utk membantu mangsa2 kemarau").

06/03/1963: Perasmian pusat perbekalan air di Cheras: “Kerajaan Negeri Selangor akan meluaskan lagi ranchangan2 mendirikan pusat2 perbekalan ayer untok memenuhi keperluan penduduk2 dalam daerah2 yang sa-lama ini belum mendapat perbekalan ayer. Demikian di-tegaskan oleh Menteri Besar, Dato Abu Bakar Baginda, dalam upachara merasmikan pusat perbekalan ayer di-Cheras hari ini. Perbekalan ayer Cheras itu akan memenuhi keperluan penduduk2 bandar Kajang dan daerah2 kampong sekitar-nya serta kampong2 baharu termasok Cheras, Serdang Baharu, Belakong, Sungai Chua dan Sungai Ramal yang bertahun2 lama-nya menderita kekurangan ayer.” (Berita Harian, 6 March 1963, Page 2: |"Sultan merasmikan sa-buah lagi pusat bekalan ayer").

12/04/1963: Bulan ke-2 kemarau: “Sa-banyak 1,000 gelen ayer minum telah di-hantar oleh Pejabat Daerah Kajang ka-kampong Sungai Ramal Dalam untok menolong orang2 kampong yang sedang kekurangan ayer, akibat kemarau yang menimpa daerah ini sa-lama dua bulan. Dato' Dagang Othman juga menerangkan ini-lah kali yang pertama-nya kemarau yang paling burok sekali menimpa daerah ini semenjak 18 tahun yang lalu. Dengan ada-nya pertolongan ayer minum dari-pada pejabat daerah Kajang dapat-lah mengatasi kekurangan ayer minum kepada sa-ramai 120 keluarga di-kampong ini yang selalu-nya menggunakan ayer perigi untok ayer minum. Sementara itu sa-ramai 300 keluarga daerah Kajang telah mendapat perbekalan air paip yang baharu sahaja di-pasang oleh Jabatan Kerja Raya daerah Ulu Langat untok mengatasi kekurangan ayer di-daerah ini.” (Berita Harian, 12 April 1963, Page 7: |"Paling burok semenjak 18 tahun").

09/05/1963: Kemarau diakhiri hujan lebat sehingga banjir, namun perigi masih kering: “Hujan telah turun dengan lebat-nya pada hari Raya Haji ini di-daerah Kajang, tetapi perbekalan ayer sa-banyak 1,000 gelen sa-hari untok membantu pendudok2 kampong Sungai Ramal Dalam tetap di-teruskan. Dato' Dagang Othman bin Jamin ketua kampong Sungai Ramal Dalam Kajang telah menyatakan ka-pada Berita Harian bahawa sa-ramai 120 keluarga di-kampong ini telah menderita kekurangan ayer akibat kemarau sa-lama tiga bulan di-daerah ini. Untok mengatasi kekurangan ayer itu pendudok kampong ini telah menerima bekalan ayer sa-banyak 1,000 gelen sa-hari daripada Majlis Bandaran Kajang. Dato' Dagang Othman juga menerangkan bahawa semenjak di-timpa kemarau pada tiga bulan yang lalu pada Hari Raya Haji baharu2 ini hujan telah turun dengan lebat-nya di-daerah ini tetapi perigi2 di-kampong ini tidak juga berayer. Menurut Dato' Dagang Othman lagi bahawa semenjak 12 tahun yang lalu ini-lah kemarau yang paling lama sekali telah menimpa di-kampong ini. Dengan kerana kemarau itu terlalu lama ramai pendudok2 kampong ini telah menggunakan ayer sungai yang jauh-nya kira2 sa-batu dari kampong ini untok menchuchi pakaian dan mandi.” (Berita Harian, 9 May 1963, Page 7: |"PERBEKALAN AYER 1,000 GELEN BERJALAN TERUS").

13/05/1963: Projek pemasangan paip air: “Tiga buah kampong di-daerah Kajang bagi kali pertama telah banjir oleh hujan lebat kira2 empat jam, pada petang Thalatha yang lalu, semenjak daerah ini di-timpa kemarau tiga bulan yang lalu. Hujan itu telah membanjiri kampong Sungai Sekamat, kampong batu 14 Kajang dan kampong Sungai Ramal Luar sa-dalam kira2 satu kaki. Pegawai Tali Ayer daerah Kajang menyatakan kapada Berita Harian semenjak kemarau kira2 tiga bulan yang lalu semua parit2 dan tali ayer telah kering dan pendudok2 di-sini tersangat sukar mendapat ayer. Sementara itu sa-ramai 120 keluarga telah mendapat bekalan ayer paip yang telah di-pasang di-rumah2 mereka untok mengatasi kekurangan bekalan ayer daerah ini. Ahli Dewan Negeri Selangor Daerah Kajang, Inche' Mustaffa bin Yunos, menyatakan kepada Berita Harian bahawa perbekalan ayer itu, ia-lah untok menunaikan permintaan pendudok2 kampong itu sendiri. Inche' Mustaffa juga menerangkan dengan kerana sa-buah pusat perbekalan ayer telah siap di-bena di-Batu 11 Cheras, perbekalan ayer dapat di-berikan kapada pendudok2 kampong daerah Cheras, Kajang, Balakong, Serdang dan Sungai Besi. Menurut Inche' Mustaffa lagi untok kemudahan pendudok2 kampong yang tidak berkemampuan untok memasoki paip ayer ka-rumah2 mereka, kerajaan telah memasang sa-banyak tujoh buah paip besar di-tepi jalan raya. Kerja2 memasang paip di-semua rumah2 kampong daerah ini sedang di-terus-kan dan dalam sedikit masa lagi semua pendudok2 kampong daerah ini tidak menggunakan ayer perigi lagi.” (Berita Harian, 13 May 1963, Page 6: |"Hujan lebat di-Kajang 120 keluarga dapat paip").

31/05/1963: Paip air masih dalam pemasangan: “Ranchangan memberi bekalan ayer paip ka-kampong Sungai Ramal Dalam, sa-buah kampong yang selalu di-timpa kemarau bila musim panas, sedang di-selenggarakan sekarang ini. Pengerusi Pembangunan Luar Bandar Daerah Kajang, Inche' Othman bin Mohd Din, telah memberitahu ahli2 jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar daerah ini pada minggu yang lalu, bahawa bekalan ayer paip ka-kampong2 daerah ini sedang di usahakan. Salah satu kampong yang di-beri bekalan ayer itu ia-lah Kampong Sungai Ramal Dalam yang telah terpaksa di-beri perbekalan ayer minum sa-banyak 1,000 gelen sa-hari oleh Majlis Bandaran Kajang di-sepanjang musim kemarau yang telah menimpa daerah ini sa-lama tiga bulan. Inche' Othman juga menerangan bahawa pada masa ini kira2 sa-ramai 400 keluarga yang tinggal di-daerah Kajang telah pun menerima bekalan ayer paip di-rumah2 mereka dan bagi pendudok2 yang tidak mampu telah di-sediakan paip besar di-tepi2 jalan raya. Untok memberi bekalan ayer paip kapada semua pendudok2 kampong yang jaoh dari jalan raya, Jabatan Kerja Raya daerah ini sedang memasang saloran paip besar untok menghubongkan berbekalan ayer dari kampong yang berhampiran dengan jalan raya ka-kampong2 yang terpenchil. Menurut Inche' Othman lagi usaha ini di-jangka akan siap pada penghujong tahun ini.” (Berita Harian, 31 May 1963, Page 7: |"Bekalan ayer untok Sungai Ramal Dalam").

1964-05-27: Perasmian Sekolah

Sekolah Umum Sungai Ramal Dalam ditubuhkan pada 6 Januari 1960 sebagai cawangan kepada Sekolah Umum Sungai Ramal Luar: “SK Sungai Ramal Dalam telah ditubuhkan pada tanggal 6 Januari 1960. Nama asalnya ialah Sekolah Umum Sungai Ramal Dalam yang menumpang di tapak Masjid Kariah Kampung Sungai Ramal Dalam. Sekolah ini dibuka atas desakan ibu bapa dan masyarakat setempat untuk mewujudkan satu institusi pendidikan di kampung ini. Sekolah Umum Sungai Ramal Dalam merupakan cawangan Sekolah Umum Sungai Ramal Luar. Kedua-dua sekolah ini berada di bawah pentadbiran Guru Besar, Encik Musa bin Katib Marajo. Antara tenaga pengajar terawal yang mengajar pada ketika itu ialah Encik Dahlan bin Haji Sharif dan Encik Arshad bin Rajali. Bilangan murid adalah seramai 44 orang, iaitu 23 orang darjah 1 dan 21 orang dalam Darjah 2.” (sitiajey @ anyflip, 2022: |"Buku Pengurusan Sekolah 2022 - SK SG RAMAL DALAM", “Sejarah Sekolah”, m.s.21).

Pada tahun 1963, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor telah membiayai pembinaan bangunan baru sekolah ini:-

  • “Sementara itu Jabatan Pelajaran Negeri Selangor telah meluluskan peruntokan wang sa-banyak $270,000 untok membena empat buah sekolah kebangsaan di-daerah ini. ekolah itu akan di-bena di-Sungai Merab Kajang, Sungai Ramal Kajang, Sungai Tekali Ulu Langat dan di-Sungai Lui Ulu Langat. Pembenaan-nya di-jangka akan di-mulai pada bulan April ini.” (Berita Harian, 16 March 1963, Page 6: |"$1 juta untok sekolah2 baharu").
  • “Kerajaan Negeri Selangor telah menguntok-kan wang sa-banyak $270,000 untok membena empat buah sekolah kebangsaan, di-daerah Ulu Langat dan Kajang, dalam tahun 1963 ini. Pegawai Pelajaran Negeri, Tuan B.H.G. Adam, menyatakan kepada Berita Harian hari ini bahawa dua di-antara sekolah itu akan di-dirikan dalam kampong2 baharu, yang di-bena di-bawah ranchangan Pembangunan Luar Bandar. Kampong2 itu terletak di-Sungai Merab, Kajang dan Kampong Sungai Tekali, Ulu Langat. Tuan Adam menegaskan bahawa ini-lah kali pertama Kerajaan Selangor memberikan peruntokan membena sekolah dalam kawasan ranchangan Pembangunan Luar Bandar. Dua buah sekolah yang lain itu akan di-bena dalam kampong Sungai Ramal di-Kajang dan Kampong Sungai Lui, Ulu Langat. Oleh beliau di-jelaskan bahawa pembenaan sekolah kebangsaan Sungai Ramal dan Sungai Tekali sedang giat di-jalankan, manakala pembenaan sekolah di-Sungei Merab dan Sungai Lui akan di-bena pada bulan May hadapan. … - Kajang, Khamis” (Berita Harian, 19 April 1963, Page 6: |"Sekolah di-kampong2 baru").
  • “Kerajaan Negeri Selangor telah membena empat buah sekolah di-daerah Ulu Langat dan Kajang dan akan di-buka pada bulan January tahun 1964. Pegawai Pelajaran Negeri Selangor Tuan Tan See Chay memberi tahu Berita Harian bahawa sekolah itu ia-lah sekolah menengah Melayu Kajang, sekolah lanjutan di-Jalan Hale Kajang, sekolah kebangsaan Sungai Ramal Dalam dan sekolah kebangsaan Sungai Lui Ulu Langat. Tuan Tan See Chay juga menerangkan bahawa sekolah menengah Melayu ini menelan perbelanjaan sa-banyak $345,00 yang boleh memberi kemudahan sa-ramai 600 orang pelajar, lengkap dengan bilek sain, sa-buah dewan perjumpaan dan dua buah bilek pertukangan. Menurut Tuan Tan lagi terbena-nya sekolah menengah Melayu ini dapat mengatasi kesulitan2 ibu bapa di-daerah ini yang tidak terpaksa lagi menghantar anak2 mereka melanjutkan pelajaran form lima di-Kuala Lumpur. Di-samping itu kerajaan Negeri Selangor telah membena dua buah sekolah kebangsaan di-dalam Kampong Kemajuan Tanah di-Sungai Tekali Ulu Langat dan Sungai Merab Kajang. Kedua2 sekolah ini akan siap pada bulan April pada tahun 1964.” (Berita Harian, 29 November 1963, Page 2: |"Selangor dirikan 4 sekolah Kebangsaan").

Bangunan baru sekolah siap dibina pada tahun 1964, dan dirasmikan pada 27 Mei 1964: “Sa-ramai 100 keluarga pendudok Sungai Ramal Kajang telah membuat tiga rayuan kapada Menteri Besar Selangor Inche' Harun bin Haji Idris untok mendapatkan kemudahan2 dari Pembangunan Luar Bandar. Rayuan ini telah di-sampaikan oleh wakil kampong ini Tuan Haji Mohd. Zin bin Tamar ketika Menteri Besar Selangor itu merasmikan Sekolah Kebangsaan Sungai Ramal Dalam yang di-bena dengan harga sa-banyak $50,000 pada hari Thalatha 27 May baharu2 ini. Tuan Haji Mohd Zin telah merayu kapada Menteri Besar supaya kerajaan dapat membena sa-buah masjid, sa-batang jalan raya sa-jauh sa-batu dan memasokkan lampu elekterik di-kampong ini. Menurut keterangan yang di-berikan oleh Tuan Haji Mohd Zin bahawa kampong ini ada mempunyai sa-ramai 100 kelamin pendudok yang sukar hendak menunaikan sembahyang Juma'at kerana surau yang ada sekarang terlalu sempit. Untok memberikan kemudahan2 kapada orang2 kampong ini beliau berharap Kerajaan Selangor dapat mendirikan sa-buah masjid dari Ranchangan Pengbangunan Luar Bandar, saperti yang telah didapati oleh pendudok2 kampong yang lain di-daerah ini. Tuan Haji Mohd Zin juga telah menerangkan kapada Inche' Harun Haji Idris tentang kesukaran kanak2 sekolah di-kampong ini kerana jalan yang ada ka-kampong ini tersangat burok dan lekak lekok. Menurut Tuan Haji Mohd Zin lagi oleh kerana jalan rosak maka bus yang membawa budak2 sekolah tidak dapat masok ka-kampong ini. Kanak2 sekolah terpaksa menonggang basikal untok pergi ka-sekolah. Pendudok2 kampong ini juga telah meminta bekalan lampu letrik di-sambong ka-kampong ini.” (Berita Harian, 30 May 1964, Page 8: |"PENDUDOK SG. RAMAL DALAM MERAYU KPD MB").

Pada 1 September 1967, pentadbirannya dipisahkan dari SK Sungai Ramal Luar: “Kemudian sekolah ini dinamakan SK Sungai Ramal Dalam. Pada 1 September 1967 sekolah ini ditadbir oleh Guru Besar baru, iaitu Encik Razali bin Sharif. Mulai dari tarikh itu, sekolah ini dipisahkan dari SK Sungai Ramal Luar dan mempunyai pentadbirnya sendiri.” (sitiajey @ anyflip, 2022: |"Buku Pengurusan Sekolah 2022 - SK SG RAMAL DALAM", “Sejarah Sekolah”, m.s.21).

SK Sungai Ramal Dalam, kini
SK Sungai Ramal Dalam, kini (Kampung Sungai Ramal Dalam @ Youtube, 1 Jan 2017: "PROJEK LAMAN SESAWANG KG. SG. RAMAL DALAM, KAJANG").

1964-09-30: Tanah Perumahan

85 keluarga bakal diberi tanah perumahan di Kampung Sungai Ramal: “Pejabat daerah Ulu Langat telah memberi tanah perumahan kapada sa-ramai 10 keluarga pendudok mukim Dingkil untok di-jadikan tempat tinggal bagi orang2 yang tidak bertanah di-mukim ini. Pegawai Daerah Ulu Langat Inche Harun bin Mahmood memberi tahu Berita Harian bahawa kira2 sa-ramai 300 pemohon2 yang meminta tanah perumahan ini sa-ramai 100 orang sahaja telah di-luluskan dalam temu duga oleh lembaga tanah di-daerah ini kerana orang2 ini tidak mempunyai tanah langsong untok tempat tinggal. Tiap2 satu keluarga telah di-beri sa-luas sa-tengah ekar tanah untok di-jadikan tapak perumahan dan untok berchuchok tanam. Inche Harun juga menerangkan sa-ramai 50 keluarga telah di-tempatkan di-Kampong Jenderam Hulu dan sa-ramai 50 keluarga lagi akan di-tempatkan di-kampong Jenderam Hilir. Pejabat Daerah Ulu Langat juga akan memberi kapada sa-ramai 85 keluarga tanah perumahan kapada pendudok kampong Sungai Ramal Kajang. Tanah2 perumahan ini di-jangka akan di-beri kapada pendudok pada bulan December ini temu duga kapada pemohon2 sedang di-jalankan sekarang ini.” (Berita Harian, 30 September 1964, Page 9: |"Pendudok2 mukim Dingkil dapat tanah").

Bekas-bekas pasukan keselamatan di sekitarnya memohon agar sebahagiannya diperuntukkan untuk mereka: “Bekas2 Pasokan Keselamatan daerah Ulu Langat dan Kajang yang terdiri dari bekas2 tentera, polis biasa dan polis khas akan membuat rayuan kapada Pengerusi Pembangunan Luar Bandar daerah Ulu Langat supaya memberi sa-banyak 25 peratus tanah2 pinggir, tanah2 TOL dan tanah2 perumahan kapada bekas2 pasokan keselamatan daerah ini. Juruchakap Bekas2 Pasokan Keselamatan daerah ini Inche' Alias bin Haji Mod Yunus memberi tahu Berita Harian bahawa sekarang ini banyak tanah2 pinggir tanah2 perumahan dan tanah2 perumahan dan tanah2 TOL di-beri kapada korang ramai daerah ini. Sunggoh pun tanah pinggir, tanah TOL dan tanah perumahan itu di-beri kapada orang ramai melalui Ranchangan Pembangunan Luar Bandar tetapi tidak ada sa-orang pun bekas2 pasokan keselamatan mendapat kemudahan itu. Inche' Alias juga menerangkan sekarang ini ada sa-ramai 800 orang bekas2 pasokan keselamatan yang tingal di-daerah ini yang berharap2kan sangat untok mendapat kemudahan pembangunan luar bandar. Ka-banyakkan bekas2 pasokan keselamatan itu bekerja sa-bagai buroh Majlis Tempatan, buroh Jabatan Kerja Raya dan penoreh getah dengan pendapatan sa-banyak $3.00 sa-hari. … Menurut Inche' Alias lagi baharu2 ini Pembangunan Luar Bandar daerah Ulu Langat ada meranchangkan hendak memberi tanah perumahan kepada pendudok2 mukim Jenderam dan Sungai Ramal Kajang.” (Berita Harian, 16 November 1964, Page 12: |"BEKAS AHLI2 PASOKAN KESELAMATAN MERAYU KERAJAAN").

“Sa-ramai 800 orang bekas2 pasokan keselamatan daerah Ulu Langat yang terdiri dari bekas2 tentera, polis dan polis khas akan membuat surat rayuan kapada Menteri Besar Selangor Dato' Harun bin Haji Idris untok memberi tanah perumahan kepada bekas2 pasokan keselamatan daerah ini. Inche' Saad bin Wan bekas sa-orang Sgt Polis bersara memberi tahu Berita Harian bahawa sebab-nya bekas2 pasokan keselamatan daerah ini hendak membuat rayuan kapada Menteri Besar kerana banyak bekas2 pasokan keselamatan tidak mempunyai tanah tempat tinggal di-daerah ini. … Baharu2 ini Pejabat Daerah Ulu Langat telah memberi tanah perumahan kapada pendudok2 kawasan di-Jenderam, dan Sungai Ramal Luar, Kajang. Tetapi tidak sa-orang pun bekas2 pasokan keselamatan di-beri peluang untok mendapatkan tanah perumahan ini. Menurut Inche' Saad lagi sekarang ini di-daerah Ulu Langat banyak tanah2 kosong maseh belom di-kerja-kan.” (Berita Harian, 16 January 1965, Page 8: |"Bekas anggota2 pasokan keselamatan merayu minta tanah").

1966-09-30: Petempatan Warga Sungai Tangkas

“Pejabat Daerah Ulu Langat telah membena enam buah rumah di-kawasan Sungai Ramal untok menempatkan sa-ramai enam keluarga yang di-perentahkan pindah oleh mahkamah kerana mendudoki tanah orang lain. Keluarga yang akan di-pindahkan itu ia-lah Che'Siram binti Malombongso, berumor 60 tahun, Che' Sinah bin Tambi, berumor 48 tahun, Inche' Rafit bin Arsad, 50 tahun, Inche' Ali bin Marjan, 50 tahun, Inche' Sinong bin Haji Karim, 55 tahun dan Inche' Marzuki bin Janah, 46 tahun. Mereka telah mendudoki tanah itu kepunyaan Sungai Tangkas Estet sejak tahun 1921 ketika mereka menjadi buroh di-estet itu. Pada tahun 1959, tanah itu telah di-jual kapada sa-orang guru sekolah bangsa India. Pada masa tanah ini di-jual mereka di-benar-kan mendudoki tanah itu dengan membayar sewa $5 sa-tahun sampai awal tahun 1965. Keluarga itu telah di-perentahkan oleh mahkamah pada 20 July 65 supaya meninggalkan tanah itu. Keluarga ini telah merayu kapada Raja Nong Chik bin Raja Ishak Ahli Dewan Negeri Selangor kawasan Dingkil supaya Menteri Besar Selangor Dato' Harun Haji Idris memberi mereka tanah dan rumah murah. Keluarga2 itu telah di-benarkan oleh Menteri Besar Selangor mendudoki tanah itu hingga mereka dapat tempat kediaman baharu. Raja Nong Chik menerangkan keenam2 keluarga ini telah di-beri tanah di-kawasan Sungai Ramal dan rumah murah di-bayar dengan chara beransor2. Rumah2 itu sedang dibena sekarang ini di-jangka akan siap pada penghujong bulan hadapan.” (Berita Harian, 30 September 1966, Page 2: |"RUMAH UTK 6 KELUARGA YG DI-USIR").

1967-11-14: Tiada Aktiviti Penerokaan

”… di-tempat ini tidak ada tanah kerajaan yang boleh di-teroka, hanya yang tinggal tanah tapak perumahan sahaja.” (Ahli UMNO Sungai Ramal @ Berita Harian, 14 November 1967, Page 7: |"Peneroka2 tanah haram di-Sungai Ramal? Tak benar").

1968-01-04: Keadaan Bekalan Elektrik

Ketika ini, salah seorang penduduk kampung yang berperanan penting dalam aduan isu-isu pentadbiran kampung ialah En. Mohd Sham. Pernyataan serta tulisan beliau berkaitan hal-hal kampungnya telah disiarkan beberapa kali di akhbar.

“Sa-masa pilehan raya tahun 1959 yang lalu dalam kempen pilehan Raya-nya Dato Abu Bakar Baginda Bekas Menteri Besar Selangor telah berjanji akan membekalkan api letrik kapada kami pendudok Kampong Sungai Ramal Dalam Kajang Selangor. Kemudian munchul pula sa-orang lagi tokoh politik yang bertanding dalam Pilehan Raya Federal Tuan Lee Siok Yew, Menteri Muda Pelajaran yang bertanding dalam Pilehan Raya Tahun 1964 yang lalu pun telah memberikan janji yang sama saperti Dato Abu Bakar Baginda. Tetapi kini Pilehan Raya tahun 1969 akan menjelang tidak lama lagi namun janji yang di-buat oleh kedua orang tokoh politik itu belum lagi di-tunaikan-nya dan sa-hingga kini kami menunggu saperti buah yang tidak akan gugor, dan telah hampir 10 tahun janji itu berubah dari sa-orang tokoh kapada sa-orang tokoh untok menarek undian tapi tidak juga di-tunaikan. Mungkin dalam Pilehan Raya Tahun 1969 ini nanti akan munchul juga sa-orang tokoh politik yang akan memberikan janji yang sama dengan kedua orang tokoh itu juga untok menarek undian kapada-nya. Oleh yang demikian sa-bagai sa-orang yang telah memberikan dua kali undi kapada dua orang tokoh itu sa-hinggakan kedua-nya telah menjadi Menteri ingin-lah kami menuntut janji manis yang di-buat-nya itu agar dapat di-tunai-kan dan memberikan kami pendudok Sungei Ramal Dalam ini api elektrik kerana kampong Sungei Ramal Luar yang hanya 100 ela sahaja dari kampong ini telah bertahun2 mendapat bekalan api letrik itu. Jangan-lah mudah berjanji sahaja jikalau tidak dapat menunaikan janji itu kerana dengan undian kami yang saramai 600 orang ahli UMNO Kampong ini-lah yang telah menaikkan kedua orang tokoh itu. Jikalau di-bandingkan dengan Kampong yang lain kampong Sungei Ramal Dalam-lah yang paling ramai sa-kali pendudok-nya sedangkan Kampong Sungei Ramal Luar yang pendudok-nya tidak pun sampai 200 orang telah mendapat bekalan itu.” (M. Sham @ Berita Harian, 4 January 1968, Page 8: |"Jangan suka berjanji jika tidak mahu di-tepati").

“Perkara Menteri Muda Pelajaran Tuan Lee Siok Yew di-beritakan berjanji pada tahun 1964 untok mendapatkan bekalan api eletrik kapada pendudok2 kampong Sungai Ramal Dalam telah di-timbulkan hari ini. Sa-orang ahli jawatankuasa Lembaga Kemajuan kampong itu Inche Mohd Sham berkata hari ini: “Tuan Lee pernah berkata dalam rapat umum di-Balai Raya Sungai Ramal Dalam dalam pilehan raya tahun 1964 bahawa dia akan berusaha untok men-dapatkan bekelan api eletrik di-sini.” “Kerana terlalu sebok dengan urusan ra'ayat dan Kerajaan mungkin Menteri Muda itu telah lupa dengan janji2 itu.” (Berita Harian, 11 January 1968, Page 7: |"Lee berjanji empat tahun dulu untok ikhtiar bekalan api").

1968-01-11: Keadaan Sekolah

“Kata Inche Sham lagi, “Enam bulan lalu jawatankuasa kami telah mengambil keputusan2 yang kemudian di-hantar terus kapada Tuan Lee dengan maksud mendapat layanan segera.” Antara keputusan2 meshuarat itu ia-lah mendesak Kerajaan supaya segera menggantikan sekolah Kebangsaan Sungai Ramal Dalam yang telah uzor. Sekolah itu yang di-bena oleh pendudok di-kampong itu sendiri mempunyai enam bilek darjah. Jawatankuasa itu minta wakil2 ra'ayat sentiasa mengadakan lawatan bulanan ka-kawasan2 pilehan raya-nya untok menerima pengaduan2 dari orang ramai.” (Berita Harian, 11 January 1968, Page 7: |"Lee berjanji empat tahun dulu untok ikhtiar bekalan api").

Kemungkinan perancangan pembinaan sekolah ini: Arkib Negara 1992/0004033W: JABATAN KERJA RAYA ULU LANGAT, SELANGOR, 25/11/1968: |"PEMBENAAN SEKOLAH KEBANGSAAN DI-SUNGEI RAMAL, ULU LANGAT $6000/").

1968-01-30: Rancangan Rumah Murah

“Kerajaan Selangor akan membena empat ranchangan rumah murah menelan belanja $600,000 di-daerah ini tidak lama lagi untok di-jual kapada pendudok2 yang tidak mempunyai rumah. Demikian di-nyatakan oleh Menteri Besar, Dato Harun Idris, ketika beruchap dalam perjumpaan hari raya anjoran pendudok2 Daerah Ulu Langat di-Bangunan UMNO di-sini, petang ini. Ranchangan2 tersebut akan di-bena di-Semenyeh, Sungai Ramal, Sungai Chuah dan di-Batu 18 Kajang. “Tapak2 untok ranchangan tersebut telah pun di-perolehi dan pembenaan-nya akan di-mulakan sa-baik2 peruntokan-nya di-luluskan,” kata Dato Harun. Dato Harun berkata, ranchangan2 tersebut akan di-laksanakan di-bawah ranchangan pembenaan rumah sa-chara kilat. Beliau memberitahu bahawa 40 ekar tanah di-Sungai Kantan di-sini sedang di-timbangkan untok di-berikan kapada pendudok2 di-daerah itu.” (Berita Harian, 30 January 1968, Page 7: |"4 ranchangan rumah murah").

1969-03-20: Paip Air Tidak Mencukupi

“Kementerian Pembangunan Luar Bandar menerusi Lembaga Kemajuan Luar Bandar Daerah Ulu Langat telah membekalkan ayer paip ka-Kampong Sungai Ramal Dalam mulai tahun 1966 sa-telah pendudok2 kampong tersebut memohon melalui wakil ra'ayat kawasan Sepang, Raja Nong Chik bin Ishak. Pendudok kampong Sungai Ramal yang berjumlah tujoh ribu orang itu merasa shukor kerana kerajaan bermurah hati membekalkan ayer tersebut. Sa-belum ada ayer paip itu pendudok2 kampong hanya menggunakan sa-batang anak sungai untok mengambil ayer bagi segala kegunaan. Sayang-nya kerajaan hanya mendirikan beberapa batang sahaja paip untok pendudok yang bagitu ramai. Sa-tiap petang kita melihat orang ramai berkerumun di-paip2 ini untok mengambil ayer atau mandi. Ini mengingatkan saya kapada pemerentahan Jepun di-mana orang ramai berator mengambil chatuan. Kadang2 sampai pukul tujoh malam paip2 itu belum juga lagi dapat di-gunakan oleh orang lelaki kerana orang perempuan menggunakan-nya untok keperluan masak-memasak. Satu daripada sebab2 mengapa paip itu penoh sesak sa-tiap hari ia-lah keengganan kerajaan membenarkan orang kampong memasokkan ayer ka-rumah mereka. Kerajaan hanya membenarkan orang ramai menggunakan tujoh batang paip yang di-khas-kan untok kegunaan tujoh ribu orang. Akibat-nya paip2 ini selalu sahaja rosak kerana di-gunakan tidak ber-henti2. Telah beberapa kali orang ramai merayu supaya mereka di-benar-kan memasokkan paip ka-dalam rumah tetapi jawapan yang mereka terima ia-lah bekalan ayer belum menchukopi. Pejabat Bekalan Ayer Ulu Langat juga berjanji akan membenarkan orang kampong memasokkan ayer ka-rumah mereka bila kolam ayer di-Batu II Cheras, siap. Tetapi kolam itu telah pun siap pada tahun 1967. Hingga sekarang pendudok2 kampong Sungai Ramal Dalam belum lagi mendapat kebenaran dari pejabat yang berkenaan. Kami harap Kementerian yang berkenaan dapat membenarkan orang kampong memasokkan ayer kerana bekalan ayer di-daerah Ulu Langat ini telah lebeh dari menchukopi.” (M. Sham @ Berita Harian, 20 March 1969, Page 8: |"Pendudok Sungai Ramal Dalam mahu kebenaran masokkan paip").

1969-03-11: Perasmian Jalan Raya

“Jalan raya pertama di kampong Sungai Ramal Dalam siap dibina pada tahun 1967 dengan belanja sebanyak RM45 ribu. Jalan sepanjang 1.6 kilometer itu menjadi laluan utama di kampong berkenaan yang mempunyai penduduk seramai 2000 orang pada ketika itu. Jalan ini telah dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Dato Harun Idris pada 11 Mac 1969. Projek jalan raya ini merupakan salah satu dari empat projek dibawah Rancangan Luar BandarDaerah Hulu Langat. Tiga projek lain dibawah rancangan yang sama turut dibina di Kampung ini, iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Ramal Dalam (kos RM85 ribu), Masjid Sungai Ramal Dalam ( kos RM20 ribu) dan sebuah Balairaya (Kos RM5 ribu).

Sumber: Sa-ribu nasi bungkus utk jamuan buka jalan raya ( 1969, mac 10 ), Berita Harian, p.4 Sham, M. (1968, May 9). Harun diminta membuka jalanraya di kampong. Berita Harian, p. 8.”

(Sumber: Harith Faruqi Sidek @ Kitab Tawarikh 2.0, 11 Oktober 2015: |"Jalan raya pertama di Kampung Sungai Ramal Dalam").

Sumber Akhbar:-

  • “Telah satu tahun lama-nya surat demi surat telah di-hantarkan kapada Dato Harun Idris, Menteri Besar Selangor, bagi membuka dengan rasmi-nya jalan 6 kaki Kampong Sungei Ramal Dalam, Kajang, Selangor yang telah siap pada tahun 1967 yang lalu. Jalan in menelan belanja lebeh kurang $45,000 di-bawah Ranchangan Luar Bandar Daerah Ulu Langat, Kajang, Selangor: Panjang-nya jalan ini kira2 1 batu sahaja yang akan memberikan faedah kapada Pendudok Kampong Sungei Ramal Dalam yang berjumlah kira2 2,000 orang itu. Dengan sudah-nya jalan ini pada tahun 1967 yang lalu, Kampong Sungei Ramal Dalam telah mendapat 3 buah Ranchangan Pembangunan Luar Bandar. Yang pertama-nya ialah Sekolah Kebangsaan Sungei Ramal Dalam yang menelan Belanja kira2 $85,000. Ini telah di-resmikan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Dato Abu Bakar Baginda dalam tahun 1964 yang lalu dan yang kedua-nya pula Masjid yang menelan belanja kira2 $20,000. Projek ini sedang di-jalankan masa sekarang dan ada kemungkinan akan siap dalam bulan Julai yang akan datang. Surat yang pertama di-kirimkan dalam bulan Julai 1967 kapada Dato Harun untok melakukan upachara meresmikan jalan itu hanya berjawab dalam bulan Oktober kira2 3 bulan dari tarikh pengiriman-nya, dan menerusi Setiausaha Sulit-nya Dato Harun menyatakan bahawa tidak ada langsong masa bagi-nya untok melakukan pembukaan jalan itu sa-chara resmi dalam tahun 1967 dan berjanji akan menunai-kan hajat sa-bilangan besar pendudok Sungei Ramal Dalam ini dalam tahun ini.” (M. Sham @ Berita Harian, 9 May 1968, Page 8: |"Dato Harun di-minta membuka jalanraya di-kampong").
  • “Sa-ribu nasi bungkus akan di-hidangkan dalam perayaan merasmikan jalan raya Kampong Sungai Ramal Dalam, empat batu dari bandar Kajang, pada 11 Mach ini. Kira2 2,000 bunga telor juga di-sediakan untok orang ramai yang menyaksikan perayaan itu. Jalan raya yang di-bena dengan perbelanjaan $45,000 di-bawah ranchangan lima tahun Lembaga Pembangunan Luar Bandar itu akan di-rasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Dato Harun bin Haji Idris. Kugiran “Rayuan Pengembara, Kajang” telah di-undang memeriahkan temasha tersebut dan Jabatan Penerangan di-minta menayangkan wayang gambar-nya di-sebelah malam. Dengan itu, Kampong Sungai Ramal Dalam mendapat empat projek pembangunan. Yang lain2 ia-lah sa-buah bangunan Sekolah Kebangsaan berharga $85,000; sa-buah masjid $27,000 dan sa-buah balai raya yang di-bena dengan perbelanjaan $5,000.” (M. Sham @ Berita Harian, 10 March 1969, Page 4: |"SA-RIBU NASI BUNGKUS UTK JAMUAN BUKA JALAN RAYA").

Sumber Arkib Negara:-

1969-05-13: Pembinaan Masjid Al-Falah

“Pada tahun 1958,asalnya merupakan sebuah surau yang digunakan berkongsi dengan penduduk Sg. Ramal Luar. Lokasi surau itu adalah bersebelahan dengan tapak masjid sekarang. Pada 1962, seorang penduduk mewakafkan tanah dan sebuah surau dibina khas untuk penduduk di sini. Pada tahun 1969, ianya dinaiktaraf kepada masjid. Namun peristiwa 13Mei1969 merencatkan sedikit pembinaan masjid ini kerana buruh cina pada masa itu takut untuk meneruskan aktiviti pembinaan masjid ini. Selepas diberi jaminan kaum Melayu tidak akan mengacau buruh cina tersebut, barulah masjid ini di bina sepenuhnya. Pada 1992, masjid ini dibesarkan seperti yang terdapat sekarang. Binaan masjid ini adalah ringkas dan berbentuk tradisional melayu lama. Mempunyai satu tingkat ruang solat,kubah dan menara yamg tersergam indah. Masjid ini dibina dengan batu bata dan beratapkan asbestos.” (Portal Masjid Malaysia: |"MASJID AL - FALAH").

Sekitar awal tahun 2018, bangunan masjid baru telah mula didirikan di tanah wakaf berhadapan bangunan asal: “Dalam keadaan Sungai Ramal Dalam sebagaimana yang digambarkan membangun, khususnya dengan pertambahan penduduk, maka dilihat perlunya kepada pembinaan masjid yang baharu. Apalagi tapak bagi masjid ini sudah wujud, iaitu tanah wakaf bagi masjid berkenaan. Inilah menggerakkan Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Dato` Maulud dan Penolongnya Tuan Haji Ismail serta ahli jawatankuasa menggerakkan usaha mendirikan masjid yang bangunannya sudah dapat disaksikan kini, walaupun masih belum siap dan memerlukan dana.” (Dr Shafie Abu Bakar, March 3, 2018: |"CABARAN BAGI MENDIRIKAN MASJID AL-FALAH (BARU)").

Masjid Al-Falah, 2017
Kiri: Masjid Al-Falah, 2010. (Jabatan Agama Islam Selangor, 2010: "MASJID AL-FALAH SG. RAMAL DALAM").
Kanan: Masjid Al-Falah, 2017 (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 2017: |"MASJID AL - FALAH").

Butiran masjid:-
“Pengasas: YTM RAJA MUDA SELANGOR
Perasmi: DYMM Tengku Idris Shah Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Tarikh : Dibina pada:1969-05-13 Perasmian pada:1974-07-05
Kapasiti: 1500 orang Keluasan:124X 124 K.P”

CATATAN: Dirasmikan pada: 1974-07-05.

1989: Pembukaan Kolej Dar al-Hikmah

“Kolej Dar al-Hikmah (KDH) dahulu dikenali sebagai Institut Pengajian Ilmu-Ilmu Islam (IPI). Ia mula beroperasi pada tahun 1989 dan merupakan kolej swasta Islam yang terawal ditubuhkan di Malaysia. Perubahan nama kepada Kolej Dar al-Hikmah (KDH) berkuatkuasa pada 1 Muharram 1423/15 Jun 2002. KDH bernaung di bawah Syarikat Bina Ilmu Sdn. Bhd milik Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Dan Koperasi Belia Islam (KBI). Penubuhan KDH adalah sebagai penerusan program tarbiyah dan dakwah ABIM yang bermula daripada Taman Asuhan kanak-kanak Islam (TASKI), Sekolah Rendah Islam (SERI) dan Sekolah Menengah Islam (SEMI). Matlamat KDH adalah untuk membangun tradisi ilmu memugar kegemilangan Tamadun Islam dan menjadikan Islam sebagai cara hidup.”

Tarikh Butiran Keratan
Pengenalan 1989 "Pengenalan". Kolej Dar al-Hikmah (KDH)


Gambar dan lambang IPI, sebelum ditukar nama kepada Kolej Dar al-Hikmah: “KDH (ketika itu IPI) ditubuhkan pada dekad kedua penubuhan ABIM, iaitu tahun-tahun 1980-an, di mana kepimpinan ABIM beralih kepada Ustaz Siddiq Fadzil (Dato' Dr) sebagai Presiden ketiga pada tahun 1983. … Penubuhan KDH adalah sebagai penerusan program tarbiyah dan dakwah ABIM yang bermula daripada Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI-1979); Kelas Tahfiz yang bermula di Taiping Perak (1985); Sekolah Rendah Islam (SERI-1989); Sekolah Menengah Islam (SEMI-1985); Pusat Latihan ABIM, Sungai Ramal, Kajang (1980an) sehinggalah IPI dan seterusnya KDH.” (Zairudin Ashrafi @ chedinsphere, September 19, 2013: |"Sepintas Lalu: Sejarah Kolej Dar al-Hikmah (KDH)").

1989-01-03: Pembukaan Sekolah Rendah Islam ABIM

“SERI ABIM Pusat ditubuhkan pada tahun 1988 dan mula beroperasi pada 3 Januari 1989. Di peringkat awal, SERI ABIM Pusat menumpang di bangunan Pusat Latihan ABIM di Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang, Selangor. Pada tahun pertama beroperasi, hanya ada satu aliran sahaja iaitu Tahun 1 dengan murid seramai 36 orang. SRI ABIM Pusat ditadbirkan Ustaz Mat Azid bin Abdul Kadir sebagai Guru Besar dan dibantu oleh seorang Guru Penolong, Puan Nur Azizan binti Nur Halim. Pada tahun 1991, SRI ABIM telah berpindah ke bangunan baru 4 tingkat yang dibina atas tapak seluas 1/2 ekar. Bangunan baru ini yang mempunyai 15 bilik darjah, pejabat, surau, makmal sains, makmal komputer dan pusat sumber.” (Sekolah Rendah Islam ABIM Pusat (SERI): |"Sejarah SERI ABIM Pusat").

2016: Pembinaan Masjid Baru

“AJK masjid bersyukur kerana sejak memulakan pembinaan masjid sejak 2016 dengan menggunakan tabung wakaf terkumpul ketika itu ±1.6 juta kerja-kerja telah dimulakan. Perlaksanaannya mengikut jadual yang telah dirancang sehingga tahun 2018. Walau bagaimanapun pelaksanaannya menjadi agak perlahan apabila dana wakaf yang dikumpul telah habis dibelanjakan. Walaupun perlaksanaan pembinaannya agak lambat namun status pembinaan fizikal sehingga tahun 2023 telah dapat disiapkan sebanyak 95-97% daripada keseluruhan projek seperti status fizikal yang digambarkan di bawah.”

“Pembinaan Masjid Al Falah yang dimulakan pada tahun 2016 ini sudah terlalu lama untuk disiapkan dan Jawatankuasa Pembangunan Baharu Masjid AL-Falah mengharapkan ia dapat disempurnakan pada sebelum akhir tahun 2023 dan Ramadhan tahun 2024 ia boleh digunakan oleh ahli kariah masjid ini untuk solat Tarawikh. Masjid ini sangat perlu untuk disiapkan segera kerana keperluan menampung jemaah yang ramai dan ketidak selesaan ruang solat di masjid lama. Keadaan masjid lama yang sudah uzur (dibina di satu lokasi kecil dan diwartakan sebagai warta khas aktiviti masjid saja pada 1959) dan tidak dapat menampung bilangan Jemaah yang sudah bertambah dengan pertambahan bilangan penduduk sekitar kariah Masjid Al-Falah apabila bilangan penempatan baharu dibuka di Kampung Sungai Ramal Dalam (sejak pembukaan Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan).”

(Sumber: Pembangunan Masjid Baru Al-Falah Sungai Ramal Dalam: |"Pembangunan Masjid Al-Falah").

Selain petikan dan sumber yang dinyatakan, rencana ini telah diusahakan oleh TMK Pulasan, di bawah kelolaan Syahrul Sazli Shaharir <sazli@pulasan.my>. Pengakuan penting: Kami bukan ahli sejarah! Sila klik di sini untuk penjelasan lanjut.

kg_sungai_ramal_dalam.txt · Last modified: 2023/09/08 12:16 by sazli