Terima kasih tuan pengerusi, sdr Khairil Hisham, pihak penganjur, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), juga para hadirin sekalian, kerana meluangkan masa dan memberi peluang kepada saya untuk membentangkan wacana kali ini (Siri 2 bagi tahun 2024), berjudul “Cebisan Sejarah: Dari Rekoh ke Bandar Baru Bangi”.
Ini adalah sambungan pembentangan pertama di Pusat Warisan Kajang: Cebisan Sejarah Rekoh.
Pengenalan diri: Syahrul Sazli Shaharir @ TMK Pulasan, Pekerja bebas, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK). Pengalaman dalam TMK/IT sejak 1997 (27 tahun).
Pendekatan berbeza: “Cebisan”:-
Tujuan: kronologi ringkas, dengan persembahan poin-poin pemula wacana, pencetus kajian, atau perkongsian sesama peminat sejarah dalam kalangan orang awam.
Gambar: Atas kiri: Jalan Reko lama, berhampiran Perkuburan lama Sungai Tangkas, menghadap Vista Bangi dan jalan Reko baru (Cheery Cheong @ KNIGHT WORLD REALTY (M) SDN BHD, 8 Oct 2023: |"Agriculture land at Jalan Reko, Sungai Tangkas, Kajang"). Gambar kanan sekali di tanah tambak di pinggir bekas lombong Seksyen 3 (kini meliputi lot banglo seksyen 3 lama hingga seksyen 3 baru), naik bas Sum lalu Jalan Reko. Gambar bawah: Pangkal Jalan Reko kini, di akhir Jalan Bangi, di simpang Komuter UKM.
Bagaimana terlibat?
Nota kaki lengkap: sila rujuk laman laman utama: Cebisan Sejarah Bangi
Gambar: Peta sempadan Selangor-Sungai Ujong, 1876. Ketika itu Rekoh (Recko) masih di bawah pengaruh Sungei Ujong, manakala Lukut di bawah Selangor: “compiled from sketch surveys made by Captain Innes R E, J W Birch and D Daly, and Admiralty Charts. Lithographed under the direction of Lt. Col. R. Home C.B.R.E” (Royal Geographical Society, London; Royal Geographical Society (Great Britain), 1876: |"Map of Part of The Malay Peninsula, 1876").
Sebagaimana keseluruhan kawasan negeri Selangor, Kajang dan kawasan sekitarnya (termasuk Rekoh) diterokai dan didiami oleh orang Temuan. Hampir tiada maklumat mengenainya. Antara yang ditemui setakat ini:-
Kawasan hulu Sungai Langat sekitar 1700-1800an merupakan sempadan Sungai Ujong di sebelah utara. Perantau dari Sumatera mula menjalankan aktiviti perlombongan lampan di situ, di bawah pengusaha Minangkabau yang berpusat di Sungai Ujong. (Khairil Hisham Mohd Ashaari, 20 Februari 2024). Sekitar Rekoh khususnya, pada 1825-1826, orang Rawa yang terusir dari Sungai Linggi (Rembau dan Sungai Ujong), mula menduduki sempadan di sepanjang Sungai Langat dan melampan di situ. (Khairil Hisham Mohd Ashaari, 23 September 2023).
Migrasi warga Sumatera memuncak ketika siri Perang Padri (1816-1833) dan penjajahan Belanda selepasnya. Banyak kampung-kampung di Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, dll, termasuk daerah Hulu Langat, dibuka ketika ini. Beberapa contoh di sekitar Bangi:-
Sebagaimana Lukut, Rekoh agak jauh dari medan Perang Klang (1867-1873) dan tiada/kurang terlibat. Namun menurut Abdullah Hukum (1935), ada pelarian Perang Klang yang lari ke sekitar Rekoh (Adnan Haji Nawang, 1997).
Setelah tamatnya Perang Klang, dan campurtangan British selepas itu, Frank Swettenham dilantik sebagai penasihat Sultan Selangor (Sultan Abdul Samad) pada Ogos 1874, kemudiannya Pembantu Residen Selangor pada Disember 1874. Pada tahun 1875, Frank Swettenham telah menjelajah sepanjang Sungai Langat, dan merupakan pembesar British yang pertama tiba di Rekoh (dalam peta 1876, pekan paling hujung yang direkodkan - setelah itu setakat Sungai Kajang & Jebat saja). (Ernest Chew (1984), J. M. Gullick (1998, 2007)).
Asalnya Sungai Langat merupakan sempadan antara Klang dan Sungai Ujong: “Sempadan di antara Dato' Kelana Sungai Ujong dengan To' Engku Kelang, Batang Langat (Sungai Langat). Kanan mudek kawasan Sungai Ojong dan kiri mudek kawasan Dato' Engku Kelang. Kawasan sebelah kanan Sungai Langat ini ialah kawasan-kawasan yang termasuk Kajang, Semenyeh, Rakoh dan Beranang. Pada masa Sungai Ujong di perintah oleh Dato' Kelana Sendeng (Dato' Kelana ke-V) Semenyeh telah diberikan kepada Tunku Sutan menantu kepada Raja Husin waris Sungai Ujong. Tunku Sutan dan Raja Husin telah membuka Semenyeh hingga ramai penduduk-penduduknya. Banyak hasil bijih timah dikeluarkan dari sana dan telah diberi izin oleh Dato' Kelana akan Tunku Sutan dan Raja Husin memungut cukai-cukai itu untuk sara hidup mereka. Kemudian Raja Husin membuka Beranang pula pada tahun 1878.” (Perpustakaan Negeri Sembilan).
Sementara itu di Ulu Langat sebelum 1870-an, kawasan pedalaman sebelah selatan Sungai Langat adalah hutan belantara yang hanya didiami oleh orang asli (Temuan), dan menjadi sempadan di antara Klang dan Sungai Ujong. Setelah Sultan Abdul Samad menduduki Kuala Langat, warga Selangor mula meneroka ke hulu Sungai Langat sehingga ke kawasan Kajang (Rekoh). Dalam masa yang sama, Raja Hussein membuka petempatan di Beranang dan Semenyih, di bawah Dato' Klana Sungai Ujong. (J. M. Gullick (1949)).
Setelah siri campurtangan Inggeris (Khairil Hisham Mohd Ashaari (20 Februari 2024)), akhirnya pada 1878-02-10, Rekoh dan sekitarnya diserahkan kepada Selangor, manakala Lukut dan sekitarnya diserahkan kepada Sungai Ujong (L.D. Gammans (1924), J.M. Gullick (1949, 2007))
Gambar: Peta daerah Ulu Langat Selatan (1904), termasuk Kajang-Semenyih-Rekoh-Bangi, ketika pembukaan ladang secara besar-besaran. Rekoh tinggal balai polis saja, seluruh mukimnya kini dinamakan Kajang. Ketika ini pekan Bangi (lama) baru saja dibuka (stesen keretapinya dibuka pada 14 Jun 1902). Latar peta 1904: Antara peta paling tepat pada zamannya (yang ada dijumpai), diusahakan oleh Chief Draftsman W.T. Wood yang bertugas di Survey Department, Kuala Lumpur (beliau turut membuat peta Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dll). Pernah mohon naik gaji pada 11 September 1906 (tangga gaji dia lebih rendah dari Surveyor), bila di bawa ke atas, menurut surat sokongan pihak atasannya. (Arkib Negara 1957/0131652W (11/09/1906)).
Pada tahun 1880-an, ladang-ladang kopi mula dibuka di Johor, Perak dan Selangor, pada mulanya oleh para pengusaha dari Ceylon. Ladang-ladang kopi terawal di Selangor ialah Weld Hill's Estate dan Batu Caves Estate di Kuala Lumpur. (Straits Times Weekly Issue & The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser (Weekly), 10 September 1890).
Menjelang 1890-an, berkembang ke Ulu Langat (pengusaha perantau Sumatera, Cina), kemudian Kajang, dimulakan oleh pasangan adik-beradik Kindersley (R.C.M. Kindersley (1870-1939) & D.C.P. Kindersley (1873-1917)) membuka ladang kopi Inch Kenneth (1894) (J.M. Gullick (2007)), mungkin nama ladang adalah sempena Inch(Pulau) Kenneth, Scotland, juga Goh Ah Ngee dari Broga (1896). Kindersleys seterusnya membuka ladang di selatan Kajang (tepi Jalan Reko, 3km dari Kajang menghala ke Rekoh) pada Disember 1895, “kampung paling terbiar di Selangor pada masa itu”. (Voon Phin Keong (2013)).
Faktor perkembangan perladangan:-
(Sumber: J.M. Gullick (2007)).
Sementara itu, perlombongan telah pun giat dijalankan di Sungai Ramal (mungkin sejak lama dahulu lagi). (Arkib Negara (pelbagai)).
Gambar:-
Kiri: Keadaan Jalan Reko-Sepang (ditanda merah), sekitar tahun 1904. Pekan Bangi telah pun dibuka dan kini ditandakan di dalam peta. Bahagian jalan dari kawasan Sungai Buah hingga ke Sepang ditanda sebagai “Six Foot Track”, iaitu masih jalan kuda selebar 6 kaki sahaja. Jalan ini dibina 1893-1894, atas cadangan H.F. Bellamy, Superintendent Public Works Department negeri Selangor (1891), bagi menghubungkan ladang kopi Eropah di Rekoh dengan ladang lada hitam Tionghua di Sepang. Ketika itu jalan ini melewati bahagian timur Bukit Tunggul, menelusuri Negeri Sembilan hingga ke Sepang.
Kanan: Jalan Reko-Sepang yang baru secara kasar (ditanda merah), setelah siap, sekitar tahun 1929. Ia melewati bahagian barat Bukit Tunggul, menelusuri sebelah negeri Selangor, melalui Jenderam dan Salak. Mungkin perubahan laluan ini sebagaimana yang pernah dinyatakan oleh perancang awalnya (H.F. Bellamy), yang mengatakan denai yang asal itu melalui kawasan Sungai Ujong (sukar dari segi pentadbiran projek dan selenggaraan), lalu mencadangkan laluan sebelah kiri yang pernah beliau ikuti ketika ekspedisi mengukur sempadan baru Selangor-Sungai Ujong pada Mac 1883 dahulu. Ianya sedikit sebanyak kekal sehingga kini.
(Sumber: Arkib Negara 1957/0025536W (09/06/1891)).
Gambar: Kiri: Peta tahun 1904. Kanan: Peta kini (Mapcarta).
Petak berlorek hijau: sempadan keseluruhan West Country Estate (termasuk Belmont Estate) setakat tahun 1904.
Petak ungu: West Country: Blok-blok terawal (Mac 1896).
Petak merah jambu: Belmont: Blok-blok terawal (Mac 1896).
Petak merah: West Country: Blok tambahan 320 ekar (Arkib Negara 1957/0065184W (14/9/1896)).
Petak kuning: West Country: Blok tambahan 30 ekar (Arkib Negara 1957/0065184W (14/9/1896)) dan 60 ekar (Arkib Negara 02/10/1896, 2/10/1896).
Petak biru muda: Belmont: Blok tambahan seluas 320 ekar (Arkib Negara 1957/0065141W (18/9/1896)).
Pada bulan Februari 1896, pemangku pegawai daerah Ulu Langat telah menerima beberapa permohonan pembukaan ladang kopi di sekitar Jalan Reko. Beliau turut mengesyorkan agar pihak kerajaan mewartakan keseluruhan kawasan hutan terbiar di situ, terutamanya kawasan hutan paya yang dianggap “wasteland” (tiada lombong, maka tiada hasil) di tebing barat Sungai Langat sehingga ke Langat, sebagai tanah rizab perladangan kopi. Pada bulan Mac 1896, penama-penama bagi permohonan ladang-ladang tersebut telah disiarkan, iaitu F. Baptist (F.B.) Hicks, E. B. Skinner, Arthur Acland (A.A.) Allen, dan E.J. Allen (West Country Estate), G.F.S. dan Methold Sidney (M. S.) Parry (Belmont Estate), dan Kindersley (Reko Hill dan Sungai Reko Estate, diikuti beberapa lagi ladang lain) (The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser (Weekly), 25 February 1896, 17 March 1896).
Ketika ladang ini dibuka, telah pun ada pekebun kecil tempatan di sekitar itu. Antaranya ialah Rasat bin Nakhoda Omar: diketahui daripada kesilapan pentadbir: Tanah beliau termasuk ke dalam geran Belmont Estates, dan perlu dikeluarkan daripadanya. (Arkib Negara 1957/0112755W (30/11/1903)).
(Sumber: RBG KEW (2015), Bygone Selangor (1922)).
Edmund Becher (E. B.) Skinner (1873-1959) sebelumnya pengurus Batu Caves Estate. Beliau adalah tokoh perladangan hingga 1940-an. (Bygone Selangor (1922). Pada 24/12/1895, beliau, bersama rakan-rakan kongsi beliau F.B. Hicks, Allen, Parry) pernah memohon beberapa bidang tanah seluas 500 ekar setiap seorang di Kepong (Arkib Negara 1957/0059886W (24/12/1895), 1957/0061363W (31/01/1896)).
Gambar: Buku terbitan M.S. Parry (bersama E.M. Muraour): “The ABC to Rubber Planting Companies in Malaya” (1910-1911).
Methold Sidney (M. S.) Parry (1863-1937): seorang lagi tokoh perladangan. Pada tahun 1897, beliau telah menyewa Balai Polis Rekoh yang tidak lagi digunakan (dulu bekas rumah seorang “malay rajah”) (Arkib Negara 1957/0069614W (26/03/1897)). Selepas West Country Estate, beliau bersama rakan kongsi Everard Feilding, Edouard Bunge, Alfred Grisar, John Gurdon, dan Edward Henry Tootal, menubuhkan The Kuala Lumpur Rubber Company Ltd. (1906), yang mengusahakan ladang-ladang getah di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Kelang, termasuk “Bungstar Estate” (gabungan “Bunge” dan “Grisar”, kini “Bangsar”). Syarikat ini kemudiannya telah mengambil alih beberapa syarikat lain, antaranya Kepong Rubber Estates (sekitar 1959-1961) dan Taiko Plantations (1983), dan kini dikenali sebagai Kuala Lumpur Kepong (KLK) Berhad. (Alain Léger, Les entreprises coloniales françaises (www.entreprises-coloniales.fr); Kuala Lumpur Kepong Berhad Annual Report (2005))
Gambar: West Country dan Belmont Estate (Arnold Wright, 1908: Twentieth century impressions of British Malaya).
Namun menjelang awal tahun 1900-an, hasil kopi jatuh merudum disebabkan saingan kopi Brazil serta serangan penyakit (Voon Phin Keong (2013)).
Gambar: Belmont Estate, sekitar awal 1900-an. (Arnold Wright, 1908: Twentieth century impressions of British Malaya).
Tanaman getah komersial terawal dirintis oleh pasangan adik-beradik Kindersley atas cadangan H.N. Ridley pada tahun 1896 di ladang Inch Kenneth, Kajang. Kejayaan ini menjadi galakan kepada mereka serta pengusaha lain untuk membuka ladang-ladang getah di sekitar Kajang (Balgownie, Paradise), Rekoh (West Country, Belmont), dan Bangi (Bangi Estate). (J.M. Gullick (2007)).
Menjelang 1900-an, Kajang dan Rekoh telah menjadi antara kawasan ladang getah terawal di Selangor, didominasi oleh peladang Eropah secara kolektif. Mereka kemudiannya menubuhkan Persatuan seperti Kajang Branch of the Planters' Association (1912) dan kelab sosial (|Voon Phin Keong (2013)).
Pada Oktober 1901, setahun setelah kematian salah seorang pengasas West Country Estate (F.B. Hicks), saudaranya F.R. Hicks, bersama rakan kongsi asal West Country dan Belmont Estates, telah bersatu menubuhkan syarikat The Kajang Coffee and Rubber Co. bagi menguruskan kedua-dua ladang ini, selain Weld's Hill Estate di KL. (The Straits Times, 21 October 1901).
Berikutan kejayaan ladang-ladang getah Kindersley, pada tahun 1905, West Country dan Belmont estates bergabung pula dengan Ayer Hitam Estate di sebelah baratnya, di bawah Federated Malay States Rubber Company, Ltd. (J.M. Gullick (2007), Arnold Wright (1908): Twentieth century impressions of British Malaya). Sekitar ini juga (1907) H.R.Moullin dan rakan-rakan kongsinya membuka Sungei Ramal Estate di sebelah utaranya (kini Country Heights). (Arkib Negara 1957/0171341W (14/08/1913)).
Gambar: Tindanan peta 1904 dengan peta Google Maps kini. Sungai Andangan ditandakan biru (juga Sungai Rekoh sebagai mercu tanda, kerana ia masih wujud sekarang). Secara kasarnya, hulu Sungai Andangan (serta anak-anak sungainya) mungkin berpunca di Bangi Golf Resort skrg, mengalir ke arah tenggara melalui lembah di antara Seksyen 3 dan 4 (sekitar bekas tapak kuil lama di persimpangan Persiaran Pekeliling - Jalan 4/1), kemudian merentas Seksyen 3, dan bermuara di Sungai Langat sekitar Bangi Perdana, berseberangan dengan kondo Vista Bangi Kampung Sungai Tangkas sekarang.
Turut ditandakan: lorong pejalan kaki dan basikal yang menghubungkan SK Jalan 3 dan SK Jalan 2 (garisan hijau). Tampaknya, lokasi asalnya ialah bukit di sebelah selatan lembah Sg Andangan. Menurut Dr Shafie Abu Bakar, mantan ADUN Bangi (juga penghuni awal Bandar Baru Bangi), bukit ini dibelah untuk dibina SK Jalan 2: “Tapak adalah berada betul-betul pada pertengahan Bandar Baru Bangi. Lot ini berada di antara dua bukit , iaitu – Antara Bukit Bangi yang tertinggi bersempadan dengan di kanan (mengadap Kiblat) kawasan Golf, manakala sebelah kiri bukit yang kita namakan Bukit Mutiara, sebenarnya sambungan dari Bukit Bangi yang diratakan bahagian tengah menjadikan kawasan Seksyen Dua, BBB bersempadan dengan Seksyen Satu BBB, ditepi bukit sebelah kanan adalah kawasan persekolahan – Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi.” (Dr Shafie Abu Bakar, 26 Jun 2018).
Gambar: Kiri: Peta 1904, sebelum pewartaan (1906), “The Reko Woods”, sempena pekan Rekoh di sebelah utara.
Kanan: Peta 1929, selepas pewartaan (1906), “Bangi Forest Reserve”, sempena pekan Bangi di sebelah selatan.
Sementara itu, seawal 1896 lagi (10 tahun sebelumnya), di dalam suatu laporan oleh Henry N. Ridley pada 6 Julai 1896, beliau telah mencadangkan penubuhan Jabatan Perhutanan di negeri Selangor, bagi mengawal selia penebangan serta pengeluaran hasil hutan. “The Reko Woods”, suatu kawasan hutan yang belum diterokai seluas 10,000 ekar (4047 hektar) di sepanjang Jalan Reko-Sepang adalah antara beberapa kawasan hutan di Selangor yang telah dikenalpasti sebagai sumber berharga dan perlu dikawal rapi oleh jabatan ini. Antara spesis pokok yang ditemui di dalamnya ialah merbau, pauh kijang, petaling, tempinis, keranji, dan tembusu (Henry N. Ridley @ Arkib Negara 1957/0581543W (06/07/1896)).
Namun begitu perbincangan mengenai pewartaan “Reko Woods” ini hanya berlaku kira-kira 9 tahun kemudian (1905 - mungkin setelah pembukaan ladang kopi-getah yang pesat). Berlaku konflik di antara pemangku pegawai daerah Ulu Langat (pengeluaran hasil, juga kuari, di sepanjang Jalan Reko-Sepang itu) dan Jabatan Hutan (diwakili oleh Arthur Bligh (A.B.) Stephens) (simpanan hutan di kawasan yang sama). (Arkib Negara 1957/0126396W (20/12/1905)).
Akhirnya kawasan seluas 2,338 ekar (946 hektar) diwartakan kira-kira pada 31 Disember 1906 (Nombor Warta: 827). Waktu itu Rekoh sudah tidak wujud lagi, jadi namanya bertukar dari “Reko Woods” kepada “Bangi Forest Reserve”. Puncak tertingginya ialah Bukit Rupa (Bukit Puteri?) setinggi 105 meter. (Selangor Gazette 1906).
Gambar: “Family picture of my grandfather when he was Kajang West Country Estate Kangany. Picture taken in 1921.” (Victor Singaravellu @ History of Indian Labourers in Malaya (HILMA), 25 Oktober 2020).
Sejak dari awal lagi, sumber utama tenaga pekerja ladang getah adalah dari selatan India (Madras), dan kebanyakannya adalah dari kalangan masyarakat rentan berlatar kasta rendah, yang sering dilanda kemiskinan dan kebuluran akibat bencana alam serta sistem percukaian yang menindas. Sebagai usaha mencari jalan keluar, mereka sanggup menjadi “buruh berhutang” (indentured worker) melalui ejen-ejen buruh yang datang ke kampung-kampung mereka. Ejen-ejen in menawarkan wang pinjaman pendahuluan untuk mereka berhijrah ke ladang-ladang di Malaya, dan bekerja untuk majikan tertentu sepanjang waktu yang ditetapkan (biasanya 3 tahun), lalu sebahagian pendapatannya digunakan bagi membayar balik hutang pinjaman tersebut, dalam waktu yang ditetapkan. Selagi tempoh kontrak belum tamat, dan/atau hutang belum dapat dilangsaikan, mereka terpaksa terus bekerja di bawah majikan yang sama, dan boleh ditangkap dan didakwa sekiranya bertindak meninggalkannya. (James Hagan, Andrew Wells (2005)).
Disebabkan pemerasan dan penindasan yang berleluasa, telah lahir beberapa gerakan memansuhkan sistem perhambaan pekerja berhutang ini. Antaranya siri pembongkaran wartawan British E.D. Morel dan diplomat Irish Roger Casement (salah seorang pengasas West Country Estate, M.S. Parry, turut menyokong beliau ketika diadili dan dihukum di Ireland pada 1916), juga gerakan nasionalis di India. (Lynn Hollen Lees (2017)).
Menjelang tahun 1910-an, pihak kerajaan, melalui Lembaga Siasatan Parr, telah mendapati banyak kelemahan pada sistem ejen buruh sebelum ini. Ianya sering terdedah kepada rasuah dan penipuan, buruh sering berpindah majikan, dan tenaga buruh yang dibekalkan masih tidak mencukupi. Maka ianya digantikan dengan sistem migrasi buruh secara “bebas”, iaitu dibiaya oleh tabung “Indian Immigration Fund”, hasil sumbangan para majikan, dengan kadar mengikut bilangan pekerja semasa mereka. Pencarian tenaga buruh dijalankan oleh pekerja ladang itu sendiri, yang dipanggil “Kangani”. Para kangani ini lazimnya mencari sumber pekerja dari kalangan kaum keluarga, kasta, serta perkampungan mereka sendiri. Dalam perjanjian sistem kangani, buruh tidak berhutang apa-apa, dan tidak terikat dengan mana-mana majikan. Mereka cuma perlu memberi notis berhenti kerja sahaja pada bila-bila masa. Hasilnya, jumlah pekerja migran dari India bertambah dengan pesat, dan para pengusaha ladang mendapat manfaatnya. Limpahan bekalan buruh menyebabkan kadar gaji buruh yang rendah, dan pertalian keluarga di antara para pekerja serta Kangani mereka, menyebabkan mereka cenderung untuk setia dengan majikan yang sama. Para buruh dipantau oleh pelbagai akta dan ordinan sejak tahun 1870-an. Bagi buruh dari India khususnya, Kod Buruh 1912 (kemudiannya diperkukuhkan oleh akta-akta lain) menetapkan dasar-dasar berkaitan bilangan jam bekerja, gaji, kediaman dan kemudahan, dan sebagainya. Dasar-dasar ini dikuatkuasakan oleh Jabatan Buruh dengan diketuai pegawai pengawalan buruh, yang membuat lawatan berkala di premis ladang dan berupaya menutupnya sekiranya didapati menyalahi kod atau akta tertentu. Pegawai pengawal ini turut menerima aduan para buruh, dan menjatuhkan hukuman terhadap para penyelia yang didapati menzalimi mereka. (James Hagan, Andrew Wells (2005); Amarjit Kaur (2014)).
1912: Dalam pameran getah antarabangsa di New York, US, pada 23 September - 4 Oktober 1912, West Country Estate telah memenangi tempat ketiga di Pameran Getah Antarabangsa dalam kategori “Pale Crepe” (The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser, 6 November 1912).
1917: Ketika Perang Dunia berlangsung: D.C.P. Kindersley meninggal dunia di medan perang dunia pertama, ketika berumur 44 tahun. Pada tahun yang sama, seorang petugas West Country Estate, Durell, R.A.V., adalah antara sukarelawan yang terpilih untuk menyertai perang tersebut. (The Straits Times, 29 June 1917).
Gambar: Peta tahun 1926, iaitu 7 tahun selepas tamatnya Perang Dunia Pertama (1914-1918). Hampir keseluruhan daerah ini telah pun dipenuhi perladangan (majoritinya getah). Pengecualiannya adalah Hutan Simpan Bangi dan Bukit Tunggul, serta tanah-tanah rizab seperti di sekitar Sungai Ramal (Kampung Sungai Ramal dikatakan wujud sejak kurun ke-18 lagi), Sungai Air Hitam (Kampung Bt. 2 Air Hitam (Abu Bakar Baginda kini)), Sungai Merab, Sungai Jenderam, Sungai Buah (Kampung Sungai Buah), Sungai Semenyih, Sungai Rinching (Kampung Rinching Hilir), dan Sungai Beranang. West Country Estate khususnya, turut merangkumi Belmont dan Ayer Hitam estates, dan mungkin termasuk Sungei Lui Estate di antara keduanya. (Malaya Survey Department, 1926 @ University of Minnesota Libraries).
Pada tahun 1912, sebuah hospital khas untuk pekerja-pekerja ladang di sekitar Rekoh telah dibina, dan diuruskan secara usahasama di antara syarikat-syarikat perladangan di situ, di bawah The Reko Hospital Association Ltd:-
(Sumber: The Straits Times (Mei-Jun 1913), Malaya Tribune (30 Jun 1915)).
Namun pada tahun 1920-an, beberapa buah hospital dibina di ladang-ladang. Antaranya Hospital West Country Estate, yang merawat para pekerja di ladang-ladang West Country, Belmont, Sungei Lui, Ayer Hitam, Eastnor, Colwall, Sungei Chua dan Sedgely (merentasi BBB-Serdang kini). (Arkib Negara 1957/0240424W (27/02/1926)).
Pada tahun 1930, sebahagian kecil daripada Hutan Simpan Bangi diberikan kepada Ladang Prang Besar (ladang ini dibuka pada 16 Ogos 1921, dianugerahi kepada 9 orang bekas tentera perang dunia pertama (Great War/Perang Besar), ~10km di sebelah barat Bangi, kini Putrajaya) untuk tujuan penyelidikan tanaman getah. Namun penyelidikan di situ tidak dapat bertahan lama akibat gangguan haiwan liar. (VD Nair (1990-an), Azimah Mohd Ali @ Arkib Negara, Arkib Negara 1957/0267743W (21/01/1930)).
Tahun 1930-an merupakan tahun-tahun kemelesetan ekonomi di seluruh dunia. Di Tanah Melayu, keadaan ini kembali pulih mulai 1934, namun banyak pengusaha menumpukan kepada pemulihan syarikat, dan mengabaikan pekerja. Menjelang tahun 1937, terdapat peningkatan dalam kes mogok dan aksi pekerja, dalam menuntut hak-hak mereka. Ladang-ladang di sekitar Bangi tidak terkecuali. Pada 29 Januari 1937, 100 orang pekerja Belmont Estate telah bertindak menyerang pembantu pengurus ladang, dikatakan setelah mereka dihukum kerana bermula kerja lewat. (P. Ramasamy (1992)).
Peristiwa ini berlaku beberapa bulan sebelum mogok besar-besaran kali pertama, melibatkan pekerja migran wanita Tionghua, serentak di beberapa ladang di Selangor pada 11 Mac 1937. West Country/Belmont Estates tidak terlibat (mungkin kerana pekerja India). lebih 1,000 orang pekerja ladang (kebanyakannya kaum wanita Tionghua) telah melancarkan mogok di 9 buah ladang getah di Selangor iaitu BANGI (kini Bangi Avenue dan Crescent Park), CONNEMARA (kini Eco Majestic), SUNGEI RINCHING (kini Bandar Tasik Kesuma), PRANG BESAR (kini Putrajaya Precinct 1,2, dan 18), SYDNEY (kini Bandar Sunway Semenyih dan Taman Desa Mewah), BUKIT TUNGGU (kini Bukit Mahkota dan Bandar Puteri Bangi), dan BALAU (kini Mutiara Hills). Dua lagi ladang yang tidak kelihatan di dalam peta (kerana lokasinya yang jauh ke utara, di sebelah utara Kuala Lumpur) ialah HAWTHORNDEN (kini Wangsa Maju) dan WARDIEBURN (kini Danau Kota dan Taman Melati). Mereka mengemukakan 19 tuntutan terhadap pihak pengurusan ladang-ladang tersebut, berkaitan kenaikan gaji harian, upah tambahan, hak dan kebajikan pekerja, manfaat ibu bersalin, kemudahan untuk anak-anak pekerja, dan lain-lain. Semuanya berjalan dengan aman, kecuali di Ladang Wardieburn, di mana sedikit kekecohan berlaku akibat salah faham di antara beberapa pekerja dengan seorang wartawan. (P. Ramasamy, 1994).
Antara faktor peristiwa mogok besar-besaran ini adalah gerakan kesatuan sekerja dan aktivis komunis yang mengambil kesempatan terhadap kesempitan ekonomi, kelemahan pentadbiran British (khususnya jabatan hal-ehwal Cina), dan peranan wanita (lonjakan bilangan buruh kontrak wanita, tuntutan termasuk hal-hal kebajikan mereka dan keluarga). Kemuncaknya ialah operasi tangkapan para pemogok serta penggeraknya, di Sungai Ramal dan Batu Arang. (Yeo Kim Wah (1976))
Seterusnya, pada 3 April 1937, berlaku mogok di kalangan pekerja India pula di South Johol Estate (350 orang) dan Sengkang estate (50 orang) di Tampin, Negri Sembilan. Thanagaya, seorang pembantu guru, telah memimpin perarakan pekerja Tamil dari Sua Bentong Estate ke Port Dickson bagi menuntut kenaikan dan pelarasan gaji bagi pekerja India dan Cina. Beliau menjadi pemimpin mogok pertama dari kalangan India, sebelum H.R. Nathan memimpin gerakan mogok penoreh getah di Klang pada 1941. Sekitar tahun 1940, kesan pengaruh para aktivis nasionalis India, mereka mula menubuhkan kesatuan-kesatuan sekerja. Kenaikan gaji pekerja Tionghua hasil mogok tahun 1937 itu (menjadi lebih tinggi berbanding pekerja India) turut melatari tuntutan-tuntutan mereka, yang antara lain menuntut kenaikan gaji yang sama. Kegiatan ini mencapai kemuncaknya dalam siri mogok besar-besaran melibatkan lebih 20,000 pekerja India di daerah Klang, Selangor pada bulan April-Mei 1941.(Yeo Kim Wah (1976)).
Gambar: Peta kemaraan Jepun di Selangor tahun 1942. Kelihatan kawasan timur Sungai Langat, termasuk Sungai Tangkas Estate dan Hutan Simpan Bangi (ada riwayat mengatakan termasuk sekitar Sungai Merab / kawasan Kg Dato' Abu Bakar Baginda kini), adalah antara laluan tentera Jepun. (Her Majesty's Stationery Office).
Pada 11 Januari 1942, Jepun menduduki Kuala Lumpur dan tentera Jepun terus mara untuk menakluki Kajang dan Klang. Berikutan kejatuhan pertahanan British di Singapura pada 15 Februari 1942, seluruh Tanah Melayu telah jatuh ke tangan Jepun. Leftenan Adnan bin Saidi, anak kelahiran Kampung Sungai Ramal (lahir 1915), terkorban di dalam salah satu pertempuran terakhir dengan tentera Jepun di Bukit Candu, Pasir Panjang, Singapura. Sekitar waktu itu, Frederic James (F.J.) Pratt, pengurus ladang Broome Estate (sekitar Southville-Bangi-Seri Putra kini), telah ditangkap dan ditahan oleh Jepun di penjara Singapura, dan hilang selepas itu (rekod kali terakhir: 1944). (Australian Red Cross Society, National Office, 2017-06-20).
Peristiwa ketika pendudukan Jepun di Kajang (1942-1945):-
Gambar: Peta tahun 1950. (Australian National University).
Selepas perang, pentadbir British dan pengusaha Eropah dalam fasa pemulihan. Pengurusan menjadi longgar dan ada kalanya terabai. Banyak ladang-ladang Eropah di sekitar ini mengalami masalah selepas perang. Contohnya, di Sungei Ramal Estate, semua rekod-rekod pengurusan hilang. Proses pemulihan juga gagal, kerana mereka mengharap pampasan kerajaan, tetapi tiada. Akhirnya tutup dan dijual pada 1951. (The Straits Times 25 February 1947, 24 March 1951).
Sekitar waktu ini juga, pengurusan West Country Estate terbahagi kepada 2, Eastern Division (merangkumi West Country asal dan Belmont Estate - Bandar Baru Bangi kini), dan Western Division (merangkumi Ayer Hitam Estate - sekitar/sebahagian UPM-UNITEN kini). (Arkib Negara 1968/0000532W / JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT (JKM) (24/01/1948)).
Dalam suasana ini, beberapa perkampungan baru terbit. Antaranya Kampung Sungai Tangkas dibuka di dalam/sekitar kawasan Sungai Tangkas Estate. (Blog Kampung Sungai Tangkas, 12 December 2014).
Gambar: Munaianty s/o Ponnusamy, bekas warga pekerja West Country Estate yang masih muda/kecil pada waktu itu. (Tanarata International Schools (2013)).
Darurat bagi seluruh Malaya (Malayan Emergency) telah diisytiharkan pada 18 Jun 1948 (sebelumnya Perak dan Johor pada 16 Jun, dan selepasnya Singapura pada 24 Jun), berikutan pembunuhan 3 orang pemilik ladang berdekatan Sungai Siput, Perak. Ia adalah tindakan British untuk mengekang ancaman gerakan-gerakan antikolonial secara umum (terutamanya gerakan nasionalis). (Azmi Arifin (2017)). Sejak darurat diisytiharkan, dari semasa ke semasa beberapa kawasan di sekitar daerah Ulu Langat dikenakan perintah berkurung, bagi membendung ancaman komunis.
Pada 13 Februari 1951, kawasan sepanjang Sungai Langat di antara jambatan ladang Inch Kenneth dan West Country Estate telah dikenakan perintah berkurung, kecuali awal pagi, tengahari, dan lewat petang. Kemungkinan perintah berkurung ini ada kaitan dengan siri mogok penoreh getah kontrak West Country Estate (pekerja wanita Tionghua dari Sungai Chua) beberapa minggu sebelumnya. (The Straits Times, 3 February 1951, Sunday Standard, 11 February 1951).
Antara catatan suasana di zaman darurat adalah oleh Munaianty s/o Ponnusamy, bekas warga pekerja West Country Estate yang masih muda/kecil pada waktu itu: “Saya lahir di West Country Rubber Estate, Hulu Langat, Kajang pada tahun 1949. Saya membesar di situ sehingga umur 10 tahun, dalam sebuah keluarga besar dengan 6 orang adik beradik lelaki dan perempuan, dan saya adalah yang kedua termuda di antara kami lapan sekeluarga. West Country Estate merangkumi dari Kampung Baru Serdang sehingga Jalan Reko dan lebuhraya Kuala Lumpur Seremban. Bapa saya tinggal di kuarters yang disediakan oleh majikan, dan saya bersekolah di Kajang Primary School. Saya menaiki bas ke sekolah setiap hari. Banyak kenangan manis saya di sekolah. Malangnya, saya tidak dapat hadir dalam banyak kegiatan di sekolah selepas waktu persekolahan oleh kerana belanjanya mahal, serta jarak sekolah yang agak jauh. Pengurus West Country Estate ketika itu ialah Mr Botham dan pembantunya Mr Foxe, dan sering bersenjatakan shot gun. Ketika darurat, kerajaan British mengarahkan semua pengurus estet menyimpan senjata api. Anggota komunis mendapatkan bekalan makanan dari kampung dan estet, dan sering menyasarkan para pengurus estet yang tidak menyebelahi mereka. Ketika itu juga, banyak keluarga Tionghua di sekitar West COuntry Estate dipindahkan secara paksa ke Kampung Baru Sungai Chua, kerana dianggap penyokong komunis. Di West Country estate, operasi keselamatan diketatkan umpama rondaan “Home Guard”. Setiap malam, beberapa pekerja estet berpakaian seragam biru-kelabu, meronda kawasan estet. Mereka diberi kuasa untuk menyoal siasat warga yang datang atau lalu lalang di sekitarnya. Mereka dibekalkan cota sebagai senjata.” (Tanarata International Schools (2013) (Terjemahan)).
Gambar: “Kathan (grdfther) Ldg west country (timur) Kajang” (Kannan Ramasamy @ History of Indian Labourers in Malaya (HILMA, 3 Jun 2021)).
Menurut Munaianty s/o Ponnusamy, bekas warga pekerja West Country Estate: “Saya berhenti bersekolah setelah tamat Darjah 6 dan mula bekerja di West Country Estate. Sekitar waktu itu, abang sulung saya meninggal dunia dan ibu bapa saya perlukan pendapatan tambahan dari saya. Peristiwa yang tidak dapat dilupakan ketika mula bekerja ialah ketika saya menjadi ahli pasukan bolasepak West Country Barat. Kami menyertai liga tempatan bersama pasukan-pasukan dari Bangi Estate, Perang Besar Estate, Galloway Estate, JKR, Kajang Old Boys dan Empat Tenang Estate di Stadium Kajang lama. Pengurusan estet memberi sokogan padu terhadap pasukan kami dan setiap hari perlawanan, kami diberi cuti separuh hari. Kami keluar ke padang dengan kelengkapan permainan kami, untuk berentap dengan pasukan lawan di Stadium Kajang. Ketika itu, ia adalah padang besar bersebelahan balai polis, dan berseberangan dengan Pusat bandar Kajang. Terdapat perkhidmatan bas dari Kajang ke Prang Besar Estate, yang melalui West Country Estate. Perkhidmatan bas Sum itulah penghubung kami dengan bandar Kajang yang pelbagai tarikannya bagi kami warga luar bandar.” (Tanarata International Schools (2013) (Terjemahan)).
Gambar: Peta Hutan Simpan Bangi sekitar 1970-an. (Kamarudin Mat Salleh (1999)).
Sekitar akhir tahun 1957, sebahagian kecil Hutan Simpan Bangi dinyahwartakan sebagai kampung melayu (Arkib Negara 1957/0696004W (15/11/1957)). Kemungkinan kampung ini ialah “Kampung Baharu Bangi Bahagia” (Kampung Bahagia kini), di sebelah selatan hutan simpan ini, yang telah dimohon persatuan penduduk Melayu sekitar Bangi pada waktu itu. (Faizal Hj Zainal (2008)). Terdapat riwayat mengatakan penduduk dari kawasan lembah di sekitarnya yang dilanda banjir telah berpindah ke kampung ini yang lebih tinggi di lereng bukit. (Surau Madrasah Al Hamidiah Kg Bahagia Bangi (2017)).
Sementara itu, sekitar akhir 1950-an itu juga, 4 buah keluarga Temuan berasal dari Bukit Dugang, Sepang, diketuai Batin Yut anak Jenang Pilis, mula menduduki kawasan hutan ini. Menjelang awal 1970-an, ia berkembang menjadi 22 keluarga, dengan jumlah ahli keluarga seramai kira-kira 100 orang. (Dr Mohamed Salleh Lamry (2005)).
Pada akhir 1960-an, terdapat aktiviti pembalakan terpilih di Hutan Simpan Bangi (Latiff 1981). (J.J. LAJUNI & A. LATIFF (2013)).
Gambar: Peringkat awal pembangunan UKM. (The Star, 25 May 2014).
Sekitar awal 1970-an, ladang getah mula digantikan dengan kelapa sawit. Bagi pengusaha Kindersley misalnya, ladang pertama mereka yang ditukar kepada kelapa sawit ialah Ladang Dunedin (kini Alam Sari) di Bangi (1974). (Kemungkinan nama ladang ini adalah sempena nama asal Edinburgh, Scotland). (Inch Kenneth Rubber Estates Limited (2010)). West Country Estate mungkin telah bermula lebih awal lagi. Pada 28 Mac 1973, Syarikat West Country Sdn Bhd (14134-U) ditubuhkan bagi mengambil alih keseluruhan West Country Estate. Ketika itu West Country Estate meliputi 6,774 ekar ladang getah dan kelapa sawit, serta 2 buah lombong seluas 346 dan 232 ekar. (The Straits Times, 1 January 1974).
Sementara itu, pada Januari 1972, Perdana menteri, Tun Abdul Razak, mengumumkan tapak rancangan Universiti Kebangsaan di Bangi, seluas 2,300 ekar. Sebelum itu, penubuhan UKM diumumkan pada 15 Mac 1969, dan ditubuhkan pada 18 Mei 1970 lalu memulakan operasi pertamanya di Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Menteri Pendidikan ketika ini ialah Tun Hussein Onn. Antara faktor pilihan lokasi ialah jaraknya yang sederhana jauhnya dari kota Kuala Lumpur, agar ianya dapat membina identitinya sendiri. Kampung-kampung di sekelilingnya akan turut dibangunkan, namun tema pembangunannya harus kekal sebagai tempat kediaman atau perumahan. (The Straits Times, 19 Januari 1972).
Sekitar waktu itu, Hutan Simpan Bangi telah dinyahwartakan, lalu diwartakan sebagai tapak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Keluasan hutan ketika itu ialah 882 hektar, dan terdiri daripada 832 hektar hutan sekunder, 31 hektar paya air tawar, beralur kecil. Sebahagiannya anak Sungai Bangi di sebelah selatan, manakala sebahagian lagi (termasuk Alur Ilmu kini) mengalir ke Sungai Langat di sebelah utara. 19 hektar pula telah pun menjadi ladang getah dan kelapa sawit. (Kamarudin Mat Salleh (1999)).
Ketika pembinaan pesat UKM sepanjang tahun 1974 ini, masyarakat Temuan di sini telah dipindahkan oleh pihak kerajaan ke kawasan hutan di Sungai Buah dan Hutan Simpan Bukit Tunggul, berhampiran pekan Bangi (Lama). Namun pada tahun 1993, sebahagian kawasan tersebut telah diambilalih pula oleh sebuah syarikat swasta untuk pembinaan padang golf. Nama kawasan tersebut juga telah diubah kepada Bukit Unggul Golf Country Resort (BUGCR). Menurut catatan-catatan sarjana, NGO dan kalangan pentadbir:-
Gambar: Kiri: “'Tiada apa-apa faidah yang kami dapati dari pembinaan Universiti Kebangsaan di sini', tegas salah seorang daripada penghuni Kampung Bangi Bahagia bila ditanya pendapatnya mengenai persediaan yang dibuat untuk menyambut pembinaan komplek UKM nanti. Begitulah keluhan rata-rata penduduk Kampung Bangi Bahagia, kampung yang secara langsung terlibat dengan pembinaan komplek UKM, yang mana kesemua penghuninya adalah orang-orang Melayu. Kebanyak- kan daripada mereka memberi pendapat yang berlainan, berhubung dengan peluang dan masa depannya bila UKM akan ujud dalam masa beberapa tahun lagi.” (Gemasiswa, 2hb November 1972).
Kanan: Abdul Rahman Jaafar, salah seorang wartawan Nadi Bangi (mahasiswa tahun kedua UKM), sedang menemuramah seorang penduduk Bangi. “Nadi Bangi”, akhbar terbitan mahasiswa dan pensyarah Jabatan Perhubungan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), merupakan lidah rasmi UKM. Ia mula diterbitkan sejak Jun 1977 di kampus Pantai Baru, dan kini mula beroperasi di kampus baru di Bangi, setelah empat keluaran sebelumnya. Selain melaporkan aktiviti semasa mahasiswa (termasuk perpindahan ke kampus baru), ia juga turut melaporkan kegiatan penduduk kampung-kampung berdekatan. (Utusan Zaman (8 Januari 1978)). Nadi Bangi masih diterbitkan sehingga kini oleh mahasiswa UKM, namun dalam bentuk berbeza, dan tidak lagi menjadi lidah rasmi UKM.
Sebahagian penduduk kampung di sekitar tapak UKM turut terkesan, dan ada yang berpindah:-
Gambar: Perhimpunan pelajar di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya, membincangkan isu tapak UKM.
Pada 10 Februari 1974, hampir 5,000 pelajar dari pusat-pusat pengajian tinggi di sekitar Kuala Lumpur telah hadir ke sebuah perjumpaan di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya. Perancangan asalnya adalah sesi dialog dengan Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato' Harun Idris, berkaitan dakwaan kegiatan pembalakan tanpa permit oleh Syarikat Dengkil Sdn Bhd di Hutan Simpan Bangi, iaitu tapak pembinaan UKM. Namun pihak Menteri Besar menolak dan mencadangkan ia ditunda ke tarikh 12 Mac di Kajang. Perjumpaan tersebut diteruskan sebagai suatu sesi pembentangan beberapa orang wakil pelajar dan penduduk Bangi. Antara pembentangnya ialah Halim Arshat (Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia - PMUKM), Hishamuddin Rais (wakil Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya - UM), Idris Jusi (Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia), Ibrahim Ali (wakil Persatuan Siswa Institut Teknoloj(g)i Mara - ITM). Antara yang hadir dan turut menyokong ialah Encik Sidek Fadhil (wakil Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia - PKPIM), para pelajar Universiti Pertanian, dan penduduk Bangi. Turut menyatakan sokongan ialah ketua cawangan UMNO Bangi, Zainul Harun. (Berita Harian, 9-12 Februari 1974).
Suatu ringkasan latar belakang peristiwa: “Sementara itu kerja-kerja tanah yang berlangsung mulai tahun 1973 itu menimbulkan kekocohan. Untuk membangun kampus dan mendirikan bangunan terpaksa dibersihkan bagi tapak-tapak bangunan. Sebenarnya selepas pengumuman Bangi sebagai Kampus UKM, ramai yang datang melihat dan meninjau. Melihat kepada kawasan dibersihkan, timbul tuduhan terhadap orang politik berkuasa di negeri Selangor sebagai mengambil kesempatan mengeluarkan balak-balak sebagai habuan. Perkara ini menjadi isu kepada Persatuan mahasiswa UKM (PMUKM) yang turut datang melawat dan mendapati banyak balak-balak dikeluarkan. Ini menyebabkan pihak PMUKM menganjurkan demontrasi terhadap yang mengambil kesempatan. PMUKM mau keaslian kampus dipelihara dan tidak memotong pokok-pokok sembarangan, kecuali jika perlu. Isu ini berlarutan hingga terjadi tuduhan dan ketegangan dengan orang-orang politik peringkat negeri.” (Dr Shafie Abu Bakar, May 31, 2014).
Kemungkinan liputan ini adalah antara liputan-liputan yang dirujuk sebagai "Isu Bangi" atau "Bangi Affair", yang dijadikan contoh dakwaan kegiatan subversif terhadap pengarah Berita Harian ketika itu, Abdul Samad Ismail. (The Straits Times (28 Jun, 3 Julai 1976).
Menjelang tahun 1974, Gammon dan United Asbestos Cement (UAC) membeli 25 peratus saham West Country Sdn. Bhd. Antara spekulasi ketika itu ialah 4,600 ekar daripada 7,352 ekar jumlah keluasan tanah West Country Estate akan diperolehi oleh kerajaan negeri Selangor (mungkin untuk pembangunan Bandar Baru Bangi) (The Straits Times, 1 January 1974).
Perolehan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS): “About 1975 the Government (through PKNS) took over the land from the then owners of West Country Estate - Sipef NV (a Belgian company) to develop the South KL Educational Hub.” (Tanarata International Schools (2013)).
Pembangunannya yang bermula pada tahun 1974 bagi memenuhi keperluan pembangunan kawasan pertumbuhan baru di Selatan Lembah Klang berlandaskan kepada Polisi Ekonomi Kebangsaan, yang mengkhususkan kepada Bumiputera. Dari tahun 1974 hinggalah tahun 2010, PKNS selaku peneraju pembangunan yang dipertanggungjawapkan telah menyiapkan sebanyak 11,763 unit rumah dan 308 unit lot kedai. Secara keseluruhannya, terdapat komponen pembangunan tertentu yang diperuntukkan oleh PKNS di kawasan Bandar Baru Bangi iaitu; 20 peratus khusus untuk kawasan perumahan, 11 peratus untuk kawasan perindustrian, 6 peratus untuk aktiviti komersial,15 peratus untuk keperluan kawasan rekreasi manakala 24 peratus selebihnya untuk tujuan keperluan lain yang dirasakan relevan.” (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Laporan Tahunan 2010").
“In 1978, I married and started a family of my own. Meanwhile, there were vast changes taking place in West Country Estate. The landscape was being changed entirely! West Country Estate had been sold to Magnum Corporation, then to Sipef, which then sold it to the Selangor government's arm P.K.N.S. The region occupied by West Country Estate had been earmarked for development. A new township and an educational hub were built on the land occupied by the estate starting in the early 80s. … When the land was acquired by the Government for development, most of the workers of West Country Estate were allocated houses in Section 5, Bandar Baru Bangi.” (Munaianty s/o Ponnusamy @ Tanarata International Schools (2013)).
“Bangi mula dimajukan pada tahun 1974 dengan penghuni awal tidak sampai 1,000 orang. Pada tahun 1990, penduduknya dianggarkan seramai kira-kira 27,620 orang (PKNS 1990). Penghuni awal ini yang rata-rata berpendidikan menengah dan tinggi bekerja di institusi pengajian tinggi dan pusat penyelidikan, telah mengangkat nilai-nilai sosial yang baik sebagai asas perkembangan masyarakat bandar tersebut. Oleh itu, masyarakat Bandar Baru Bangi hari ini terpupuk melalui nilai-nilai budaya yang murni dan berjaya meneruskannya hingga kini. ….. Bandar Baru Bangi adalah sebahagian daripada zon pinggir Lembah Klang, dirancang berdasarkan konsep bandar taman. Bandar ini dilengkapi dengan kemudahan sosial seperti sekolah rendah dan menengah, pusat kesihatan awam dan swasta, surau, balai polis, pejabat pas, bomba, dewan serbaguna, kedai dan pasar harian yang diperlukan untuk kehidupan moden. Kawasan perindustrian menempatkan kilang-kilang yang mengeluarkan pelbagai jenis keluaran, menawarkan pekerjaan kepada penduduk sekitar Bandar Baru Bangi. Perancangan perumahannya pula dibuat dengan menerapkan konsep kejiranan bagi menggalakkan interaksi sosial dan perpaduan masyarakat. ….. Bandar Baru Bangi dibahagikan kepada 16 seksyen dan kawasan perumahan terdapat di Seksyen 1,2,3,4,5 dan 16 sahaja.” (Katiman Rostam, Wan Maimunah Wan Ismail @ Akademika, UKM, Vol 50, No 1 (1997)).
Gambar: Kiri: Peta Bandar Baru Bangi sekitar awal 1980-an (Pengarah Pemetaan Negara Malaysia (1990)).
Kanan: Peta Bandar Baru Bangi sekitar awal 2000-an (Pengarah Pemetaan Negara Malaysia (2002)).
Nota Kaki Penuh: Sila rujuk laman utama: Cebisan Sejarah Bangi.