Jadual Kandungan

Pembangunan Bandar Baru Bangi

Dirujuk oleh

West Country Estate

“Pada tahun 1972 Tun Abdul Razak Canselor UKM yang juga Perdana Menteri Malaysia mengumumkan bahawa Bangi menjadi pilihan bagi Kampus tetap UKM. Keluasan kampus ialah 2,709.2 ekar. Seluas 5,118 ekar di Bangi dipilih menjadi kawasan perumahan dan perbandaran sebagai pemangkin bagi kemajuan UKM dan sebaliknya.” (Dr Shafie Abu Bakar, November 7, 2017: |"40 TAHUN BANDAR BARU BANGI : PENCAPAIAN DAN KEMAJUAN - RUMUSAN").

“Pada awalnya, Bandar Baru Bangi berasal daripada kawasan ladang kelapa sawit yang di kenali sebagai West Country Estate. Pada tahun 1974, Ladang kelapa sawit yang berkeluasan 5118 ekar ini mula dibangunkan setelah proses pengambilan tanah dibuat oleh kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan mulai 1972 sehingga 1978. Proses pengambilannya dilakukan secara berperingkat-peringkat bermula dengan seksyen 1 yang melibatkan pembinaan rumah kos rendah, sederhana dan tinggi yang berjumlah 200 unit. Kerja-kerja membangunkan kawasan ini berakhir pada tahun 2007 dengan pembinaan 11040 unit kediaman, 308 unit kedai, 43 unit kilang dan sebuah kompleks pejabat.” (Taman West Country, Disember 2015: |"Latar Belakang Taman West Country").

“Pembukaan Bandar Baru Bangi bermula semasa kawasan tersebut masih lagi dikenali sebagai West Country Estate iaitu sebuah ladang kelapa sawit yang berkeluasan 5118 ekar. Berikutan pengenalan Dasar Ekonomi Baru yang berhasrat ingin mennyusun dan membuka penempatan kaum Melayu dalam kawasan bandar. West Country Estate diambil oleh kerajaan secara berperingkat pada dari 1972-1978.” (Koleksi Arkib & Khas, Perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM @ Facebook, 17 Januari 2021: |"Pembukaan Bandar Baru Bangi").
West Country Estate, dan sekitarnya, 1920-anWest Country Estate, dan sekitarnya, kini

Kiri: West Country Estate, dan kawasan sekitarnya, 1920-an. (Survey Department, Singapore, 1927 @ National Archives of Singapore: |"Parts of Seremban and Jelebu Districts with portions of Ulu Langat and Kuala Langat Districts (Selangor), Kajang, Negri Sembilan").
Kanan: Kawasan West Country Estate, dan kawasan sekitarnya, kini (Mapcarta).

Petunjuk Peta (1920-an) Kawasan yang sama kini
West Country Estate West Country Estate. Sempadan sebelah timurnya sepanjang Sungai Langat.
Bandar Baru Bangi Seksyen 1, 2, 3, 4, 6, 16, Padang Golf Bangi.
Reko Hill Estate
Reko Hill Estate. Muara Sungai Reko di sebelah selatannya.

Bandar Baru Bangi Seksyen 5, SJK(T) Ladang West Country Timur, SMK Jalan Reko, Taman Tenaga, Taman Langat Jaya, Taman Reko Mutiara, Pusat Hentian Kajang, Taman Perindustrian Kajang.
Sungai Lui Estate
Sungai Lui Estate.

Bandar Baru Bangi Seksyen 8, 9, 10, 11, Kawasan Perindustrian MIEL.
Belmont Estate
Belmont Estate.
Kawasan Perindustrian Bangi, Bandar Baru Bangi Seksyen 12, Taman Desa Baginda, Kampung Berdua, Pejabat Tanah & Daerah Hulu Langat, Institut Latihan Islam Malaysia, Ibu Pejabat Agensi Dadah Kebangsaan.
Bangi Forest Reserve

Hutan Simpan Bangi.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Dengan pemilihan tapak UKM, bererti juga berkait dengan pemilihan lokasi penempatan kawasan kediaman bagi tenaga pengajar, pekerja-pekerja yang berkait dengan UKM, iaitu Bandar Baru Bangi yang menjadi pemangkin bagi perkembangan UKM, bahkan pemangkin bagi perkembangan persekitaran. Bangi adalah tumbuh dan berkembang di atas tapak berasal dari estate Ladang Kelapa sawit dan juga getah West Country seluas 5.118 ekar yang dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mulai pada tahun 1974 beriring dengan pembangunan kampus UKM. (Shafie Abu Bakar, Bangi, Bandar Ilmu,2012: 1).” (Dr Shafie Abu Bakar, January 6, 2018: |"BANGI DALAM PETA AZALI").

1972-1974: Perolehan oleh Kerajaan

“Sejak lokasi Bangi dihebahkan mulai 1972 itu sebagai tapak kampus rasmi UKM, maka nama Bangi – termasuk kawasan kampus dan kawasan bakal menjadi Bandar Baru Bangi yang sebelum ini tidak diketahui, maka ianya mewangi dan mulai terkenal di seluruh negara. Peta Bangi yang seluas 5118 ekar itu, secara kasarnya berbentuk D (huruf besar D). Pada bahagian kanannya bersempadankan jalan raya lama dari Kajang ke Pekan Bangi (Bangi Lama) yang agak sempit dan berliku-liku, khususnya ke Pekan Bangi. Sebahagian besar di sebelah kanan ini bersempadankan kawasan Kampus UKM, Sungai Tangkas dan pada bahagian atasnya ialah Jalan Reko, manakala pada bahagian tengahnya ialah bersempadankan Kampung Sungai Merab (sebahagian Sungai Merab termasuk di dalam kawasan Bandar Baru Bangi). Kawasan ini kemudiannya dibelah oleh lebuhraya (Plus) Kuala Lumpur –Seremban, manakala pada sebelah kirinya bersempadankan kawasan Sepang. Kawasan yang berasal dari ladang kelapa sawit ini pada umumnya adalah tanah rata, tetapi mempunyai beberapa bukit, seperti Bukit Bandar Baru Bangi (termasuk Bukit Mutiara). Terdapat sebatang sungai, iaitu Sungai Reko yang hulunya dari kawasan Kajang mengalir mensempadankan antara Kampus UKM dengan kawasan Bandar Baru Bangi. Sungai berkenaan mengalir ke sungai Langat yang hulunya ialah Hulu Langat (Pangson – kawasan rekreasi Hulu Langat) dan sungai ini bermuarakan Kuala Langat.

Semasa kawasan estate ini diambilalih oleh pihak kerajaan Negeri Selangor melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, perkampungan atau kawasan yang ada ialah Pekan Bangi dan Kampung Teras Jernang, pada bahagian selatan Bangi, manakala pada bahagian kirinya, ialah Kampung Sungai Merab membawa kepada Sungai Ramal Dalam, Sungai Ramal Luar, Sungai Chua dan Pekan Kajang (masa itu Kajang masih bertaraf pekan yang tidak begitu teratur). Sempadan di bawah dari Kajang, ialah Jalan Reko yang kampung lama di sini ialah West Country – Penempatan pekerja estate yang nama kampung ini mengambil nama syarikat bagi estate berkenaan. Penduduk di sini pada peringkat permulaan kebanyakannya kaum India, iaitu pekerja bagi estate West Country. Berdekatan dengan West Country ini ialah kampung Sungai Tangkas yang menjadi kawasan penempatan orang asli yang dipindah dari kawasan kampus UKM dan penduduk yang baru. Oleh kerana Bandar Baru Bangi berasal dari kawasan ladang kelapa sawit, maka pada bahagian tengah kawasan yang menjadi Bandar Baru Bangi tidak ada perkampungan asal (kawasan kelapa sawit). Jadi bagi kawasan Bandar Baru Bangi tidak ada penduduk yang boleh mendakwa sebagai orang asal, mereka semuanya penghuni baru dari luar Bandar Baru Bangi.

Mulai tahun 1972 kawasan kampus UKM dan kawasan Bandar Baru Bangi mulai menjadi kawasan yang dilawati orang ramai, khususnya apabila kedua-dua kawasan berkenaan diteroka. Bagi kawasan kampus, lawatan dilakukan oleh pemimpin-pemimpin seperti oleh Dato` Razak bin Hussein selaku Canselor UKM dan turut melawat tapak UKM ialah Tuanku Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Sultan Selangor bersama Menteri Besar Selangor pada masa itu, iaitu Dato` Haron Idris. Turut melawat peringkat permulaan rombongan kakitangan UKM dan pelajar-pelajar.”

(Sumber: Dr Shafie Abu Bakar, January 7, 2018: |"BANGI YANG MEWANGI").

Kawasan ladang asal sekitar Bandar Baru Bangi-UKM
Kawasan ladang asal sekitar Bandar Baru Bangi-UKM (Muhammad Barzani Gasim, Mazen M. Jamil and Sahibin Abd Rahim, 2009: |"Water-Quality Assessment of the Langat River at Kilometre 7, Jalan Kajang-Bangi, Selangor, Malaysia", m.s.3).

“Dari satu segi timbul kesedaran di kalangan tenaga-tenaga pengajar dan pekerja di UKM dan orang perseorangan luar dari UKM mencari peluang mendapatkan tanah (membeli) sebanyak mungkin di sekitar Teras Jernang, Sungai Merab, Sungai Ramal Luar dan Dalam dan juga Bangi yang harga tanah pada masa itu relatifnya masih murah. Ironinya kesedaran yang sepatutnya timbul dari pensyarah-pensyarah Ekonomi yang merupakan jabatan di bawah Fakulti Sastera UKM, tetapi tidak berlaku, sebaliknya pensyarah-pensyarah dari Fakulti Islam UKM yang banyak membeli tanah baik secara kelompok atau berseorangan di tempat-tempat yang disebutkan. Mereka menjadikan kawasan yang mereka beli sebagai kawasan kediaman kelompok dari kawan-kawan terdekat dalam satu fakulti, terutama Fakulti Islam. Beberapa daripada mereka menjadi penjual-penjual tanah kepada – terutama kawan-kawan terdekat atau sama seuniversiti, maka ramailah yang mendapat peluang memiliki tanah. Tetapi ada juga yang menghadapi masalah, kerana urusan jual beli dan pemilikan tanah berlarutan dan tidak dapat diselesaikan, bahkan hingga kini. Selain dari itu pihak bersendirian juga berusaha mendapat tanah untuk tempat kediaman, antaranya dari pemilik-pemilik asal di kampong-kampung atau membeli tanah dari mereka yang mendapat pampasan tanah kerana berpindah seperti di Sungai Tangkas, Kampung Baharu dan sebagainya. Lantaran itu demografi kependudukan di kampung-kampung berdekatan di Kajang, Bangi dan berdekatan UKM bukan lagi orang asal, tetapi didiami kepelbagaian penduduk dan berbagai negeri dan tempat.” (Dr Shafie Abu Bakar, May 31, 2014: |"Fenomena Bangi-UKM").

Latar Berkaitan: Perihal Kampung Sungai Ramal.

1974: Permulaan: Era PKNS

Risalah Terbitan PKNS (1974)

Pelan perancangan Bandar Baru Bangi, 1974Peta lokasi Bandar Baru Bangi, 1974
Pelan perancangan dan peta lokasi Bandar Baru Bangi, 1974: “Tempat: Bandar Baru Bangi adalah sebahagian dari Kawasan Lembah Kelang dan dikenali sebagai satu kawasan pembangunan di daerah Selatan. Bandar ini terletak lebih kurang 14 batu dari Kuala Lumpur jika melalui jalan baru yang dicadangkan - Kuala Lumpur / Seremban Expressway dan kira-kira 18 batu jika melalui Route 1. Tapak: Cadangan kawasan bandaran yang luasnya melebehi 6,000 ekar ini berukuran 3 1/2 batu dan 2 batu. Penduduk-penduduk yang ada sekarang tertumpu dikawasan Melayu Sungei Ramal disebelah utara dan dipenempatan pekerja-pekerja ladang disebelah timor. Pada asasnya kawasan bakal bandar baru ini terdiri dari perusahaan pertanian getah dan kelapa sawit. Tapak ini terletak dalam kawasan tanah yang tidak rata, miring kehala lembangan Sungai Langat dimana terdapat aktiviti-aktiviti perlombongan yang masih dijalankan. Satu pematang curaian yang terdiri dari tanah-tanah tinggi terletak ditengah-tengah kawasan ini. Tapak bandar ini diapit oleh dua kompleks universiti, yaitu Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Pertanian Serdang. … Disediakan oleh Yunit Perancang Bandar Baru Bangi 1974”

RUMUSAN PELAN
Rumusan Pelan Penduduk: Bandar ini adalah dirancang untuk menempatkan penduduk seramai 140,000 orang, dengan kemungkinan dicantumkan dengan bandar Kajang yang akan mempunyai seramai 40,000, diperengkat akhir pembangunan. Jumlah penduduk di-jangka akan meningkat seramai 20,000 dalam tahun 1977, 42,000 dalam tahun 1980, 77,000 dalam tahun 1985 dan 140,000 dalam tahun 1990.

Lorong-Lorong Berjalan Kaki / Berbasikal: Perkara yang penting dalam rancangan Bandar Baru ini ialah konsep mengutamakan kegunaan lorong-lorong berjalan kaki dan lorong berbasikal, yang akan menyambungkan segala aktiviti-aktiviti satu-satu kawasan kediaman dengan yang lain dibandar tersebut. Lorong-lorong ini akan dapat dilihat sebagai satu tempat perkembangan bagi kawasan sekelilingnya dengan adanya kemudahan-kemudahan sosial, pelajaran dan lain-lain lagi disepanjang jaraknya. Tempat-tempat perhentian bas akan diadakan ditakat mana lorong-lorong tersebut bertemu dengan jalan besar. Lorong-lorong ini menyediakan rangka asas bagi menghubungkan kawasan-kawasan dan penduduk-penduduk sekitar.

Struktur Masyarakat: Sekolah rendah dan kedai-kedai tempatan bagi kemudahan dan keperluan penduduk-penduduk seramai lebih kurang 4,000 orang adalah diambil sebagai ukuran utama dalam struktur masyarakat. Jarak yang paling jauh kepada kemudahan-kemudahan tersebut ialah 1/4 batu atau jangka masa 8 minit berjalan kaki. Berdasarkan kepada prinsip-prinsip diatas, satu yunit kawasan perumahan secara teori telah direka yang akan dapat memberi perbezaan kepada bentuk dan kepadatan penduduk-penduduk. Saiz struktur masyarakat ini akan berubah mengikut keadaan kawasan-kawasan sekitar.

Bentuk Perbandaran: Satu struktur telah dibentuk didalam mana diharapkan kawasan perumahan didalam bandar tersebut akan dapat dibina sebagai satu entiti yang lengkap dalam erti bentuk pembinaan dan bukan sebagai satu siri pembangunan yang tidak ada perhubungan diantara satu kawasan sekitar yang berasingan. Lorong-lorong berjalan kaki dan berbasikal ini akan dapat mengukuhkan lagi bentuk bandar tersebut. Sektor penduduk yang mempunyai kenderaan akan diletakan berhampiran dengan jalan besar manakala kawasan yang akan mempunyai perkembangan penduduk yang padat akan menggunakan lorong-lorong. Pembangunan yang penting ialah bentuk beberapa siri yunit perumahan, kawasan pusat dan kawasan perindustrian, dihubungkan antara satu sama lain melalui satu sistem yang menggunakan dua lengkungan jalan besar dan lorong berjalan kaki/berbasikal.

Pekerjaan: Bandar ini akan mengujudkan 18,000 peluang pekerjaan dalam Taman Pekerjaannya yang luasnya 350 ekar. Taman Pekerjaan ini akan menyediakan kawasan-kawasan untuk perindustrian dan lain-lain pembangunan yang berkaitan, untuk memajukan lagi bandar tersebut. Keseluruhannya, Bandar ini akan menyediakan pekerjaan yang beranika jenis untuk lebih kurang 44,000 orang.

Perniagaan: Kawasan membeli belah yang diperlui ialah 2.6 juta kaki persegi dan pelan bandar ini juga menyediakan lebih kurang 1.7 juta kaki persegi kawasan untuk pusat pejabat-pejabat. Selain daripada itu kawasan-kawasan perumahan juga akan mempunyai pusat-pusat tempatan yang biasanya dikaitkan dengan kemudahan-kemudahan sekolah dan sosial.
Linear Development Concept Pusat Bandar: Pusat Bandar berbentuk “linear” akan menempatkan kedai-kedai besar, peniaga-peniaga kecil serta pusat-pusat pejabat penting. Pusat bandar ini akan memberi berbagai-bagai jenis peluang kepada semua pertubuhan perniagaan sekawasan supaya dapat mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru.

Kawasan-Kawasan Lapang / Permainan: Sistem kawasan-kawasan lapang adalah berasaskan kepada lembah-lembah sungai yang akan memisahkan satu-satu pembangunan yang pesat dengan yang lain. Taman-taman ini juga akan menjadi satu kawasan taman yang bersambungan diantara sungai, kawasan desa disempadan bandar dan kawasan perumahan di Bandar tersebut. Penggunaan kawasan lapang ini termasuk sukan, golf dan aktiviti aktif dan pasif yang diperlukan dari masa kesemasa.
Residential Development Concept Perhubungan: Sistem perhubungan adalah dirancangkan supaya dapat menampong kemungkinan milikan kenderaan yang besar jumlahnya dan juga memberi kesempatan untuk mengadakan satu sistem pengangkutan awam yang cekap. Jalan-jalan pengedaran adalah dalam bentuk lengkongan yang mencantumkan kesemua kawasan perumahan. Kesemua lorong-lorong berjalan kaki dan berbasikal adalah dirancangkan untuk memudahkan lagi perjalanan. Sistem perhubungan adalah direka dengan elemen “flexibility”.

Peringkat Pembinaan: Pembangunan-pembangunan akan dijalankan dibawah 4 peringkat menuju kearah utara dari kompleks Universiti Kebangsaan supaya perkembangan bandar ini akan mengukuhkan bentuk garis “linear” yang padat sepanjang pembangunannya.

(Sumber: PERBADANAN KEMAJUAN NEGERI SELANGOR (PKNS) @ Arkib Negara 2006/0033913W, 31/12/1974: |"PELAN STRUKTUR BANDAR BARU BANGI - 1974").

Petikan Kajian

“Bandar Baru Bangi merupakan sebuah bandar baru yang telah dimajukan secara berperingkat-peringkat sejak tahun 1974 yang merangkumi kawasan seluas lebih kurang 2925 hektar (7228 ekar). Secara am, matlamat utama pembukaan bandar ini adalah untuk menjadikan kawasan Bandar Baru Bangi sebagai satu pusat pertumbuhan wilayah bagi selatan Lembah Klang, memberi peluang yang luas kepada bumiputera dalam kegiatan ekonomi selaras dengan dasar negara ketika itu iaitu Dasar Pembangunan Negara dan menjadikan Bandar Baru Bangi sebagai bandar universiti dan seterusnya pusat kajian sains. Pembangunan peringkat awal Bandar Baru Bangi adalah berdasarkan kepada pelan struktur yang telah disediakan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Jabatan Perancang Bandar dan Desa pada tahun 1974 dan selepas itu dikaji semula pada tahun 1979 dengan matlamat untuk mewujudkan pembangunan yang sederhana (moderate growth) bagi menampung seramai 75000 penduduk dalam tahun 2000.” (MOHD FIRDAUS SHAHARUDIN, SITI HAFIFAH ABDUL WAHID, JURIANSHAH MANTA, MOHD KASBI HAMAT @ JABATAN KEJURUTERAAN AWAM DAN STRUKTUR, FAKULTI KEJURUTERAAN, UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA: |"PERANCANGAN PENGANGKUTAN BANDAR BARU BANGI").

“Pembangunannya yang bermula pada tahun 1974 bagi memenuhi keperluan pembangunan kawasan pertumbuhan baru di Selatan Lembah Klang berlandaskan kepada Polisi Ekonomi Kebangsaan, yang mengkhususkan kepada Bumiputera. Dari tahun 1974 hinggalah tahun 2010, PKNS selaku peneraju pembangunan yang dipertanggungjawapkan telah menyiapkan sebanyak 11,763 unit rumah dan 308 unit lot kedai. Secara keseluruhannya, terdapat komponen pembangunan tertentu yang diperuntukkan oleh PKNS di kawasan Bandar Baru Bangi iaitu; 20 peratus khusus untuk kawasan perumahan, 11 peratus untuk kawasan perindustrian, 6 peratus untuk aktiviti komersial,15 peratus untuk keperluan kawasan rekreasi manakala 24 peratus selebihnya untuk tujuan keperluan lain yang dirasakan relevan.” (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), 2010: |"PKNS: Laporan Tahunan 2010").

“Sejak tahun 1974, Bandar Baru Bangi telah dimajukan secara berperingkat-peringkat. Bandar Baru Bangi merangkumi kawasan seluas lebih kurang 2, 925 hektar (7, 228 ekar). Matlamat utama pembukaan Bandar ini ialah untuk menjadikan kawasan Bandar Baru Bangi sebagai satu pusat pertumbuhan wilayah bagi Selatan Lembah Klang dan seterusnya dijadikan Bandar Universiti dan juga pusat kajian sains.” (Lee Jun Seng, Lim Sook Yee, Livia binti Lahat, Low Yoke Yen @ UKM, 2006: |"KKKH 4543: Perancangan Pembangunan Bandar: Projek Kajian Lalulintas Bandar Baru Bangi, m.s.12)

“Bangi mula dimajukan pada tahun 1974 dengan penghuni awal tidak sampai 1,000 orang. Pada tahun 1990, penduduknya dianggarkan seramai kira-kira 27,620 orang (PKNS 1990). Penghuni awal ini yang rata-rata berpendidikan menengah dan tinggi bekerja di institusi pengajian tinggi dan pusat penyelidikan, telah mengangkat nilai-nilai sosial yang baik sebagai asas perkembangan masyarakat bandar tersebut. Oleh itu, masyarakat Bandar Baru Bangi hari ini terpupuk melalui nilai-nilai budaya yang murni dan berjaya meneruskannya hingga kini.
…..
Bandar Baru Bangi adalah sebahagian daripada zon pinggir Lembah Klang, dirancang berdasarkan konsep bandar taman. Bandar ini dilengkapi dengan kemudahan sosial seperti sekolah rendah dan menengah, pusat kesihatan awam dan swasta, surau, balai polis, pejabat pas, bomba, dewan serbaguna, kedai dan pasar harian yang diperlukan untuk kehidupan moden. Kawasan perindustrian menempatkan kilang-kilang yang mengeluarkan pelbagai jenis keluaran, menawarkan pekerjaan kepada penduduk sekitar Bandar Baru Bangi. Perancangan perumahannya pula dibuat dengan menerapkan konsep kejiranan bagi menggalakkan interaksi sosial dan perpaduan masyarakat.
…..
Bandar Baru Bangi dibahagikan kepada 16 seksyen dan kawasan perumahan terdapat di Seksyen 1,2,3,4,5 dan 16 sahaja.”
(Katiman Rostam, Wan Maimunah Wan Ismail @ Akademika, UKM, Vol 50, No 1 (1997), m.s.29: |"Pola Interaksi Sosial di Kawasan Perurnahan Terancang di Bandar Baru Bangi").

Fasa / Seksyen 1

“Pembangunan Baru Bangi 1975 adalah bermula dengan Seksyen Satu yang mana tapak bagi sebuah masjid disediakan di Seksyen Satu, di pinggir bukit Bangi (bersempadan dengan Seksyen 2). Perumahan awal dibangunkan ialah perumahan jenis semi D (8 lorong), rumah teres dua tingkat (dua baris) dan perumahan teres setingkat type A dan B yang kesemua berjumlah 200 buah rumah.” (Dr Shafie Abu Bakar, May 10, 2015: |"Tapak Masjid Al-Umm Setua Bandar Baru Bangi").

“Ia (Seksyen 1) meliputi kawasan perumahan di Jalan 111 hingga Jalan 119 (Rajah 1). Kawasan tersebut dipilih kerana merupakan terawal sekali dimajukan dan didiami penduduk. Masyarakat kawasan tersebut adalah yang paling awal terbentuk dan menjadi peneroka serta pengasas masyarakat Bandar Baru Bangi keseluruhannya. Dalam banyak hal, merekalah yang banyak membuat keputusan (melalui Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi yang juga berpusat di Seksyen 1), menerajui kepimpinan, serta menanamkan nilai-nilai sosial murni di kalaugan penduduk setempat (Komunikasi persendirian dengan Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi 1994). Oleh kerana masyarakat di kawasan tersebut merupakan yang paling awal ditubuhkan maka keadaannya lebih mantap.”
RAJAH 1. Seksyen 1 Bandar Baru Bangi
“RAJAH 1. Seksyen 1 Bandar Baru Bangi”

(Katiman Rostam, Wan Maimunah Wan Ismail @ Akademika, UKM, Vol 50, No 1 (1997), m.s.29: |"Pola Interaksi Sosial di Kawasan Perurnahan Terancang di Bandar Baru Bangi").

“Pada 1975 kerja-kerja tanah dimulakan di BBB. BBB dimajukan oleh Pebadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). … Dari tahun 1975 hingga 1995 perumahan dibina secara berperingkat-peringkat bermula (seksyen) 1 &16, 2 hingga 4, kemudian diikuti fasa 5 &6. Manakala Fasa 7, 8 dan 9 lewat dari pertengahan 1990an. Fasa 9 menjadi pusat Bandar. Fasa 10 & 11 kawasan industri, manakala fasa 12 &13 ialah kawasan agensi-agensi kerajaan, di sebelah kanan highway ke Seremban.Manakala seksyen 14 & 15 ialah kawasan West Country dan (15) sebelah kiri ke Tol Bangi. Perancangan pembinaan melibatkan:-

* 11,040 unit kediaman
* 308 unit kedai
* 43 unit kilang
* 01 kompleks pejabat (Pejabat Daerah).
* 82 ekar kawasan lapang

Penduduk mulai mendiami perumahan kediaman apabila kunci dikeluarkan oleh PKNS pada 30 November 1977 – khusus bagi Fasa Satu yang mula-mula berpindah.”


(Dr Shafie Abu Bakar, November 7, 2017: |"40 TAHUN BANDAR BARU BANGI : PENCAPAIAN DAN KEMAJUAN - RUMUSAN").

Perihal perolehan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS):-

1977: Pembukaan UKM

Pada peringkat permulaan, untuk datang ke Bangi agak sukar. Sebelum kampus UKM dibuka, masih tiada lebuhraya seperti sekarang, jalan ke Bangi, ialah melalui jalan Kuala Lumpur ke Cheras dan Kajang yang masih sempit dan dari Kajang sampai ke tapak UKM. Untuk ke kawasan Bangi, sama ada masuk melalui kampung West Country, di jalan Reko dan melalui jambatan kayu yang uzur dan menyusuri jalan tepi estate kelapa sawit atau getah – jalan tanah merah ke kawasan tapak Bandar Baru Bangi, atau masuk melalui jambatan kayu Teras Jernang, ke kawasan tapak Bandar Baru Bangi. Pada masa itu belum ada jambatan konkrit pada hadapan kampus UKM, bahkan jambatan ini belum dibina pada permulaan kampus UKM diguna (Oktober 1977).

Perlu diingat pada permulaan kampus tetap UKM diumumkan belum ada lebuh raya (belum siap) antara Kuala Lumpur dan Bangi, untuk ke Seremban masih menggunakan jalan lama – Kajang –Seremban, belum ada rancangan untuk membuka KLIA dan masih belum ada rancangan untuk membuka Putrajaya. Jadi pada peringkat permulaan Bangi dan Kampus UKM masih sunyi jauh di Selatan negeri Selangor.
” (Dr Shafie Abu Bakar, January 7, 2018: |"BANGI YANG MEWANGI").

“Pembangunan bagi fasa pertama bagi BBB yang bermula sejak 1975 siap pada akhir 1977. Pihak PKNS beroperasi dari pejabat sementaranya dari sederet kedai PKNS di Taman Mesra, Kajang. Iklan penjualan rumah di BBB ditawarkan kepada tenaga-tenaga pengajar, pegawai-pegawai dan pekerja-pekerja awam UKM, juga UPM (sebagai universiti 1973) serta orang awam sebelumnya. Rumah-rumah yang ditawarkan ialah rumah semi D dua tingkat, rumah teres dua tingkat dan rumah teres setingkat yang keseluruhannya berjumlah bagi peringkat permulaan adalah sebanyak 100 buah.

Lokasi perumahan ini berada tidak jauh dari bangunan Masjid Al-Umm kini, dengan rumah semi D berada memanjang di tepi bukit (Mutiara kini), manakala rumah teres dua tingkat, dua baris menurun dari bukit berkenaan, sedang rumah teres setingkat berada di tanah rata di seberang jalan bagi rumah teres dua tingkat berkenaan. Dapat dikatakan bahawa sambutan dari pegawai-pegawai UKM, juga UPM adalah dingin, walaupun harga rumah-rumah berkenaan relatifnya murah. Harga bagi rumah semi D adalah dalam lingkungan RM70,000, rumah teres dua tingkat adalah RM37,000 dan rumah teres setingkat adalah RM24,000 (type A) dan teres setingkat (type B), ialah RM17,000.

Tempahan dan pemilihan rumah yang dibuat adalah melalui pelan di atas kertas semasa pembinaan rumah-rumah di atas sedang rancak dibangunkan. Pada peringkat permulaan, pembeli-pembeli (UKM di Jalan Pantai Kuala Lumpur) tidak dapat melihat bangunan yang sedang dibina oleh kerana masih sukar ke sana dan jalan ke kawasan perumahan di atas masih jalan tanah merah yang digunakan oleh pekerja-pekerja kontrek. Cuma beberapa bulan sebelum perpindahan pembeli-pembeli baru dapat mengenali dan mempastikan rumah pilihan mereka dan dapat masuk ke lokasi dengan jalan-jalan masih bertanah merah dan belum bertar. Untuk sampai ke lokasi yang kemudian dikenal sebagai seksyen satu. Untuk datang ke lokasi dalam mana UKM masih belum dibuka, adalah datang dari kampus UKM Jalan Pantai ialah melalui jalan Cheras yang masih sempit dan kiri kanan pokok-pokok buah-buahan. Melalui jalan ini sampai ke Pekan Kajang yang pada masa itu disifatkan sebagai `Pekan Cowboy` (ada empat deret kedai lama), namun pekan ini sudah dikenali sebagai `Pekan Sate Kajang`. Dari Kajang melalui jalan yang masih sempit – Jalan Pekan Bangi. Pada pertengahan jalan tiba didepan kampus UKM. Manakala ke kanannya ke Bandar Baru Bangi, tetapi pada masa itu masih belum ada jambatan yang merentasi Sungai Reko sebagaimana yang ada kini. Untuk ke Bandar Baru Bangi hendaklah ke atas melalui jalan berjambatan kayu ke Kampung Teras Jernang ke kanan dan kemudian ke kiri ke Bandar Baru Bangi. Dari Kajang ke Kampus UKM dapat pergi dengan menaiki bas syarikat SUM berwarna merah yang berkhidmat antara Kajang dan Pekan Bangi. Dari Kuala Lumpur boleh juga menggunakan perkhidmatan keretapi ke Kajang (kini ada stesyen UKM).

Perpindahan UKM dari Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur ialah secara bersiri pada bulan Oktober 1977 dan perpindahan bagi pembeli-pembeli rumah di BBB ialah pada 30 November 1977 (hari mula penyerahan kunci rumah). Bagi yang memilih kediaman di Bandar Baru Bangi, terutamanya dari pekerja-pekerja awam, di samping sebahagian pensyarah dan pegawai pentadbir, bagi mereka sudah cukup memuaskan, kerana dapat memiliki rumah, walaupun tidak mewah. Mereka tidak mimpi sebelumnya untuk memiliki rumah, khususnya bagi mereka yang luar dari Selangor. Pemilihan dibuat oleh kerana:-

* Lokasinya adalah paling dekat dengan UKM. Membeli rumah di BBB adalah dekat dan mudah berulang alik, khususnya apabila segala keperluan siap. Ini bererti mengurangkan perbelanjaan kenderaan, menyelamatkan masa dan tidak tertekan dan tidak berkejar-kejar untuk menunaikan tugas.

* Faktor kos rumah juga adalah menjadi perkiraan. Dengan harga-harga rumah yng disiapkan oleh PKNS yang disebutkan di atas adalah murah berbanding dengan rumah-rumah yang ditawarkan oleh pihak swasta yang juga rancak membangunkan projek perumahan dengan adanya UKM, misalnya perumahan di Bukit Kajang dan Bukit Mewah Kajang. Pada peringkat permulaan UKM menyediakan skim pinjaman perumhan bagi kakitangannya membeli perumahan di BBB dan tidak perlu meminjam dari bank. Penulis sendiri mendapat faedah dari skim pinjaman ini, walaupun tidaklah banyak. Bagi setengah pihak membeli rumah di BBB adalah sebagai prestej, kerana mendiami perumahan di `Bandar Universiti`. Ia seolah-olah bandar Cambridge bagi Universiti Cambridge dan Oxford bagi Universiti Oxford.

* Kebanyakan yang bekerja di UKM bukan orang tempatan, bahkan luar dari Selangor. Memilih BBB sebagai membina identiti baru. Menghuni di BBB adalah membina komuniti dan masyarakat baru dan tiada siapa dapat mnendakwa dia orang asal, kerana tiada perkampungan dan kependukan sebelumnya, kerana ia adalah bekas ladang kelapa sawit. Bagi mereeka yang bertaraf rendah dan sederhana dan tiada rumah sebelumnya, dapat memiliki rumah di BBB sudah cukup menggembirakan dan syukur kepada Tuhan, walaupun pada peringkat permulaan masih banyak dengan kekurangan.”
(Dr Shafie Abu Bakar, January 9, 2018: |"TAKMILAH DAN REDHA SEADANYA PERINGKAT PERMULAAN").

1980-an: Bandar Ilmu

Pada awal perkembangannya, kebanyakan penduduk Bandar Baru Bangi terdiri daripada tenaga pengajar, penyelidik, serta para pekerja di institusi pengajian dan penyelidikan di sekitarnya:-

Bandar Baru Bangi (1983)Bandar Baru Bangi (2020)
Peta Bandar Baru Bangi: Kiri: 1983 (Harith Faruqi Sidek @ Kitab Tawarikh 2.0, July 04, 2013: |"Ishak Osman,kakitangan UKM jadi penduduk terawal Bandar Baru Bangi."); Kanan: 2020 (Mapcarta).

Sambutan Awal

Menurut beberapa kajian, pertambahan penduduk Bandar Baru Bangi pada peringkat ini tidak sepesat yang diharapkan, mungkin akibat beberapa faktor masalah serta kepincangan dalam implementasi perancangannya:-

Suasana 1980-an

Catatan suasana Bandar Baru Bangi pada awal tahun 1980-an: “Awal dekad 1980-an dahulu, tiada kereta langsung untuk menuju ke UKM. Biasanya saya menumpang teman-teman sekerja yang tinggal berdekatan untuk ke tempat kerja. Saya akan bayar bulan-bulan. Biasanya suami isteri yang bekerja akan membenarkan anak dara menumpang keretanya. Kereta tersebut mesti penuh dengan tiga orang penumpang yang bayar bulan. Tidak ada rasa cemburu buta. Semuanya nak ke tempat kerja. Kami pun dah mengenali hati budi pasangan suami isteri tersebut sebelum menumpang dan membayar secara bulanan. Saat ada acara di DECTAR pada malam hari, kami rakan-rakan serumah akan berjalan kaki dengan rasa gembira tidak terhingga daripada Fasa 1 menuju ke DECTAR. Tidak penat langsung! Kami akan berjalan kaki beramai-ramai pergi dan balik. Memang tidak ada kenderaan langsung. Cukup lenggang biarpun jam sudah menunjukkan ke angka 12.00 malam. Biasanya jika ada acara kebudayaan di DECTAR kami akan hadir. Itu sahaja hiburan yang ada untuk kami yang muda-muda ini. Hari Sabtu bila pulang daripada tempat kerja (12.45 tengah hari) kami akan terus ke Great Wall di Kajang. Untuk apa? Itulah satu-satunya tempat untuk kami lepak dan mencari barang-barang keperluan. Tidak ada pusat membeli belah yang gah seperti sekarang. Tetapi Great Wall dah tak ada. Ada Parkson, Warta, Billion, Metro Kajang dan sebagainya. Mahu ke Kuala Lumpur kita harus menaiki bas Foh Hup. Punyalah ramai orang tidak terkira. Tapak Parkson itulah stesen bas lama. Bas Sum akan berhenti di situ. Kami akan mengikut masa bas Sum. Kalau tidak akan ketinggalan untuk balik ke Bandar Baru Bangi (BBB). Semua yang balik ke BBB kami kenal mukanya. Komuniti kami cukup kecil. Penumpang pun tak ramai. Rakan-rakan mahu berdating pun susah. Semua komuniti BBB kenal.” (Saadah Jaffar, 30 Januari 2013: |"Bandar Baru Bangi - Fasa 1").

Foto sekitar tahun 80an, Pekan Kajang.
Kiri: Bas Sum: “Bila Bandar Baru Bangi dihuni sejak 1977, maka selepas itu perkhidmatan Bas Sum diminta memberi perkhidmatannya di Bandar Baru Bangi. Harga tiket pada masa itu ialah 5 sen bagi satu batu. Ini bererti untuk ke Kajang dari Bandar Baru Bangi ialah 30 sen. Kiaslah harga tiket bagi tempat lain. Di Bandar Baru Bangi tidak ada hentian rasmi sebagaimana di Pekan Bangi dan juga di Semenyih (tidak jauh dari pasar kedua-dua tempat).” (Dr Shafie Abu Bakar, March 14, 2014: |"Bas SUM Kajang Juga Tak Mampu Bertahan").
Kanan: Pangkalan bas Foh Hup di Kajang: “Foto sekitar tahun 80an, Pekan Kajang.” (Faizal Zainal @ Selangor 10, 29 Jun 2020: |"Foh Hup Omnibus (1937 - 2002) : Berakhirnya sebuah legasi. Oleh : Harith Faruqi Sidek").

LATAR PERISTIWA: Kajang 1980-1990-an

Klinik terawal di Bandar Baru Bangi waktu itu (sejak 1981?) ialah Klinik Ng, di Jalan 1/8C.
Klinik Ng Sdn Bhd
“Klinik Ng Sdn Bhd adalah klinik yg paling awal berkhidmat di BBBangi, sejak 80an lagi.. dan ianya masih beroperasi sehingga ke hari ni!” (ibangi.my : Bandar Baru Bangi Online Community, 13 Mac 2013: "Lejen / Legend BBBangi").

1980-1990-an: Bandar Melayu Islam

“BBB sejak dihuni akhir November 1977 hingga kini adalah merupakan Bandar Melayu Islam, terletak berhadapan dengan kampus UKM dengan jalan keluar ke Highway ke Kuala Lumpur, ke KLIA dan ke Seremban adalah melalui Tol Bangi. Kawasan ini sejak awal tidak digemari untuk dihuni sama ada penduduk Cina dan India. Ada sekitar daripada mereka sama ada bekerja dengan PKNS atau terlibat dengan perniagaan. Dengan demikian perumahan di BBB yang terdiri dari 16 seksyen adalah terdiri dari orang Melayu (98%).. BBB dapatlah dikatakan dapat mengimbangi penduduk Kajang yang 50% Melayu dan 50% lagi adalah bukan Melayu.” (Dr Shafie Abu Bakar, December 13, 2019: |"ISLAM DAN BANDAR BARU BANGI").

“The development of Bandar Baru Bangi coincided with the resurgence of Islam. Near the town was UKM, the workplace of the majority of its early residents and one of the hotbeds of resurgent Islam. There students and lecturers who were swayed by the arguments for reforms mounted by ABIM, PAS, and the Islamic Republic Group regularly organized socio-religious activities to stimulate the students' religious consciousness and to protest against the state for its role in perpetuating western cultural patterns. Elements of resurgent Islam penetrated Bandar Baru Bangi through UKM being introduced to the fledgling community by several religious activists who worked at the university. They organized usrah (study circle) on a weekly or fortnightly basis in the homes of individuals to discuss and appreciate the relevance of the eternal truths embodied in the Qur'an and Sunna of Prophet Mohammed to modern times. In the absence of any other form of religious gathering, the usrah later functioned as a context for small-scale social gathering as the host usually served food after the discussion and people stayed back to pray. It was during such occasions that the religious activists influenced those present to undertake Islamically inspired community-based projects.” (Sharifah Zaleha Syed Hassan, 2001: "Islamization and the Emerging Civil Society in Malaysia: A Case Study").

LATAR PERISTIWA: Surau dan Masjid di Bandar Baru Bangi (1975).

1987: Era Majlis Daerah Hulu Langat

“Pembangunan Bandar Baru Bangi dilaksanakan secara berperingkat-peringkat oleh Perbadanan dan agensi-agensi kerajaan atau swasta yang memiliki tanah di bandar ini berdasarkan keperluan masing-masing dan kedudukan kewangan mereka. Di peringkat awal pembangunan Bandar Baru Bangi, Jabatan Kemajuan Bandar Baru Bangi bertindak sebagai pemaju dan pentadbir Bandar. Walaupun begitu, fungsi pengurusan Bandar telah diambilalih oleh Majlis Daerah Hulu Langat pada tahun 1987. Pembangunan fizikal Bandar Baru Bangi telah dijalankan mengikut seksyen dan permintaan pasaran bagi rumah-rumah kediaman, lot-lot kediaman, tanah-tanah perusahaan dan institutsi oleh orang ramai, agensi-agensi kerajaan dan pihak swasta. Pada masa yang sama Perbadanan dengan kerjasama Majlis Daerah Hulu Langat menyediakan kemudahan-kemudahan infrastruktur asas dan rekreasi atau riadah secara berperingkat-peringkat mengikut kemampuan kewangan Perbadanan dan pihak kerajaan.” (Bahagian Pentadbiran, Jabatan Kemajuan Bangi. Dipetik oleh Lee Jun Seng, Lim Sook Yee, Livia binti Lahat, Low Yoke Yen @ UKM, 2006: |"KKKH 4543: Perancangan Pembangunan Bandar: Projek Kajian Lalulintas Bandar Baru Bangi", m.s.13)


Lambang Majlis Daerah Hulu Langat, pada sebuah papan tanda di Kajang ketika itu: “Found this discarded signboard nailed on to a table in Shi Yar Temple in town. It was decades back when Kajang was under Hulu Langat District Council.” (Kajang Heritage Centre乌鲁冷岳社区文物馆, 29 Disember 2015: "Hulu Langat District Council").

B B Bangi Kini


Kiri: “Figure 7 : Maps of Sections In Bandar Baru Bangi (Sources: JTTS Sdn. Bhd., 2005)” (Najihah Mohd Dlan, Rozilah Kasim @ CTMBE, 2012: |"Exploratory study for the neighbourhood facilities provision in Bandar Baru Bangi, Malaysia", m.s.192).
Kanan: “Pelan Guna Tanah Bandar Baru Bangi” (Dr Nor Kalsum Mohd Isa (Ketua Editor) @ MPKj, 2017: |"Laporan Interim: Pelan Tindakan Perbandaran Rendah Karbon Bandar Baru Bangi").

“Figure 1 shows the distribution of housing construction in Bandar Baru Bangi. This township covers an area of 1.869 hectares. It has developed in stages since 1974, with a target population of one hundred and twenty thousand people. Bandar Baru Bangi was conceived as an urban university town with the distribution of the property as in Figure 1.”


(Sumber: I. Ismail, A.I. Che-Ani, N.M. Tawil and H. Yahaya, 2014: |"The Trend of Housing Defect on Newly Completed House", m.s.3).

Beberapa statistik berkaitan Bandar Baru Bangi kini: |"city-facts: Bandar Baru Bangi".

Pengakuan penting: Kami bukan ahli sejarah! Sila klik di sini untuk penjelasan lanjut.

Selain petikan dan sumber yang dinyatakan, rencana ini telah diusahakan oleh TMK Pulasan, di bawah kelolaan Syahrul Sazli Shaharir <sazli@pulasan.my>. Pengakuan penting: Kami bukan ahli sejarah! Sila klik di sini untuk penjelasan lanjut.