User Tools

Site Tools


pekan_bangi

Pekan Bangi (1902-1906)

Dirujuk oleh

1902-1906: Pembukaan

Sejarah Bangi
Gambar deretan kedai di Pekan Bangi, sekitar awal 2000-an: “Pekan Bangi diasaskan pada tahun 1906, lokasi asal pekan ini adalah di tanah tebing sebelah Balai Raya Bangi jalan ke arah Sekolah Kebangsaan Bangi dan Stesen Keretapi Bangi.” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 19 Mac 2025: "Sejarah Bangi").

“Pekan ini dibuka pada abad ke-20, kemungkinan pada sekitar tahun 1902 - 1905 . Pekan asal ini terletak bertentangan dengan stesen keretapi Bangi (sebelah dewan MCA Bangi mengunjur sampai ke sekolah lama Cina) , terdapat 18 buah kedai-kedai orang Melayu, India & Cina seperti kedai runcit, kedai songkok dan capal, kedai kopi, kedai candu, kedai timah, kedai getah dan sebagainya. Pekan ini mula berkembang serentak dengan pembukaan estet - estet getah & pembinaan stesen keretapi Bangi.
…..
Stesen Keretapi Bangi dibina pada tahun sekitar 1902 -1905 . Stesen ini dibina untuk memudahkan pengangkutan hasil getah dan bijih timah di kawasan ini. Stesen Baru pula dibina pada 1994 terletak 100 meter dari stesen lama. Kesan stesen lama boleh lagi dilihat sehingga kini yang terletak bersebelahan restoran Cina jalan menghala ke Sekolah Bangi. Laluan rel kereta Kajang - Bangi mula dibina pada 14 jun 1902 dan laluan Bangi - Batang Benar pula mula dibina pada 1 Feb 1903.”
(Faizal Hj Zainal, 2008: "SEJARAH BANGI - Sejarah Awal Bangi")

1902-06-14: Stesen Keretapi

Stesen keretapi Bangi (Lama)
Sumber gambar: Kelab Peminat Sejarah & Gambar Lama II, 2017

Stesen Bangi dibuka pada Sabtu, 14 Jun 1902: “The Kajang Seremban line is really getting on and the first of the new stations, namely Bangee, about twenty-two minutes by rail on the Seremban side of Kajang, has been declared open for traffic. This reminds us that only a very short time ago, we heard that shop-keepers, apparently, found it cheaper to get their stuff brought to Seremban either by steamer to Malacca, and from that point on by bullock cart to Seremban, a distance of over—miles; or else by steamer to Kuala Klang, from thence by rail to Kajang, and from Kajang to Seremban by road, as long strings of bullock carts were constantly seen on this latter route conveying goods to the aforementioned town. We can only conclude that this method of transport is adopted, on account of high rates on the S. U. R. Surely it would pay the Company to keep all this goods traffic in their hands by lowering their rates.” (The Straits Times, 18 June 1902, Page 5: |"F. M. S. NOTES").

LATAR PERISTIWA: Landasan Keretapi Rekoh-Bangi.

1910: Pejabat Pos Bangi

Terdapat rekod yang menyatakan pejabat pos Bangi telah pun beroperasi seawal tahun 1910:-

1915: Balai Polis Bangi

Wajah Balai Polis Bangi - sekitar tahun 70an
“Wajah Balai Polis Bangi - sekitar tahun 70an. Dibina pada tahun 1914 dan siap sekitar penghujung 1915 dengan kos sekitar $7,000 untuk membina balai dan barrack Polis. Balai Polis ini terletak berdekatan Stesen Keretapi Bangi (1902), Masjid Kariah Bangi (1924) dan Pekan Bangi, di sisi jalan Bangi - Semenyih dan di belakangnya mengalir Sungai Bangi yang jernih. (Foto Koleksi Angah Zainal).” (Faizal Hj Zainal @ Selangor 10, 16 Ogos 2020: |Sejarah Tempatan: Wajah Balai Polis Bangi - sekitar tahun 70an).

LATAR PERISTIWA: Balai Polis Bangi (1915).

1927: Kebakaran Besar


Ringkasan Peristiwa: “Pada 98 tahun yang lalu iaitu pada tanggal 9.8.1927 telah berlaku satu kebakaran besar di Bangi. Kebakaran pada mulanya disedari pada jam 1.30 pagi oleh seorang konstabel polis. Apabila usaha untuk memadamkan kebakaran gagal, semua penduduk kampung dikejutkan supaya menyelamatkan diri daripada kebakaran tersebut. Pasukan Bomba dari Kuala Lumpur tiba sekitar jam 2.45 - 3.00 pagi ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan daripada Pejabat Polis Kajang pada jam 2 pagi. Jarak antara Kuala Lumpur dengan Bangi adalah sejauh 24 batu (38 km). Setibanya mereka di Bangi seluruh kampung telah pun hangus dijilat api. Air dipam dari alur sungai berdekatan dan pasukan Bomba yang juga dibantu oleh penduduk kampung dan anggota polis dari Balai Polis Bangi berjaya memadamkan kebakaran setelah bertungkus lumus selama 2 jam. Kebakaran itu telah memusnahkan 40 buah rumah penduduk, ratusan penduduk kehilangan tempat tinggal dan tiada kehilangan nyawa dilaporkan. Kerugian dianggarkan berjumlah 50,000. Foto Hiasan: Bomba Kuala Lumpur 1890.” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 9 Ogos 2025: "Hari Ini Bangi Dalam Sejarah: Kebakaran Besar Di Bangi 1927").

Kebakaran mula disedari pada jam 1.30 pagi, oleh seorang konstabel polis Bangi. Setelah percubaan memadamkan api gagal, seluruh penduduk kampung dikejutkan. Mereka kemudiannya berjaya menyelamatkan diri, dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Sementara itu, pasukan polis Kajang turut sama membantu, dan sekitar 2 pagi, panggilan kecemasan telah dibuat kepada pasukan bomba di Kuala Lumpur. Namun api merebak terlalu cepat. Setibanya mereka di Bangi 45 minit kemudian, seluruh kampung telah pun hangus dijilat api. Air dipam dari alur sungai berdekatan, dan kerja-kerja pemadaman mengambil masa kira-kira 2 jam. Pada akhirnya, hampir 40 buah rumah telah musnah sepenuhnya, dan ratusan penduduk kehilangan tempat tinggal. Anggaran jumlah kerugian adalah sebanyak $50,000. Punca kebakaran tidak dapat dikenalpasti, dan tiada tanda-tanda perbuatan khianat ditemui.

Antara kemungkinan faktor rebakan api ialah kelompok rumah-rumah binaan kayu yang dibina terlalu rapat. Kira-kira setahun sebelum kejadian ini (29 Ogos 1926), suatu kebakaran besar berlaku di perkampungan Dengkil (20 km ke sebelah barat Bangi) yang telah memusnahkan 41 buah rumah bercirikan binaan yang sama: “Other townships in the district included Sungei Chua, Kachau, Bangi, Broga, Beranang, Dengkil and Ulu Langat. Most were located along the margins of the relatively larger nodal settlements and comprised clusters of houses built of wood with corrugated iron or thatch roof. Fire hazard was a constant threat and in 1908, some of the shops in Kachau were destroyed by a fire on 16 May (MRUL, March 1908; DOUL, 52/1908). On 29 August 1926, 41 wooden and attap houses making up the “whole village” of Dengkil were burnt down (SSF, 4335/1926).” (Voon Phin Keong @ Malaysian Journal of Chinese Studies, Volume 2, No.2, 2013: |"Transforming the Development Frontier: Chinese Pioneers in the Ulu Langat District of Selangor, Malaysia", m.s.11).

Pada 17 Ogos 1927, Residen Selangor, James Lornie, dengan diiringi pegawai daerah Ulu Langat, J.G. Crawford, telah membuat lawatan ke tempat kejadian. Antara lain beliau telah mengarahkan agar setiap rumah yang musnah dibina semula secara berkembar, serta dijarakkan antara setiap satunya. Pekan Bangi kemudiannya dibangunkan semula, dan sebahagiannya kekal sehingga kini.

REPORT ON THE FIRE AT BANGI ON 9.8.1927, m.s.1REPORT ON THE FIRE AT BANGI ON 9.8.1927, m.s.2REPORT ON THE FIRE AT BANGI ON 9.8.1927, m.s.3REPORT ON THE FIRE AT BANGI ON 9.8.1927, m.s.4
(Sumber: |PEJABAT SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI SELANGOR, 1927: "REPORT ON THE FIRE AT BANGI ON 9.8.1927")

Sumber:-

1926: Deretan Rumah Kedai #1 (Dirobohkan 2021)

“Pekan asal ini kemudiannya telah terbakar pada tahun 1924(7?) dan dibangunkan semula oleh Kerajaan Inggeris dan kontraktor Cina pada tahun 1926(8?). Setelah itu peniaga-keturunan cina mula menguasai perniagaan di pekan ini. Medan Mara Bangi pula dibangunkan pada sekitar 70an bertujuan membantu peniaga Bumiputera berniaga.”
(Faizal Hj Zainal, 2008: "SEJARAH BANGI - Sejarah Awal Bangi").

“Pekan Bangi dibuka pada tahun 1906 menawarkan 18 deretan kedai Melayu menjual songkok dan capal, candu, timah, getah, kedai kopi dan sebagainya. Pernah terbakar namun dibangunkan semula kerajaan Inggeris dan kontraktor Cina pada tahun 1926.” (Bennie Zie Fauzi @ Berita Harian, 2015: "Bangi tempat putera terbuang")

Sebahagian dari bangunan kedai yang paling awal dan masih lagi ada sehingga kini di pekan Bangi lama. - Foto Kamarulzaman AriffinSEBAHAGIAN dari bangunan kedai yang paling awal dan masih lagi ada sehingga kini di pekan Bangi lama. - Foto Kamarulzaman Ariffin.
“Sebahagian dari bangunan kedai yang paling awal dan masih lagi ada sehingga kini di pekan Bangi lama.”

PENDUDUK asal Bangi, Zainal Harun, 76, bersama anaknya, Mohammad Faizal Zainal, 38, menunjukkan sebahagian dari bangunan kedai yang paling awal dan masih lagi ada sehingga kini di pekan Bangi lama.PENDUDUK asal Bangi, Zainal Harun, 76, bersama anaknya, Mohammad Faizal Zainal, 38, menunjukkan sebahagian dari bangunan kedai yang paling awal dan masih lagi ada sehingga kini di pekan Bangi lama. - Foto Kamarulzaman Ariffin
“PENDUDUK asal Bangi, Zainal Harun, 76, bersama anaknya, Mohammad Faizal Zainal, 38, menunjukkan sebahagian dari bangunan kedai yang paling awal dan masih lagi ada sehingga kini di pekan Bangi lama.”
(Foto Kamarulzaman Ariffin @ Berita Harian, 2015: "Bangi tempat putera terbuang").

Kedai Ko Hoi

Antara kedai runcit paling lama bertahan di Pekan BangiJalan menuju ke Kampung Bangi dari Pekan Bangi
Kiri: Dahulu kedai keluarga “Ko Hoi” (Nama sebenar: Chop Ban Seng?) ini terletak di dalam deretan rumah kedai ini, di sebelah lorong masuk kampung (lorong tengah). Deretan kedai ini telah dirobohkan (sekitar tahun 2022(2021?)), oleh kerana binaan kayunya telah mereput dan tidak lagi selamat untuk diduduki. Kedai ini kemudiannya berpindah ke belakang balairaya, dan masih beroperasi sehingga kini: “Antara kedai runcit paling lama bertahan di Pekan Bangi, masih berniaga walaupun dah bertukar tempat. Anak Bangi pasti kenal wajah kedai ini, salah satu antara 3 kedai runcit paling popular di Pekan Bangi suatu waktu dulu, sebelum era kita mengenal 99 speedmart, CS, Lotus, KK Mart yang sedang menguasai perniagaan pada waktu ini. Kadang - kadang kita terbayangkan kemesraan peniaga dulu - dulu dengan pelanggannya, tetap dilayan walaupun barang dibeli hanyalah berapa posen saja nilainya.” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 28 Julai 2025: "Nostalgia Bangi" (termasuk ruangan komen)).
Kanan: Di sebelah blok rumah kedai ini: “Jalan menuju ke Kampung Bangi dari Pekan Bangi” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 1 Oktober 2025: "Panorama Bangi").

Perobohan

Nostalgia Bangi
“Blok rumah kedai di Pekan Bangi ini yang dibangunkan pada tahun 1926 menggunakan batang - batang pokok kayu yang ditebang dari hutan sekitar Bangi. Foto ini dirakam pada tahun - tahun terakhir hayatnya sebelum bangunan ini dirobohkan sepenuhnya.” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 15 November 2025: "Nostalgia Bangi").

Setiap permulaan pasti ada pengakhiranSetiap permulaan pasti ada pengakhiran
“Setiap permulaan pasti ada pengakhiran.. Setelah beratus(95?) tahun akhirnya bangunan yang menjadi antara mercu tanda sebagai ‘Pekan Koboi’ Pekan Bangi terpaksa dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan.. Satu demi satu binaan ikonik Pekan Bangi ditelan kemodenan.. Semoga ia terus kekal di dalam memori kita warga Pekan Bangi yang pernah melalui zaman penuh kenangan suatu ketika dahulu..” (Facebook Pekan Bangi, 20 Jun 2021: "Setiap permulaan pasti ada pengakhiran").

1938: Deretan Rumah Kedai #2 (Terbakar 2009)

Blok bangunan rumah kedai
Kiri: Blok rumah kedai kayu, digunakan sejak tahun 1938, terbakar tahun 2009 (Faizal Hj Zainal, 2008: "SEJARAH BANGI - Sejarah Awal Bangi").
Kanan: “Kelihatan seseorang melintasi kedai gunting Muthu, kedai Cina Ubat, kedai Cina Panjang menuju ke kedai Li Chuan dan kedai Cina Cikgu. Blok ini telah terbakar hangus pada tahun 2009, blok bangunan rumah kedai ini mula digunakan pada tahun 1938. Kelihatan juga di seberang jalannya blok rumah kedai kayu yang dibina pada tahun 1926 yang telah dirobohkan pada sekitar tahun 2022.” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 21 Julai 2025: "Nostalgia Bangi").

Pekan Bangi awal 2000-an
Kiri: Gambar deretan kedai ini, sekitar awal 2000-an. Kelihatan kedai gunting Muthu, kedai Cina Ubat, kedai Cina Panjang, kedai Li Chuan, dan kedai Cina Cikgu (Faizal Hj Zainal, 2008: "SEJARAH BANGI - Sejarah Awal Bangi").
Kanan: Pekan Bangi awal 2000-an. Penghujung sebelah kiri deretan kedai ini kelihatan di sebelah kanan gambar (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 18 Oktober 2025: "Pekan Bangi sejuk pagi ni 17°c").

Kancil, Proton Saga & Pekan BangiDeretan kedai ini di waktu malam, sekitar tahun 2005
Kiri: Penghujung sebelah kanan deretan kedai: “Foto sekitar tahun 2001 blok kedai lama yang sudah terbakar masih lagi ada dan Pasar lama Bangi (kini kedai nasik lemak Along) di simpang jalan ke SKBangi.” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 5 Julai 2025: "Memori Bangi. Kancil, Proton Saga & Pekan Bangi").
Kanan: Deretan kedai ini di waktu malam, dari penghujung sebelah kiri, sekitar tahun 2005 (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 3 Ogos 2025: "Pantun Minang Bangi").

1940-an: Gerai Nasi Lemak Pak Mentari

“Di Pekan Bangi antara yang mula - mula menjual nasi lemak adalah Pak Mentari bin Muncak bersama isterinya Inap yang menjual pulut kukus dengan rendang berharga 10 sen dan nasi lemaknya berharga 1 sen sebungkus sekitar penghujung1940an digerainya yang terletak di tapak Balai Raya Bangi sekarang ini.”

(Sumber: Facebook Pekan Bangi, 23 Julai 2025: "Nasi Lemak Bangi").

1956-1957: Pasar Lama Bangi

Tranformasi Pasar Bangi
“Pasar Bangi di buka sekitar tahun 1956 - 1957, sebelum ini pasar basah hanyalah terletak dalam lot kedai Cina Panjang atau penduduk Bangi membeli keperluan barangan basah mereka di Pasar Sari pada setiap hari senen.

Hanya ada 3 peniaga di Pasar Bangi - Amoi, Min Teck dan penjual daging. Admin selalu beli dengan Amoi sebab mak pelanggan tetapnya. Kemudian pada pertengahan 80an barulah Cik Kamariah dan anak lelakinya datang bawa kemodenan buka kedai jual ayam daging dan mesin ayam di pasar ini dan banyaklah ayam - ayam kampung yang siap disembelih di sekitar Bangi ini dibawak untuk dimesin, cajnya 50 sen sekor.

Kemudian Pasar Bangi berpindah ke pasar baru yang besar (terlebih besar sebenarnya untuk penduduk Bangi) pada sekitar tahun 1983. Pasar lama terbiar sebelum kemudiannya dijadikan bus stand (bas SUM buat u turn di depan pasar) dan kemudiannya pula berubah wajah menjadi gerai Nasi Lemak Along, yang rasanya dah berpuluh tahun juga berniaga di sini dan menjadi gerai nasi lemak paling popular di Pekan Bangi pada waktu ini.

Foto koleksi ajaizainal.”

(Sumber: Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 25 Julai 2025: "Tranformasi Pasar Bangi").

1957-10-07: Sambutan Maulud Nabi

Perarakan Maulid Nabi di Pekan Bangi, 1957Maulud Nabi Di Bangi 1957

“Dalam foto lama yang diwarnakan semula ini pemuda - pemuda Bangi nampak girang dan bersemangat dalam perarakan Maulud Nabi melalui Pekan Bangi bersama usungan replika berbentuk surau dan kereta yang bertulis Fiat 1957 yang cantik dan berwarna warni. Kelihatan orang - orang lama Bangi seperti Pak Andak Yusof, Yunos, Cikgu Ghafar, Wahid, Pak Lang Deraman dan ramai lagi dalam perarakan ini. Dulu - dulu orang Bangi punya tradisi di mana setiap kampung di sekitar Bangi akan menyediakan usungan masing - masing berupa replika berbentuk perahu layar, kereta, rumah, masjid atau kapal yang dihiasi dengan bunga telur dan pelbagai bunga hiasan yang dihasilkan dengan buluh dan kertas berwarna warni. Usungan itu dipikul dalam perarakan sebagai satu alatan persembahan sambil mereka berjalan dan berselawat dalam perarakan tersebut. Kemudiannya bunga - bunga telur itu akan diagih - agihkan kepada kanak - kanak dan kaum ibu. Catatan ajaizainal Sept.2025”

(Sumber: Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 5 September 2025: "Nostalgia Bangi. Maulud Nabi Di Bangi 1957: Bahagian 2").

(Sumber gambar-gambar asal: Faizal Hj Zainal, September 14, 2008: |"Sejarah Bangi").

MAKLUMAT LANJUT: Kampung Bangi: 1957-10-07: Sambutan Maulud Nabi.

1960-an: Kedai Kopi Hock Bee


Kiri: thedreamchazer @ Tiktok, 22 Februari 2023: "Mari Cari Makan Kedai Kopi Hock Bee Pekan Bangi Lama".
Kanan: thedreamchazer @ Tiktok, 12 Ogos 2024: "Kedai Kopi Hock Bee dekat Bangi Lama lebih 60 tahun").

“Kami orang Pekan Bangi panggil kedai ni Kedai Bikau.. Dulu zaman sekolah wajib singgah tapau nasi lemak Alang Iti kat sini..” (Facebook Pekan Bangi, 13 Ogos 2024: "Kedai Bikau").

1962-08-27: Dewan MCA

Dewan MCA Bangi
“Dewan MCA Bangi ini siap di bina dan rasmikan pada 27 Ogos 1962 oleh Presiden MCA Tun Tan Siew Sin yang juga bekas Menteri Kewangan ketika itu. Di depan dewan ini terletaknya gelanggang tanah bola keranjang juga tempat menonton wayang pacak.”

(Sumber: Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 21 Oktober 2025: "Fakta Unik Parlimen Bangi").

1965: Kedai Basikal Buntui @ Hong Seng Huat

Kedai Basikal Buntui @ Hong Seng Huat, 2 November 2019
Kedai Basikal Buntui @ Hong Seng Huat (TMK Pulasan, 2 November 2019).


Kiri: “Hong Seng Huat Bicycle Shop adalah kedai basikal yang saya rekemen bagi mereka yang mencari harga yang berpatutan dan servis yang pantas. Walaupun kedai ini nampak sedikit “run down” dan tidak mempunyai signboard yang jelas, namun lokasinya yang terletak di tepi jalan memudahkan pengunjung untuk melihatnya dari jauh. Salah satu kelebihan utama Hong Seng Huat Bicycle Shop adalah pemiliknya yang sangat peramah dan mesra pelanggan. Beliau sentiasa berusaha membantu pelanggan dengan memahami keperluan mereka dan memberikan nasihat yang berguna mengenai pilihan basikal yang sesuai. Ini adalah satu kelebihan yang tidak dapat dipandang rendah kerana komunikasi yang baik dengan peniaga adalah penting dalam memastikan pembelian yang memuaskan.” (Kedainearme.com)
Tengah & Kanan: “Established since 1965, we sell bicycles, parts & repair services. We are located at Pekan Bangi.” (Facebook Hong Seng Huat, 2021: "Hong Seng Huat").


“Orang asal Pekan Bangi mesti kenal uncle legend ni.. #LivingLegend #KedaiBuntui #PekanBangi” (Facebook Pekan Bangi, 9 Ogos 2024: "KedaiBuntui").

1974: Nasi Lemak Mak Ngah @ Che Lah

Nasi Lemak BangiSuasana kedai nasi lemak Mak Ngah (Che Lah)
Kiri: “Foto koleksi Alen - kedai nasi lemak Mak Ngah( Che Lah) sekitar tahun 2005. Kelihatan motor Pak Imam kita parking di depan gerai.” (Facebook Pekan Bangi, 23 Julai 2025: "Nasi Lemak Bangi").
Kanan: “Suasana kedai nasi lemak Mak Ngah (Che Lah) sebelum era berpindah ke gerai Kg. Bahagia dan di gerai Majlis. Bandar Baru Bangi belum wujud mereka dah berniaga di sini.” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 1 Ogos 2025: "Nostalgia Bangi").

“Nenek dan emak admin sekitar tahun 50an pernah juga berkedai menjual nasi lemak dan kuih muih. Nasi lemak Mak Ngah pula adalah antara peniaga paling lama kekal beroperasi sejak tahun 1974 dan sekarang ini masih diusahakan oleh generasi ke 3 keluarga mereka dalam meneruskan legasi perniagaan nasi lemak di Pekan Bangi.

Di zaman admin membesar dalam tahun 80 - 90an terdapat beberapa penjual nasi lemak yang dulu - dulu harganya 30 sen - 50 sen sebungkus, biasanya penjual nasi lemak akan juga menjual pulut kukusnya sekali. Lauk pauknya taklah banyak macam sekarang ni maklumlah zaman tu gaji minimum hanya 3 - 4 ratus saja sebulan. Di bawah ini antara senarai 'brand - brand” nasik lomak sekitar Pekan Bangi pada tahun 80 - 90an.

Kalau tertinggal tolong tambah atau tersalah tolong betulkan.

Nasi lemak Cik Kuntum
Nasi lemak Cik Iti
Nasi lemak Mak Ngah (Che Lah)
Nasi lemak Cik Esah
Nasi lemak Sidai Tapa
Nasi lemak Mak Teh
Nasi lemak Along

Kebiasaannya dulu - dulu nasi lemak dijual oleh kebanyakan peniaga berketurunan Melayu Sumatera. Tapi kini dah pelbagai orang cuba menjual nasi lemak…lemaknya entah ke mana sambal tumis ikan bilis pun dah bertukar jadi 'kuah sambal' yang manis giler, lebih banyak yang tak jadi dari yang jadi…tapi laku jugakan, tekak masing - masing kata budak - budak sekarang ni, sukati kau lah…“

(Sumber: Facebook Pekan Bangi, 23 Julai 2025: "Nasi Lemak Bangi").

Nasi Lemak Mak Ngah @ Che Lah 1974
“Ni foto lamo…sekarang Lin dah pakai sudu garpu warna emas. Dulu - dulu tahun 80an nasik lemak Cik Iti, Cik Kuntum, Cik Esah 30 sen, Che Lah 50 sen sebungkus, roti canai Ajmeer 30 sen sekeping.” (Facebook Pekan Bangi, 2 November 2025: "Nasi Lemak Mak Ngah @ Che Lah 1974").

Catatan Kenangan

Pekan Bangi (1999)

Nostalgia Bangi
“Pekan Bangi 26 tahun yang dulu. Kedai Ah Lek masih beroperasi, kedai Syeikh Arab motor datang bersilih ganti, irama cak kun cak masih bergema di malam - malam hari.” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 21 Februari 2025: "Nostalgia Bangi").

Pekan Senin @ Kedai Mara

Suasana Pekan Senin Bangi
“Suasana Pekan Senin Bangi.

Kopi serbuk yang dikisar dengan mesinnya yang bising dengan bau yang wangi merebak seluruh pekan, baju banjir (baju bundle) dilonggok - longgokan saja ditikar. Pelbagai makanan tradisi seperti lemang, wajik, pecal, lontong, rendang, kuih muih dan bermacam jenis kerepek dan biskut dan juga sayur mayur kampung seperti pucuk paku, rebung, tempoyak, cendawan kukur, jering banyak dijual. Alatan kebun macam parang, cangkul, sabit selalu gerainya di bawah pokok ketapang berdekatan gerai air tebu topi koboi. Gerai kain ela orang kemboja terletak di gerai paling ujung. Kadang - kadang muncul penjual - penjual ubat akan lebih meriah dengan pelbagai helah dan cerita dengan mikrofon yang bising dan pecah suaranya untuk menarik pelanggan. Ada juga gerai menjual keperluan diri seperti bedak sejuk, cermin, sikat, ketip kuku, gunting, gerai kain, baju dan juga ada gerai barangan plastik yang dilambakkannya saja pelbagai barangan keperluan dapur berasaskan plastik.

Pekan Senin @ Pekan Sari Bangi biasanya bermula jam 7 pagi akan berakhir sekitar jam 11 pagi. Walaupun Pekan Senin Bangi taklah sebesar pekan rabu Beranang misalnya tapi itulah pasar yang telah wujud selama berpuluh - puluh tahun yang telah berfungsi sebagai pusat tumpuan penduduk tempatan dan juga penduduk kampung sekitar Bangi seperti Sg. Kembong, Sg. Buah, Batu 5 , Rinching, Jenderam, Teras Jernang berkumpul dan bertemu sambil membeli belah sedikit sebanyak keperluan harian mereka dengan dengan suasana pagi yang nyaman dan santai di bawah redup pohon - pohon ketapang di Pekan Bangi.”

(Sumber: Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 17 Mac 2025: "Nostalgia Bangi: Suasana Pekan Senin Bangi").

1980-an: Lintasan Keretapi dan Gerai-Gerai

Nostalgia Bangi - Gate KeretapiCina Jual Air Tebu & Mamak Saie
Kiri: “Nostalgia Bangi - Gate Keretapi. Bila keretapi nak lalu Gate Keretapi Bangi ini di tutup dan menyebabkan motor, kereta, lori, terpaksalah menunggu 10 - 15 minit, jadi jemlah jalan Kampung Masjid sampai ke selekoh rumah nenek Jinan. Biasanya ramai jugak bawak moto dan basikal ikut shortcut di tepi pagar tu sambil di jerit - jerit oleh Talib dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai penjaga gate yang berdedikasi. Seingat adminlah masa tahun 80an dulu Gate Keretapi Bangi ni tiga kali pecah, dua kali kena langgar bas SUM dan satu lagi keretapi langgar. Bunyi siren gate ni cukup kuat, sampai ke rumah Udin Ami pun boleh didengar suaranya. Dah lah paneh…bunyi memokak jo… lambek! Ini ayat standard orang Bangi masa zaman tu bila mengadap gate tutup. Kartun oleh ajaizainal 1998.” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 13 November 2025: "Nostalgia Bangi - Gate Keretapi").
Kanan: “Cina jual air tebu ni sejak aku kecik lagi memang dah meniaga…dia tinggi, handsome, pakaiannya sekali pandang macam style hero Harrison Ford dalam film 'Indiana Jones ' yang popular masa aku kecik - kecik dulu. Dia selalu aku tengok baca kitab merah yang tebal kalau menunggu pelanggan. Dulu -dulu tahun 80an harga gelas kecik 30 sen…gelas besar 50 sen. Mamak Saie @ Pak Kutak adalah 'bohemian' sejati Pekan Bangi, seorang penglipur lara dan pemain gitar yang handal dengan berbaju dan bertopi corak kotak - kotak yang ditempahnya di kedai Pecok. * panggilan 'mamak' untuk orang Minang maknanya pakcik.” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 3 Mac 2025: "Nostalgia Bangi: Cina Jual Air Tebu & Mamak Saie").

MAKLUMAT LANJUT: 2024-05-19: Menjejak Tinggalan Lintasan Rata Kereta Api Lama

1985: Gerai Burger Pertama di Bangi

“Seingat adminlah gerai burger pertama di Bangi adalah gerai 'Ketapang Burger' yang diusahakan oleh Jenai & Sidek yang terletak di bawah pokok ketapang di sudut simpang jalan ke Sekolah Bangi, berdekatan Pasar Bangi pada pertengahan 80an mungkin sekitar tahun 85 iaitu tahun dilancarkan kereta Proton pertama & album Search pertama 'Cinta Buatan Malaysia'. Di stallnya itu tertera nama “Ketapang Burger” yang di cat menggunakan cat spray merah. Waktu ini Pekan Bangi masih lagi penuhi dan dihiasi dengan pokok - pokok ketapang yang ditanam sejak zaman British lagi. Harga burger waktu itu burger daging RM1.50, burger ayam RM 1.20 dan Banjo 0.80 sen (gaji minimum pertengahan 80an adalah sekitar RM 250) dan harga nasik lemak & roti canai 30 sen saja masa tu.

Mereka berniaga sambil bergelak ketawa, bergurau sesama kawan - kawannya yang lepak sama dan kadang bernyanyi mengikut lagu di radio berkumandang lagu - lagu 80an 'Suraya' Headwind, 'Isi & Kulit' Search, 'Duit - Duit' Kembara, maklumlah zaman remaja.

Di awal 80an ada satu jenama tempatan yang mula mencipta nama… burger jenama Ramly dan Abang Aman Burgerlah merupakan peniaga pertama yang menjadi pengedar dan pemborong jenama Ramly untuk kawasan Bangi di kedainya yang terletak di kedai Mara Bangi dan tetap kekal menjadi pemborong dan berniaga di Pekan Bangi sehingga ke hari ini. Ia memudahkan gerai burger seperti 'Ketapang Burger' wujud dan mendapatkan keperluannya pada waktu itu.

Sebelum era tu orang Bangi nak merasa burger perlulah ke Pasar Malam Kajang iaitu satu - satunya pasar malam yang ada di daerah kita dulu atau di ekspo, di pesta - pesta dan yang berduit bolehlah merasa burger di A & W Kajang yang di buka sekitar tahun 1980 iaitu restoran fast food pertama beroperasi di Pekan Kajang.”

Foto AI sekadar hiasan, tak sama seperti gambaran sebenar
“Foto AI sekadar hiasan, tak sama seperti gambaran sebenar”

(Sumber: Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 7 Ogos 2025: "Nostalgia Bangi: Gerai Burger Pertama di Bangi").

1988: Lokasi Babak Filem Mat Som

Mat Som di Bangi
“Kelihatan dalam foto ini pelakon komedi terkenal Imuda & Zami Ismail sedang menaiki motor melintasi jalan gate keretapi Bangi di dalam film Mat Som yang mengadakan pengambaran di sekitar Pekan Bangi pada tahun 1988. Terlihat juga sebahagian jambatan Sungai Bangi di belakangnya. Yang disebelah naik motor Honda Cup 70 kelabu tu penduduk Bangilahkan…tapi muko tak cam gelap dengan bayang - bayang.” (Facebook Pekan Bangi, 11 Julai 2025: "Mat Som di Bangi").

Lorong Sebelah Kedai Gan Lik (Ahchai)

Lorong sebelah kedai Gan Lik (Ahchai)
“Yang biasa di Pekan Bangi pasti akan tahu lorong 'penyelamat' semasa kecemasan ni…” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 11 Jun 2025: "Kenangan Bangi"). “Lorong sebelah kedai Gan Lik(Ahchai)” (Firdaus Aus Zainal @ ruangan komen).

Dewan Orang Ramai



”…dulu kat Pekan Bangi kita ada Dewan Orang Ramai tau.. Besar saiz dewan tu, memang selesa.. Macam-macam aktiviti kita dapat buat di dewan tu dulu.. Kenduri kendara, program-program komuniti, aktivit sukan, persatuan, org dewasa, remaja, kanak-kanak dan macam-macam lagi lah.. Pendek kata dewan tu dulu menjadi antara tempat orang Pekan Bangi ni berkumpul lah.. Tu je la min nak cerita serba sedikit boleh kata sejarah ringkas dia.. Eh, lupa pulak nak cakap, sekarang dewan tu dah hilang, tak tau mana pergi dia…“ (Facebook Pekan Bangi, 7 Julai 2023: "Dewan Orang Ramai").

“123) DEWAN ORANG RAMAI PEKAN BANGI - Tahun: 2022 - Sesi: 3 - Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam - Adun: Y.B. Tuan Mazwan Bin Johar - Kategori: Bertulis

Sub Soalan
a) Dewan Orang Ramai Pekan Bangi telah dirobohkan untuk didirikan sebuah dewan baru disitu. Malangnya projek binaan dewan baru terbengkalai dan ini menafikan para penduduk di sekitar kawasan Pekan Bangi daripada mendapat faedah penggunaan sebuah dewan untuk penganjuran acara atau aktiviti sosial di kawasan tersebut. Kenapakah projek ini terbengkalai dan bilakah projek ini akan dapat disiapkan?

Proses penyediaan dokumen tender semula oleh pihak perunding dan dijangka akan diiklan pada Disember 2022. Pembinaan semula dijangka bermula pada bulan Mac 2023. Punca Projek ini terbengkalai adalah disebabkan masalah prestasi piha kontraktor yang tidak mengikut jadual kemajuan kerja.”

(Sumber: Dewan Negeri Selangor, 23-25 November, 29-30 November, 1-2 Disember & 5-6 Disember 2022: |"Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022").

2012-12-16: Lukisan Pekan Bangi

Lukisan Pekan Bangi ilustrasi oleh seorang pelukis.
(Facebook Pekan Bangi, 12 Oktober 2013: "Lukisan Pekan Bangi ilustrasi oleh seorang pelukis").

Kini

120 Tahun Pekan Bangi

Sekilas Sejarah BangiPantun Minang Bangi
Kiri: Gambar deretan kedai di Pekan Bangi, sekitar awal 2000-an: “Pekan Bangi dibangunkan pada 1906, 30 tahun selepas Bangi diterokai pada sekitar 1876. Pekan asalnya terletak di tebing jalan mengunjur ke Sekolah Kebangsaan Bangi. Tahun depan genap 120 tahun usianya. Banyak yang telah hilang yang tumbuh ada juga dengan karekter baru.” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 16 Julai 2025: "Sekilas Sejarah Bangi").
Kanan: “Harilah sanjo pai mangaji, Mangaji ka rumah Pak Hanapi. Indak barubah ka lain hati, Kasih ka Bangi kaka abadi.” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 28 Februari 2025: "Pantun Minang Bangi").

2020-12-15: Pekan Bangi dari Udara


(Facebook Pekan Bangi, 31 Ogos 2025: "Nak bawa jalan² ke Pekan Bangi pada tahun 2020").

Bukit yang Masih Tersisa

Satu-satunya bukit yang masih tinggal di Pekan Bangi
“Satu-satunya bukit yang masih tinggal di Pekan Bangi 🤭🤭🤭 Ni pun nasib baik tak boleh potong kalau tak tegak jugak 2-3 blok apartment atas ni 😂😂 gurau-gurau hujung minggu” (Facebook Pekan Bangi, 9 Februari 2025: "Satu-satunya bukit yang masih tinggal di Pekan Bangi").

Sekolah-Sekolah di Bangi


“Berikut adalah daftar sekolah yang berlokasi di Pekan Bangi:
1. Sekolah Kebangsaan Bangi.
2. Sekolah Rendah Agama Pekan Bangi.
3. Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Yoke Min Bangi.
4. Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Bangi.
Dulu - dulu bila ada sukan tahunan, pihak SKBangi akan menjemput wakil dari SRJKC dan SRJKT untuk memeriahkan lagi majlis. Sukan lumba lari 100 meter dan 4×100 meter adalah acara wajib. Zaman Min, SJRKT memang champion.”

(Sumber: Facebook Pekan Bangi, 15 September 2025: "...daftar sekolah yang berlokasi di Pekan Bangi").

MAKLUMAT LANJUT: Sekolah Melayu Bangi (1924).

MAKLUMAT LANJUT: Sekolah Ugama Bangi (1926).

MAKLUMAT LANJUT: 1948: Pembukaan Kampung Baru Cina.

MAKLUMAT LANJUT: 1953: Pembinaan SRJK(T) Ladang Broome.

Selain petikan dan sumber yang dinyatakan, rencana ini telah diusahakan oleh TMK Pulasan, di bawah kelolaan Syahrul Sazli Shaharir <sazli@pulasan.my>. Pengakuan penting: Kami bukan ahli sejarah! Sila klik di sini untuk penjelasan lanjut.

pekan_bangi.txt · Last modified: by sazli