User Tools

Site Tools


skbangi

Sekolah Melayu / Kebangsaan Bangi

Dirujuk oleh

Ringkasan Sejarah

Berikut adalah catatan sejarah awal Sekolah Kebangsaan Bangi, sempena ulang tahun ke 100, oleh Faizal Zainal:-

“Sekolah ini merupakan sekolah terawal dibangunkan di Bangi dan dibuka pada 13 September 1924 dengan nama 'Bangi Malay School'. Nama sebutan di kalangan penduduk tempatan untuk sekolah ini adalah 'Sekolah Bangi' sejak dahulu hinggalah sekarang ini. Ia merupakan Sekolah Melayu ke-7 yang dibina di daerah Hulu Langat dan merupakan salah sebuah sekolah daripada 72 Sekolah Melayu yang terdapat di dalam negeri Selangor pada masa itu. Sekolah Agama Bangi (Bangi Mohammadan Religious School) pula mula dibangunkan setahun kemudian pada 1925 di kawasan tanah milik Masjid Bangi dan mula beroperasi pada tahun 1926.

Sekolah Melayu Bangi ini dibina di kawasan pinggir hutan Bangi Forest Reserve berdekatan Stesen Keretapi Bangi. Bangunan sekolah yang berukuran 30 × 50 kaki ini telah dibina dengan menggunakan batang kayu hutan, beratapkan nipah, berlantaikan simen dan berdinding sekerat papan yang dicat putih dan kuning.

Kumpulan pertama pelajar Sekolah Melayu Bangi ini pada tahun 1924 adalah berjumlah 24 orang dan hanya 2 orang daripadanya pelajar perempuan. Pada tahun 1925 pelajar Sekolah Melayu Bangi dilaporkan meningkat kepada 76 orang. Umur pelajar pada ketika itu bermula pada usia 7 tahun namun ada juga berumur belasan tahun belajar di kelas yang sama dan darjah tertinggi pada waktu itu adalah darjah 5. Pelajar awal sekolah ini adalah kanak - kanak dari sekitar kampung dan Pekan Bangi iaitu Kg. Bangi, Kg. Masjid dan Batu 24 Bangi. Kemudiannya pelajar dari kampung - kampung lain sekitar Bangi seperti dari Jenderam, Batu 5, Sg.Kembung, Batu 3, Sg. Buah, Teras Jernang, Kg. Bahagia, Rinching Hilir juga turut mendapatkan pendidikan awal mereka di sekolah ini.

Sepertimana Sekolah Melayu lain pada waktu itu tiada pakaian seragam sekolah diwajibkan pada pelajar. Biasanya pelajar lelaki memakai kain pelikat, berbaju teluk belanga dan bersongkok. Perempuan pula berkain batik, memakai baju kurung atau kebaya. Kasut atau selipar dipakai jika ada, kalau tidak berkaki ayam sahaja ke sekolah. Guru pula pada waktu itu berbaju cotton tebal kolar nehru butang lima semacam pakaian drebar waktu itu dan berkain pelikat atau berbaju melayu lengkap bersamping dan bersongkok.

Guru - guru yang bertugas semasa itu adalah dikalangan guru lelaki yang punya kemahiran asas menulis, membaca, mengira dan mengaji dalam rumi dan juga jawi. Antara guru awal Sekolah ini adalah Cikgu Husin Paduka. Kebiasaannya pada waktu itu hanya ada seorang guru untuk sebuah sekolah dan ditambah dengan seorang lagi penolong guru atau guru pelatih. Gaji guru waktu itu adalah berjumlah $20 ringgit manakala guru besar $35 ringgit sebulan. Guru sekolah Melayu dibenarkan membuat potongan gaji sebanyak $4 sebulan untuk membeli basikal di gedung Robinson di Java Street Kuala Lumpur berbanding guru di Sekolah Inggeris yang dibenarkan membuat potongan gaji untuk membeli motosikal “Norton” atau “AJS” di kedai yang sama.

Pelajar sekolah pada waktu itu belajar menggunakan papan batu / loh yang perlu dicuci dan digilap bersih setiap hari. Guru pula mengajar menggunakan papan hitam yang disangga dengan kayu easel. Mata pelajaran waktu itu adalah asas mengira Ilmu Hisab, Ilmu Alam dan Tawarikh, Ilmu kesihatan, kemahiran membaca, menulis dan mengarang dalam jawi dan juga rumi. Ilmu kemahiran juga diajarkan kepada pelajar seperti kaedah bercucuk tanam, cara memperbaiki alatan menangkap ikan, cara mengawal anai - anai, ilmu menjahit dan menyulam. Setiap mata pelajaran berlangsung selama 20 minit. Waktu belajar pula adalah bermula dari jam 8 pagi dan pulang selepas jam 12 tengahari.

Antara buku - buku yang biasa digunakan dalam sesi pembelajaran semasa itu adalah Benih Akal, Jolong Bacaan, Chanai Bacaan, Pemimpin Pengetahuan, Hikayat Abdullah dan sebagainya. Duit belanja sekolah pelajar tahun sekitar 1920an adalah sebanyak 1 atau 2 sen sahaja. Dengan 1 sen dapatlah seorang pelajar membeli sebungkus nasi lemak, sepinggan mee atau sebatang tebu pada waktu itu.

Daripada 'sekolah atap' pada 1924 Bangi Malay School / Sekolah Melayu Bangi kemudiannya berkembang dengan pembinaan bangunan baru siap digunakan pada tahun 1937- 1938 yang lebih moden dan megah yang kemudiannya telah menjadi salah satu struktur bangunan paling ikonik di Bangi. Kemudian pada tahun 1954 dan 1983 blok bangunan baru sekolah ditambah mengikut keperluan semasa dan pertambahan penduduk di Bangi.

Kewujudan Bangi Malay School/ Sekolah Melayu Bangi yang kemudiannya dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Bangi selama ini telah berjasa besar dalam memberi makna, identiti dan nilai dalam sejarah perjalanan hidup setiap penduduk Bangi yang pernah menuntut ilmu di sebuah sekolah yang selama satu abad telah berfungsi sebagai institusi sosial dan simbol penting di tanah nenek moyang kita yang tercinta ini.

Salam 100 Tahun Sekolah Bangi… Ilmu Pelita Hidup!

Oleh Faizal Zainal
Bekas pelajar SKB 1982 - 87”

Lukisan cat minyak karya Faizal Zainal bertajuk 'SKB 100 Tahun'
“* Lukisan cat minyak karya Faizal Zainal bertajuk 'SKB 100 Tahun' menggambarkan permandangan Bangi Malay School / Sekolah Melayu Bangi pada tahun 1924 adalah adaptasi pelukis berdasarkan memori bekas pelajar SK Bangi 1947 - 1953 Zainal Bin Harun (86 tahun).”

(Sumber: FB Pekan Bangi, 13 September 2024: |"Catatan Sejarah Awal Sekolah Kebangsaan Bangi. Sempena Ulang tahun ke 100.").

1924: Pembukaan Sekolah Melayu Bangi

Sekolah Melayu Bangi didirikan hasil usaha masyarakat kampung-kampung berhampiran Bangi. Ia berukuran 30×50 kaki persegi, dengan tiang kayu bulat, dinding papan, atap nipah, dan lantai simen. Para pelajar awalnya terdiri daripada 24 orang lelaki dan 2 orang perempuan: “Sekolah Melayu Bangi merupakan sekolah kedua tertua di Daerah Hulu Langat selepas sekolah High School Kajang. Sekolah ini didirikan atas daya usaha masyarakat kampung-kampung yang berhampiran dengan Bangi Lama pada tanggal 13 September 1924. Asal Nama Bangi: Nama Bangi diambil sempena nama Tok Batin Orang Asli yang ada di sini suatu ketika dahulu iaitu Si Bangi. Pada awal pembukaan sekolah ini hanya mempunyai 24 orang lelaki dan 2 orang perempuan sahaja. … Bangunan asal sekolah ini berukuran 30×50 kaki persegi. Tiangnya dari kayu bulat berdindingkan papan, beratapkan nipah dan berlantaikan simen.” (SEKOLAH KEBANGSAAN BANGI: |"SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN BANGI, KAJANG").

Antara tokoh-tokoh budayawan yang pernah bersekolah di sini:-

  • A. Wahab Ali (sekitar 1948): “Beliau mendapat pendidikan daripada beberapa buah sekolah iaitu, Sekolah Melayu Bangi, Sekolah Melayu Pulau Meranti, Sekolah Melayu Puchong dan Sekolah Melayu Beranang hingga tamat darjah VII…” (Dewan Bahasa dan Pustaka: |"A.Wahab Ali").

1936-11-14: Peruntukan Kerajaan

Bendahari Majlis Negeri Selangor, Mr. A. Sleep, antara lain mengumumkan peruntukan untuk guru-guru dan bangunan tambahan bagi Sekolah Bangi: ““There is an extra provision for Malay Vernacular Education, both for trained teachers and for new school buildings are Kampong Bahru, Kuala Lumpur, at Sungei Tuah, Ulu Klang, and Bangi; also for a hostel at the High School, Klang, and for extensions to existing schools.” said Mr. Sleep.” (The Straits Times, 16 November 1936, Page 13: |"$308,000 FOR ROADS AND BUILDINGS").

1937: Bangunan Tambahan

“Pada tahun 1937, sebuah bangunan tambahan yang mengandungi 4 bilik darjah yang berukuran 100×30 kaki persegi. la bertiangkan batu, berdindingkan papan, beratap genting dan berlantaikan papan. Sekarang ia dijadikan dewan sekolah.” (SEKOLAH KEBANGSAAN BANGI: |"SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN BANGI, KAJANG").

Bangunan tambahan ini mungkin dibina menggunakan dana kerajaan yang telah diumumkan pada 14 November 1936.

Sekolah Melayu Bangi (Tarikh tidak diketahui)
Dewan Lama Sekolah Melayu Bangi (Tarikh tidak diketahui) (Sumber gambar: Faizal Haji Zainal, 2008: "SEJARAH BANGI - Sejarah Awal Bangi")

1954-01-16: Bangunan Sains Rumahtangga

Sebuah bangunan baru bakal dibina bagi menempatkan kelas Sains Rumahtangga, yang menggabungkan pengajaran sains dengan budaya tradisi Melayu, khususnya dalam bidang pengurusan rumah dan anak-anak. Ketika itu, sekolah ini adalah antara Sekolah Melayu yang terbesar di daerah Ulu Langat: “The Malay school at Bangi one of the largest in Ulu Langat district will have a new building for its domestic science class, in a month.” (The Straits Times, 16 January 1954, Page 5: |"New building").

Korikulum sains rumahtangga di sekolah-sekolah Melayu menggabungkan ilmu saintifik (barat) semasa, dengan sosiobudaya tradisi Melayu: “The curriculum for girls had lower standards in arithmetic and geography, and varied the practical and handwork sections of the boys’ curriculum. Domestic science was to be taught wherever possible, and drill and games were a part of the curriculum in all schools. Care was taken that school hours allowed pupils time to assist their families. For Malay girls, the curriculum emphasised additional subjects, which were commonly taught in schools throughout the Empire, and focussed on the home and children.” (Anna Maree Doukakis, 2012: |"'Now we want Malays to awake': Malay Women Teachers in Colonial Johor and their Legacy.")

Kaum Ibu semasa majlis Maulid Nabi Sekitar tahun 50an
Gambar hiasan: “Kaum Ibu semasa majlis Maulid Nabi Sekitar tahun 50an” (Faizal Hj Zainal, September 14, 2008: |"Sejarah Bangi").

1956-1961: Sekolah Umum Bangi

“Sekolah Melayu Bangi”, “Sekolah Umum Bangi” dan “Sekolah Kebangsaan Bangi” adalah sekolah yang sama. Latarnya ialah beberapa perubahan pada dasar pelajaran ketika itu:-

  • Laporan Razak 1956 (dikuatkuasakan oleh Akta Pelajaran 1957) menggolongkan “Sekolah Melayu” ke dalam “Sekolah Umum”.

  • Laporan Rahman Talib 1960 (dikuatkuasakan oleh Akta Pelajaran 1961), yang menukar “Sekolah Umum” kepada “Sekolah Kebangsaan”, dan ianya kekal sehingga kini.

(Sumber: Noriah Mohamed, Darwis Harahap, 2013: "Mutiara Budi")

1959-07 - 12: Siri Temasya Budaya

Beberapa siri temasya budaya telah dianjurkan di sekolah ini (juga sekolah lain di sekitar Bangi), sepanjang tahun 1959-1962, oleh pemuda-pemudi Bangi (antaranya Kumpulan Budi Utama (KUBU), sebuah kumpulan penggiat seni budaya pimpinan Usman Awang), lalu mendapat liputan di akhbar Berita Harian:-

  • 23/07/1959: Hari Ibu Bapa di Sekolah Umum Bangi: temasya sukan dan pameran hasil pertukangan, serta pementasan sandiwara “Bercherai Kasih” dan “Anika Ragam”, oleh Che Gu Idrus.

Sumber:-

LATAR PERISTIWA: Perihal Kumpulan Budi Utama (KUBU).

Bangi, 1956
Gambar hiasan: Bangi, 1956 (Faizal Hj Zainal, September 14, 2008: |"Sejarah Bangi").

1961-10-29: Temasha Sukan @ SK Bangi

Pengumuman temasha sukan dan hari ibu bapa di SK Bangi, bakal diadakan pada Ahad 29 Oktober 1961.

Sumber:-

1962-03-07: Sandiwara @ SK Bangi

Pengumuman serta laporan acara sandiwara dan aneka warna yang diadakan pada 9-10 Mac 1962 (5 Syawal), oleh pemuda-pemudi Kampung Bangi. Menurut guru besar, Che'gu Saari bin Said, sandiwaranya ialah cerita sejarah bertajuk “Biar Bertindek Tulang” (karya Inche' Ahmad bin Badek), manakala aneka warna pula menampilkan Ismail Bontak (penyanyi dan pelawak terkenal ketika itu) serta rakan-rakan. Harga tiket: 50 sen (dewasa) dan 30 sen (kanak-kanak).

Sumber:-

LATAR PERISTIWA: Perihal Ismail Bontak.

1962-03-25: Pementasan @ SK Bangi

Suatu ulasan kritis A Wahab Ali, berkenaan pementasan amal drama “Mati Bertindeh Tulang” (skrip dan arahan Zainal Harun, dipetik dari salah sebuah cerpen Harun Aminurrashid) di SK Bangi.

Sumber:-

Pengarah drama ini, Zainal Harun, adalah warga Bangi yang ditemuramah oleh pihak Berita Harian di dalam suatu rencana berkenaan Bangi, pada tahun 2015.
Zainal Harun (1962)Zainal Harun (2015)
Kiri: Zainal Harun (gambar dari keratan 1962). Kanan: Zainal Harun (gambar dari keratan 2015).

LATAR PERISTIWA: Penulis ulasan ini, A Wahab Ali, ialah seorang tokoh budayawan kelahiran Bangi, juga bekas pelajar SK Bangi.

1981-1983: Pembinaan Bangunan 3 Tingkat

Pada tahun 1981 sebuah bangunan setinggi 3 tingkat telah didirikan. Terdapat 13 bilik darjah 2 bilik stor, 2 stor bawah tangga, 6 tandas (3 untuk guru dan 3 untuk murid). la digunakan secara rasmi pada 8.2.1983. Sekarang terdapat 4 rumah guru. Kemudahan asas yang lain seperti padang, kantin dan bilik muzik.” (SEKOLAH KEBANGSAAN BANGI: |"SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN BANGI, KAJANG")

1985: Sambutan Jubli Perak

“Pada 1985 sekolah ini telah menyambut Jubli Perak sempena ulang tahunnya yang ke-50 tahun yang telah dirasmikan oleh Sultan Selangor.” (Faizal Haji Zainal, 2008: "SEJARAH BANGI - Sejarah Awal Bangi")

2015-03-08: Liputan Berita Harian

Satu-satunya bangunan Sekolah Kebangsaan Bangi, yang kedua tertua di Bangi, masih ada sehingga kini di pekan Bangi lama. - Foto Kamarulzaman Ariffin
“Satu-satunya bangunan Sekolah Kebangsaan Bangi, yang kedua tertua di Bangi, masih ada sehingga kini di pekan Bangi lama.”
(Foto Kamarulzaman Ariffin @ Berita Harian, 8 Mac 2015: "Bangi tempat putera terbuang")

2019-12-28: Dewan Warisan

Setakat 28 Disember 2019, bangunan ini masih digunakan sebagai dewan sekolah, dan dinamakan sebagai “Dewan Warisan”:-


Bangunan tambahan sekolah (dibina 1937), kini Dewan Warisan (Sumber gambar: Facebook SK BANGI - RASMI, 28 Disember 2019).

2022-01-11: Ancaman Perobohan

Pada 11 Januari 2022, laman Facebook Pekan Bangi melaporkan bangunan asal sekolah ini mungkin terpaksa dirobohkan bagi membina bangunan baru untuk menampung keperluan pelajar yang semakin bertambah: “Benarkah ada ura-ura mengatakan Dewan Lama Sekolah Kebangsaan Bangi yang mula-mula dibina pada tahun 1924 itu akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan baru? Jika benar ini adalah satu berita yang amat menyedihkan kita sebagai warga Pekan Bangi terutama sekali penduduk asal yang lahir atau membesar di sini.. Akan hilang satu lagi ikon sejarah Pekan Bangi..” (Pekan Bangi @ Facebook, 11 Januari 2022: "Dewan Lama Sekolah Kebangsaan Bangi").

Gambar terkini bangunan asal sekolah (11 Februari 2022)Pelak Sejarah
Gambar terkini bangunan asal sekolah (11 Februari 2022). Di sebelah kanan ialah pelak sejarah bangunan ini.

Latar Peristiwa

Menurut Guru Besar SK Bangi, Puan Nora Hussein, murid SK Bangi kini telah mencecah 1,400 orang, dan kelas-kelas yang sedia ada tidak dapat menampungnya lagi. Disebabkan ketiadaan ruang, bangunan baru akan terpaksa didirikan di tapak bangunan lama sekolah: “Murid SK Bangi bertambah setiap tahun. Sekarang murid SK Bangi mencecah hampir 1400 orang . Kami X cukup kelas utk menampung Untuk dirikan bangunan SK Bangi X Ada tempat, melainkan robohbina. Bangunan lama perlu dirobohkan Dan diganti dengan yg baru.sekiranya kami tidak merobohkan bangunan tersebut Kami tidak dapat bangunan baru sedangkan itu keperluan. Kemasukkan murid yg padat menyebabkan GB kena buat keputusan dan memohon bangunan baru. Bukan tidak menghargai tetapi maintance terpaksa ditanggung oleh sekolah.Oleh yg demikian saya selalu GB membuat keputusan utk meroboh Dan membina bangunan baru bagi keselesaan Dan keselamatan murid. bangunan tersebut sgt² uzur. Permohonan bangunan baru telah diluluskan oleh KPM. Dan laporan utk roboh telah dihantar ke PPD. Sy Mohon maaf kepada seluruh penduduk Bangi sekiranya Ada yg Rasa agak terkilan, tapi apa yg diputuskan kerana keperluan.” (Puan Nora Hussein, 11 Januari 2022: Ruangan komen posting).

Selain petikan dan sumber yang dinyatakan, rencana ini telah diusahakan oleh TMK Pulasan, di bawah kelolaan Syahrul Sazli Shaharir <sazli@pulasan.my>. Pengakuan penting: Kami bukan ahli sejarah! Sila klik di sini untuk penjelasan lanjut.

skbangi.txt · Last modified: 2024/09/13 16:33 by sazli