User Tools

Site Tools


kg_bangi

Kampung Bangi (1870-an)

Panorama Bangi
“Nampak dari jauh Masjid Bangi di tebing Sungai Bangi.” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 22 Oktober 2025: "Panorama Bangi").

Dirujuk oleh

Perihal

Peta Sungai Bangi, 1962Peta Sungai Bangi, 2025
Peta Sungai Bangi, termasuk muaranya di Sungai Semenyih (sekitar Bangi Ria kini), dan anak-anak sungainya (termasuk cabang utama iaitu Sungai Anak Bangi yang berpunca dari sekitar Bukit Puteri di timur laut UKM kini).
Kiri: Peta tahun 1962. Sungai Bangi dan anak-anak sungainya ditandakan biru muda (kombinasi peta-peta Director of National Mapping, Malaysia, 1962: |"Malaysia, Selangor, Kuala Lumpur, Series: L7010, Sheet 94, 1962, 1:63 360" dan |"Malaysia, Negri Sembilan, Selangor, Sepang, Series: L7010, Sheet 102, 1963, 1:63 360").
Kanan: Peta tahun 2025 (Mapcarta).

Pembukaan: Sejarah Asal Usul Nama Bangi

Sejarah Asal Usul Nama Bangi
“Sejarah Asal Usul Nama Bangi” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 15 Oktober 2025: "Sejarah Asal Usul Nama Bangi").

Versi 1 (1870-an): Batin Si Bangi (Temuan) -> Bangi (Versi Utama)

Sumber 1

“'Si Bangi' - Asalnya daripada nama seorang Batin orang Asli yang bernama 'Si Bangi' yang dikatakan yang telah memberi kebenaran kepada peneroka awal Bangi yang diketuai Tambun Bin Perai, Haji Ismail, Abdul Rahman untuk membuka kampung di kawasan Bangi (kini Kampung Bangi) semasa mereka mencari tempat baru disebabkan penempatan mereka di Batu 24 (kini Sg. Buah Luar) sering diserang dan dimusnahkan oleh serangan gajah liar. Apabila kampung ini mula diterokai mereka sepakat menamakan tempat ini sebagai 'Bangi' sempena nama Batin tersebut yang telah berjasa membantu mereka. Ini merupakan fakta sejarah asal usul nama Bangi paling utama yang dipegang selama ini untuk menjelaskan asal usul makna perkataan Bangi yang mana kampung Bangi ini mula diteroka pada sekitar tahun 1876 setelah tamatnya era Perang Kelang 1873 dan Perang Sungai Ujong 1874.” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 15 Oktober 2025: "Sejarah Asal Usul Nama Bangi").

Sekumpulan orang suku Temuan
Gambar hiasan: Dikatakan suku Temuan di Rantau Panjang, Klang, Selangor. Kemungkinan serumpun dengan masyarakat Temuan di Bangi ketika itu: “Sekumpulan orang suku Temuan menari dan bergendang pada hari perkahwinan … Rantau Panjang, Selangor tahun 1906 - Fz” (Faizal Zainal @ Selangor 10: |"Selangor Dulu - Dulu: Sekumpulan orang suku Temuan").

“Dikatakan diambil daripada nama ‘Tok Bangi’ iaitu nama Tok Batin (orang asli Temuan) yang telah lebih awal mendiami penempatan di Bangi sebelum suku Melayu Dagang berhijrah ke Bangi. Dikatakan pernah wujud penempatan orang asli di hilir sungai Bangi dan terdapat perkampungan orang asli yang direkod di peta lama (Zaman British) di Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat.

Penduduk Melayu di Bangi yang pada asalnya menetap di Batu 24 Jln Bangi - Dengkil terpaksa berpindah mencari penempatan baru di Bangi akibat penempatan mereka diserang gajah liar pada sekitar tahun 1896. Dikatakan mereka telah memohon pada Tok Bangi untuk tinggal & membuka tanah di Bangi.
…..
Tarikh Dibuka: Bangi kemungkinan dibuka sekitar penghujung abad ke-19 iaitu diantara 1870 – 1880an, tarikh ini boleh di yakini kerana semasa ini juga kawasan-kawasan sekitar Bangi mula diterokai seperti Sg.Kembung, Rinching, Teras Jernang,Sg. Buah, Dengkil juga dibuka sekitar akhir abad ke 19. Dalam catatan usahawan Kuala Lumpur terkemuka Hj.Abdullah Hukum dalam akhbar Warta Ahad pada 1935, beliau pernah berkubu di Kuala Sungai Bangi pada sekitar 1870an semasa beliau menjadi juak - juak kepada Raja Mahmud ( anak kepada Sultan Selangor). Kedatangan penghijrah dari tanah seberang (Sumatera) daripada suku Minang, Mendailing, Rambah, Jambi, Bengkulu, Palembang, Kerinci, Bugis, Jawa, Rawa dan sebagainya melalui Kuala Linggi, Jugra dan Kelang telah membuka banyak penempatan awal pekan-pekan dan kampung-kampung bukan sahaja di Daerah Hulu Langat tetapi di juga di seluruh negeri Selangor.
* Nama Bangi paling awal dijumpai pernah tercatat adalah dalam Selangor Journal pada 1896.
* Bangi tercatat dalam peta dalam naskah British Malaya yang diterbitkan pada 1905 oleh Frank Swethanham.”
…..
Terdapat cerita yang mengatakan terdapat Tiga kubur Tua di Kawasan Taman Bangi Ria yang telah wujud sejak awal lagi dikatakan adalah milik peneroka awal Bangi. Antara keturunan terawal yang menetap di Bangi adalah moyang kepada Cikgu Yaakob Bin Hj.Yusof yang bernama Bilal Patah .“
…..
Penempatan awal: Dikatakan terletak di Kuala Sg.Buluh iaitu tempat pertemuan hilir sungai Bangi dengan sungai Semenyih. Di sini perahu-perahu dan tongkang hilir mudik dari selatan (Linggi dan Rembau ) dan dari utara (Jugra dan Kelang). Terdapat tiga kubur tua di kawasan ini yang tidak diketahui siapa pemiliknya di kawasan sekarang (Taman Bangi Ria), dikatakan adalah peneroka terawal di Bangi.
…..
Kampung Bangi adalah kampung terawal di Bangi tetapi kampung ini agak sunyi , di awal 90an barulah kampung ini dipenuhi dengan lebih banyak setelah penduduk Kg.Masjid Bangi terpaksa membina rumah baru di sini akibat projek pelebaran Rel berkembar dan juga penduduk asal Kampung Bangi yang telah berhijrah kembali pulang setelah pencen dan membina rumah di tanah-tanah pusaka mereka.”

(Sumber: Faizal Hj Zainal, September 14, 2008: |"Sejarah Bangi". Di ruangan komen sumber ini: “Askm. Saya tak berapa pasti tentang 3 kubur lama yang dinyatakan. Kalau ianya di Tapak Perumahan Bangi Ria ianya adalah di kampung saya Di tanah Atuk Harun. Pada ingatan saya memang benar terdapat kubur dimasa dulu ketika saya merayau rayau mencari buluh dan buah rumbia dikawasan itu. Nak tau kena tanya isteri Atuk Harun. Dia masih hidup. Kubur penduduk kampung bangi adalah di Kg Sg Buah dan sekarang di kawasan Bangi sendiri.” (“Pak Lubis”)).

Sumber 2

“Terdapat beberapa tradisi lisan tentang penerokaan Bangi yang asalnya kawasan orang asli. Bangi didatangi orang Melayu pada tahun 1870-an. Peneroka Melayu itu terdiri daripada orang Sungai Ujong yang lari semasa berlakunya peperangan antara Dato' Kelana dengan Dato' Bandar.

Orang Melayu Sungai Ujong itu telah memudiki Sungai Semenyih. Ada juga di kalangan mereka yang berjalan kaki hingga ke hulu sungai itu. Pelarian dari Sungai Ujong itu telah sampai ke sebuah kawasan yang sesuai untuk dijadikan kampung halaman. Kawasan itu telah diberi nama Kampung Sungai Buah kerana mereka mendapati banyak buah-buahan di situ. Malangnya mereka terpaksa berpindah dari perkampungan itu kerana selalu diserang oleh gajah liar. Gajah-gajah itu sering mengganggu keselamatan mereka serta memusnahkan tanaman. Mereka telah berpindah dan menumpang di sebuah kampung orang asli yang batinnya bernama Bangi. Di kampung Bangi inilah peneroka awal seperti Tambun bin Perai, Haji Ismail, Abdul Rahman dan keluarga mereka memulakan kehidupan baru. Bersempena nama batin itu mereka menamakan kampung itu Kampung Bangi.

Di kawasan Bangi terdapat sebatang sungai. Sungai itu juga dinamakan Sungai Bangi. Menurut ceritanya, Batin Bangi amat suka berburu keluang. Pada suatu hari Batin Bangi telah pergi berburu keluang berhampiran dengan sebuah jambatan besi tidak jauh dari kampungnya.

Batin Bangi telah membaca jampi di kawasan tersebut sehingga keluang-keluang yang ada di kawasan itu tidak dapat terbang. Keluang-keluang itu kemudian dibunuh dan dimasukkan ke dalam sebuah bakul yang dipanggil ketigin. Kampung itu dinamai Kampung Batin Bangi. Kira-kira dua rantai dari tempat kejadian itu terdapat sebuah lubuk yang kemudiannya dinamai Lubuk Alahan Keluang, bersempena peristiwa itu.”

(Sumber: Roselan Abd. Malek, Azmi Yusoff, 1998: |"Siri Kenali Negerimu: Selangor Darul Ehsan", m.s. 12-13 (PDF)).

“Seperti adatnya asal usul nama sesuatu tempat, ada beberapa pendapat lain juga tentang asal usul nama Bangi ini seperti yang admin catatkan di bawah ini.” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 15 Oktober 2025: "Sejarah Asal Usul Nama Bangi").

Versi 2: Ayer Bangis -> Air Bangie (Minangkabau) -> Bangi

Sumber 1

“Ayer Bangis - Sebutannya 'Air Bangie' dalam bahasa daerah Pasaman Minangkabau. Nama Ayer Bangis ini adalah diambil daripada nama 'Bangie' sejenis tumbuhan yang hidup di pinggir - pinggir sungai. Dalam rekod sejarah Selangor perantau dari Ayer Bangis, Sumatera Barat adalah antara suku Melayu Sumatera terawal menetap di beberapa bahagian di dalam negeri Selangor seperti di Kuala Lumpur dan di juga di kawasan Hulu Selangor selain suku Mendailing, Rawa, Kerinci, Minang, Batu Baro dan sebagainya. Terdapat nama tempat Ayer Bangi di Sg. Choh Rawang yang merujuk kepada tempat asal usulnya peneroka kampung tersebut yang berasal dari Ayer Bangis Sumatera Barat.” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 15 Oktober 2025: "Sejarah Asal Usul Nama Bangi").

Ayer Bangi - Bangi
“Bila admin singgah bertanya pada seorang pak tuo kenapa nama tempat ini sama dengan nama tempat kita, beliau menjawab…nama Ayer Bangi di Sg.Choh ini diambil daripada nama tempat 'Air Bangis' (Pasaman, Sumatera Barat) yang merupakan tempat asal usul peneroka awal di Kg. Ayer Bangi di Sg.Choh, Rawang ini. Perkataan 'Bangis' ini pula berasal daripada perkataan sejenis tumbuhan 'Bangie' yang tumbuh di pinggir - pinggir sungai. Menurut Ali Nordin @ Pak Kati (bekas Ketua Kampung Bahagia, lahir 1925 ) nama Bangi juga muncul daripada peneroka awal yang berasal dari Air Bangis. Pendapat ini agak kurang terkenal dan kurang diakui namun ada dicatat dalam naskah thesis Sejarah Bangi (1981- 82) oleh Habibah Ismail berdasarkan interview pada tahun 1975 oleh Cikgu Yaakob mengenai sejarah asal usul Bangi.” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 18 Februari 2025: "Catatan Sejarah Bangi. Ayer Bangi - Bangi").

Sumber 2

“Cerita yang lain pula mengatakan bahawa Bangi dan kawasan sekitarnya telah diteroka oleh orang Sumatera yang datang ke Selangor dalam abad keenam belas. Dalam abad itu banyak orang Sumatera telah berhijrah ke Selangor. Mereka bertumpu di Kelang. Dari Kelang mereka telah berpecah mengikut haluan masing-masing. Ada yang memudiki Sungai Kelang dan ada juga yang memudiki Sungai Langat serta cabang-cabangnya. Apabila rombongan yang memudiki Sungai Langat itu sampai ke satu kawasan yang dianggap sesuai untuk dijadikan tapak petempatan, mereka meneroka kawasan baru itu. Kebiasaannya orang Sumatera itu akan menamakan satu-satu kawasan baru dengan nama kampung halaman asal mereka. Orang Sumatera yang sampai ke kawasan Bangi itu kebanyakannya dikatakan berasal dari Air Bengis. Justeru itu mereka telah menamakan kawasan yang baru diterokai itu dengan singkatan nama kampung asal mereka iaitu Bengis. Melalui pergaulan mereka dengan penduduk Melayu tempatan, sebutan Bengis itu lama-kelamaan menjadi Bangi.

Satu cerita yang lain pula telah menafikan cerita tersebut. Menurut cerita ini rombongan peneroka yang sampai di kawasan Bangi telah berkelahi kerana berebut tanah. Perkelahian itu sangat hebat atau bengis-bengisan kerana kemarahan masing-masing telah memuncak. Namun akhirnya perkelahian tersebut berjaya ditamatkan dan pendamaian dicapai. Mereka juga bersetuju untuk menamakan kawasan itu sebagai Bungis, mengambil sempena kejadian itu. Hasil dari pergaulan penduduk yang berlainan loghat, perkataan Bungis itu akhirnya bertukar menjadi Bangi.”

(Sumber: Roselan Abd. Malek, Azmi Yusoff, 1998: |"Siri Kenali Negerimu: Selangor Darul Ehsan", m.s. 13-14 (PDF)).

Versi 3: Wangi -> Bangi

Sumber 1

“Wangi - Perkataan ini asalnya daripada 'bau wangi' yang berubah dan kemudiannya disingkatkan menjadi 'Bangi'. Dikatakan pada waktu dahulu banyak tumbuh rumpun - rumpun serai wangi yang berbau wangi di sepanjang tebing Sungai Bangi.” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 15 Oktober 2025: "Sejarah Asal Usul Nama Bangi").

Sumber 2

“Terdapat juga cerita lain yang mengatakan bahawa nama Bangi itu berasal daripada nama sejenis tumbuhan yang dipanggil serai wangi. Semasa rombongan peneroka dari Sumatera itu sampai ke kawasan ini setelah memudiki sungai, mereka tehidu satu bau yang sungguh wangi. Bau wangi itu datang dari serai wangi. Peneroka-peneroka itu menemui banyak rumpun serai wangi di sepanjang sungai itu. Bersempena dengan bau wangi itulah kawasan itu dinamai Bauwangi. Melalui masa, nama Bauwangi ini kemudiannya disingkatkan oleh peneroka-peneroka dari Sumatera itu dan akhirnya nama Bangi digunakan.” (Roselan Abd. Malek, Azmi Yusoff, 1998: |"Siri Kenali Negerimu: Selangor Darul Ehsan", m.s. 14 (PDF)).

Versi 4: Bange (Mandailing) -> Bangi

“Bange - Bunyi sebutannya juga sama dengan 'Bangi'. Bange atau Bangie atau tano bange adalah nama sejenis tanah liat putih dalam bahasa Mandailing. Ada beberapa tempat di tanah Mandailing dan di Asahan (Batu Bara) Sumatera menggunakan nama Bange sebagai nama desa mereka. Di daerah kita ini suku Mandailing adalah antara pelopor dan peneroka awal dari Sumatera paling giat dan berjaya dalam menjalankan perlombongan seperti di Rekoh, Semenyih, Kajang, Ampang dan juga Kuala Lumpur sebelum kehadiran pelombong dari Tanah Besar China kemudiannya.” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 15 Oktober 2025: "Sejarah Asal Usul Nama Bangi").

Versi 5: Bangai (Bugis) -> Bangi

Sumber 1

“Bangai -Dikatakan diambil daripada perkataan ‘bangai’ atau 'terbangai' yang bermaksud terbuang atau yang disingkirkan. Perkara ini pernah dicerita oleh Allahyarhamah Hjh Yang Bte Hj Jamil (1928-2008) iaitu anak kepada Daeng Jamil yang merupakan cucu kepada Daeng Abdul Ghani iaitu anak kepada Sultan Abdul Samad. Dikatakan dalam masa-masa berlakunya pertelingkahan di Istana Klang, sebahagian dari warga istana telah dihalau oleh pihak Istana keluar. (Daeng Jamil lari ke Johor kerana menyaksikan masalah-masalah ini kemudian menetap di Tanjung Selabu, Muar). Mereka yang dihalau dari Istana telah terbangai (terbuang) ke sebelah tenggara Selangor di Daerah Hulu Langat. Tempat itu lalu dikenali sebagai tempat orang-orang istana yang terbangai atau terbuang, tersingkir. British pula mengeja dalam huruf ruminya “Bangi” iaitu terjemahan daripada huruf–huruf jawi dibaca sebagai ‘Bangi’.” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 15 Oktober 2025: "Sejarah Asal Usul Nama Bangi").

Sumber 2

“Dikatakan diambil daripada perkataan ‘bangai’ yang bermaksud terbuang atau yang disingkirkan, perkara ini pernah dicerita oleh Allahyarhamah Hjh Yang Bte Hj Jamil (1928-2008) iaitu anak kepada Daeng Jamil yang merupakan cucu kepada Daeng Abdul Ghani iaitu anak kepada Sultan Abdul Samad. Dikatakan dalam masa-masa berlakunya pertelingkahan di Istana Klang, sebahagian dari warga istana telah dihalau oleh pihak Istana keluar. (Daeng Jamil lari ke Johor kerana menyaksikan masalah-masalah ini kemudian menetap di Tanjung Selabu, Muar). Mereka yg dihalau dari Istana telah ditempatkan ke sebelah tenggara Selangor di Daerah Hulu Langat.

Tempat itu lalu dikenali sebagai tempat orang-orang istana yang terbangai atau terbuang, tersingkir. British pula mengeja dalam huruf ruminya “Bangi” iaitu terjemahan daripada huruf–huruf jawi dibaca sebagai ‘Bangi’. Bagi kebanyakan pengkaji sejarah, inilah asal usul nama Bangi paling kuat daripada yang lain dan lebih rasional. Merujuk kepada kamus Indonesia dan mendapati perkataan ‘bangai’ bermaksud tertinggal, tersingkir atau terbiar.

Perubahan sebutan Bangai kepada Bangi mungkin juga disebabkan oleh dialek pelombong-pelombong Cina keturunan Hakka yang tidak dapat menyebutnya dengan tepat.

Dalam perkataan bahasa Cina, Bangi membawa maksud serba sesuai. Nama tersebut turut didapati di Hong Kong kerana maksud yang bagus.”

(Sumber: Kumpulan Amal Bakti @ Projek Pembangunan Laman Sesawang Kampung Bangi (tuntutan kursus LMCR 2272 Apresiasi Teknologi Maklumat, Pusat Citra Universiti Kebangsaan Malaysia), December 12, 2016: |"SEJARAH KAMPUNG BANGI").

Sumber 3

Dari sumber salah seorang ahli keluarga Hjh Yang Bte Hj Jamil yang disebut di atas (mungkin sumber asalnya): “Atok juga pernah menceritakan asal-usul bandar “Bangi”. Dlm period masalah di Istana Klang, sebahagian dari warga istana telah dihalau oleh pihak Istana keluar. (Jamil lari ke Johor kerana menyaksikan masalah2 ini). Mereka yg dihalau telah ditempatkan ke sebelah tenggara Selangor di Daerah Hulu Langat. Tempat itu lalu dikenali sbg tempat org istana terbangai atau terbuang, seterusnya dipanggil Bangai. x pasti bangai tu bahasa apa. British pula dalam huruf ruminya mengeja “B-A-N-G-I”. Lalu jadilah Bangi sbgmana kita kenali hari ini.” (Addin Khalid, 14 April 2008: |"IN MEMORY: HJH YANG BT HJ JAMIL (1928-2008)").

Sumber 4

“Menurut satu cerita yang lain, Bangi dan kawasan sekitarnya telah diterokai oleh orang Sumatera yang datanq ke kawasan pedalaman negeri Selangor pada abad kesembilan belas. Salah satu rombongan orang Sumatera itu telah menjumpai sebuah kawasan terbiar yang sesuai untuk dijadikan tempat tinggal. Kawasan terbiar yang masih belum diterokai itu dalam istilah mereka dipanggil terbangai. Sesudah mereka menentukan kawasan itu benar-benar terbangai maka mereka pun bermuafakat untuk membersihkannya dan membuka perkampungan baru. Rombongan itu juga telah bersetuju untuk menamakan tempat baru itu dengan nama Bangai. Perkataan Bangai akhirnya telah bertukar menjadi Bangi, seperti nama yang ada sekarang.”

(Sumber: Roselan Abd. Malek, Azmi Yusoff, 1998: |"Siri Kenali Negerimu: Selangor Darul Ehsan", m.s. 14 (PDF)).

1876: Abdullah Hukum Di Bangi

Abdullah Hukum
“Abdullah Hukum dalam catatan memoirnya di akhbar Warta Ahad 1935 menyatakan beliau pernah membina benteng di Bangi bagi menuntut bela kepada Datuk Penggara dari Kuala Langat yang telah melarikan gundik Raja Mahmud semasa beliau masih menjadi juak - juak kepada Raja Mahmud (Penguasa Semenyih).

Beliau juga menulis peristiwa yang berlaku di rumah Raja Mahmud yang terletak di Bangi menerima rombongan kaum Kerinchi Sungai Ujong yang datang untuk menuntut diat kepada Raja Mahmud atas satu pembunuhan seorang penambang timah berketurunan Kerinchi dalam satu pergaduhan dan juga mengenai rancangan sulit Raja Mahmud dan rombongan Kerinchi tersebut untuk menyerang orang Bugis di Rekoh.

Catatan peristiwa ini pada dugaan saya kemungkinan berlaku sekitar tahun 1875 - 76 dalam umurnya sekitar 40 tahun setelah beliau keluar daripada persembunyiannya selama beberapa bulan di Kanching dan Mantin selepas tamatnya Perang Saudara di Selangor pada tahun 1874.

Abdullah Hukum kemudiannya mula belajar berniaga dan berdagang kain di Semenyih dan membuka sawah di Hulu Langat sebelum menetap di Kuala Lumpur dan akhirnya berjaya muncul sebagai salah seorang usahawan dan tokoh Melayu terkemuka di Kuala Lumpur pada era tersebut.

* Catatan memoir Abdullah Hukum berkaitan Bangi ini menjadi salah satu catatan terawal berkaitan Bangi oleh penduduk tempatan (Selangor) iaitu pada tahun 1935 yang dimuatkan secara bersiri dalam akhbar Warta Ahad diterbitkan di Singapura. Dicatatkan juga dalam memoirnya itu bahawa beliau merantau dari Kerinchi Sumatera semasa usianya 15 tahun pada tahun 1850 dan beliau meninggal dunia pada 1943 dalam usianya 108 tahun.”

(Sumber: Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 24 Jun 2025: "Catatan Sejarah Bangi. Abdullah Hukum Di Bangi - 1876").

MAKLUMAT LANJUT: Rekoh: 1867-1875: Pelarian Perang Klang.

1918-07-27: Perlantikan Ketua Kampung: Sai'don Malim Megat

Ketua Kampung Bangi 1918

“Sai'don Malim Megat dilantik sebagai Ketua Kampung Bangi oleh Resident British Selangor Edward George Broadrick atas perkenan Sultan Selangor Sultan Alauddin Sulaiman Shah pada tanggal 27 Julai 1918. Sai'don Malim Megat juga dikatakan bertanggungjawab membuka penempatan di Bangi (Batu 24 - Sg.Buah) yang merupakan penempatan terawal penduduk Bangi sebelum sebahagiannya berpindah ke kawasan Bangi yang ada sekarang ini akibat kerap berlakunya serangan gajah di kawasan tersebut sekitar tahun 1896.

* Rekod - rekod awal British merujuk kawasan Sungai Buah & Kwala Semenyih adalah kawasan penempatan terawal di Bangi.”

(Sumber: Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 17 Jun 2025: "Catatan Sejarah Bangi: Ketua Kampung Bangi 1918").

1924-1926: Pembinaan Masjid Bangi

Perihal lokasi Masjid Bangi: “Kampung ini terletak disepanjang jalan dari Pekan menghala ke Batu 6, di mana juga terletaknya Masjid Bangi. Dalam rekod pejabat Tanah Daerah Ulu Langat pada 1913 terdapat 30 rumah penduduk di kawasan ini semasa itu. Pada sekitar 80 - 90 an terdapat hanya lebih kurang 25 buah rumah sahaja disini walau bagaimanapun sejak awal 90an projek Rel Berkembar mengambil semula tanah hak milik KTM, penduduk asal terpaksa membina kembali rumah baru dan berpindah ke Kg.Bangi, Kg.Bahagia dan Bt.6.” (Faizal Hj Zainal, September 14, 2008: |"Sejarah Bangi").

Pembinaan masjid: “Lebai Zakaria bin Lebai Tandan merupakan Imam pertama dan pengasas Masjid Bangi pada tahun 1926. Namun tiada tarikh yang jelas dan rekod rasmi yang dijumpai setakat ini berkenaan tarikh dan masa pembinaan masjid ini. Menurut arwah nenek admin beliau melihat orang memasang atap di Masjid Bangi (mungkin dalam pembinaan) pada sekitar tahun 1924. Walau bagaimanapun dalam rekod rasmi tapak tanah Masjid Bangi telah dimohon lebih awal kepada Pentadbiran British Selangor pada Januari 1919 dan tanah yang berkeluasan 1 acre 7 perches tersebut memperolehi kelulusan dan digazetkan sebagai tapak rizab masjid pada 10 Disember 1929 iaitu hampir 10 tahun setelah permohonan dibuat. Dalam rekod lama ada juga dicatatkan telah ada surau di kawasan tapak tersebut sebelum penduduk Bangi memohon tanah tersebut pada tahun 1919. Catatan ajaizainal Sept.2025” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 9 September 2025: "Masjid Pertama di Bangi").

Masjid Bangi sekitar pertengahan 1950-an (gambar asal)Masjid Bangi sekitar pertengahan 1950-an (gambar diperbaiki)
“Foto lama yang telah diperbaiki ini memaparkan wajah lebih jelas Masjid Bangi pada sekitar pertengahan 1950an.” (Kiri: Gambar asal: Faizal Hj Zainal, September 14, 2008: |"Sejarah Bangi"); Kanan: Gambar diperbaiki: Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 9 September 2025: "Masjid Pertama di Bangi").

MAKLUMAT LANJUT: Masjid Bangi (1926)

1926: Sekolah Ugama Bangi

Hari Ini Dalam Sejarah Bangi
“Pada tanggal 17. 7 .1925 surat permohonan daripada Raja Haji Abdullah iaitu Setiausaha Jabatan Pelajaran Ugama Islam Selangor telah diutus kepada Sec.Resident Selangor mengenai makluman permohonan perlantikan Guru Besar untuk Sekolah Ugama Bangi yang dijadualkan mula berkhidmat pada sesi persekolahan tahun 1926.

Dinyatakan juga dalam surat berkenaan gaji guru besar adalah sebanyak 20 ringgit sebulan. Dianggarkan sebanyak 40 kanak - kanak sekitar Bangi akan masuk belajar pada tahun berkenaan di sekolah ini yang akan dibina bertentangan dengan Balai Polis Bangi.

Tahun hadapan Sekolah Ugama Bangi yang kini dikenali sebagai Sekolah Rendah Agama Pekan Bangi (terletak di Kg. Bahagia) akan menyambut ulangtahunnya yang ke 100 tahun sejak penubuhannya pada tahun 1926.

- Foto sekitar pertengahan 1950an. Semua Ketua Kampung di Bangi - Kg. Bangi, Kg. Sg. Buah, Kg. Batu 5 , Kg Rinching Hilir , Kg. Sg. Kembung, guru - guru SKB, wakil polis, telekom, letrik dan kaum bapa hadir dalam foto yang dirakamkan di hadapan bangunan lama Sekolah Ugama Bangi (kini Tadika Kemas Bangi). ”

(Sumber: Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 17 Julai 2025: "Hari Ini Dalam Sejarah Bangi").

MAKLUMAT LANJUT: Sekolah Ugama Bangi (1926).

1957-10-07: Sambutan Maulud Nabi

Perarakan Maulid Nabi di Pekan Bangi, 1957Maulud Nabi Di Bangi 1957
“Maulud Nabi Di Bangi 1957” (Kiri: Gambar asal. Kanan: Gambar diperbaiki).

“Dalam foto lama yang diwarnakan semula ini memaparkan sekumpulan penduduk Bangi bergambar di perkarangan Masjid Bangi berlatarkan rumah Pak Imam Ustaz Ismail Lebai Zakaria dalam persediaan untuk perarakan Maulud Nabi pada tahun kemerdekaan 1957. Orang - orang lama Bangi seperti Pak Lang Deraman, Cikgu Zainal GB SKBangi, Tok Dagang Amin, Cikgu Nasir Sidi, Buyong Aye, Cikgu Amir, Bujang, Cikgu Nasir Busu dan ramai lagi nampak santai dan ceria dalam foto yang telah berusia 68 tahun ini. Catatan ajaizainal Sept.2025”

(Sumber: Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 5 September 2025: "Nostalgia Bangi. Maulud Nabi Di Bangi 1957: Bahagian 1").

Perarakan Maulid Nabi di Pekan Bangi, 1957Maulud Nabi Di Bangi 1957 “Maulud Nabi Di Bangi 1957” (Kiri: Gambar asal. Kanan: Gambar diperbaiki).

“Dalam foto lama yang diwarnakan semula ini pemuda - pemuda Bangi nampak girang dan bersemangat dalam perarakan Maulud Nabi melalui Pekan Bangi bersama usungan replika berbentuk surau dan kereta yang bertulis Fiat 1957 yang cantik dan berwarna warni. Kelihatan orang - orang lama Bangi seperti Pak Andak Yusof, Yunos, Cikgu Ghafar, Wahid, Pak Lang Deraman dan ramai lagi dalam perarakan ini. Dulu - dulu orang Bangi punya tradisi di mana setiap kampung di sekitar Bangi akan menyediakan usungan masing - masing berupa replika berbentuk perahu layar, kereta, rumah, masjid atau kapal yang dihiasi dengan bunga telur dan pelbagai bunga hiasan yang dihasilkan dengan buluh dan kertas berwarna warni. Usungan itu dipikul dalam perarakan sebagai satu alatan persembahan sambil mereka berjalan dan berselawat dalam perarakan tersebut. Kemudiannya bunga - bunga telur itu akan diagih - agihkan kepada kanak - kanak dan kaum ibu. Catatan ajaizainal Sept.2025”

(Sumber: Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 5 September 2025: "Nostalgia Bangi. Maulud Nabi Di Bangi 1957: Bahagian 2").

Kaum Ibu semasa majlis Maulid Nabi Sekitar tahun 50anMaulud Nabi Di Bangi 1957
“Maulud Nabi Di Bangi 1957” (Kiri: Gambar asal. Kanan: Gambar diperbaiki).

“Di dalam foto lama yang diwarnakan semula ini kelihatan kaum ibu sedang berkumpul, ada yang duduk bersimpuh dan ada yang bersila memangku dan meriba anak masing - masing sambil mendengarkan ceramah di bawah khemah yang sediakan untuk majlis Maulud Nabi di Masjid Bangi. Pada kebiasaannya selepas ceramah diadakan pula jamuan makan untuk semua jemaah yang hadir. Antara kaum ibu yang bertungkus lumus menyiapkan hidangan Maulud Nabi semasa era itu ialah nenek Bibah (isteri Pak Imam), nenek Jinan (nenek admin), Mak Lang Dara Hj. Abas, Sipah Panggung, nenek Minah mak Cikgu Nasir, Mak Long Bibik dan ramai lagi bergotong royong menyiapkan masakan yang belanjanya daripada sumbangan penduduk kampung untuk sebuah majlis yang diraikan setahun sekali ini.”

(Sumber: Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 5 September 2025: "Nostalgia Bangi. Maulud Nabi Di Bangi 1957: Bahagian 3").

(Sumber gambar-gambar asal: Faizal Hj Zainal, September 14, 2008: |"Sejarah Bangi").

1958-04-20: Gambar Hari Raya 1377H

Kenangan 1 Syawal 1957(1958?)
“Foto 68 tahun yang lalu ini memaparkan sekumpulan pemuda Bangi bergambar di studio gambar di Kajang pada Hari Raya pertama pada tahun yang bersejarah 1957(1958?). Mereka semasa itu berumur sekitar 17 - 19 tahun. Kini ada yang telah meninggal dunia dan ada yang masih sihat beramal dan beribadat. Berdiri dari kanan Angah Zainal 87 tahun, Amir Hamzah, Omar Jabarnor, Mad Nor, duduk dari kiri pakcik Roslan, Awi dan Kassim.” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 2 April 2025: "Kenangan 1 Syawal 1957(1958?)").

Di dalam gambar ini, tertera “Kenangan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1 Syawal 1377”. Tarikh 1 Syawal 1377H adalah bersamaan 20 April 1958M: “Anak bulan tidak kelihatan malam sa-malam, dari itu Hari Raya tetap-lah sudah jatoh-nya pada hari Ahad.” (Berita Harian, No.252. Kuala Lumpur, Sabtu, 19 April, 1958 - 30 Ramadhan, 1377: |"HARI RAYA ESOK").

1980-an: Catatan Kenangan

Jambatan Hitam Sungai Bangi

Jambatan Hitam Sungai Bangi
“Jambatan Hitam Sungai Bangi”

“Masa kecik - kecik dulu kitaorang akan buat ujian keberanian menyeberang jambatan dari sisi jambatan keretapi ni dan jugak kena terjun ke bawah untuk buktikan kita ni bukan pondan. Kalau dulu - dulu dipanggil pondan memang malu betul…jadi memang semua sanggup terjun ke sungai walaupun banyak batu asalkan tak menanggung sakit hati dan malu dipanggil pondan. ilustrasi kartun - ajaizainal 1998”

(Sumber: Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 8 Oktober 2025: "Nostalgia Bangi. Jambatan Hitam Sungai Bangi").

Rumah Udin Ami / Kak Ami / Pak Uda Seman (1986/1987)

Sebuah Rumah Di Tebing Bukit
“Nostalgia Bangi. Sebuah Rumah Di Tebing Bukit. Kalau kita datang dari arah Batu 6, Sg.Kembung, Rinching dan Batu Lima bila nak ke Pekan Bangi, kita pasti akan terlihat rumah ini yang terletak elok - elok di selekoh tebing bukit sebelum masuk ke jalan Kg. Masjid Bangi. Dulu - dulu kami panggil rumah ini rumah Udin Ami atau rumah Kak Ami, orang lamo mengenalnya sebagai rumah Pak Uda Seman iaitu rumah panggung gaya Melaka yang letaknya paling tinggi di sekitar Bangi. Selekoh di bawah tu dulu dikira laluan paling bahaya di Bangi, banyak jugak kemalangan terjadi dulu - dulu termasuklah melibatkan kemalangan maut. Laluannya mendaki dari Batu 6 kemudian laju menurun bukit sebelum 'kona baring' menuju ke Masjid Bangi & Pekan Bangi. *Foto ini dirakam sekitar tahun 1986 - 87 di zaman nasi lemak Cik Kuntum, Cik Iti dan roti canai Ajmeer boleh dibeli dengan harga 30 sen.” (Faizal Zainal @ FB Pekan Bangi, 27 Februari 2025: "Nostalgia Bangi").

Suasana Kampung Masjid (1980-an)

Suasana Kg. Masjid Bangi sekitar tahun 1986 - 87Sebuah rumah di Kampung Masjid Bangi sekitar akhir tahun 80an
Kiri: “Suasana Kg. Masjid Bangi sekitar tahun 1986 - 87 di zaman lagu 'Rozana' Search, ''Sinaran' Sheila Majid dan 'Menaruh Harapan' Zaiton Sameon tengah meletup waktu itu. Sekarang tempat ini telah berubah menjadi kawasan parking Masjid Kariah Bangi. Dulu - dulu ada sekitar 10 rumah di kawasan ini. Terbayang sebatang pohon durian tua dan pokok daun - daun keladi tumbuh melata di paya di pinggir jalannya. Di kawasan ini sesekali akan banjir juga pada musim hujan apabila air Sungai Bangi melimpah dari tebingnya…bau lumpur, bau kek nenas rumah tepi sungai, bau harum kaya dan roti rumah tinggi berbaur pada waktu itu.” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 17 Februari 2025: "Nostalgia Bangi").
Kanan: “Sebuah rumah di Kampung Masjid Bangi sekitar akhir tahun 80an. Sekarang tempat ini telah menjadi kawasan parking Masjid Kariah Bangi.” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 6 Oktober 2025: "Nostalgia Bangi").

Rumah Kampung Masjid Bangi Lama
“Rumah Kampung Masjid Bangi Lama. … ..mohon bantuan kut ada yang kenal Roslan Amri Ham (Lan) usia sekarang lingkungan 60an asal Tanjung keling Melaka.. Aruwah mak saya minta untuk carikan dia,..masa ni dia praktikal di bangi..alumi USM penang.. terima kasih” (Abu Fudhail @ Facebook Jejak Kenalan LAMA (JKL) OFFICIAL®️, 20 November 2025: "Rumah Kampung Masjid Bangi Lama").

Suasana Kenduri

Gambar ehsan Abg Noor Komando
“Dulu-dulu punya makan kenduri makan berhidang tau.. Punya la meriah.. Tapi angkatan rewang memang cergas 💪🏻 Satu kampung bergotong-royong. Gambar ehsan Abg Noor Komando” (Facebook Pekan Bangi, 27 Januari 2025: "Gambar ehsan Abg Noor Komando").

1990-an: Catatan Kenangan

Jalan Rakyat

Jalan Rakyat
Jalan Rakyat”, mengubungkan Pekan Bangi dengan Masjid Bangi: “Mungkin dah nak capai usia 30 tahun jalan ini dibina oleh rakyat Bangi. Ada satu towkey otai Bangi ni setiap kali saya berjumpa beliau, dia akan berkisah tentang penglibatannya dalam membina jalan ini bersama penduduk Bangi walaupun mungkin beratus projek telah beliau laksanakan sepanjang menjadi kontraktor, projek 'Jalan Rakyat' yang berjasa ini juga menjadi satu sentimental value untuk beliau kenang selalu.” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 20 Jun 2025: "Catatan Sejarah Bangi").

2000-an: Catatan Kenangan

Sungai Bangi, di perkampunganNostalgia Bangi
Kiri: Anak-anak menjelajah Sungai Bangi (Faizal Hj Zainal, September 14, 2008: |"Sejarah Bangi").
Kanan: Gambar yang sama, fokus lebih dekat: “Generasi terakhir yang sempat dirakam menjelajah Sungai Bangi pada sekitar 2001. Biasanya dulu - dulu kita pergi ke hulu berjalan meredah air mula dari bawah jambatan hitam (jambatan keretapi) atau bawah jambatan Sg.Bangi di tepi rumah Wak Khalid dan penamatnya di Batu Hidup dalam Golloway Estet.” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 16 Mac 2025: "Nostalgia Bangi").

Foto Tahun 2003, lokasi belakang rumah Pak Long Musa, berdekatan rumah Cik Iti dan Masjid Bangi.
“Budak - budak dalam foto ini mungkinlah generasi terakhir yang sempat menjelajah Sungai Bangi. Dulu - dulu aktiviti menjelajah sungai ini satu aktiviti pada cuti sekolah, apalagi nak dibuat selain main bola dan merayau. Bermula dari bawah jambatan hitam atau pun dari bawah jambatan tepi rumah Lan Jawa sampailah ke Batu Idup. Kami tanggalkan baju dan selipar kemudian beramai - ramai mengharung air baik yang dengkat atau pun yang acup. Kami juga menjejaki sampai ke hulu anak - anak Sungai Bangi jauh sampai ke sempadan Sungai Tangkas (sekarang Padang golf UKM). Ada beberapa anak - anak sungai yang membentuk Sungai Bangi ada dari PORIM, Hutan Simpan UKM, ada dari Sg.Tangkas dan juga beberapa anak sungai dari bukit di Bangi Estate. Salah seorang sahabat jelajah kami Allahyarham Chal (anak Cikgu Nasir) telah mendaftarkan nama 'Bangi River Enterprise' sebagai tanda sayangnya pada Sungai Bangi pada suatu ketika dulu. Foto Tahun 2003, lokasi belakang rumah Pak Long Musa, berdekatan rumah Cik Iti dan Masjid Bangi. ” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 29 Oktober 2025: "Nostalgia Bangi: Jelajah Sungai Bangi.").

Selain petikan dan sumber yang dinyatakan, rencana ini telah diusahakan oleh TMK Pulasan, di bawah kelolaan Syahrul Sazli Shaharir <sazli@pulasan.my>. Pengakuan penting: Kami bukan ahli sejarah! Sila klik di sini untuk penjelasan lanjut.

kg_bangi.txt · Last modified: by sazli