User Tools

Site Tools


sungai_buah

Kampung Sungai Buah (1870-an)

Dirujuk oleh

1870-an: Pembukaan Awal @ Kampung Sungai Buah Luar

Panorama BangiPertemuan Simpang Sungai Semenyih & Sungai Buah
Kiri: Gambar dari tebing utara Tasik Idaman, Kampung Sungai Buah Luar. Menghadap ke arah Bukit Tunggul yang melatarinya di sebelah selatan. Berdekatan petempatan awal di sekitar muara Sungai Semenyih - Sungai Buah. Dahulu dikenali sebagai Kampung Batu 24, dikatakan kampung asal ramai penduduk awal Bangi: “Kampung Sungai Buah Luar, generasi lama mengenalnya sebagai Kampung Batu 24 @ Kampung Lesen.” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 17 November 2025: "Panorama Bangi").
Kanan: “Pertemuan simpang Sungai Semenyih & Sungai Buah. … Sungai Buah diceritakan orang dulu - dulu adalah tempat terawal peneroka awal Bangi mula berkampung setelah mereka melarikan diri daripada perang saudara di Sungai Ujong pada sekitar tahun 1874 - 75. Mereka berpindah menyusur Sungai Semenyih sampailah mendarat ke hilir Sungai Buah tempat yang terlindung dan selamat yang terletak di sempadan negeri Selangor dan negeri Sungai Ujong. Banyak keluarga penduduk asal Kg. Masjid Bangi dan Kg.Bahagia Bangi dahulu asalnya menetap sekitar Kg. Batu 24 (sekarang Sungai Buah Luar). Malah tanah perkuburan penduduk lama Bangi juga disini tempatnya. Rekod di Arkib Negara paling awal pernah admin jumpa setakat ini berkaitan Kampung Sungai Buah adalah pada tahun 1880 iaitu berkaitan status kedudukan Kampung Sungai Buah sama ada di bawah negeri Sg.Ujong ataupun negeri Selangor. Catatan ajaizainal” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 28 Ogos 2025: "Catatan Sejarah Bangi: Pertemuan Simpang Sungai Semenyih & Sungai Buah").

Sungai Buah Luar (Batu 24)
“Sungai Buah Luar (Batu 24). Ramai penduduk asal Kg. Masjid Bangi dan Kg.Bahagia Bangi berasal dari kampung ini yang majoritinya berketurunan Minang. Kampung ini antara penempatan terawal penduduk Bangi. Kampung ini satu ketika dulu pernah menjadi rebutan antara negeri Sungai Ujong dan British Selangor.” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 19 Julai 2025: "Sungai Buah Luar (Batu 24)").

Penglibatan Warga dalam Pembukaan Bangi (1870-an)

“'Si Bangi' - Asalnya daripada nama seorang Batin orang Asli yang bernama 'Si Bangi' yang dikatakan yang telah memberi kebenaran kepada peneroka awal Bangi yang diketuai Tambun Bin Perai, Haji Ismail, Abdul Rahman untuk membuka kampung di kawasan Bangi (kini Kampung Bangi) semasa mereka mencari tempat baru disebabkan penempatan mereka di Batu 24 (kini Sg. Buah Luar) sering diserang dan dimusnahkan oleh serangan gajah liar. Apabila kampung ini mula diterokai mereka sepakat menamakan tempat ini sebagai 'Bangi' sempena nama Batin tersebut yang telah berjasa membantu mereka. Ini merupakan fakta sejarah asal usul nama Bangi paling utama yang dipegang selama ini untuk menjelaskan asal usul makna perkataan Bangi yang mana kampung Bangi ini mula diteroka pada sekitar tahun 1876 setelah tamatnya era Perang Kelang 1873 dan Perang Sungai Ujong 1874.” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 15 Oktober 2025: "Sejarah Asal Usul Nama Bangi").

MAKLUMAT LANJUT: Kampung Bangi (1870-an)

1920-1932: Pembukaan (Zaman Kolonial)

Sumber 1

“Kampung Sungai Buah telah dibuka pada tahun 1932. Di peringkat awal, hanya empat (4) orang peneroka sahaja yang mengusahakan pembukaan tanah di Kampung ini. Mereka ialah masyarakat berketurunan Jawa iaitu Encik Lagiman bin Sastro Karyo, Haji Kassim dan dua lagi rakan mereka.

Peneroka-peneroka ini pada mulanya hanya meneroka kawasan di tepi sungai. Ketika berehat di tepi sungai tersebut, mereka mendapati terdapat banyak buah kelepung (tumbuhan, Randia exalfata) di dalam sebuah parit. Parit itu dikenali sebagai Parit Sungai Buah. Buah kelepung ini warnanya hijau keputihan. Pokok dan getahnya juga berwarna putih. Apabila buah ini dimasak, ia berwarna kuning. Pokok ini dikatakan masih wujud sehingga kini. Mengambil sempena banyaknya buah kelepung di kawasan ini maka tempat itu pun dinamakan Sungai Buah.”

Papan tanda kampung di Kampung Sungai Buah
“Papan tanda kampung di Kampung Sungai Buah.”

(Sumber: Discovery Research Consultant Management Sdn Bhd, b/p Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, 2007: Koleksi Cerita Asal Usul dan Sejarah Daerah Sepang, hlm.39-40).

Sumber 2

“Sejarah penubuhan kampung ini telah bermula sejak 20 tahun yang lalu sekitar tahun 1920. Walau bagaimanapun, tarikh yang tepat tidak dapat diketahui kerana kampung ini pada asalnya diteroka oleh pendatang dari Indonesia yang berketurunan Jawa, Badang dan Madura. Asal-usul atau penempatan pertama Kampung Sungai Buah dikatakan terletak berhampiran KLIA Seremban yang diteroka oleh pendatang dari Indonesia. Menurut Encik Rasid, asal usul pemberian nama Kampung Buah wujud apabila peneroka pertama iaitu Orang Maduria mudik ke Sungai kecil dan disepanjang penjalanannya terdapat banyak ‘buah kepompong’ yang terapung di sepanjang sungai. Buah tersebut dikatakan berbentuk bulat, bewarna hijau dan bersaiz seperti biji guli. Buah itu juga dikatakan beracun dan tangan akan gatal sekiranya dipegang.”

“Video temubual bersama ketua Kampung Sungai Buah berkenaan sejarah penubuhan kampung tersebut.”

(Sumber: KAMPUNG SUNGAI BUAH: 25 Oktober 2015: |"SEJARAH KAMPUNG SUNGAI BUAH"). CATATAN: Menurut Faizal Zainal, November 14, 2018 (ruangan komen): “kalau di arkib Negara ada rekod nama Sungai Buah dah wujud sekitar 1892.”

Sumber 3

“Difahamkan nama Kampung Sungai Buah diperolehi hasil fenomena pokok ketapang ketika itu dibuka pada 1925 dan kini hampir tiga generasi menetap di sini.” (Afix Redzuan, Februari 27, 2018: |"Penduduk Kampung Sungai Buah gembira selepas 45 tahun").

1957: Perkembangan Selepas Merdeka

“Apabila penduduk semakin ramai maka kampung ini mula menjadi tumpuan empat suku kaum utama iaitu orang Minang, Boyan, Jawa dan Madura. Selaras dengan perkembangan penduduk yang semakin bertambah maka pada tahun 1957, masjid pertama telah dibina oleh penduduk kampung secara bergotong royong dengan dindingnya diperbuat daripada kulit kayu. Kini, masjid ini telah diganti baru melalui projek penambahan dan pembesaran masjid. Sebenarnya, masjid ini dibina di atas tanah yang diwakafkan oleh salah seorang penduduk kampung ini. Masjid tersebut dinamakan Masjid Raudatul Jannah yang bermaksud “Taman Syurga”. Surau di kampung ini pula dinamakan Surau Al-Hidayah yang bermaksud “orang yang mendapat petunjuk”.

Pada asalnya, Kampung Sungai Buah terletak di kawasan tepi lebuh raya utama Kuala Lumpur-Seremban. Namun begitu ia telah dipindahkan ke kawasan Batu 3 kemudiannya. Keunikan kampung ini ialah dari segi pembahagian penduduknya mengikut kawasan kampung. Ini kerana, mengambil kira bahawa terdapat empat (4) suku kaum utama di kampung ini maka penduduk di sini tinggal di bahagian kampung yang ramai didominasi oleh suku kaum mereka. Secara umumnya, pembahagian kawasan ini adalah seperti berikut:

i) Orang Minang di bahagian hilir;
ii) Orang Jawa di bahagian tengah;
iii) Orang Boyan di bahagian dalam; dan
iv) Orang Madura di bahagian hulu atau hujung kampung.

Dari segi kepimpinan kampung, Ketua Kampung pertama ialah Encik Hussin bin Haji Kasim @ Rana Di Krama. Beliau menjadi Ketua Kampung sejak 1957 dan berasal dari Jawa, Indonesia. Ketua Kampung kini ialah Encik Amat bin Lagiman yang menjadi Ketua Kampung sejak 1985. Terdapat juga ketua-ketua masyarakat yang mewakili suku-suku kaum di kampung ini dan mereka banyak membantu dalam pembangunan kampung ini seperti Tuan Haji Lebai Zakaria (Tok Imam, jurunikah); Encik Sulaiman @Juo (mengetuai orang Minang), Encik Melan bin Haji Abdul Hamid (mengetuai orang Jawa) dan Encik Tiken (mengetuai orang Madura).”

Kawasan petempatan asal Kampung Sungai BuahMasjid Raudhotul Jannah
Kiri: “Kawasan petempatan asal Kampung Sungai Buah yang terletak di tepi Lebuh Raya Utara Selatan (Kuala Lumpur-Seremban) dan berhampiran jalan raya utama antara Bangi Lama dan Kampung Jenderam. ”
Kanan: “Masjid Raudhotul Jannah di Kampung Sungai Buah mempunyai reka bentuk seni bina yang menarik.”

(Sumber: Discovery Research Consultant Management Sdn Bhd, b/p Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, 2007: Koleksi Cerita Asal Usul dan Sejarah Daerah Sepang, hlm.40-42).

1970-1971: Kampung Baru Orang Asli

Sumber 1

“Pada tahun 1970, wujud kampung orang asli di Sungai Buah. Hal ini demikian kerana, penempatan orang asli ini pada asalnya terletak di UKM, namun apabila ditubuhkan Fakulti Undang-Undang di UKM, penempatan mereka terpaksa dipindahkan ke kampung Sungai Buah. Kampung Orang Asli Sungai Buah terletak di Dengkil, Selangor. Jarak kampung ini dengan Bandar Baru Bangi lebih kurang 9.5 kilometer dan perjalanan menaiki kereta hamper 15 minit. Kampung yang seluas tiga kilometer persegi ini terletak juga berhampiran dengan Club Golf Bukit Unggul dan rata–rata penduduk disini kebanyakkan bekerja sebagai buruh diluar selain membuat kerja-kerja kampung seperti bercucuk tanam, memungut hasil hutan dan menangkap ikan di sungai berhampiran. Jumlah bancian penduduk kampung Orang Asli Sungai Buah sebanyak 38 buah rumah dan seramai 133 orang isi rumah pada tahun 2017. Daripada jumlah ini kita dapat ketahui bahawa penduduk Orang Asli di Sungai Buah ini merupakan komuniti yang kecil di mukim Dengkil dan rata-rata penduduk disini beragama anisme atau kepercayaan nenek moyang banding dengan jumlah penduduk yang memeluk Islam seramai 20 orang, Kristian tiga orang dan Hindu seorang. Walaupun keperlbagaian agama dan kepercayaan yang wujud di kampung ini namun penduduk disini tetap menjalinkan hubungan kekeluargaan bersama masyarakat Orang Asli seperti biasa dan hidup sebagai komuniti yang masih mengamalkan sikap kerjasama dan saling. Kampung ini juga mempunyai struktur organisasinya tersendiri seperti kampung- kampung lain iaitu dibawah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang digabungkan dengan dua kampung lain seperti Kampung Bukit Tunggul dan Kampung Sungai Klebang yang juga mempunyai penduduk Orang Asli hanya sekitar 20-50 orang sahaja.” (Nor Adli Firdaus, Al-Amril Othman, 2020 @ Jurnal Wacana Sarjana, 4 (5). pp. 1-13. ISSN 2600-9501: |"Menyingkap selingkar kisah korban pembangunan: dari Batu 20 ke Bukit Unggul.").

Sumber 2

“Pada tahun 1971, pembangunan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyebabkan berlakunya perpindahan penduduk Orang Asli dari kawasan asal mereka iaitu di tapak UKM sekarang ke Kampung Sungai Buah. Rumah-rumah mereka telah dibina oleh pihak Kerajaan. Kebanyakan bahan yang digunakan untuk membuat dinding rumah-rumah di kampung ini dahulunya diperbuat daripada kayu Meranti dan atapnya adalah atap zink.” (Discovery Research Consultant Management Sdn Bhd, b/p Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, 2007: Koleksi Cerita Asal Usul dan Sejarah Daerah Sepang, hlm.40).

Sumber 3

Pada tahun 1970, wujud kampung orang asli di Sungai Buah. Hal ini demikian kerana, penempatan orang asli ini pada asalnya terletak di UKM, namun apabila ditubuhkan Fakulti Undang-Undang di UKM, penempatan mereka terpaksa dipindahkan ke kampung Sungai Buah.” (KAMPUNG SUNGAI BUAH: 25 Oktober 2015: |"SEJARAH KAMPUNG SUNGAI BUAH").

1980-an: Catatan Kenangan

Jambatan lama Sungai Buah, 1986Jambatan baru Sungai Buah, 2025 “Jambatan Sungai Buah dahulu & sekarang…dulu kayu sekarang konkrit.” (Kiri: 1986; Kanan: 2025; Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 23 September 2025: "Jambatan Sungai Buah...").

Kini

“Kawasan pentadbiran Kampung Sungai Buah juga meliputi Bukit Unggul dan Bukit Berop (Birut). Bukit Unggul sebenarnya dulu dinamakan sebagai Bukit Tunggul. Walau bagaimanapun, nama ini telah ditukarkan kepada Bukit Unggul sejak padang golf dibina di sini dan tempat ini dibangunkan. Bukit Berop (Birut) pula merupakan bukit yang paling tinggi di kampung ini dan dikatakan bahawa jika seseorang berada di puncaknya maka boleh dilihat pemandangan kawasan dari Morib hingga ke Port Dickson. ” (Discovery Research Consultant Management Sdn Bhd, b/p Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, 2007: Koleksi Cerita Asal Usul dan Sejarah Daerah Sepang, hlm.42).

“The Selangor Economic Planning Unit (Upen) recently named it as one of the best villages in the state. It is easy to see why – the surroundings are so peaceful and pristine. Village head Ahmad Sanusi Salleh says his home is situated in an area that is still relatively untouched.” (The Star/Asia News Network @ The Straits Times, Nov 21, 2017: |"Explore the charms of Malaysia's Kampung Sungai Buah").

“Kampung Sungai Buah is a lovely and quiet village amidst a rapid developing neighbourhood on the border between Selangor and Negeri Sembilan. The land here is primarily small agriculture holdings, some palm, an abandoned golf/ housing project and generally low-lying hills.”
Tasik Idaman, Kg Sg Buah, kini (Kiri: Ying How and Ai Ling @ Kuala Lumpur Mountain Bike Hash (KLMBH), 28/07/2019: |"KLMBH #293 KAMPUNG SUNGAI BUAH". Kanan: Kuala Lumpur Mountain Bike Hash (KLMBH): |"DIRECTIONS TO KLMBH #293 @ KAMPUNG SUNGAI BUAH").

Laman Tasik Impian, Kampung Sungai BuahNasi Goreng Medan
Kiri: “Port santai-santai (Laman Tasik impian kampung Sungai buah). Nak santai-santai tak perlu jauh-jauh. Jemput Datang ke kampung sungai buah. Boleh riadah besama keluarga, Boleh memancing secara pecuma di tasik impian Ada macam-macam jualan disana. Pada Waktu malam tasik impian terang bagaikan bulan pernama. Ada gerai anak-anak muda. Dari makanan berat sehingga makanan ringan. Bermula Dari pkul (5ptg -12tgahmlm). Setiap hari (selasa- ahad) (Sabtu dan ahad) (5pm-7pm). Ada jualan minum petang di tasik impian. Kampung Sungai buah menanti kehadiran anda semua.. mohon kepada semua pihak utuk menjaga kebersihan laman tasik impian ini bersama-sama..” (Facebook Pekan Bangi, 4 Ogos 2025: "Port santai-santai (Laman Tasik impian kampung Sungai buah)").
Kanan: “Kalau dah jelak makan nasi goreng kedai Tomyam yang selalu masak cincai tu, datanglah ke sini order Nasi Goreng Medan yang enak sambil duduk di bawah teduhan pohon jati dengan hembusan bayu sambil melihat genangan dan riak air tasik yang syahdu. Hati yang rawan bisa jadi sembuh!” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 2 Ogos 2025: "Port Healing Bangi - Tasik Impian Sg. Buah Luar").

Selain petikan dan sumber yang dinyatakan, rencana ini telah diusahakan oleh TMK Pulasan, di bawah kelolaan Syahrul Sazli Shaharir <sazli@pulasan.my>. Pengakuan penting: Kami bukan ahli sejarah! Sila klik di sini untuk penjelasan lanjut.

sungai_buah.txt · Last modified: by sazli