User Tools

Site Tools


pemuda_desa

Pertubuhan Pemuda Desa

Dirujuk oleh

Perihal

Perihal Pertubuhan Pemuda Desa: Pertubuhan ini ditubuhkan pada 10 Ogos 1961 (didaftarkan pada 11 November 1961) hasil inisiatif Majlis Belia Malaya. Matlamat utamanya ialah bekerjasama dengan kerajaan bagi menjayakan rancangan pembangunan luar bandar. Keahliannya terbuka kepada semua golongan belia yang demokratik, tidak mengutamakan orientasi politik dan ideologi atau juga pola budaya, agama, etnik dan sosial. Setiausaha pertamanya ialah Syed Kamarulzaman Syed Bahaldin Aljamlud (bakal Senator Dewan Negara 1981-1984). Menjelang persidangan pertamanya di peringkat nasional pada 8 September 1962, ia telah berkembang kepada 52 bahagian di seluruh Tanah Melayu: “Pertubuhan Pemuda Desa ini merupakan sebuah badan sukarela yang bergabung dengan Majlis Belia Malaya. Matlamat utama Pertubuhan ini ialah bekerjasama dengan kerajaan bagi menjayakan rancangan pembangunan luar bandar, mengamalkan sifat bergotong royong dan berjimat cermat dalam segala urusan, melaksanakan rancangan-rancangan yang berfaedah, mengadakan kursus dalam bidang pembangunan desa, bekerja untuk faedah bersama khasnya masyarakat desa dan bergerak di luar pengaruh politik dan perkauman. Kegiatan-kegiatan Pertubuhan ini tidak lama kerana di sekitar tahun 1965/1966 ia telah dibubarkan.” (446 @ Facebook, 8 September 2020: |"Pada hari ini dalam tahun 1962, Persidangan Pertubuhan Pemuda Desa yang pertama telah diadakan di Rumah UMNO, Kuala Lumpur..."). “Pergerakan di luar pengaruh politik dan perkauman” ini senada dengan teras Majlis Belia Malaya ketika itu: “MBM pada tahun 1962-1964 merupakan badan `multi - tendency yang terbuka kepada semua golongan belia yang demoktratik, tidak mengutamakan orientasi politik dan ideologi atau juga pola budaya, agama, etnik, dan sosial.” (Idealis Mahasiswa, 2002: |"Sejarah Majlis Belia Malaysia (MBM)").

Pertubuhan ini bergerak aktif sepanjang tahun 1962-1965, dengan pelbagai aktiviti seni dan kemasyarakatan seperti kursus pertanian, gotong-royong pembersihan serta pembinaan jalan, jambatan, dan bangunan awam, pertunjukan pentas, majlis perayaan, pertandingan seni dan kraftangan, dan sebagainya. Sebagai contoh: “Allahyarham Tuan Hj. Abdul Aziz Ghani (sepupu ayah dan ibuku) mengilhamkan penubuhan PPD pada awal tahun 60. Beliau seorang guru maktab. Tujuan beliau menubuhkan PPD ialah mengumpulkan ana-anak muda di kampung ini yang kebetulan sebahagian besar adalah anak-anak buahnya untuk aktiviti seni khususnya tarian dan nyanyian. Pada masa yang sama abangnya Allahyarham Jaafar Abdul Ghani (lebih dikenali dengan nama Rahim Ghani/Ngah Ayem) telah mula berjinak dengan lagu-lagu asli khusunya Ghazal. Beliau menganggotai kumpulan Ghazal Sri Kenangan Batu pahat. Beliau banyak menyertai pertandingan nyanyian anjuran RTM, khususnya dalam nyanyian lagu-lagi asli. Disebelah malam pada tiap-tiap hujung minggu, kami berkumpul di halaman rumah Tok Nor untuk aktiviti nyanyian dan tarian. Guru tari kami ialah Cikgu Rafeah Ghani (kami memanggilnya Kak Ne) Banyak tarian yang kami pelajari, antaranya, tarian lilin, tarian tempurung, tarian tualang tiga. Bagi yang 'ada suara' berlatih menyanyi di bawah bimbingan Ngah Ayem. Bakat kami dihidu oleh seorang ahli PIB Batu Pahat. PIB adalah Persatuan Ibu Bapa yang mula diperkenalkan di Batu Pahat dan akhirnya idea ini disenaraikan ke peringkat Negara dengan nama PIBG dan kini PIBG Nasional. Saya tidak berapa ingat namanya tetapi beliaulah yang mengetengahkan kami ke Peringkat Daerah. Setiap kali ada sambutan di padang (seperti menyambut hari keputeraan Sultan) ada sebuah pentas didirikan khas untuk kami mempersembahkan tarian dan nyanyian. Pentas-pentas lain turut juga didirikan yang mempersembahkan bangsawan, wayang kulit dan juga 'live band' Seingat saya kami telah membuat persebahan di Kg. Semberong dan di Kota Tinggi. Pendek kata kumpulan kami was a great hit dan menjadi bualan mulut penduduk di Batu Pahat.” (Alimah Ghani, 5 Mei, 2009: |"Persatuan Pemuda Desa (PPD)").

Namun ia dilihat terlalu rapat dengan kerajaan pusat, khususnya parti UMNO. Ini kerana kebanyakan cawangannya telah ditubuhkan, diterajui, atau dinaungi oleh pemimpin UMNO setempat serta sering mendapat liputan meluas di akhbar-akhbar. Selain itu, sebahagian aktivitinya berupa penerangan dasar-dasar atau pendirian kerajaan terhadap isu-isu semasa, serta dikelolakan secara usahasama dengan parti tersebut. Malah terdapat dakwaan layanan istimewa kerajaan pusat terhadap persatuan ini di dalam beberapa keadaan, sehingga membelakangi kesepakatan kesatuan masyarakat sedia ada, yang telah pun bergiat lebih awal lagi.

Selepas tahun 1965, pertubuhan ini tidak lagi aktif, akibat berkurangnya generasi pelapis kepada para penggiat asalnya. Antara kemungkinan punca-puncanya ialah:-

  • Pengaruh sosio-budaya semasa, termasuk kemunculan siaran televisyen: “Persatuan Pemuda Desa ini tidak panjang hayatnya. Antara faktornya ialah ahlinya ada yang mula mendapat pekerjaan dan ada juga yang melanjutkan pelajaran tetapi faktor terpenting ialah kemasukkan bekalan letrik di kampung ini dan kemunculan TV hitam putih.” (Alimah Ghani, 5 Mei, 2009: |"Persatuan Pemuda Desa (PPD)").
  • Kewujudan pelbagai persatuan-persatuan belia yang lain, dan kurangnya kerjasama dan hubungan baik di antara mereka: “Sa-panjang yang saya ketahui Kementerian ini juga, kita tidak boleh menafikan kegiatan dan kechergasan-nya di-dalam lapangan sport dan dilapangan kebudayaan, tetapi dalam lapangan belia, hanya sangat sadikit bilangan-nya belia2 yang telah dapat memasoki persatuan2 belia yang diarahkan oleh Kementerian ini. Ini saya rasa, boleh jadi, Tuan Yang di-Pertua, di-sebabkan banyak sangat persatuan2 belia yang ada dalam negara kita ini - ada persatuan Pemuda Desa, ada Persatuan Belia dan ada Persatuan 4B, dan macham2 lagi. Dengan ada-nya banyak persatuan2 belia yang sa-rupa ini, saya dapati banyak perselisehan faham di-antara mereka sendiri, hingga kita terdengar di-dalam surat2 khabar, masing2 memuji kesatuan-nya. - Dato' Haji Mustapha bin Haji Abdul Jabar (Sabak Bernam)” (DEWAN RA'AYAT, 23rd February, 1967: |"PARLIAMENTARY DEBATES", m.s.5380).

Kronologi

1961 (10 Ogos): Ditubuhkan hasil inisiatif Majlis Belia Malaya (MBM): “Dalam tahun 1961 MBM berjaya menginisiatif penubuhan belia sukarela iaitu Pertubuhan Belia Desa (11ogos 1961) dan pergerakan Pekerja Muda (10 julai 1960).” (Idealis Mahasiswa, 2002: |"Sejarah Majlis Belia Malaysia (MBM)").

1961 (11 November): Didaftarkan. Setiausaha yang dipilih: Syed Kamarulzaman Syed Bahaldin Aljamlud (bakal Senator Dewan Negara 1981-1984). Penubuhan ini turut disokong oleh parti UMNO, yang turut sama menggerakkannya (Berita Harian, 1 December 1961, Page 6: |"PEMUDA UMNO SOKONG PENOH 'PEMUDA DESA'").
Syed Kamarulzaman Syed Bahaldin Aljamlud, 1961
Syed Kamarulzaman Syed Bahaldin Aljamlud, Setiausaha pertama PPD, 1961 (The Straits Times, 20 September 1961, Page 7: |"Education necessary for success of rural plan, says youth leader").

1962: Pelbagai kegiatan.

1962 (11 Januari): Menerima kritikan daripada sebahagian persatuan-persatuan pemuda sedia ada: “Tetapi pada fikiran saya dan pemuda pemudi di-kampong ini, kelab yang ada sekarang ini sudah chukup untok di-jadikan tempat bergerak bagi pemuda pemudi di-sini dan tidak-lah payah lagi ditubohkan sa-buah kelab lain. Saya bimbang kalau ditubohkan sa-buah kelab lagi di sini, perbuatan itu kelak akan memechah belahkan pemuda pemudi di-sini dan kerana itu hilang-lah tujuan asal untok mendirikan kelab2 itu. … Saya beseru kapada Yang Berhormat ini supaya membantu lebeh giat kelab yang ada sekarang ini untok dapat bergerak lebeh chergas dalam ranchangan kemajuan luar bandar dan lain2 ranchangan.” (PEMUDA PROGRESIF, Jelempok @ Berita Harian, 11 January 1962, Page 4: |"Kelab yang sekarang sudah chukup").

1962 (7 Julai): Pembukaan Pertubuhan Pemuda Desa (PPD) Ulu Langat Selatan, cawangan Semenyih, dirasmikan oleh Yang Dipertua PPD daerah Kajang, Dato' Kampo Radjo. PPD Ulu Langat Selatan terdiri daripada 9 cawangan, termasuk Batu 5 Bangi dan Pekan Bangi.
Dato' Kampo Radjo, Yang Dipertua PPD daerah Kajang
Dato' Kampo Radjo, Yang Dipertua PPD daerah Kajang.

1962 (8 September): Persidangan nasional pertama: “Pada hari ini (8 September) dalam tahun 1962, Persidangan Pertubuhan Pemuda Desa yang pertama telah diadakan di Rumah UMNO, Kuala Lumpur. Persidangan ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Haji Sardon b. Haji Jubir, Menteri Pengangkutan yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Pemuda Desa, lebih 100 orang wakil dari 52 bahagian di seluruh Tanah Melayu telah menghadiri persidangan ini. Semenjak ditubuhkan pada 10 Ogos 1961, inilah kali pertama diadakan mesyuarat agung dan persidangan dan berlangsung selama 2 hari.

Di samping perbincangan dan pembentangan kertas kerja, persidangan ini juga turut membincangkan masalah-masalah tanah, persaingan kegiatan antara pertubuhan-pertubuhan, masalah keahlian dan jadual-jadual kerja. Majlis Tertinggi Pertubuhan ini juga telah menetapkan 11 November sebagai hari Pemuda sempena dengan tarikh pendaftarannya. Di persidangan ini, Buku Panduan Pertubuhan Pemuda Desa yang disusun oleh Jawatankuasa Tertinggi telah dibentang dan dipersetujui oleh semua ahli. Penerimaan buku panduan ini telah meletakkan ahli bertanggungjawab di dalam segala bidang yang dianjurkan oleh Pertubuhan termasuk kegiatan pertanian, ternakan, pemasaran, kontrak kerja dan sebagainya.

Pertubuhan Pemuda Desa ini merupakan sebuah badan sukarela yang bergabung dengan Majlis Belia Malaya. Matlamat utama Pertubuhan ini ialah bekerjasama dengan kerajaan bagi menjayakan rancangan pembangunan luar bandar, mengamalkan sifat bergotong royong dan berjimat cermat dalam segala urusan, melaksanakan rancangan-rancangan yang berfaedah, mengadakan kursus dalam bidang pembangunan desa, bekerja untuk faedah bersama khasnya masyarakat desa dan bergerak di luar pengaruh politik dan perkauman. Kegiatan-kegiatan Pertubuhan ini tidak lama kerana di sekitar tahun 1965/1966 ia telah dibubarkan.”

YB Datuk Haji Sardon b. Haji Jubir, Menteri Pengangkutan yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Pemuda Desa
(Tun) YB Datuk Haji Sardon b. Haji Jubir, Menteri Pengangkutan yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Pemuda Desa

(Sumber: 446 @ Facebook, 8 September 2020: |"Pada hari ini dalam tahun 1962, Persidangan Pertubuhan Pemuda Desa yang pertama telah diadakan di Rumah UMNO, Kuala Lumpur...").

1962 (30 November): Di parlimen, Too Joon Hing, wakil Telok Anson (Teluk Intan) melaporkan suatu pertikaian di sebuah kampung, di antara pemimpin masyarakat setempat dengan Persatuan Pemuda Desa di situ, di mana pihak kerajaan pusat telah bertindak menyebelahi pihak Persatuan Pemuda Desa: “1. Rumah Dewan ini pada bulan 6 yang lalu telah di-dirikan di-atas Tanah Masjid Kampong Selabak dengan persetujuan Ahli2 Jawatan-Kuasa Masjid ini dan dengan persetujuan orang ramai dari seluroh kawasan kampong ini dan dengan Persetujuan Dato' Penghulu Mukim dan dengan Persetujuan Tuan Pegawai Jajahan dan wakil Ra'ayat Yang Berhormat Puan Som, tetapi malang-nya dengan adanya bangkangan danpada Persatuan Pemuda Desa maka Dewan ini pun di-rombak balek dan di-tarek entah ka-mana pergi-nya. 2. Maka hari ini sa-olah2-nya Rumah Dewan ini hendak di-berikan kapada Persatuan Pemuda Desa dan hendak didirikan di-atas Tanah Sekolah dengan jasa baik Timbalan Menteri Besar itu.” (Dewan Ra'ayat, 30 November 1962: |"PARLIAMENTARY DEBATES", m.s.1824; Berita Harian, 1 December 1962, Page 5: | "PILEH KASEH DLM PEMBANGUNAN: WAKIL MENUDOH").

1962 (20 Disember): Kursus Pertanian Pemuda Desa di Pusat Latihan Pertanian Cheras Kajang. Cawangan Bangi menghantar 3 orang wakil, antaranya Cikgu Mohammad bin Mohd Nor dari SK Bangi.

Lampiran: Liputan Aktiviti 1962-1965

1962

1963

1964

1965

pemuda_desa.txt · Last modified: 2022/02/17 09:45 by sazli