Jadual Kandungan

Sekolah Melayu Bangi (1924)

Dirujuk oleh

Ringkasan Sejarah

Berikut adalah catatan sejarah awal Sekolah Kebangsaan Bangi, sempena ulang tahun ke 100, oleh Faizal Zainal:-

“Sekolah ini merupakan sekolah terawal dibangunkan di Bangi dan dibuka pada 13 September 1924 dengan nama 'Bangi Malay School'. Nama sebutan di kalangan penduduk tempatan untuk sekolah ini adalah 'Sekolah Bangi' sejak dahulu hinggalah sekarang ini. Ia merupakan Sekolah Melayu ke-7 yang dibina di daerah Hulu Langat dan merupakan salah sebuah sekolah daripada 72 Sekolah Melayu yang terdapat di dalam negeri Selangor pada masa itu. Sekolah Agama Bangi (Bangi Mohammadan Religious School) pula mula dibangunkan setahun kemudian pada 1925 di kawasan tanah milik Masjid Bangi dan mula beroperasi pada tahun 1926.

Sekolah Melayu Bangi ini dibina di kawasan pinggir hutan Bangi Forest Reserve berdekatan Stesen Keretapi Bangi. Bangunan sekolah yang berukuran 30 × 50 kaki ini telah dibina dengan menggunakan batang kayu hutan, beratapkan nipah, berlantaikan simen dan berdinding sekerat papan yang dicat putih dan kuning.

Kumpulan pertama pelajar Sekolah Melayu Bangi ini pada tahun 1924 adalah berjumlah 24 orang dan hanya 2 orang daripadanya pelajar perempuan. Pada tahun 1925 pelajar Sekolah Melayu Bangi dilaporkan meningkat kepada 76 orang. Umur pelajar pada ketika itu bermula pada usia 7 tahun namun ada juga berumur belasan tahun belajar di kelas yang sama dan darjah tertinggi pada waktu itu adalah darjah 5. Pelajar awal sekolah ini adalah kanak - kanak dari sekitar kampung dan Pekan Bangi iaitu Kg. Bangi, Kg. Masjid dan Batu 24 Bangi. Kemudiannya pelajar dari kampung - kampung lain sekitar Bangi seperti dari Jenderam, Batu 5, Sg.Kembung, Batu 3, Sg. Buah, Teras Jernang, Kg. Bahagia, Rinching Hilir juga turut mendapatkan pendidikan awal mereka di sekolah ini.

Sepertimana Sekolah Melayu lain pada waktu itu tiada pakaian seragam sekolah diwajibkan pada pelajar. Biasanya pelajar lelaki memakai kain pelikat, berbaju teluk belanga dan bersongkok. Perempuan pula berkain batik, memakai baju kurung atau kebaya. Kasut atau selipar dipakai jika ada, kalau tidak berkaki ayam sahaja ke sekolah. Guru pula pada waktu itu berbaju cotton tebal kolar nehru butang lima semacam pakaian drebar waktu itu dan berkain pelikat atau berbaju melayu lengkap bersamping dan bersongkok.

Guru - guru yang bertugas semasa itu adalah dikalangan guru lelaki yang punya kemahiran asas menulis, membaca, mengira dan mengaji dalam rumi dan juga jawi. Antara guru awal Sekolah ini adalah Cikgu Husin Paduka. Kebiasaannya pada waktu itu hanya ada seorang guru untuk sebuah sekolah dan ditambah dengan seorang lagi penolong guru atau guru pelatih. Gaji guru waktu itu adalah berjumlah $20 ringgit manakala guru besar $35 ringgit sebulan. Guru sekolah Melayu dibenarkan membuat potongan gaji sebanyak $4 sebulan untuk membeli basikal di gedung Robinson di Java Street Kuala Lumpur berbanding guru di Sekolah Inggeris yang dibenarkan membuat potongan gaji untuk membeli motosikal “Norton” atau “AJS” di kedai yang sama.

Pelajar sekolah pada waktu itu belajar menggunakan papan batu / loh yang perlu dicuci dan digilap bersih setiap hari. Guru pula mengajar menggunakan papan hitam yang disangga dengan kayu easel. Mata pelajaran waktu itu adalah asas mengira Ilmu Hisab, Ilmu Alam dan Tawarikh, Ilmu kesihatan, kemahiran membaca, menulis dan mengarang dalam jawi dan juga rumi. Ilmu kemahiran juga diajarkan kepada pelajar seperti kaedah bercucuk tanam, cara memperbaiki alatan menangkap ikan, cara mengawal anai - anai, ilmu menjahit dan menyulam. Setiap mata pelajaran berlangsung selama 20 minit. Waktu belajar pula adalah bermula dari jam 8 pagi dan pulang selepas jam 12 tengahari.

Antara buku - buku yang biasa digunakan dalam sesi pembelajaran semasa itu adalah Benih Akal, Jolong Bacaan, Chanai Bacaan, Pemimpin Pengetahuan, Hikayat Abdullah dan sebagainya. Duit belanja sekolah pelajar tahun sekitar 1920an adalah sebanyak 1 atau 2 sen sahaja. Dengan 1 sen dapatlah seorang pelajar membeli sebungkus nasi lemak, sepinggan mee atau sebatang tebu pada waktu itu.

Daripada 'sekolah atap' pada 1924 Bangi Malay School / Sekolah Melayu Bangi kemudiannya berkembang dengan pembinaan bangunan baru siap digunakan pada tahun 1937- 1938 yang lebih moden dan megah yang kemudiannya telah menjadi salah satu struktur bangunan paling ikonik di Bangi. Kemudian pada tahun 1954 dan 1983 blok bangunan baru sekolah ditambah mengikut keperluan semasa dan pertambahan penduduk di Bangi.

Kewujudan Bangi Malay School/ Sekolah Melayu Bangi yang kemudiannya dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Bangi selama ini telah berjasa besar dalam memberi makna, identiti dan nilai dalam sejarah perjalanan hidup setiap penduduk Bangi yang pernah menuntut ilmu di sebuah sekolah yang selama satu abad telah berfungsi sebagai institusi sosial dan simbol penting di tanah nenek moyang kita yang tercinta ini.

Salam 100 Tahun Sekolah Bangi… Ilmu Pelita Hidup!

Oleh Faizal Zainal
Bekas pelajar SKB 1982 - 87”

Lukisan cat minyak karya Faizal Zainal bertajuk 'SKB 100 Tahun'
“* Lukisan cat minyak karya Faizal Zainal bertajuk 'SKB 100 Tahun' menggambarkan permandangan Bangi Malay School / Sekolah Melayu Bangi pada tahun 1924 adalah adaptasi pelukis berdasarkan memori bekas pelajar SK Bangi 1947 - 1953 Zainal Bin Harun (86 tahun).”

(Sumber: Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 13 September 2024: |"Catatan Sejarah Awal Sekolah Kebangsaan Bangi. Sempena Ulang tahun ke 100.").

Antara tokoh-tokoh budayawan yang pernah bersekolah di sini:-

1924: Pembukaan Sekolah Melayu Bangi

Sekolah Melayu Bangi didirikan hasil usaha masyarakat kampung-kampung berhampiran Bangi. Ia berukuran 30×50 kaki persegi, dengan tiang kayu bulat, dinding papan, atap nipah, dan lantai simen. Para pelajar awalnya terdiri daripada 24 orang lelaki dan 2 orang perempuan: “Sekolah Melayu Bangi merupakan sekolah kedua tertua di Daerah Hulu Langat selepas sekolah High School Kajang. Sekolah ini didirikan atas daya usaha masyarakat kampung-kampung yang berhampiran dengan Bangi Lama pada tanggal 13 September 1924. Asal Nama Bangi: Nama Bangi diambil sempena nama Tok Batin Orang Asli yang ada di sini suatu ketika dahulu iaitu Si Bangi. Pada awal pembukaan sekolah ini hanya mempunyai 24 orang lelaki dan 2 orang perempuan sahaja. … Bangunan asal sekolah ini berukuran 30×50 kaki persegi. Tiangnya dari kayu bulat berdindingkan papan, beratapkan nipah dan berlantaikan simen.” (SEKOLAH KEBANGSAAN BANGI: |"SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN BANGI, KAJANG").

“Sekolah Kebangsaan Bangi atau awalnya dikenali sebagai Bangi Malay School bukanlah sekolah kedua tertua di Daerah Hulu Langat, ianya merupakan Sekolah Melayu yang ke 13 dibina di dalam daerah ini. Sekolah Melayu pertama adalah di Kajang yang dibina pada tahun 1884. Senarai sekolah ini sangat munasabah kerana pembinaan sekolah tersebut berdasarkan kepadatan penduduk Melayu di kawasan tersebut. Kawasan Kajang, Ulu Langat, Semenyih, Beranang seperti kita sedia maklum merupakan perkampungan Melayunya jauh lebih banyak dan luas daripada kawasan kita ini. Di bawah ini adalah senarai Sekolah Melayu yang dibina setelah British mentadbir daerah ini.”

Bil Sekolah Melayu Tahun
1 Kajang 1884
2 Ulu Langat 1884
3 Semenyih 1889
4 Cheras 1889
5 Kajang (P) 1897
6 Beranang 1898
7 Dusun Tua 1906
8 Beranang Hilir 1908
9 Ulu Semenyih 1913
10 Jenderam 1916
11 Ulu Langat (P) 1920
12 Dusun Tua (P) 1920
13 BANGI 1924

“* sumber rujukan “Perkembangan Pelajaran Melayu di Selangor 1875 - 1930”. Arkib Negara.”

(Sumber: Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 18 Jun 2025: "Catatan Sejarah Bangi").

1925-07-30: Pemeriksaan Kesihatan

Foto hiasan - pelajar Sekolah Melayu
“Foto hiasan - pelajar Sekolah Melayu”

“Pada 100 tahun yang lalu Jabatan Kesihatan Selangor telah merekodkan sebanyak 66 pelajar daripada 78 pelajar di Sekolah Melayu Bangi (kini Sekolah Kebangsaan Bangi) telah diperiksa tahap kesihatan mereka pada tanggal 30 Julai 1925.”

(Sumber: Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 30 Julai 2025: "Bangi - Hari Ini Dalam Sejarah").

1936-11-14: Peruntukan Kerajaan

Bendahari Majlis Negeri Selangor, Mr. A. Sleep, antara lain mengumumkan peruntukan untuk guru-guru dan bangunan tambahan bagi Sekolah Bangi: ““There is an extra provision for Malay Vernacular Education, both for trained teachers and for new school buildings are Kampong Bahru, Kuala Lumpur, at Sungei Tuah, Ulu Klang, and Bangi; also for a hostel at the High School, Klang, and for extensions to existing schools.” said Mr. Sleep.” (The Straits Times, 16 November 1936, Page 13: |"$308,000 FOR ROADS AND BUILDINGS").

1937: Bangunan Tambahan

“Pada tahun 1937, sebuah bangunan tambahan yang mengandungi 4 bilik darjah yang berukuran 100×30 kaki persegi. la bertiangkan batu, berdindingkan papan, beratap genting dan berlantaikan papan. Sekarang ia dijadikan dewan sekolah.” (SEKOLAH KEBANGSAAN BANGI: |"SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN BANGI, KAJANG").

Bangunan tambahan ini mungkin dibina menggunakan dana kerajaan yang telah diumumkan pada 14 November 1936.

Sekolah Melayu Bangi (Tarikh tidak diketahui)
Dewan Lama Sekolah Melayu Bangi (Tarikh tidak diketahui) (Sumber gambar: Faizal Haji Zainal, 2008: "SEJARAH BANGI - Sejarah Awal Bangi")

1954-01-16: Bangunan Sains Rumahtangga

Sebuah bangunan baru bakal dibina bagi menempatkan kelas Sains Rumahtangga, yang menggabungkan pengajaran sains dengan budaya tradisi Melayu, khususnya dalam bidang pengurusan rumah dan anak-anak. Ketika itu, sekolah ini adalah antara Sekolah Melayu yang terbesar di daerah Ulu Langat: “The Malay school at Bangi one of the largest in Ulu Langat district will have a new building for its domestic science class, in a month.” (The Straits Times, 16 January 1954, Page 5: |"New building").

Korikulum sains rumahtangga di sekolah-sekolah Melayu menggabungkan ilmu saintifik (barat) semasa, dengan sosiobudaya tradisi Melayu: “The curriculum for girls had lower standards in arithmetic and geography, and varied the practical and handwork sections of the boys’ curriculum. Domestic science was to be taught wherever possible, and drill and games were a part of the curriculum in all schools. Care was taken that school hours allowed pupils time to assist their families. For Malay girls, the curriculum emphasised additional subjects, which were commonly taught in schools throughout the Empire, and focussed on the home and children.” (Anna Maree Doukakis, 2012: |"'Now we want Malays to awake': Malay Women Teachers in Colonial Johor and their Legacy.")

1956-1961: Sekolah Umum Bangi

“Sekolah Melayu Bangi”, “Sekolah Umum Bangi” dan “Sekolah Kebangsaan Bangi” adalah sekolah yang sama. Latarnya ialah beberapa perubahan pada dasar pelajaran ketika itu:-

(Sumber: Noriah Mohamed, Darwis Harahap, 2013: "Mutiara Budi")

1959-07 - 12: Siri Temasya Budaya

Beberapa siri temasya budaya telah dianjurkan di sekolah ini (juga sekolah lain di sekitar Bangi), sepanjang tahun 1959-1962, oleh pemuda-pemudi Bangi (antaranya Kumpulan Budi Utama (KUBU), sebuah kumpulan penggiat seni budaya pimpinan Usman Awang), lalu mendapat liputan di akhbar Berita Harian:-

Sumber:-

LATAR PERISTIWA: Perihal Kumpulan Budi Utama (KUBU).

Bangi, 1956
Gambar hiasan: Bangi, 1956 (Faizal Hj Zainal, September 14, 2008: |"Sejarah Bangi").

1961-10-29: Temasha Sukan @ SK Bangi

Pengumuman temasha sukan dan hari ibu bapa di SK Bangi, bakal diadakan pada Ahad 29 Oktober 1961.

Sumber:-

1962-03-07: Sandiwara @ SK Bangi

Pengumuman serta laporan acara sandiwara dan aneka warna yang diadakan pada 9-10 Mac 1962 (5 Syawal), oleh pemuda-pemudi Kampung Bangi. Menurut guru besar, Che'gu Saari bin Said, sandiwaranya ialah cerita sejarah bertajuk “Biar Bertindek Tulang” (karya Inche' Ahmad bin Badek), manakala aneka warna pula menampilkan Ismail Bontak (penyanyi dan pelawak terkenal ketika itu) serta rakan-rakan. Harga tiket: 50 sen (dewasa) dan 30 sen (kanak-kanak).

Sumber:-

LATAR PERISTIWA: Perihal Ismail Bontak.

1962-03-25: Pementasan @ SK Bangi

Suatu ulasan kritis A Wahab Ali, berkenaan pementasan amal drama “Mati Bertindeh Tulang” (skrip dan arahan Zainal Harun, dipetik dari salah sebuah cerpen Harun Aminurrashid) di SK Bangi.

Sumber:-

Pengarah drama ini, Zainal Harun, adalah warga Bangi yang ditemuramah oleh pihak Berita Harian di dalam suatu rencana berkenaan Bangi, pada tahun 2015.
Zainal Harun (1962)Zainal Harun (2015)
Kiri: Zainal Harun (gambar dari keratan 1962). Kanan: Zainal Harun (gambar dari keratan 2015).

LATAR PERISTIWA: Penulis ulasan ini, A Wahab Ali, ialah seorang tokoh budayawan kelahiran Bangi, juga bekas pelajar SK Bangi.

1981-1983: Pembinaan Bangunan 3 Tingkat

Pada tahun 1981 sebuah bangunan setinggi 3 tingkat telah didirikan. Terdapat 13 bilik darjah 2 bilik stor, 2 stor bawah tangga, 6 tandas (3 untuk guru dan 3 untuk murid). la digunakan secara rasmi pada 8.2.1983. Sekarang terdapat 4 rumah guru. Kemudahan asas yang lain seperti padang, kantin dan bilik muzik.” (SEKOLAH KEBANGSAAN BANGI: |"SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN BANGI, KAJANG")

1985: Sambutan Jubli Perak

“Pada 1985 sekolah ini telah menyambut Jubli Perak sempena ulang tahunnya yang ke-50 tahun yang telah dirasmikan oleh Sultan Selangor.” (Faizal Haji Zainal, 2008: "SEJARAH BANGI - Sejarah Awal Bangi")

2015-03-08: Liputan Berita Harian

Satu-satunya bangunan Sekolah Kebangsaan Bangi, yang kedua tertua di Bangi, masih ada sehingga kini di pekan Bangi lama. - Foto Kamarulzaman Ariffin
“Satu-satunya bangunan Sekolah Kebangsaan Bangi, yang kedua tertua di Bangi, masih ada sehingga kini di pekan Bangi lama.”
(Foto Kamarulzaman Ariffin @ Berita Harian, 8 Mac 2015: "Bangi tempat putera terbuang")

2019-12-28: Dewan Warisan

Setakat 28 Disember 2019, bangunan ini masih digunakan sebagai dewan sekolah, dan dinamakan sebagai “Dewan Warisan”:-


Bangunan tambahan sekolah (dibina 1937), kini Dewan Warisan (Sumber gambar: Facebook SK BANGI - RASMI, 28 Disember 2019).

2022-01-11: Ancaman Perobohan

Pada 11 Januari 2022, laman Facebook Pekan Bangi melaporkan bangunan asal sekolah ini mungkin terpaksa dirobohkan bagi membina bangunan baru untuk menampung keperluan pelajar yang semakin bertambah: “Benarkah ada ura-ura mengatakan Dewan Lama Sekolah Kebangsaan Bangi yang mula-mula dibina pada tahun 1924 itu akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan baru? Jika benar ini adalah satu berita yang amat menyedihkan kita sebagai warga Pekan Bangi terutama sekali penduduk asal yang lahir atau membesar di sini.. Akan hilang satu lagi ikon sejarah Pekan Bangi..” (Pekan Bangi @ Facebook, 11 Januari 2022: "Dewan Lama Sekolah Kebangsaan Bangi").

Gambar terkini bangunan asal sekolah (11 Februari 2022)Pelak Sejarah
Gambar terkini bangunan asal sekolah (11 Februari 2022). Di sebelah kanan ialah pelak sejarah bangunan ini.

Latar Peristiwa

Menurut Guru Besar SK Bangi, Puan Nora Hussein, murid SK Bangi kini telah mencecah 1,400 orang, dan kelas-kelas yang sedia ada tidak dapat menampungnya lagi. Disebabkan ketiadaan ruang, bangunan baru akan terpaksa didirikan di tapak bangunan lama sekolah: “Murid SK Bangi bertambah setiap tahun. Sekarang murid SK Bangi mencecah hampir 1400 orang . Kami X cukup kelas utk menampung Untuk dirikan bangunan SK Bangi X Ada tempat, melainkan robohbina. Bangunan lama perlu dirobohkan Dan diganti dengan yg baru.sekiranya kami tidak merobohkan bangunan tersebut Kami tidak dapat bangunan baru sedangkan itu keperluan. Kemasukkan murid yg padat menyebabkan GB kena buat keputusan dan memohon bangunan baru. Bukan tidak menghargai tetapi maintance terpaksa ditanggung oleh sekolah.Oleh yg demikian saya selalu GB membuat keputusan utk meroboh Dan membina bangunan baru bagi keselesaan Dan keselamatan murid. bangunan tersebut sgt² uzur. Permohonan bangunan baru telah diluluskan oleh KPM. Dan laporan utk roboh telah dihantar ke PPD. Sy Mohon maaf kepada seluruh penduduk Bangi sekiranya Ada yg Rasa agak terkilan, tapi apa yg diputuskan kerana keperluan.” (Puan Nora Hussein, 11 Januari 2022: Ruangan komen posting).

“Jumlah pelajar Sekolah Melayu Bangi (SKB) 100 tahun yang lalu (1925) 76 orang pelajar saja , 40 puluh dulu (1985) 360 orang, sekarang 2025 dah beribu…” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 20 Februari 2025: "Catatan Sejarah Bangi").

2024-08-26: Pembinaan Blok Baru

Pelan Pembinaan


Pelan pembinaan (Facebook Pekan Bangi, 30 Ogos 2024: "Sambutan Ulangtahun-100 SK Bangi pada tarikh 13hb September 2024").

2024-09-13: Perobohan Dewan Warisan

Sebelum perobohan
“Untuk makluman semua Sekolah Kebangsaan Bangi (SK Bangi) akan melancarkan Sambutan Ulangtahun-100 SK Bangi pada tarikh 13hb September 2024. Di samping itu, kerja-kerja meroboh dan membina semula bangunan-bangunan ikonik di SK Bangi, iaitu Dewan Besar, bilik-bilik darjah lama dan beberapa lagi bangunan lama SK Bangi akan bermula selepas tarikh 13hb September 2024. Jadi kepada semua alumni-alumni kalau nak mengimbau dan merakam kenangan, nak ambil gambar atau sebagainya di depan bangunan-bangunan lama boleh berbuat demikian sebelum bangunan-bangunan ikonik itu mula dirobohkan pada tarikh tersebut.. Pada hari ini juga kontraktor utama dan Jurutera JKR Daerah Hulu Langat telah melakukan lawatan dan tinjauan di lokasi. Mereka juga telah bermesyuarat dengan pihak PIBG dan Guru Besar SK Bangi untuk membuat kemaskini akhir serta melakukan kerja-kerja penandaan pada bangunan-bangunan yang akan diruntuhkan. 📸 YDP PIBG SK BANGI” (Facebook Pekan Bangi, 30 Ogos 2024: "Sambutan Ulangtahun-100 SK Bangi pada tarikh 13hb September 2024").


“Sambungan dari posting terdahulu… inilah bangunan bersejarah yang dimaksudkan. Semestinya warga Pekan Bangi, terutama bekas pelajar SK Bangi, akan mengingatinya sebagai lambang awal perjalanan ilmu. Di sinilah tawa, teguran guru, dan semangat kawan-kawan pernah bergema. Walau kini ia tinggal kenangan, namun jasanya kekal terpahat dalam ingatan.” (Facebook Pekan Bangi, 30 Jun 2025: "Sambungan dari posting terdahulu").

Selepas Perobohan


“Setelah pelbagai bantahan dan cadangan, akhirnya bangunan bersejarah Sekolah Kebangsaan Bangi terpaksa dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan demi keselesaan anak-anak generasi baharu. Sebagai salah seorang bekas pelajar yang pernah menimba ilmu di bangunan ini, melihat iannya dirobohkan sedikit sebanyak memberi kesan . Bangunan ini bukan sekadar struktur fizikal, tetapi saksi bisu kepada kenangan zaman persekolahan, guru-guru yang berdedikasi, dan rakan-rakan seperjuangan. Terima kasih, SK Bangi. Jasamu kekal dalam ingatan kami.” (Facebook Pekan Bangi, 30 Jun 2025: "Terima kasih, SK Bangi").

Selepas perobohan (Gambar: TMK Pulasan, 6 Jun 2025)
Kiri: “Projek: Daif Selangor (2022). Pembinaan bangunan gantian yang mengandungi 11 bilik darjah, pusat sumber, bilik guru, bilik mesyuarat, 2 bilik sains dan lain-lain kemudahan di SK Bangi, Hulu Langat, Selangor (BBA4018). Pegawai Penguasa: Jurutera Daerah JKR Hulu Langat. Wakil Pegawai Penguasa: Jurutera Bangunan JKR Hulu Langat. Pelanggan: Kementerian Pendidikan Malaysia. Kontraktor: Rezeki Sahabat Sdn Bhd. Alamat kontraktor: No. 41G & 41-1, Jalan SP5/5 Bandar Saujana Putra 42610 Jenjarom Selangor. Tarikh mula: 26-08-2024. Tarikh siap: 18-10-2026.” (Papan tanda projek di dalam gambar ini, TMK Pulasan, 6 Jun 2025).
Kanan: “Perarakan Maulidur Rasul pelajar-pelajar SK Bangi ke Masjid Kariah Bangi sempena sambutan Maulidur Rasul 1447H” (Facebook Pekan Bangi, 4 September 2025: "Perarakan Maulidur Rasul").

2025-10-23: Status Pembinaan


“Projek Daif Selangor adalah program dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya bertujuan untuk pembinaan dan baik pulih sekolah yang daif dan uzur di Selangor. Sekolah Kebangsaan Bangi antara sekolah yang dipilih untuk program ini. Dengan kos RM 35 juta, 3 blok bangunan yang mengandungi 11 bilik darjah, pusat sumber, bilik guru, bilik mesyuarat, 2 bilik sains dan kemudahan lain. Bangunan baru dijangkakan siap pada bulan October 2026.”

(Sumber: Facebook Pekan Bangi, 23 Oktober 2025: "Projek Daif Selangor @ SK Bangi").

Catatan Kenangan

Padang Sekolah

Padang Sekolah Bangi
“Ada terbaca ada permohonan daripada PIBG SKB kepada UKM untuk mendapatkan sewaan tanah untuk padang sekolah Bangi yang semakin sempit apabila projek bangunan baru dilaksanakan. Teringat masa admin kecik dulu ketua PIBG SKB Pakcik Majid datang setiap petang menabur baja untuk menyuburkan rumput yang ditanamnya di padang sekolah Bangi yang telah dibesarkan sizenya. Semasa itu juga dibina 6 gelanggang bersimen, berpagar dan bertembokkan konkrit di tapak padang tanah merah bangunan lama Sekolah Bangi. Begitulah usaha dan jasa orang - orang lama kita. Harap usaha SKB sebagai institusi pendidikan tertua di Bangi mendapat perhatian dan sokongan daripada pihak UKM yang sama - sama wujud di tanah Bangi ini. Foto koleksi Alen. Suasana indah Padang SKB diwaktu petang.” (Facebook Pekan Bangi, 29 Ogos 2025: "Padang Sekolah Bangi").

“Kenangan Bangi : Pemain Bola Terbaik Bangi*

Kancah - gaya permainan seperti Wayne Rooney, pemain yang paling bersemangat, rajin dan lasak dengan kemahiran individu yang tinggi, boleh menggelecek 2 - 3 pemain tanpa ragu - ragu dan pandai merampas bola dengan cekap. Mael - gaya permainannya seperti Maradona, kemahiran individu yang tinggi dan pandai menggelecek dengan tendangan yang tepat dan kencang. Dia juga boleh gelak - gelak sambil menggelecek pihak lawan. Bekas pemain team Remaja Selangor.

Alim - striker sejati yang laju dan kuat seperti Jurgent Klinsmann. Tendangan Alim memang padu kalau bola first timer dia paling terer, tandukannya juga tepat. Dia juga ketua pasukan kami masa zaman admin main dulu. Tiap - tiap minggu hari Sabtu selepas tamat film Tamil kami lawan team estet jam 4 petang di Padang Golloway.

Azi - pemain paling bijak, cekap mengawal ruang dan permainan. Tendangannya bersasar dan tandukan juga tepat. Gaya permainannya seperti Fandi Ahmad. Pemain team Daerah Hulu Langat dan midfielder SMK B.B.Bangi.

Bujang - midfielder terbaik Bangi gaya permainan seperti Paul Scholes MU, bijak dan fokus dalam mengawal ruang dengan hantaran tepat dan tendangan rendah yang kencang.

Uda - pemain sayap terbaik, gaya permainan macam Angel De Maria Argentina. Lariannya kencang dengan hantaran lambung dan bola lintang yang cantik. Gabungan dia dengan Alim memang cukup menjadi.

Poji - penjaga gol terhebat dalam sejarah Bangi. Gaya permainannya seperti Peter Shilton. Seperti Kancah juga dia dah main team utama Bangi sejak remaja lagi.

Pemain Lejen Bangi :

Cikgu Shaari - gaya pemainannya seperti Socrates - Brazil. Tegap dan tangkas dengan larian dan gaya seperti pemain latin. Beliau juga coach hebat team remaja Selangor.

Abang Omar - gaya permainannya seperti Romario, cekap mengawal bola dalam pergerakan dan ruang yang sempit, penyudah dan umpanan bolanya yang spontan dan tepat.

Maalap - defend team Bola Bangi yang bijak mengawal ruang dan cepat mengasak penyerang lawan. Cara permainannya seperti Baresi - Italy & AC Milan.

Carecabai - pemain paling pemurah dan penyayang, kalau masa budak - budak dulu Abai inilah selalu passing bola kat budak2 supaya kami ada peluang merasa bola kat padang tu. Nama Carecabai itu mungkin gabungan nama 'Careca' striker Brazil - Napoli dan 'Abai' namanya sendiri.

Jasa Abai tetap kami kenang…

*Ini di era admin main bola kat padang Sekolah Bangi sekitar 1982 - 1992. Mungkin ada yang tak setuju dengan pilihan admin, cuma ini pendapat peribadi saja. Admin adalah bekas midfielder team bolasepak SKB (jersi warna oren no.7 sama dengan nombor jersi midfielder Bryan Robson pada masa tu kata Cikgu Hasbullah) dan juga kapten team bola sepak Rumah Merah SKB. Admin juga pernah menggelecek 6 orang sekaligus budak - budak kaki bangku SMK Bandar Baru Bangi semasa tingkatan 2 hehehe…”

(Sumber: Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 28 Jun 2025: "Kenangan Bangi : Pemain Bola Terbaik Bangi").

Selain petikan dan sumber yang dinyatakan, rencana ini telah diusahakan oleh TMK Pulasan, di bawah kelolaan Syahrul Sazli Shaharir <sazli@pulasan.my>. Pengakuan penting: Kami bukan ahli sejarah! Sila klik di sini untuk penjelasan lanjut.