Desa Putra, Sungai Merab (TanahLots.com: |"Sungai Merab Lot 8720").
“Kampung Desa Putra ini telah dibuka pada sekitar tahun 1960 melalui penerokaan tanah yang di rancang oleh kerajaan melalui sistem yang dinamakan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT). Seramai 84 orang peserta telah dipilih untuk menjadi Peneroka dalam program ini. Setiap peserta diberikan lebih kurang 6 ekar kawasan tanah pertanian kekal yang ditanam dengan pokok getah dan 2 ekar tanah sebagai tapak rumah dan kawasan tanaman dusun.
Pada awalnya kampung ini dikenali sebagai Kampung RKT Sungai Merab Dalam atau Kg RKT Rancangan Pertama. Ekoran kepesatan pembangunan disekeliling kawasan kampung ini yang bersebelahan dengan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya, Cyberjaya, Koridor Raya Multimedia dan KLIA, kampung ini juga turut mengalami perubahan dan pada tahun 1998 kampung ini telah diberi nama baru iaitu KAMPUNG DESA PUTRA.
Dari segi georafinya kampung ini terletak dalam Mukim Dengkil dalam Daerah Sepang Dalam Negeri Selangor. Hasil getah merupakan pendapatan utama penduduk pada peringkat awal pembukaannya tetapi kini kebanyakan tanah-tanah milek penduduk telah dibangunkan menjadi taman-taman perumahan dan lot-lot banglow. Banyak taman perumahan baru telah ujud disekitar kampung ini. Dari segi pentadbiran politik Kampung ini termasuk dalam kawasan DUN Dengkil dan dalam Kawasan Parlimen Sepang. Kini kepesatan penduduk disini semangkin meningkat kepada lebih 10,000 orang penduduk dan jumlah rumah kediaman melebehi 1,200 buah rumah. Beberapa buah taman perumahan adalah dalam kawasan Desa Putra antaranya Taman Desa Saujana, Taman Mekar, Dataran Al-Iman, Taman Puncak Pinggiran Putra, Taman Lestari dll.
Maklumat Sosio Ekonomi
Penduduk di kawasan Kg Desa Putra ini terdiri dari pelbagai golongan dan pekerjaan dari yang berkerja sendiri hinggalah kepada kakitangan kerajaan, pekerja swasta/kilang dan pelbagai lagi Terdapat ketua-ketua jabatan dan mereka yang bergelar Dato', Tan Sri, Peguam, Bekas Duta, Pensyarah, Doktor dll. yang tinggal di rumah/banglow sekitar kampung ini.
Kemudahan Asas
Kemudahan Jalanraya, elektrik, air, telefon dan internet.
Kawasan Rumah Kampung/tradisi dan Taman-Taman Perumahan
Sekolah Keb, Sekolah Agama, Klinik Kesihatan, Balairaya dan Tadika
Kedai Runcit, Kedai Makan, Bengkel-Bengkel dll.”
(Sumber: Jemali @ Masjid Al-Iman Desa Putra, 24 Januari 2017: |"MASJID AL-IMAN DESA PUTRA").
“Kerajaan Selangor telah menguntokkan 22,000 ekar untok melaksanakan ranchangan kemajuan tanah-nya sendiri. Tingkat pertama dari ranchangan itu untok membuka 8,000 ekar tanah - 6,000 ekar untok di-tanami getah dan 2,000 ekar lagi untok perkampongan - akan di-mulai pada awal tahun hadapan. Sa-ribu orang keluarga yang tidak memilekki tanah akan berpeluang mempunyai tanah mereka sendiri menurut ranchangan tingkat pertama itu. Tiap2 keluarga akan mendapat enam ekar tanah untok di-tanami getah dan dua ekar lagi untok mendirikan rumah. Kerajaan Negeri sekarang sedang menyusun peruntokan2 tanah itu yang kelak terbahagi kapada keluarga2 Melayu, China dan India. Menteri Besar, Inche Abu Bakar bin Baginda memberi tahu Berita Harian hari ini: 'Hanya ra'ayat Persekutuan yang tidak memilekki tanah dan yang tinggal di-Selangor sahaja atau ra'ayat Negeri, akan berhak menerima peruntokan2 itu.' Mereka boleh memohon-kan tanah2 itu melalui pegawai2 daerah masing2. Hari yang terakhir untok mereka membuat permohonan itu ia-lah 31 Desember, tahun 1959. Permohonan2 ini akan di-pertimbang oleh badan2 pemilehan daerah yang telah di-dirikan oleh Kerajaan baharu2 ini. Orang2 yang terpileh akan memulakan pekerjaan mereka dalam bulan Februari tahun hadapan. Kawasan2 yang di-pileh untok ranchangan itu ialah di-Labu (Kuala Langat), Sungai Selisek, Tanjong Blanga dan Sungai Sabai (Ulu Selangor), Sungai Tekali dan Sungai Merab (Ulu Langat). Untok tingkat pertama dari ranchangan ini, Kerajaan telah menguntokkan wang sa-jumlah $400,000. Menteri Besar itu berkata bahawa Kerajaan akan memberi bantuan wang kepada petani2 itu untok menanam pokok2 getah. Bantuan alat2 dan bahan2 akan di-beri kepada mereka untok mendirikan rumah, demikian juga beneh2 getah. Mereka juga akan di-beri biaya $50 sa-bulan untok tahun pertama dan kedua. Tetapi mereka akan di-wajibkan membayar kembali bantuan2 ini bila mereka mampu berbuat demikian.” (Berita Harian, 21 October 1959, Page 1: |"SELANGOR BUKA TANAH").
“Pekerjaan untok membuka 1,800 ekar tanah di-bawah ranchangan pembukaan tanah Kerajaan Selangor untok tahun hadapan akan di-mulakan dalam bulan February. Menurut ranchangan itu, sa-jumlah 8,000 ekar tanah akan dibuka oleh Kerajaan tahun hadapan. Menteri Besar Selangor, Inche Abu Bakar bin Baginda memberi tahu Berita Harian hari ini bahawa kerana kekurangan pegawai2 pengukor tanah, kerajaan terpaksa menjalankan ranchangan itu sadikit demi sadikit. Ranchangan pertama akan di-mulakan di-Sungai Tekali di-daerah Ulu Langat. Sa-luas 1,800 ekar akan di-buka di-daerah itu, kata Menteri Besar. Sa-telah itu tanah di-Sungai Seelisek, Tanjong Blanga dan Sungai Sabai (Ulu Selangor), Sungai Merab (Ulu Langat) dan Labu (Kuala Langat) akan di-ukor pula oleh pegawai2 pengukor tanah Kerajaan. Daripada 8,000 ekar tanah di-bawah ranchangan itu, sa-luas 6,000 ekar akan di-tanami getah dan 2,000 ekar lagi untok perkampongan. Tiap2 keluarga mendapat enam ekar tanah getah dan dua ekar tanah untok mendirikan kampong halaman mereka. Kerajaan Negeri telah menguntokkan wang $400,000 bagi ranchangan itu. Petani2 yang di-pileh untok menyertai ranchangan itu akan menerima bantuan wang, beneh2 getah dan bahan2 untok mendirikan rumah2 mereka. Mereka akan menerima allowance sa-jumlah $50 sa-bulan dalam masa tahun pertama dan kedua. Kerajaan Negeri bermaksud membuka sa-luas 22,000 ekar tanah. Inche Bakar berkata: 'Pembukaan baki tanah seluas 14,000 ekar itu bergantong pada kerja2 pembukaan tanah yang berjalan sekarang dan pada kekuatan kewangan Kerajaan Negeri.” (Berita Harian, 12 December 1959, Page 5: |"S'GOR AKAN MEMBUKA 8,000 EKAR TANAH TAHUN DEPAN").
“Hanya 6,583 permohonan tanah sahaja yang maseh belum di-selesaikan oleh Kerajaan Selangor sa-hingga 30 September tahun yang lalu. Menurut Pesurohjaya Tanah Selangor Inche Ma'arof bin Sheik Ahmad jumlah ini kechil kalau di-bandingkan dengan negeri2 lain. Menurut Inche Ma'arof lagi, kebanyakan dari permohonan2 itu ia-lah di-daerah Ulu Langat (2,581) dan di-Sabak Bernam (1,427). Kerajaan telah membekukan semua permohonan tanah semenjak bulan June yang lalu. Permintaan2 sa-chara beramai2 ada-lah di-utamakan. Tiap2 pemohon akan di-beri sa-banyak tidak kurang dari enam ekar tanah. Sa-orang yang tidak dilayani akan di-galakkan supaya meminta tanah di-bawah ranchangan pembukaan tanah sa-chara beramai2. Dengan jalan ini Kerajaan berharap akan dapat menyelesaikan permohonan2 yang telah ada itu, kata Inche Ma'arif lagi. Selangor sekarang mempunyai ranchangan2 pembukaan tanah sa-chara berkampong di-lima buah tempat - Sungai Tekali (1,200 ekar), Sungai Merab (500 ekar) kedua2 ini di-daerah Ulu Langat, Sungai Sabai (1,962 ekar), Jerang Belanga (1,100 ekar) kedua2 di-Ulu Selangor, dan Labu di-daerah Kuala Langat (900 ekar). Satu lagi kerumitan berkenaan dengan pembahagian tanah di-Selangor ia-lah kebanyakan dari tanah2 yang belum lagi di-buka itu memerlukan parit dan tali-ayer.” (Berita Harian, 5 February 1960, Page 1: |"Soal tanah ta' begitu rumit di-Selangor").
“Sa-ramai 10 orang ahli UMNO chawangan Kampong Sungai Merab, 8 batu dari Kajang, telah memutuskan untok keluar beramai2 daripada menjadi ahli UMNO Kerana bersengketa dengan Ketua chawangan itu. Mereka yang keluar itu di-katakan hendak memasoki sa-buah parti lain. Juru chakap mereka, Inche Abdul Rahim bin Haji Amin, menyatakan kapada Berita Harian: 'Kami keluar kerana tidak puas hati dengan sikap Ketua UMNO Bahagian Sepang merangkap Menteri Besar Selangor, Dato Abu Bakar Baginda yang menolak permintaan pendudok2 Kampong Sa-belas menubohkan sa-buah chawangan UMNO'. Mereka hendak menubohkan chawangan di-Kampong Sa-belas itu kerana 'tidak puas hati' dengan Yang di-Pertuan chawangan Sungai Merab, Inche Mohd. Yunos bin Mihad. Mereka mengatakan Inche Mohd. Yunos 'sangat lembab' dan 'tidak mengambil berat' terhadap ahli2-nya yang sa-ramai 1,000 orang di-Kampong Sungai Merab itu. 'Pendudok2 itu tidak merasakan ni'mat pembangunan luar bandar saperti yang di-rasakan oleh pendudok2 kampong2 lain di-jajahan Ulu Langat', kata Inche Abdul Rahim. Rasa tidak puas hati pendudok2 Kampong Sa-belas itu telah pun di-kemuka-kan kapada Yang di-Pertua UMNO Bahagian Sepang. Perkara itu kemudian di-rundingkan antara jawatankuasa Bahagian itu di-pengerusikan oleh Dato Abu Bakar Baginda sendiri pada 17 Desember yang lalu. Dalam perundingan itu, pendudok2 Kampong Sa-belas mengemukakan kapada Ketua UMNO Bahagian Sepang supaya UMNO Sungai Merab di-bahagi dua chawangan. Sa-buah Chawangan baharu Kampong Sa-belas akan di-tubohkan tetapi usul ini di tolak oleh Jawatankuasa UMNO Bahagian Sepang. Menurot Inche Abdul Rahim: 'Kami di-minta tundok kapada Ketua UMNO Chawangan Sungai Merab, Inche Mohd. Yunos”. (Berita Harian, 28 December 1961, Page 2: |"Ahli2 keluar UMNO akibat sikap MB").
“Sa-ramai 10 orang ahli UMNO Kampong Sebelas Sungai Merab 8 batu dari Kajang yang keluar dari UMNO beramai2 pada bulan yang lalu telah rujo' kembali menjadi ahli UMNO Bahagian Sepang. Inche' Abdul Rahim bin Haji Amin salah sa-orang ahli UMNO yang keluar beramai2 itu menyatakan kapada Berita Harian bahawa sebab-nya mereka rujo' kembali kapada UMNO ia-lah yang di-Pertuan UMNO Bahagian Sepang, Dato' Abu Bakar Baginda telah pun menimbangkan permintaan ahli2 UMNO Kampong Sebelas untok menubohkan chawangan mereka tidak lama lagi. Menurut Inche' Abdul Rahim, dalam satu perjumpaan dengan Dato' Abu Bakar Baginda baru2 ini beliau sendiri memberi jaminan bahawa satu chawangan UMNO Kampong Sebelas akan di-benarkan untok di-tubohkan sachara bersendirian.” (Berita Harian, 12 January 1962, Page 2: |"Ahli2 UMNO yang keluar sekarang telah rujo'").
“Abdul Rahmin bin Haji Mohamed Amin, Sungai Merab, Kajang: Saya, Abdul Rahim bin Haji Mohamed Amin, membetulkan sa-buah siaran mengenai diri saya dalam Berita Harian pada 28 Disember tahun yang lalu pada muka 2 keluaran tersebut. Saya mengatakan ranchangan luar bandar Sungai Merab ada-lah lembab. Yang sa-benar-nya ranchangan itu chukup baik. Saya mengatakan kami di tanah No. 11, tidak dibenarkan oleh Menteri Besar, Dato Abu Bakar bin Baginda, mendirikan chawangan UMNO di-tempat tersebut. Yang sa-benar kami tidak di-benarkan oleh keputusan jawatankuasa UMNO Bahagian Sepang mendirikan chawangan dn sa-balek-nya di-suroh kami masok ka-dalam chawangan UMNO Sekolah Sungai Merab kerana kampong itu berdekatan. Saya telah datang ka-rumah Yang Berhormat Dato Abu Bakar bin Baginda pada petang 29 Desember untok meminta ma'af kerana kesalahan saya yang tersebut.” (Berita Harian, 18 February 1962, Page 4: |"YG SA-BENAR...").
“Sa-ramai 60 orang ahli UMNO Kampong Sebelas Sungai Merab Kajang telah menolak sama sa-kali rayuan yang di-buat oleh Setiausaha UMNO Bahagian Sepang supaya ahli2 UMNO di-kampong itu bergabong sa-mula dengan Chawangan UMNO Kampong Sekolah Sungai Merab.” (Berita Harian, 2 May 1962, Page 7: |"Anggota2 tidak mahu rujo'").
“Menteri Besar Selangor, Dato Abu Bakar telah memuji pemberita2 akhbar di-kampong2 yang sentiasa menyiarkan berita2 tentang sa-suatu kejadian di-kampong hingga hal2 itu di-ketahui oleh pehak2 yang berkuasa. Dato Abu Bakar Baginda berkata demikian ketika merasmikan chawangan Kampong Sebelas Sungai Merab di-sini petang semalam. Sa-bagai chontoh, Dato Bakar menyebut tentang Kampong Sebelas itu. Beliau menerangkan pada satu masa dahulu pendudok2 Kampong Sebelas telah meminta izin ahli2 jawatan-kuasa UMNO Bahagian Sepang untok mendirikan chawangan sendiri. Tetapi permintaan itu tidak di-luluskan oleh UMNO Sepang. 'Kemudian pendudok2 itu menulis kapada surat khabar melalui penulis di-daerah mengatakan bahawa kalau UMNO Bahagian Sepang tidak membenarkan mereka mendirikan chawangan, mereka akan mendirikan chawangan Sosialis Front di-kampong mereka', kata Dato Abu Bakar. Dengan kerjasama antara pemberita surat khabar dan pendudok2 kampong itu, terpenoh-lah chita2 pendudok kampong Sebelas itu untok mempunyai chawangan sendiri, tegas Dato Bakar lagi.”
(Sumber: Berita Harian, 23 July 1962, Page 3: |"Dato Bakar uchapkan terima kaseh kpd berita2").
“Menteri Besar Selangor, Dato Abu Bakar Baginda telah memberi amaran yang keras kapada orang2 yang di-beri tanah oleh Kerajaan melalui Ranchangan Kemajuan Luar Bandar supaya mengusahakan tanah2 mereka hingga berhasil. Amaran itu di-buat oleh Dato Abu Bakar ketika beruchap di-hadapan 200 orang penduduk dalam majlis merasmikan UMNO chawangan Kampong Sebelas Sungai Merab di-sini petang semalam. Beliau mengingatkan orang2 yang mendapat tanah itu supaya mengerjakan tanah2 mereka hingga berhasil. 'Banyak juga orang yang menerima tanah daripada Kerajaan tidak mahu mengerjakan tanah mereka dengan sempurna', kata-nya. Kapada orang2 saperti itu saya suka mengingatkan supaya jangan menyesal kalau tanah mereka di-rampas balek oleh Kerajaan dan di-berikan kapada orang lain', kata-nya. Mengenai keamanan dalam kampong, Dato Abu Bakar mengingatkan pendudok2 supaya berbaik2 sangka dan bersefahaman. 'Jaga-lah kampong halaman sendiri dengan aman', kata-nya. Beliau juga menasihatkan pemuda2 kampong supaya 'jangan lekas terpengaroh dengan keindahan bandar'. 'Kehidupan di-kampong lebeh aman. Kalau tidak ada pelajaran yang sa-suai untok bekerja di-bandar, lebeh baik tinggal di-kampong dan berusaha sendiri', kata-nya. 'Pada masa ini banyak pemuda terpengaroh untok menchari hidup di-bandar tetapi kechewa' kata-nya lagi.” (Berita Harian, 23 July 1962, Page 3: |"JANGAN-LAH SA-SIAKAN PEMBERIAN TANAH—MB").
“Sa-buah sekolah ugama yang di-jangka akan menelan perbelanjaan sa-besar $15,000 apabila siap kelak sedang di dalam pembenaan di-Kampong Sungai Merab, Kajang di-bawah Ranchangan Pembangunan Luar Bandar daerah Kajang. Pengerusi Jawatankuasa Kampong Sungai Merab, Inche' Mohd. Yunos bin Mihad memberitahu Berita Harian bahawa sekolah ugama itu di-bena ia-lah untok menyenangkan ibu bapa di-kampong tersebut yang selama ini menghantar anak2 mereka bersekolah ugama sa-jauh 9 batu di-pekan Kajang. Inche' Yunos juga menerangkan bahawa dengan ada-nya sekolah ugama itu 'dapatlah ibu bapa di kampong ini meringankan perbelanjaan mereka yang membayar tambang sa-banyak $12 sa-bulan untok anak2 mereka.' Menurut beliau, sekolah ugama yang baharu itu di-bena dengan usaha Menteri Besar Selangor, Dato' Abu Bakar Baginda sa-laku wakil ra'ayat daerah itu. Sekolah ugama itu di-jangka akan siap pada pertengahan bulan August depan. Satu upachara untok membuka dengan rasmi-nya sekolah itu akan di-adakan sa-chara besar2an pada awal bulan September oleh Menteri Besar Selangor.” (Berita Harian, 28 July 1962, Page 8: |"Sekolah ugama berharga $15,000 di-Sg. Merab siap bulan hadapan").
“Menteri Besar Selangor Dato' Abu Bakar Baginda telah memuji pendudok2 Kampong Sungai Merab Kajang kerana bersatu hati dan selalu bergotong royong memajukan Ranchangan Kemajuan Luar Bandar daerah ini. Pujian ini telah di-buat oleh beliau ketika beruchap di-hadapan sa-ramai 700 orang ra'ayat di-dalam satu upachara merasmikan sa-buah balai raya yang menelan perbelanjaan sa-banyak $5,000 di-kampong Ranchangan Kemajuan Tanah Sungai Merab pada hari Ithnin yang lalu. Dato' Abu Bakar juga telah mengingatkan pendudok2 yang mendapat tanah di-dalam Ranchangan Kemajuan Luar Bandar di-situ supaya bersunggoh memajukan tanah mereka dan dengan berusaha menjayakan tanah itu, penghidupan orang2 yang mendapat tanah baharu itu akan terjamin pada masa yang akan datang. Dato' Abu Bakar telah berjanji kapada penduduk2 kampong di-situ akan membena sa-buah sekolah di-kawasan kampong Ranchangan Kemajuan Tanah itu pada tahun 1963. Dengan ada-nya sa-buah sekolah di-bena di-sini dapat-lah sa-ramai 80 orang kanak2 di-kampong ini melanjutkan pelajaran-nya pada tahun hadapan. Sa-lain itu daripada sekolah itu Dato' Abu Bakar juga akan membena sa-buah masjid untok di-gunakan oleh sa-ramai 85 keluarga petani2 di situ.” (Berita Harian, 26 December 1962, Page 9: |"PUJI DAN JANJI MB KAPADA PENDUDOK").
“Menteri Besar Selangor, Dato Abu Bakar Baginda telah menyesalkan sikap sa-tengah2 ra'ayat di-negeri ini yang tidak mahu mengakui kebenaran bahawa ranchangan Kemajuan Luar Bandar yang di-jalankan Kerajaan sekarang sedang memberikan faedah kepada ra'ayat. Dato Bakar juga menyesalkan ada-nya wakil ra'ayat yang mengatakan ranchangan pembangunan luar bandar konon tidak mengubah nasib ra'ayat. Menteri Besar itu menyatakan demikian ketika beruchap di-hadapan sa-ramai 500 orang ra'ayat dalam majlis merasmikan UMNO chawangan Kampong ranchangan luar bandar Sungai Merab, 8 batu dari Kajang pada petang semalam.” (Berita Harian, 5 March 1963, Page 5: | "MB bidas wakil2 yg ta' jujor kapada pengundi2").
“Pegawai Daerah Kajang Tuan Syed Ismail bin Ahmad telah memuji pendudok2 kampong Ranchangan Luar Bandar Sungai Merab Kajang kerana rajin bekerja bergotong royong untok memperbaiki lagi kampong itu. Pujian ini telah di-buat oleh beliau ketika beruchap di-hadapan sa-ramai 350 orang pendudok kampong ini pada petang Thalatha yang lalu. Tuan Syed Ismail menerangkan bahawa semenjak kampong ini di-buka oleh kerajaan pada tahun 1961 pendudok2 kampong ini telah beberapa kali membuat kerja gotong royong membena tapak masjid dan menggali tali ayer sa-jauh 65 ela. Kerja gotong royong yang di-buat oleh pendudok2 di-sini boleh-lah di-beri pujian dan untok menjadi chontoh kapada pendudok2 kampong yang lain. Tuan Syed Ismail juga telah menerangkan sabuah masjid akan di-bena di-kampong ini tidak lama lagi. Dan untok memberi kemudahan kapada pendudok2 kampong ini sa-buah tanah berkuboran sa-luas sa-ekar telah di-adakan. Kerajaan juga akan menggali tali ayer dan juga membena jalan raya di-kampong ini tidak lama lagi.” (Berita Harian, 25 October 1963, Page 6: |"Pendudok rajin di-puji").
“Kerajaan Selangor telah membena empat buah masjid dan empat buah balai raya di-daerah Ulu Langat dan Kajang. Masjid2 dan balai2 raya ini menelan belanja sa-banyak $125,000 dan di-jangka siap pada bahagian awal tahun depan, demikian menurut Tuan Syed Ismail bin Ahmad, Pengerusi Ranchangan Pembangunan Luar Bandar daerah Ulu Langat. Masjid2 itu telah di-bena di-Kampong Batu 10 Cheras, Kajang; Kampong Luar Bandar Sungai Merab; Kampong Dengkil dan Kampong Sekolah Sungai Merab. Sementara itu balai2 raya pula telah di-bena di-Kampong Pulau Meranti, Kampong Rinching Hilir, Kampong Sungai Buah dan Kampong Sekolah Sungai Merab.” (Berita Harian, 27 November 1963, Page 6: |"Empat lagi masjid di-dirikan").
Kemungkinan salah satu masjid tersebut adalah Masjid Desa Putra kini: “Masjid Al-Iman Desa Putra ini adalah merupakan sebuah masjid yang telah didirikan pada sekitar tahun 1960an dan kini telah berusia melebih daripada 55 tahun. Pada asalnya masjid ini adalah untuk menampong penduduk peneroka Tanah Rancangan (RKT) Sungai Merab Dalam (Rancangan Pertama) yang pada ketika itu seramai lebih kurang 86 buah rumah keluarga peneroka sahaja.” (Jemali @ Masjid Al-Iman Desa Putra, 24 Januari 2017: |"MASJID AL-IMAN DESA PUTRA").
Masjid Al-Iman kini (Masjid Al-Iman DESA PUTRA @ Facebook, 29 September 2022: "Masjid Al-Iman DESA PUTRA").
“Menteri Besar Selangor Dato Abu Bakar Baginda akan melawat kawasan Pembangunan Luar Bandar Sungai Merab, Kajang pada jam 4 petang esok untok menyiasat sendiri kesulitan2 yang di-hadapi oleh petani2 di-situ. Beliau akan mengadakan satu majlis temu ramah dengan petani2 di-situ.” (Berita Harian, 22 October 1963, Page 8: |"Melawat PBL").
“Sa-ramai 85 orang pendudok di-Ranchangan Kemajuan Tanah Sungai Merab Kajang telah merayu beramai2 kapada Menteri Besar Selangor untok melanjutkan lagi wang bantuan bulanan mereka seperti yang pernah di-janjikan oleh Dato' Abu Bakar Baginda sendiri. Inche' Yahya bin Othman ahli jawatankuasa kampong ini telah memberitahu Berita Harian bahawa sa-ramai 85 keluarga dari mukim Kajang telah mengerjakan tanah di-sini di bawah Ranchangan Kemajuan Tanah Negeri Selangor. Inche' Yahya juga menerangkan pada tahun(?) lalu penduduk2 di-kampong ini telah(?) menerima(?) wang bantuan sa-banyak $20 sa-bulan ? wang bantuan kapada orang2 yang mengerjakan tanah baharu ini di-bawah ranchangan pembangunan Luar Bandar. Tetapi wang bantuan ini telah di-berhentikan oleh kerajaan pada bulan June yang lalu dengan alasan pendudok2 di-sini telah menerima wang bantuan sa-lama sa-tahun. Menurut Inche' Yahya lagi kerana wang bantuan itu tidak di-terima lagi oleh pendudok2 di-sini telah kesulitan mereka yang mengerjakan tanah baharu ini telah bertambah. Inche' Yahya juga menerangkan kebanyakan keluarga yang tinggal di-kampong ini mempunyai sa-kurang2-nya empat orang anak yang bersekolah. Mata pencharian pendudok2 di-sini sa-lain mengerjakan tanah ialah mengambil upah menoreh getah di-estet2 yang berhampiran dengan kampong Sungai Merab ini. Menurut Inche' Yahya lagi pada bulan October yang lalu Menteri Besar Selangor Dato' Abu Bakar Baginda serta ahli2 jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Daerah Ulu Langat telah datang di-kampong ini untok menyiasat kesulitan2 pendudok2 kampong ini. Di-dalam perjumpaan dengan orang2 kampong Dato' Abu Bakar Baginda di-katakan telah berjanji akan meneruskan lagi wang bantuan itu kapada pendudok2 kampong ini dengan sa-chepat mungkin. Tetapi wang bantuan itu belom di-terima oleh pendudok2 kampong ini.” (Berita Harian, 26 December 1963, Page 5: |"Petani2 tuntut janji MB").
“The Mentri Besar of Selangor, Inche Harun bin Haji Idris, will tour Ulu Langat district on Tuesday. He will inspect the 1,402-acre Sungei Merab Land Development Scheme seven miles from here.” (The Straits Times, 17 May 1964, Page 12: |"Ulu Langat tour").
“Menteri Besar Selangor Inche Harun Idris telah berjanji akan menyiasat semua kesulitan hidup petani2 dalam semua Ranchangan2 Tanah Negeri Selangor. Ikrar ini di-buat oleh beliau ketika beruchap di-hadapan sa-ramai 85 keluarga petani Sungai Merab Kajang semalam. Menteri Besar itu telah bertemu ramah dengan sa-orang demi sa-orang petani di-situ untok mendengar kesulitan2 yang di-hadapi oleh mereka. Semua keterangan dan rayuan itu di-dengar-nya dengan teliti dan di-chatetkan-nya di-dalam buku peringatan untok di-timbangkan di-dalam meshuarat Exco yang akan datang. Kesulitan2 dan rayuan2 yang di-sampaikan oleh petani di-ranchangan tanah ini ia-lah mengenai wang bantuan sara hidup, bantahan rachun pembunoh lalang dan bantuan binatang ternakkan di-bawah ranchangan pawah Kerajaan. Inche Harun juga menasehatkan petani2 di-situ supaya berkerja bersunggoh2 untok menjayakan tanah mereka. Petani2 hendak-lah bersabar dan melipat ganda-kan lagi usaha2 untok berchuchok tanam supaya menambah hasil pendapatan hari2.”
(Sumber: Berita Harian, 7 June 1964, Page 10: |"Kesulitan petani2 akan di-siasat—MB").
“Seluroh Petani2 dalam daerah Kuala Langat dan Sepang di-sini telah menyambut baik ura2 Menteri Besar Selangor hendak menyiasat semua kesulitan hidup petani2 dalam semua ranchangan2 tanah Negeri Selangor. Menteri Besar Selangor pada hari Ahad yang lalu, ketika beruchap di-hadapan sa-ramai 85 keluarga petani Sungai Merab, Kajang telah berjanji untok menyiasat kesulitan hidup petani2 dalam semua ranchangan tanah Negeri Selangor. 'Menurut beberapa orang petani di-daerah Kuala Langat kapada Berita Harian 'Bahawa apa yang menjadi kesulitan kapada petani2 di-daerah Kajang dan daerah2 yang lain ada-lah sama saperti apa yang telah di-alami oleh petani2 dalam daerah ini. 'Atas usaha Menteri Besar Selangor itu untok menyiasat lebeh lanjut dalam perkara ini maka kami petani2 dalam daerah ini ada-lah sangat mengalu2-kan-nya,' Ujar petani2 itu lagi.” (Berita Harian, 18 June 1964, Page 7: |"MB NA' BELA PETANI2 DI-ALU2KAN").
“Sa-baik2 sahaja Enche' Harun bin Idris di-lantek menjadi Menteri Besar Selangor dengan di-persetujui oleh Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan kira2 empat bulan yang baharu lalu, beliau telah membuat beberapa kunjongan sa-chara resmi, tidak resmi, mau pun sa-chara mengejut ka-seluroh daerah di-Persekutuan ini. … Sa-belom sidang Dewan Negeri-dijalankan Menteri Besar itu telah merangka satu lawatan ka-Projek Ranchangan Kemajuan Tanah Sungai Merab dan Sungai Tekali Kajang, di-mana ranchangan ini telah menempatkan sa-ramai 85 orang keluarga bagi perengkat permulaan. Petani2 di-atas tanah ranchangan ini sering membuat rayuan kesulitan ia-lah mengenai wang bantuan sara hidup, bantuan rachun pembunoh lalang dan bantuan binatang ternakan di-bawah ranchangan pawah Kerajaan sementara tanaman mereka dapat mengeluarkan hasil. Kira2 dalam penghujong bulan June waktu mana sidang Dewan Negeri Selangor di-adakan Enche' Harun telah membuat peruntokan sendiri sa-banyak $30,000/- dalam sidang tersebut, yang mana petani2 itu akan di-beri bantuan terus menerus sa-banyak $30/- tiap2 sa-keluarga.” (Berita Harian, 10 September 1964, Page 4: |"Kaum petani ingin meni'mati kemajuan Luar Bandar").
“Sa-jumlah 85 keluarga Melayu di-sini telah menerima tanah di-bawah ranchangan kedua Pembangunan Luar Bandar Sungai Merab. Mereka akan pindah ka-tanah2 baharu tersebut pada akhir bulan ini. Tiap2 satu keluarga di-beri dua ekar tanah untok kawasan perumahan dan dusun, dan 8 ekar tanah getah. Ranchangan pertama tanah baharu di-daerah ini telah di-berikan kapada 140 keluarga pendudok2 Sungai Tekali, Ulu Langat pada tahun 1962 yang lalu.” (Berita Harian, 9 March 1964, Page 2: |"KELUARGA2 MELAYU DAPAT TANAH BARU").
“Tuan Syed Ismail juga menerangkan kerajaan Negeri Selangor juga telah membena sa-buah masjid di-Kampong Sungai Merab berharga $25,000 dan sa-buah sekolah Kebangsaan di-Sungai Sekamat Kajang. Masjid dan sekolah ini akan siap pada pertengahan bulan June 1964 ini.” (Berita Harian, 30 March 1964, Page 6: |"Pilehanraya tidak ganggu kemajuan —D.O.").
“The Mentri Besar of Selangor, Inche Harun bin Haji Idris, will open a national type school at Sungei Merab here on Wednesday. The school is being built under the Sungei Merab Land Development Scheme.” (The Straits Times, 28 July 1964, Page 6: |"Mentri to open new school").
“Menteri Besar Selangor Inche' Harun bin Haji Idris telah menyeru semua orang2 Melayu supaya mengajar bangsa bukan Melayu berchakap bahasa kebangsaan dengan sa-chara sukarela demi untok meninggikan taraf bahasa kebangsaan yang akan menjadi bahasa rasmi pada tahun 1967 ini. Seruan ini di-buat oleh beliau ketika beruchap di-masa merasmikan Sekolah Kebangsaan Sungai Merab Kajang pada hari Sabtu yang lalu.” (Berita Harian, 7 August 1964, Page 6: |"AJAR-LAH BAHASA KEBANGSAAN DGN SUKARELA—MB").
MAKLUMAT LANJUT: Sekolah Kebangsaan Sungai Merab Dalam / Desa Putra (1964)
“Lembaga perusahaan getah menanam sa-mula Selangor akan mengadakan perjumpaan ramah tamah dengan orang2 ramai di-Selangor mengenai penanaman getah sa-mula. Perjumpaan ramah tamah itu akan di-mulakan pada 2 Oktober hingga 18 Desember dan akan di-mulakan tiap2 hari mulai jam 3.30 petang. Tuan Eu Eng Hoe Pegawai Tanam Sa-mula Negeri Selangor menyatakan bahawa temu ramah ini di-maksudkan menggalakkan orang2 kampong supaya menanam sa-mula getah2 mereka yang sudah tua dan chara2 menanam sa-mula pokok2 getah. Jadual lawatan itu dan perjumpaan ramah tamah itu ia-lah: ….. 11 November di-balai raya Sungai Merab (Ulu Langat). …..” (Berita Harian, 28 September 1964, Page 7: |"Perjumpaan2 ramah tamah pekebun kechil Selangor").
Arkib Negara 2001/0030072W, 26/10/1965: |"MENTERI BESAR SELANGOR, DATO HARUN BIN HAJI IDRIS. LAWATAN KE RANCANGAN-RANCANGAN TANAH SUNGAI TEKALI DAN SUNGAI MERAB DI DAERAH ULU LANGAT; 26.10.1965".
“Kerajaan Selangor telah mengambil keputusan untok mengambil balek tanah dari enam orang perserta2 ranchangan tanah di-Sungai Pusu dan Sungai Merab di-sini. Demikian di-umumkan hari ini oleh Menteri Besar, Dato Harun bin Haji Idris. Kata-nya, Pegawai Daerah Kuala Lumpur telah pun di-perentah supaya mengambil balek tanah itu dan memberikan-nya ka-pada pemohon2 lain. Dato Harun berkata, tindakan itu di-ambil kerana enam orang itu tidak mengerjakan tanah yang di-berikan itu dan tinggal di-situ. Tindakan itu perlu di-ambil supaya peserta2 ranchangan tanah sunggoh2 berusaha dan memenohi janji2 yang mereka buat sebelum di-berikan tanah tempoh hari. Dato Harun membayangkan bahawa lebeh banyak lagi tanah2 akan di-ambil balek kalau peserta2-nya tidak mengerjakan tanah2 itu. Kata Dato Harun lagi: 'Tanah2 yang di-ambil balek itu boleh di-berikan kapada pemohon2 lain yang belum lagi mendapat tanah. 'Kita tidak mahu tanah2 yang di-berikan oleh Kerajaan di-sesiakan saja,' beliau menambah.”
(Sumber: Berita Harian, 19 January 1966, Page 2: |"MB merampas balek tanah yang tidak di-kerjakan").
Nama Ranchangan | Daerah | Luas kawasan Getah. | |
---|---|---|---|
1. | Ayer Hitam | Ulu Langat | 121 ekar |
2. | Labu (Lanjut) | Kuala Langat | 300 ekar |
3. | Sungai Tekali Peringkat III | Ulu Langat | 557 ekar |
4. | Sungai Merab Peringkat I | Ulu Langat | 510 ekar |
5. | Sungai Merab Peringkat II | Ulu Langat | 516 ekar |
6. | Sungai Serai Peringkat III | Ulu Selangor | 400 ekar |
7. | Sungai Serai Peringkat II | Ulu Selangor | 235 ekar |
8. | Ulu Rening | Ulu Selangor | 508 ekar |
(Sumber: The Straits Times, 24 December 1966, Page 18: |"Page 18 Advertisements Column 1").
Nama Ranchangan | Daerah | Luas Kawasan Getah | |
---|---|---|---|
1. | Ayer Hitam | Ulu Langat | 105 ekar |
2. | Labu (Lanjut) | Kuala Langat | 300 ekar |
3. | Sungai Tekali Peringkat III | Ulu Langat | 550.5 ekar |
4. | Sungai Merab Peringkat I | Ulu Langat | 510 ekar |
5. | Sungai Merab Peringkat II | Ulu Langat | 492 ekar |
6. | Sungai Serai Peringkat III | Ulu Selangor | 401.2 ekar |
7. | Sungai Serai Peringkat II | Ulu Selangor | 234.5 ekar |
8. | Ulu Rening | Ulu Selangor | 503 ekar |
(Sumber: Berita Harian, 1 January 1968, Page 10: |"Halaman 10 Iklan Ruangan 3").
“Ranchangan Kemajuan Tanah yang di-buka Oleh Dato Abu Bakar Baginda di-Kampong Sungai Merab Kajang pada masa ini tertinggal sahaja. Kebanyakan mereka yang telah di-berikan tanah dan juga rumah mereka meninggalkan Ranchangan Tanah Berkumpul itu kerana mereka tidak sanggup tinggal di-Ranchangan itu lagi kerana bantuan yang di-berikan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu tidak menchukupi. Tetapi sangat menghairankan kerana kerajaan nampaknya tidak menghiraukan sangat akan perkara itu sa-hingga tanah yang di-beri-kan itu yang berjumlah 4576 ekar itu telah menjadi semak samun lagi kerana tidak di-hiraukan oleh mereka yang di-berikan tanah itu. Jadi melalui ruangan ini saya merayu kapada Kementerian Pembangunan Luar Bandar supata bertindak kapada mereka yang meninggalkan ranchangan itu. Sa-belum mereka di-berikan tanah itu, mereka telah berjanji akan mengerjakan tanah itu dengan sa-baik2-nya. Jikalau perlu tanah2 yang telah di-teroka dan di-tinggalkan itu di-beri-kan sahaja kapada mereka yang betul2 sanggup mengerjakan-nya. Kerajaan telah membelanjakan beribu2 ringgit. Sa-bagaimana yang di-ketahui bahawa belanja meneroka tanah di-Ranchangan Tanah Sg. Merab itu memakan belanja besar. Ini ada-lah kenyataan Datok Abu Bakar Baginda sa-masa pembukaan ranchangan itu pada tahun 1964 lalu. Saya merayu kapada Kementerian Pembangunan Luar Bandar terutama-nya kapada Tun Razak supaya dapat melawat kawasan yang bagitu besar untok mempastikan sama ada ranchangan itu benar2 akan memberi-kan faedah kapada peneroka tanah itu nanti. Saya lihat sa-bilangan sahaja dari getah2 yang di-tanam pada tahun 1964 itu hidup sedang-kan sa-bilangan besar mati dengan sendiri-nya. Sama-ada mati kerana tidak di-bela atau pun mati di-makan binatang yang berkeliaran di-kawasan ranchangan itu. Semoga apa yang berlaku di-masa ini tidak akan berlaku di-masa hadapan.” (M. Sham, Sungai Ramal Dalam, Kajang, Selangor @ Berita Harian, 26 January 1968, Page 8: |"Projek Kemajuan Tanah terbiar").
“Sa-ramai 21 orang peserta dua ranchangan tanah dalam daerah Ulu Langat - di-Sungai Tekali dan Sungai Merab akan di-singkirkan. Enam orang peserta lagi juga sedang di-timbangkan kedudokan mereka, kata Pegawai Daerah Ulu Langat, Enche Hassan Ibrahim hari ini. Nasib mereka akan di-tentukan pada 28 September ini bila Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Daerah bersidang, kata-nya lagi. Menurut-nya, sebab mereka akan di-singkirkan ia-lah kerana malas dan tidak mengikut peratoran yang di-tetapkan. Mereka yang akan di-singkirkan itu ia-lah 12 orang dari ranchangan tanah Sungai Tekali dan 9 orang dari ranchangan tanah Sungai Merab. Enche Hassan berkata bahawa tindakan ini di-ambil sa-telah mereka di-beri amaran terlebeh dahulu, tetapi mereka engkar mematohi sharat2 tertentu dalam ranchangan tanah. Tegas-nya, kebanyakan mereka tidak langsong mengerjakan tanah dan ber-bulan2 meninggalkan-nya hingga tumboh lalang. Satu sebab lain ia-lah kerana mereka tidak mahu tinggal dalam ranchangan itu, kata Enche Hassan. Enche Hassan berkata bahawa jumlah kawasan tanah bagi kedua ranchangan itu ia-lah kira2 2,000 ekar untok 570 orang peserta-nya. 'Saya terpaksa bertindak tegas kerana menjaga peratoran ranchangan tanah dan untok menjamin tanah yang di0beri itu dapat di-kerjakan dengan betul dan sunggoh2', tegas-nya.”
(Sumber: Berita Harian, 20 September 1968, Page 3: |"PESERTA PROJEK TANAH MALAS, AKAN DI-SINGKIR").