Di dalam perancangan asal pembangunan Bandar Baru Bangi, ianya bakal dijadikan bandar pejalan kaki dan berbasikal, dijangka siap pada tahun 1977. Seiring dengan matlamat ini, beberapa batang jalan basikal dua hala telah dibina, berserta lorong pejalan kaki di tengah-tengahnya. Jaringan ini menjadi penghubung di antara perumahan Fasa (kini Seksyen) 1, 2, dan 3. Penggunaannya agak meluas pada tahun 1980-an dan 1990-an, kebanyakannya oleh para pelajar sekolah di sekitarnya. Namun setelah itu, penggunaannya semakin berkurangan. Kini keadaannya agak terbiar, diliputi rumput dan belukar. Pada September 2010, bahagian berhampiran Jalan 1/3K telah dinaik taraf menjadi jalan laluan kereta menghubungkan Seksyen 1 dan 2, untuk kemudahan warganya, juga para pelajar Sekolah Rendah dan Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi (Jalan Dua): “Pada mereka yang lahir dan pernah bersekolah di Sekolah Rendah Bandar Baru Bangi (Jalan 2), Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi (Jalan 2), Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi (Jalan 3) sekitar tahun 1980an dan 1990an pasti tahu tentang kewujudan terowong ini. Ianya menjadi laluan pejalan kaki, penunggang basikal dan motosikal sebagai jalan pintas sama ada dari Seksyen 3 dan 4 ke Seksyen 1 dan 2 atau sebaliknya (bagi orang lama di Bandar Baru Bangi sebutan Fasa lebih selesa dari Seksyen).” (Gedung Minda Botak, Oktober 18, 2020: |"Terowong Lagenda Bandar Baru Bangi").
Lorong-lorong yang terbiar ini kemudiannya ditumbuhi rumput dan belukar. Pada September 2010, sebahagiannya diubah menjadi jalan laluan kereta: “Kerja-kerja menaiktaraf jalan asalnya untuk pejalan kaki dari jalan 1/3K, ke Jalan ke Sekolah Rendah Kebangsaan Jalan Dua dan ke Sekolah Menengah Bandar Baru Bangi. Dulu jalan untuk pejalan kaki ini diatur slab dua hala. Permukaan jalan ini ditumbuhi rumput. Kini sejak awal September 2010 jalan ini dinaiktaraf. Dua minggu dulu jalan ini diratakan dengan batu-batu krikil dan mulai semalam (21 September) mulai ditarkan. Sesungguhnya dengan siapnya jalan ini memudahkan anak-anak ke Sekolah dan hubungan antara Jalan 2 ke Seksyen Satu.” (Dr Shafie Abu Bakar, 22 September 2010: |"Lanjutan Zon Bersih Bandar Baru Bangi")
Tinggalan lorong pejalan kaki yang asal di Seksyen 1 ketika masih kelihatan, sebelum ianya diturap sepenuhnya. (Sumber gambar: Dr Shafie Abu Bakar, 22 September 2010: |"Lanjutan Zon Bersih Bandar Baru Bangi").
Tinggalan lorong pejalan kaki di sekitar terowong yang menghubungkan di antara Seksyen 2 dan 3. (Sumber gambar: Mazwan Johar @ Facebook, 18 Oktober 2020: |"PEMULIHAN TEROWONG BERHANTU DI SEKSYEN 2 BBB").
Suatu kajian pernah dibuat (2018) bagi mengenalpasti punca-punca penduduk Bandar Baru Bangi tidak memilih untuk berjalan kaki atau menunggang basikal dalam kegiatan harian mereka. Menurut hasil kajian tersebut, antara faktor utamanya ialah keadaan cuaca, jarak perjalanan, ketiadaan kemudahan asas, keadaan laluan dan persekitaran, serta keselamatannya: “Hasil kajian menunjukkan kumpulan faktor yang amat mempengaruhi keinginan menggunakan kenderaan tidak bermotor adalah faktor halangan iaitu cuaca dan jarak perjalanan (10.879), keperluan asas yang tidak disediakan (1.945), keadaan laluan (1.589), persekitaran (1.142) dan halangan perundangan (1.044). Manakala faktor kedua yang mempengaruhi mempengaruhi keputusan untuk memilih kepada kenderaan tidak bermotor adalah faktor kesenangan (2.233), galakan (1.401) dan keselamatan (1.002). Manakala faktor yang paling rendah mempengaruhi keputusan untuk bertukar kepada penggunaan kenderaaan tidak bermotor ialah faktor sekatan iaitu tiada kemudahan untuk kenderaan tidak bermotor (1.302). Hasil kajian ini memberi implikasi bahawa elemen kesenangan dan kesejahteraan kepada pengguna perlu diberi keutamaan dalam membentuk polisi ke arah penggunaan kenderaan tidak bermotor di Malaysia.” (Muhamad Razuhanafi Mat Yazid, Muhamad Nazri Borhan, Rozmi Ismail @ Akademika, 88 (1), m.s. 209-224, 2018: |"Faktor analisis pendorong dan penghalang kepada kenderaan tidak bermotor di Bangi").
Gambar lorong-lorong basikal dan pejalan kaki di Bandar Baru Bangi tahun 2021 (13 Ogos 2021).
Kiri: Di Fasa 1 (di depan pasar).
Tengah: Di Fasa 2 (di depan SRK BBB).
Kanan: Di Fasa 3 (di depan Sekolah Jalan 3).
Laman Utama | 1900-1909 | 1910-1919 | 1920-1929 | 1930-1939 | 1940-1949 | 1950-1959 | 1960-1969 | 1970-1979 | 1980-1989 | 1990-1999 |
Siri Cebisan Sejarah: | Bangi | Kajang | Kuala Lumpur | Kuantan | Gambang | Ipoh | Hutan | Hubungi Kami |