Beberapa petikan dari “Epigrafi Islam Terawal di Nusantara” (oleh Dr Othman Mohd. Yatim dan Abdul Halim Nasir, 1990), m.s. 66-70), disusun semula untuk paparan laman ini:-
Batu bersurat tersebut diukir dengan nukilan dalam bahasa Melayu menggunakan huruf Kawi atau huruf Jawa kuno, di samping menggunakan tulisan Jawi. Makam dan batu bersurat Syeikh Ahmad Majanu itu kini dapat dilihat di Kompleks Sejarah Pangkalan Kempas, berhampiran Port Dickson.
Tulisan yang terpahat pada batu bersurat Syeikh Ahmad Majanu itu merupakan peninggalan epigrafi sejarah dalam bahasa Melayu yang menggabungkan huruf Kawi atau huruf Jawa kuno dengan tulisan Jawi berusia tua yang pernah dijumpai di Malaysia. Tulisan-tulisan pada batu bersurat tersebut telah dibaca oleh J.G. de Casparis dan tersiar di dalam JMBRAS, jil III, bhg I, 1980. Di sini kami perturunkan tulisan tersebut:
Dalam nukilan huruf Kawi itu tercatat nama Ahmad Majanu yang terbunuh dalam suatu peperangan pada tahun 1385 (tahun Jawa atau tahun Saka yang bersamaan tahun 1463/64 Masihi). Manakala dalam nukilan huruf Jawi pula tercatat bahawa Ahmad Majanu meninggal pada tahun 872 Hijrah. (1467/68 Masihi). Tarikh yang berbeza yang tercatat pada nukilan Jawa kuno dan nukilan Jawi itu masih dipersoalkan.
Nukilan huruf Jawi tidak semua dapat dibaca oleh Dr J.G. de Casparis. Walau bagaimanapun, beliau memberi beberapa andaian dan makna ayat-ayat yang setengah-setengahnya sukar difahami. Menurut Casparis, dalam nukilan Jawi ada ejaan Melayu yang menyebut “delapan ratus tujuh puluh dua tahun (872 Hijrah).” Tarikh ini bersamaan dengan tahun 1467/68 Masihi.
Jika anda ada sebarang maklumat mengenai batu bersurat ini, sila hubungi kami. Terima kasih.
Laman Utama | 1900-1909 | 1910-1919 | 1920-1929 | 1930-1939 | 1940-1949 | 1950-1959 | 1960-1969 | 1970-1979 | 1980-1989 | 1990-1999 |
Siri Cebisan Sejarah: | Bangi | Kajang | Kuala Lumpur | Kuantan | Gambang | Ipoh | Hutan | Hubungi Kami |