This is an old revision of the document!
Jadual Kandungan
Bicara Ilmu Bangi @ PTSL: Dari Titik Sejarah ke Kota Ilmu
Pembentangan (Bahagian Syahrul Sazli Shaharir)
Rumusan
Kesedaran sejarah setempat
Soalan:
- Adakah kesedaran terhadap nilai sejarah Bangi semakin meningkat?
- Bagaimana kita boleh menggalakkan penglibatan generasi muda dalam memahami akar sejarah Bangi?
Kesedaran Nilai Sejarah Bangi
Sejarah "Besar" dan "Kecil"
Di kalangan orang awam, dalam hal-hal bernaratif besar dan berkepentingan tertentu (politik negara, kaum atau agama tertentu, dsbgnya), kesedaran sejarah boleh dikatakan meningkat, contohnya naratif kiri lawan kanan yang memuncak selepas 1990-an (Dr Azmi, USM), mengembalikan kegemilangan zaman lampau, dan sebagainya. Lazimnya secara informal, iaitu di luar institusi dan kegiatan pentadbiran atau ekonomi semasa.
Sejarah tempatan (bandar, kampung, seperti Bangi) pula tergolong dalam sejarah terpinggir, malah lebih banyak menggunakan kaedah dan sumber yang kurang diiktiraf seperti sejarah lisan atau tradisi lisan, merentas pelbagai bidang seperti antropologi, geografi, ekonomi, dll (Aliran Annales - Dr Mahani). Di kalangan peminat sejarah, lebih ramai yang berminat hal-hal besar di atas, berbanding yang terpinggir. Ini mungkin faktor utama yang menyebabkan kurangnya kesedaran nilai sejarah Bangi.
Jurang antara Sumber dan Para Pengkajinya
Menurut Dr Mahani Musa (USM), bidang sejarah mengalami krisis persepsi sejak 1990-an: tampak tak ada tujuan, kaji hal lampau saja, tak relevan dengan kemajuan teknologi, tak membawa keuntungan, dan tidak menjamin pekerjaan. Banyak universiti di Eropah tutup atau gabung jabatan sejarah mereka. Apatah lagi institusi2 di luar akademia (kerajaan/pentadbiran dan swasta/ekonomi), hampir tiada peruntukan atau perancangan untuknya, malah langsung tak difikirkan. Bahan-bahan masa lalu terabai, tidak tersusun dan terarkib, sering dianggap “rahsia dalaman” dan disimpan begitu saja, malah dilupuskan. Sebahagian kecil saja yang dihantar ke Arkib Negara.
Kesannya, terdapat jurang yang besar di antara penyimpan maklumat masa lalu (institusi pentadbiran dan ekonomi), dengan orang awam. Dalam konteks Bangi misalnya, hampir tiada maklumat masa lalu yang dapat diperolehi (dengan mudah) dari institusi-institusi seperti PKNS, MPKj, Pejabat Daerah, Pejabat Tanah, JUPEM, LUAS, dan jabatan-jabatan lain. Di Arkib Negara, hanya brosur “marketing” Bandar Baru Bangi tahun 1974 sahaja yang ada. Selebihnya ada dalam simpanan institusi di atas (itu pun jika masih ada).
Adakah masa untuk sejarah?
Ada juga yang minat sejarah, atau ada kesedaran sejarah (malah sejarah tempatan atau terpinggir sekalipun), tetapi tiada masa, akibat hambatan ekonomi semasa (rujuk krisis bidang sejarah di atas - mereka terpaksa bekerja dalam bidang lain dan sudah terlalu sibuk di situ). Generasi muda khususnya, terpaksa bergiat dalam “gig ekonomi”, sepenuh masa atau sambilan, akibat pelbagai faktor. Bagaimana untuk libatkan generasi muda, apabila ramai di antara mereka mengalami masalah sebegini?
Sekolah dan sistem/budaya pendidikan
Begitu juga di sekolah. Saya mula tercetus idea untuk cuba jalankan carian sejarah tempatan Bandar Baru Bangi, melalui cadangan aktiviti ko-korikulum anak saya di sekolahnya. Malangnya, disebabkan kesibukan tuntutan silabus dan peperiksaan (kecemerlangan di atas kertas), juga kesibukan saya sendiri, serta kurang kemahuan pihak sekolah itu sendiri, aktiviti-aktiviti sebegini sukar dijayakan. Antara sekolah yang berjaya menjalankan kajian sejarah tempatannya ialah Tanarata International School (sejarah Kajang), mungkin kerana hasil inisiatif dan semangat para guru serta tahap autonomi pentadbirnya (sekolah swasta, dalam sebahagian kecil bekas ladang West Country Estate - keadaan sekolah mereka pun seolah masih dalam ladang estet, cuma serba lengkap dan moden). Hasil kerja mereka diterbitkan dalam buku (Tanarata International Schools, 2013: Kajang and Its Surrounds), yang telah menjadi antara sumber saya dalam pembentangan ini.
Berbeza halnya dengan SK Bangi (dan kebanyakan sekolah-sekolah melayu lain, yang diserap menjadi sekolah kebangsaan yang ditadbir secara berpusat, di bawah Pegawai Pendidikan Daerah masing-masing). Cabaran para guru yang berinisiatif tinggi (contoh: menjaga dewan warisannya) sangat tinggi, dan sangat bergantung kepada guru besar. Majoriti para guru dan ibu bapa pula kurang kesedaran sejarah (sebagaimana yang dibincang sebelum ini) dan lebih mementingkan prasarana pembelajaran mengikut silabus dan peperiksaan. Jika operasi dan penjagaan pernah terabai, sukar untuk disambung atau dipulihara semula (sebagaimana berlaku pada SK Bangi dan guru besar barunya yang tak dapat lagi membetulkan keadaan).