User Tools

Site Tools


sungai_merab

This is an old revision of the document!


Kampung Sungai Merab (1918)

Dirujuk oleh

1918: Pembukaan

“Kampung Sungai Merab Luar terletak di daerah Sepang, Selangor, Malaysia. Kampung ini telah dibuka oleh seorang pahlawan melayu yang berasal daripada Sumatera dari kerurunan Rambah Temusai bernama Abdul Ghani bin Lison pada tahun 1918. Beliau adalah ayah kepada Haji Ibrahim bin Abdul Ghani (Tok Yat) dan merupakan mantan ketua kampung Persekutuan atau dikenali dengan nama Tok Morah(nama ini telah diabadikan sebagai nama jalan , Jalan Tok Morah di Kampung Paya ).” (Merab Tech of UKM, 2016: |"SEJARAH KAMPUNG SUNGAI MERAB LUAR").

“Kampung Sungai Merab telah dibuka pada sekitar tahun 1918. Peneroka awal kampung ini ialah Tok Dagang Morah dari Sumatera, Indonesia. Beliau telah mengetuai 11 keluarga peribumi suku kaum Rambah dan Tembusai (Temusai) menyeberangi Selat Melaka ke pinggir Sepang dan menyusuri hutan tebal sehingga tiba di sebuah kawasan berhampiran Bangi. Seterusnya, ada di kalangan mereka yang meneruskan perjalanan arah ke Hulu Langat dan telah membuka penempatan orang Minang di sepanjang kawasan Sungai Langat.

Mereka telah berusaha menebang hutan untuk membuat pondok dan bercucuk tanam. Mereka juga hanya menggunakan beliung untuk menebang pokok di hutan kerana ketika itu gergaji dan kapak masih belum wujud. Peneroka awal ini juga menternak ayam itik serta kambing bagi menampung keperluan harian. Lama-kelamaan penempatan yang dibuka itu berkembang menjadi sebuah kampung yang sempurna. Mereka juga menjadikan sungai yang mengalir di tepi kampung itu sebagai jalan utama ke tempat lain selain menggunakan airnya untuk minuman, membasuh pakaian dan mandi manda. Suku kaum Rambah dan Tembusai ini kebanyakannya berasal dari Pasir Pengaraian di Rokan Hulu, Riau. Bahasa mereka lebih kurang seperti orang Minang. Bahasa orang Rambah dan Tembusai masih digunakan dengan meluas di Jenderam Hilir tetapi agak kurang digunakan di Sungai Merab.

Oleh kerana kampung ini tidak bernama maka nama Kampung Sungai Merab diambil namanya sempena pokok Terap yang tumbuh meliar di tebing sungai. Suku Tembusai menyebut Terap sebagai Merab. Kulit pokok ini boleh dibuat dinding pondok dan pokok yang lebih kecil boleh digunakan untuk membuat tali. Sebutan terap ini lama kelamaan bertukar menjadi Terab. Oleh itu kampung ini pun dinamakan Kampung Sungai Merab. Tapak asal kampung ini ialah di Sekolah Kebangsaan Sungai Merab Luar yang ada sekarang ini.

Sejak kampung ini dibuka, ramailah masyarakat berketurunan Minang, Jawa dan Bangkahulu selain orang Melayu yang menetap di kampung ini. Keturunan masyarakat Rambah dan Tembusai yang mula-mula meneroka kampung ini masih ramai yang tinggal di sini. Mereka hidup bersama sebagai satu keluarga yang saling bantu-membantu dan harmoni. Kerajaan juga telah mengeluarkan geran tanah kepada penduduk yang menetap lama di kampung ini. Pada masa kini keluasan kampung ini ialah 864 ekar.”

(Sumber: Discovery Research Consultant Management Sdn. Bhd. b/p Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, 2007: “Koleksi Cerita Asal Usul dan Sejarah Daerah Sepang”, m.s. 42-44).

1970an-Kini: Pembangunan

“Di peringkat awal, penduduk kampung ini merupakan petani, pekebun dan penoreh getah yang mengusahakan tanah untuk menampung hidup mereka. Pembangunan kampung ini boleh dikatakan bermula selepas pembinaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Penubuhan UKM dan institusi lain serta pembinaan kilang-kilang di kawasan Bangi dan Serdang sekitar tahun 1970-an menyebabkan ramai di kalangan penduduk yang beralih kerja sebagai pekerja kilang, jabatan Kerajaan dan ada yang berniaga sendiri.

Mengikut statistik 1987, bilangan penduduk kampung ini adalah seramai 3000 orang (350 buah keluarga penduduk asal). Perangkaan statistik 2000 pula menunjukkan bilangan penduduk bertambah kepada 4686 orang termasuk penduduk Taman Desa Sentosa 1 dan 2. Bilangan penduduk sekarang adalah melebihi 6000 orang.

Kampung ini mempunyai beberapa taman perumahan seperti Taman Desa Seri Melor 1, Taman Desa Seri Melor 2, Taman Desa Damai, Taman Desa Sentosa 1, Taman Desa Sentosa 2, dan Taman Desa Makmur. Kampung-kampung di bawah pentadbiran kampung ini ialah Kampung Sungai Merab Hulu, Kampung Sungai Merab Tengah dan Kampung Sungai Merab Luar.

Pada masa kini, kedudukan Kampung Sungai Merab amat strategik kerana terletak berhampiran dengan lebuh raya utama, institusi-institusi pengajian tinggi, pusat-pusat penyelidikan, kawasan perindustrian dan Pusat Pentadbiran Putrajaya dan Cyberjaya. Kampung Sungai Merab juga merupakan salah sebuah kampung yang terlibat dalam pembangunan Putrajaya. Kampung-kampung lain adalah:
i) Kampung Dato' Abu Bakar Baginda;
ii) Kampung Desa Putra;
iii) Kampung Limau Manis; dan
iv) Kampung Dato' Ahmad Razali.

Pada Zaman Darurat, kampung ini tidak terlepas daripada gangguan komunis yang memaksa penduduk membekalkan mereka dengan makanan dan ubat-ubatan. Walau bagaimanapun, penduduk kampung telah bersepakat dengan menubuhkan pasukan kawalan mereka bagi membendung kegiatan subversif daripada mengganggu ketenteraman kampung mereka.

Dari segi kepimpinan kampung, senarai Ketua menerajui Kampung Sungai Merab Luar daripada Ketua Kampung pertama sehingga kini adalah: (i) Encik Abdul Ghani bin Lison atau Dato' Dagang (1918-1936);
(ii) Tuan Haji Mohd. Amin bin Tamah (1936-1948);
(iii) Tuan Haji Johan bin Abd. Hamid (1948-1950);
(iv) Tuan Haji Omar bin Abd. Malek (1950-1952);
(v) Tuan Haji Yusof Cincin (1952-1962);
(vi) Tuan Haji Abd. Rahim bin Haji Mohd. Amin (1963-1993);
(vii) Encik Abdul Rahman Sidi (1994-1995); dan
(viii) Tuan Haji Ibrahim bin Abdul Ghani (1996-sekarang).”

(Sumber: Discovery Research Consultant Management Sdn. Bhd. b/p Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, 2007: “Koleksi Cerita Asal Usul dan Sejarah Daerah Sepang”, m.s. 44-46).

sungai_merab.1680169112.txt.gz · Last modified: 2023/03/30 17:38 by sazli