User Tools

Site Tools


kg_bangi

This is an old revision of the document!


Kampung Bangi (1870-an)

Sungai Bangi, di perkampungan
Sungai Bangi, di perkampungan (Faizal Hj Zainal, September 14, 2008: |"Sejarah Bangi").

Dirujuk oleh

1870-an: Pembukaan

Sumber 1

Antara kemungkinan asal-usul nama Bangi: sempena nama “Tok Bangi”, Tok Batin orang asli Temuan, iaitu masyarakat yang paling awal mendiami kawasan Bangi.

Sekumpulan orang suku Temuan
Gambar hiasan: Dikatakan suku Temuan di Rantau Panjang, Klang, Selangor. Kemungkinan serumpun dengan masyarakat Temuan di Bangi ketika itu: “Sekumpulan orang suku Temuan menari dan bergendang pada hari perkahwinan … Rantau Panjang, Selangor tahun 1906 - Fz” (Faizal Zainal @ Selangor 10: |"Selangor Dulu - Dulu: Sekumpulan orang suku Temuan").

“Dikatakan diambil daripada nama ‘Tok Bangi’ iaitu nama Tok Batin (orang asli Temuan) yang telah lebih awal mendiami penempatan di Bangi sebelum suku Melayu Dagang berhijrah ke Bangi. Dikatakan pernah wujud penempatan orang asli di hilir sungai Bangi dan terdapat perkampungan orang asli yang direkod di peta lama (Zaman British) di Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat.

Penduduk Melayu di Bangi yang pada asalnya menetap di Batu 24 Jln Bangi - Dengkil terpaksa berpindah mencari penempatan baru di Bangi akibat penempatan mereka diserang gajah liar pada sekitar tahun 1896. Dikatakan mereka telah memohon pada Tok Bangi untuk tinggal & membuka tanah di Bangi.
…..
Tarikh Dibuka: Bangi kemungkinan dibuka sekitar penghujung abad ke-19 iaitu diantara 1870 – 1880an, tarikh ini boleh di yakini kerana semasa ini juga kawasan-kawasan sekitar Bangi mula diterokai seperti Sg.Kembung, Rinching, Teras Jernang,Sg. Buah, Dengkil juga dibuka sekitar akhir abad ke 19. Dalam catatan usahawan Kuala Lumpur terkemuka Hj.Abdullah Hukum dalam akhbar Warta Ahad pada 1935, beliau pernah berkubu di Kuala Sungai Bangi pada sekitar 1870an semasa beliau menjadi juak - juak kepada Raja Mahmud ( anak kepada Sultan Selangor). Kedatangan penghijrah dari tanah seberang (Sumatera) daripada suku Minang, Mendailing, Rambah, Jambi, Bengkulu, Palembang, Kerinci, Bugis, Jawa, Rawa dan sebagainya melalui Kuala Linggi, Jugra dan Kelang telah membuka banyak penempatan awal pekan-pekan dan kampung-kampung bukan sahaja di Daerah Hulu Langat tetapi di juga di seluruh negeri Selangor.
* Nama Bangi paling awal dijumpai pernah tercatat adalah dalam Selangor Journal pada 1896.
* Bangi tercatat dalam peta dalam naskah British Malaya yang diterbitkan pada 1905 oleh Frank Swethanham.”
…..
Terdapat cerita yang mengatakan terdapat Tiga kubur Tua di Kawasan Taman Bangi Ria yang telah wujud sejak awal lagi dikatakan adalah milik peneroka awal Bangi. Antara keturunan terawal yang menetap di Bangi adalah moyang kepada Cikgu Yaakob Bin Hj.Yusof yang bernama Bilal Patah .“
…..
Penempatan awal: Dikatakan terletak di Kuala Sg.Buluh iaitu tempat pertemuan hilir sungai Bangi dengan sungai Semenyih. Di sini perahu-perahu dan tongkang hilir mudik dari selatan (Linggi dan Rembau ) dan dari utara (Jugra dan Kelang). Terdapat tiga kubur tua di kawasan ini yang tidak diketahui siapa pemiliknya di kawasan sekarang (Taman Bangi Ria), dikatakan adalah peneroka terawal di Bangi.
…..
Kampung Bangi adalah kampung terawal di Bangi tetapi kampung ini agak sunyi , di awal 90an barulah kampung ini dipenuhi dengan lebih banyak setelah penduduk Kg.Masjid Bangi terpaksa membina rumah baru di sini akibat projek pelebaran Rel berkembar dan juga penduduk asal Kampung Bangi yang telah berhijrah kembali pulang setelah pencen dan membina rumah di tanah-tanah pusaka mereka.”

(Sumber: Faizal Hj Zainal, September 14, 2008: |"Sejarah Bangi").

CATATAN 1: Di ruangan komen sumber di atas: “Askm. Saya tak berapa pasti tentang 3 kubur lama yang dinyatakan. Kalau ianya di Tapak Perumahan Bangi Ria ianya adalah di kampung saya Di tanah Atuk Harun. Pada ingatan saya memang benar terdapat kubur dimasa dulu ketika saya merayau rayau mencari buluh dan buah rumbia dikawasan itu. Nak tau kena tanya isteri Atuk Harun. Dia masih hidup. Kubur penduduk kampung bangi adalah di Kg Sg Buah dan sekarang di kawasan Bangi sendiri.” (“Pak Lubis”)

Peta Sungai Bangi, 1962Peta Sungai Bangi, 2025
Peta Sungai Bangi, termasuk muaranya di Sungai Semenyih (sekitar Bangi Ria kini), dan anak-anak sungainya (termasuk cabang utama iaitu Sungai Anak Bangi yang berpunca dari sekitar Bukit Puteri di timur laut UKM kini).
Kiri: Peta tahun 1962. Sungai Bangi dan anak-anak sungainya ditandakan biru muda (kombinasi peta-peta Director of National Mapping, Malaysia, 1962: |"Malaysia, Selangor, Kuala Lumpur, Series: L7010, Sheet 94, 1962, 1:63 360" dan |"Malaysia, Negri Sembilan, Selangor, Sepang, Series: L7010, Sheet 102, 1963, 1:63 360").
Kanan: Peta tahun 2025 (Mapcarta).

CATATAN 2: Warga tertua Hulu Langat yang pernah direkodkan secara rasmi ialah Tuan Haji Rabu bin Terono. Beliau berhijrah ke sini dari Jawa pada tahun 1885, untuk bekerja membuka ladang Cheras dan Benos. Meninggalkan 6 orang anak dan 71 orang cucu-cicit di sekitar Kajang, Ulu Langat, dan Bangi.

Sumber 2

“Dikatakan diambil daripada perkataan ‘bangai’ yang bermaksud terbuang atau yang disingkirkan, perkara ini pernah dicerita oleh Allahyarhamah Hjh Yang Bte Hj Jamil (1928-2008) iaitu anak kepada Daeng Jamil yang merupakan cucu kepada Daeng Abdul Ghani iaitu anak kepada Sultan Abdul Samad. Dikatakan dalam masa-masa berlakunya pertelingkahan di Istana Klang, sebahagian dari warga istana telah dihalau oleh pihak Istana keluar. (Daeng Jamil lari ke Johor kerana menyaksikan masalah-masalah ini kemudian menetap di Tanjung Selabu, Muar). Mereka yg dihalau dari Istana telah ditempatkan ke sebelah tenggara Selangor di Daerah Hulu Langat.

Tempat itu lalu dikenali sebagai tempat orang-orang istana yang terbangai atau terbuang, tersingkir. British pula mengeja dalam huruf ruminya “Bangi” iaitu terjemahan daripada huruf–huruf jawi dibaca sebagai ‘Bangi’. Bagi kebanyakan pengkaji sejarah, inilah asal usul nama Bangi paling kuat daripada yang lain dan lebih rasional. Merujuk kepada kamus Indonesia dan mendapati perkataan ‘bangai’ bermaksud tertinggal, tersingkir atau terbiar.

Perubahan sebutan Bangai kepada Bangi mungkin juga disebabkan oleh dialek pelombong-pelombong Cina keturunan Hakka yang tidak dapat menyebutnya dengan tepat.

Dalam perkataan bahasa Cina, Bangi membawa maksud serba sesuai. Nama tersebut turut didapati di Hong Kong kerana maksud yang bagus.”

(Sumber: Kumpulan Amal Bakti @ Projek Pembangunan Laman Sesawang Kampung Bangi (tuntutan kursus LMCR 2272 Apresiasi Teknologi Maklumat, Pusat Citra Universiti Kebangsaan Malaysia), December 12, 2016: |"SEJARAH KAMPUNG BANGI").

Dari sumber salah seorang ahli keluarga Hjh Yang Bte Hj Jamil yang disebut di atas (mungkin sumber asalnya): “Atok juga pernah menceritakan asal-usul bandar “Bangi”. Dlm period masalah di Istana Klang, sebahagian dari warga istana telah dihalau oleh pihak Istana keluar. (Jamil lari ke Johor kerana menyaksikan masalah2 ini). Mereka yg dihalau telah ditempatkan ke sebelah tenggara Selangor di Daerah Hulu Langat. Tempat itu lalu dikenali sbg tempat org istana terbangai atau terbuang, seterusnya dipanggil Bangai. x pasti bangai tu bahasa apa. British pula dalam huruf ruminya mengeja “B-A-N-G-I”. Lalu jadilah Bangi sbgmana kita kenali hari ini.” (Addin Khalid, 14 April 2008: |"IN MEMORY: HJH YANG BT HJ JAMIL (1928-2008)").

Sumber 3

“Terdapat beberapa tradisi lisan tentang penerokaan Bangi yang asalnya kawasan orang asli. Bangi didatangi orang Melayu pada tahun 1870-an. Peneroka Melayu itu terdiri daripada orang Sungai Ujong yang lari semasa berlakunya peperangan antara Dato' Kelana dengan Dato' Bandar.

Orang Melayu Sungai Ujong itu telah memudiki Sungai Semenyih. Ada juga di kalangan mereka yang berjalan kaki hingga ke hulu sungai itu. Pelarian dari Sungai Ujong itu telah sampai ke sebuah kawasan yang sesuai untuk dijadikan kampung halaman. Kawasan itu telah diberi nama Kampung Sungai Buah kerana mereka mendapati banyak buah-buahan di situ. Malangnya mereka terpaksa berpindah dari perkampungan itu kerana selalu diserang oleh gajah liar. Gajah-gajah itu sering mengganggu keselamatan mereka serta memusnahkan tanaman. Mereka telah berpindah dan menumpang di sebuah kampung orang asli yang batinnya bernama Bangi. Di kampung Bangi inilah peneroka awal seperti Tambun bin Perai, Haji Ismail, Abdul Rahman dan keluarga mereka memulakan kehidupan baru. Bersempena nama batin itu mereka menamakan kampung itu Kampung Bangi.

Di kawasan Bangi terdapat sebatang sungai. Sungai itu juga dinamakan Sungai Bangi. Menurut ceritanya, Batin Bangi amat suka berburu keluang. Pada suatu hari Batin Bangi telah pergi berburu keluang berhampiran dengan sebuah jambatan besi tidak jauh dari kampungnya.

Batin Bangi telah membaca jampi di kawasan tersebut sehingga keluang-keluang yang ada di kawasan itu tidak dapat terbang. Keluang-keluang itu kemudian dibunuh dan dimasukkan ke dalam sebuah bakul yang dipanggil ketigin. Kampung itu dinamai Kampung Batin Bangi. Kira-kira dua rantai dari tempat kejadian itu terdapat sebuah lubuk yang kemudiannya dinamai Lubuk Alahan Keluang, bersempena peristiwa itu.

Cerita yang lain pula mengatakan bahawa Bangi dan kawasan sekitarnya telah diteroka oleh orang Sumatera yang datang ke Selangor dalam abad keenam belas. Dalam abad itu banyak orang Sumatera telah berhijrah ke Selangor. Mereka bertumpu di Kelang. Dari Kelang mereka telah berpecah mengikut haluan masing-masing. Ada yang memudiki Sungai Kelang dan ada juga yang memudiki Sungai Langat serta cabang-cabangnya. Apabila rombongan yang memudiki Sungai Langat itu sampai ke satu kawasan yang dianggap sesuai untuk dijadikan tapak petempatan, mereka meneroka kawasan baru itu. Kebiasaannya orang Sumatera itu akan menamakan satu-satu kawasan baru dengan nama kampung halaman asal mereka. Orang Sumatera yang sampai ke kawasan Bangi itu kebanyakannya dikatakan berasal dari Air Bengis. Justeru itu mereka telah menamakan kawasan yang baru diterokai itu dengan singkatan nama kampung asal mereka iaitu Bengis. Melalui pergaulan mereka dengan penduduk Melayu tempatan, sebutan Bengis itu lama-kelamaan menjadi Bangi.

Satu cerita yang lain pula telah menafikan cerita tersebut. Menurut cerita ini rombongan peneroka yang sampai di kawasan Bangi telah berkelahi kerana berebut tanah. Perkelahian itu sangat hebat atau bengis-bengisan kerana kemarahan masing-masing telah memuncak. Namun akhirnya perkelahian tersebut berjaya ditamatkan dan pendamaian dicapai. Mereka juga bersetuju untuk menamakan kawasan itu sebagai Bungis, mengambil sempena kejadian itu. Hasil dari pergaulan penduduk yang berlainan loghat, perkataan Bungis itu akhirnya bertukar menjadi Bangi.



Menurut satu cerita yang lain, Bangi dan kawasan sekitarnya telah diterokai oleh orang Sumatera yang datanq ke kawasan pedalaman negeri Selangor pada abad kesembilan belas. Salah satu rombongan orang Sumatera itu telah menjumpai sebuah kawasan terbiar yang sesuai untuk dijadikan tempat tinggal. Kawasan terbiar yang masih belum diterokai itu dalam istilah mereka dipanggil terbangai. Sesudah mereka menentukan kawasan itu benar-benar terbangai maka mereka pun bermuafakat untuk membersihkannya dan membuka perkampungan baru. Rombongan itu juga telah bersetuju untuk menamakan tempat baru itu dengan nama Bangai. Perkataan Bangai akhirnya telah bertukar menjadi Bangi, seperti nama yang ada sekarang.

Terdapat juga cerita lain yang mengatakan bahawa nama Bangi itu berasal daripada nama sejenis tumbuhan yang dipanggil serai wangi. Semasa rombongan peneroka dari Sumatera itu sampai ke kawasan ini setelah memudiki sungai, mereka tehidu satu bau yang sungguh wangi. Bau wangi itu datang dari serai wangi. Peneroka-peneroka itu menemui banyak rumpun serai wangi di sepanjang sungai itu. Bersempena dengan bau wangi itulah kawasan itu dinamai Bauwangi. Melalui masa, nama Bauwangi ini kemudiannya disingkatkan oleh peneroka-peneroka dari Sumatera itu dan akhirnya nama Bangi digunakan.”

(Sumber: Roselan Abd. Malek, Azmi Yusoff, 1998: |"Siri Kenali Negerimu: Selangor Darul Ehsan", m.s. 12-14 (PDF)).

1918-07-27: Perlantikan Ketua Kampung: Sai'don Malim Megat

Ketua Kampung Bangi 1918

“Sai'don Malim Megat dilantik sebagai Ketua Kampung Bangi oleh Resident British Selangor Edward George Broadrick atas perkenan Sultan Selangor Sultan Alauddin Sulaiman Shah pada tanggal 27 Julai 1918. Sai'don Malim Megat juga dikatakan bertanggungjawab membuka penempatan di Bangi (Batu 24 - Sg.Buah) yang merupakan penempatan terawal penduduk Bangi sebelum sebahagiannya berpindah ke kawasan Bangi yang ada sekarang ini akibat kerap berlakunya serangan gajah di kawasan tersebut sekitar tahun 1896.

* Rekod - rekod awal British merujuk kawasan Sungai Buah & Kwala Semenyih adalah kawasan penempatan terawal di Bangi.”

(Sumber: Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 17 Jun 2025: "Catatan Sejarah Bangi: Ketua Kampung Bangi 1918").

1924-1926: Pembinaan Masjid Bangi

Perihal lokasi Masjid Bangi: “Kampung ini terletak disepanjang jalan dari Pekan menghala ke Batu 6, di mana juga terletaknya Masjid Bangi. Dalam rekod pejabat Tanah Daerah Ulu Langat pada 1913 terdapat 30 rumah penduduk di kawasan ini semasa itu. Pada sekitar 80 - 90 an terdapat hanya lebih kurang 25 buah rumah sahaja disini walau bagaimanapun sejak awal 90an projek Rel Berkembar mengambil semula tanah hak milik KTM, penduduk asal terpaksa membina kembali rumah baru dan berpindah ke Kg.Bangi, Kg.Bahagia dan Bt.6.” (Faizal Hj Zainal, September 14, 2008: |"Sejarah Bangi").

Pembinaan masjid: “Lebai Zakaria bin Lebai Tandan merupakan Imam pertama dan pengasas Masjid Bangi pada tahun 1926. Namun tiada tarikh yang jelas dan rekod rasmi yang dijumpai setakat ini berkenaan tarikh dan masa pembinaan masjid ini. Menurut arwah nenek admin beliau melihat orang memasang atap di Masjid Bangi (mungkin dalam pembinaan) pada sekitar tahun 1924. Walau bagaimanapun dalam rekod rasmi tapak tanah Masjid Bangi telah dimohon lebih awal kepada Pentadbiran British Selangor pada Januari 1919 dan tanah yang berkeluasan 1 acre 7 perches tersebut memperolehi kelulusan dan digazetkan sebagai tapak rizab masjid pada 10 Disember 1929 iaitu hampir 10 tahun setelah permohonan dibuat. Dalam rekod lama ada juga dicatatkan telah ada surau di kawasan tapak tersebut sebelum penduduk Bangi memohon tanah tersebut pada tahun 1919. Catatan ajaizainal Sept.2025” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 9 September 2025: "Masjid Pertama di Bangi").

Masjid Bangi sekitar pertengahan 1950-an (gambar asal)Masjid Bangi sekitar pertengahan 1950-an (gambar diperbaiki)
“Foto lama yang telah diperbaiki ini memaparkan wajah lebih jelas Masjid Bangi pada sekitar pertengahan 1950an.” (Kiri: Gambar asal: Faizal Hj Zainal, September 14, 2008: |"Sejarah Bangi"); Kanan: Gambar diperbaiki: Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 9 September 2025: "Masjid Pertama di Bangi").

MAKLUMAT LANJUT: Masjid Bangi (1926)

1957-10-07: Sambutan Maulud Nabi

Kaum Ibu semasa majlis Maulid Nabi Sekitar tahun 50anBangi, 1956
Gambar hiasan: Kiri: “Kaum Ibu semasa majlis Maulid Nabi Sekitar tahun 50an”. Kanan: Bangi, 1956 (Faizal Hj Zainal, September 14, 2008: |"Sejarah Bangi").

Perarakan Maulid Nabi di Pekan Bangi, 1957Maulud Nabi Di Bangi 1957
“Maulud Nabi Di Bangi 1957” (Kiri: Gambar asal. Kanan: Gambar diperbaiki).

“Dalam foto lama yang diwarnakan semula ini memaparkan sekumpulan penduduk Bangi bergambar di perkarangan Masjid Bangi berlatarkan rumah Pak Imam Ustaz Ismail Lebai Zakaria dalam persediaan untuk perarakan Maulud Nabi pada tahun kemerdekaan 1957. Orang - orang lama Bangi seperti Pak Lang Deraman, Cikgu Zainal GB SKBangi, Tok Dagang Amin, Cikgu Nasir Sidi, Buyong Aye, Cikgu Amir, Bujang, Cikgu Nasir Busu dan ramai lagi nampak santai dan ceria dalam foto yang telah berusia 68 tahun ini. Catatan ajaizainal Sept.2025”

(Sumber: Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 5 September 2025: "Nostalgia Bangi. Maulud Nabi Di Bangi 1957: Bahagian 1").

Perarakan Maulid Nabi di Pekan Bangi, 1957Maulud Nabi Di Bangi 1957

“Dalam foto lama yang diwarnakan semula ini pemuda - pemuda Bangi nampak girang dan bersemangat dalam perarakan Maulud Nabi melalui Pekan Bangi bersama usungan replika berbentuk surau dan kereta yang bertulis Fiat 1957 yang cantik dan berwarna warni. Kelihatan orang - orang lama Bangi seperti Pak Andak Yusof, Yunos, Cikgu Ghafar, Wahid, Pak Lang Deraman dan ramai lagi dalam perarakan ini. Dulu - dulu orang Bangi punya tradisi di mana setiap kampung di sekitar Bangi akan menyediakan usungan masing - masing berupa replika berbentuk perahu layar, kereta, rumah, masjid atau kapal yang dihiasi dengan bunga telur dan pelbagai bunga hiasan yang dihasilkan dengan buluh dan kertas berwarna warni. Usungan itu dipikul dalam perarakan sebagai satu alatan persembahan sambil mereka berjalan dan berselawat dalam perarakan tersebut. Kemudiannya bunga - bunga telur itu akan diagih - agihkan kepada kanak - kanak dan kaum ibu. Catatan ajaizainal Sept.2025”

(Sumber: Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 5 September 2025: "Nostalgia Bangi. Maulud Nabi Di Bangi 1957: Bahagian 2").

(Sumber gambar-gambar asal: Faizal Hj Zainal, September 14, 2008: |"Sejarah Bangi").

kg_bangi.1762250476.txt.gz · Last modified: by sazli