User Tools

Site Tools


masjid_haji_mat_saman

This is an old revision of the document!


Masjid Haji Mat Saman

1929: Pembinaan Masjid Asal

Sumber 1

“Mesjid Sg. Ramal Luar, Kajang, Selangor, telah dibina pada tahun 1929 dengan harga sebanyak $40,000/-, wang ini datangnya dari seorang bijakpandai iaitu Pegawai Daerah yang bernama Datuk Abu Samah. Beliau telah beriktiar supaya penduduk-penduduk kampung yang kebanyakannya penoreh getah mengenepikan sejumlah wang, dari kupon getah mereka dikumpul dan dari sedekah jahriah orang ramai.

Tiga buah mesjid yang serupa telah dibina dengan cara ini iaitu di Jeram, Batu 17 Ulu Langat, dan termasuk Sg. Ramal Luar.

Mesjid ini telah dibina oleh seorang kontraktor Cina dari Kuala Lumpur namanya ialah Bong Siew. Kontraktor ini telahpun meninggal dunia dan tidak dapat maklumat dari beliau. Pelan asal juga tidak dapat dikesan begitu juga dengan akitek yang mereka mesjid itu.

Pada tahun enam puluhan meningkatnya jumlah penduduk-penduduk yang tidak dapat menampung jemaah, jadi satu tambahan telah dibuat dengan harga sebanyak $10,000/-.

Pembinaan mesjid ini adalah mengikut peringkat-peringkat. Peringkat I ianya empat persegi tepat, Peringkat II ialah empat persegi bujur tambahan dan Peringkat III mesjid itu dijadikan empat persegi tepat tambahan 150'-0” x 150'-0“. Pagar dan tandas kepada mesjid itu adalah sumbangan dari Lembaga Loteri dan Kebajikan Mesyarakat kerana penduduk-penduduk di situ enggan mencemar mesjid mereka dengan wang dari sumbangan Lembaga Loteri.

Bahan binaan mesjid seperti kayu cengal untuk kerangka bumbong dipercayai dibawa dari hutan Ulu Langat.”

Gambar Hadapan (1984)Kubah asal Masjid Hj Mat Saman

Kiri: “Pandangan Mesjid Sg. Ramal Luar yang dibina pada tahun 1929. Pada ketika itu mesjid ini berada di zaman dan sebelum peperangan dunia kedua, di mana binaannya masih kukuh dan masih lagi digunakan.”

(Sumber: Abdul Aziz Ramli, Shahrom Sapari, Hj. Ahmad Mohd. Ibrahim, Noridah Mohd. Saad, 1984: |"Kajian Bangunan Lama Mesjid Sg. Ramal Luar, Kajang"). Gambar sebelah kanan: Kubah asal masjid, dari jarak dekat (MASJID SG RAMAL LUAR @ Twitter).

Sumber 2

“Adalah dimaklumkan masjid ini dibina sejak 1929 sesuai dengan lokasinya berada di pinggir Sungai Ramal – pangkalan tempat persinggahan melalui jalan sungai. Sebagai tempat pertemuan perjalanan dan perniagaan, maka inisiatif diambil tokoh pemimpin semasa itu, iaitu Haji Mat Saman mendirikan masjid di tapak yang ada sekarang untuk kegunaan berjamaah dan berjumaat penduduk Sungai Ramal Luar, iaitu sebelum jalan secara sempurna dari Kajang ke Serdang dibina. Dikatakan juga masjid ini dibina di tepi sungai Ramal bagi memudahkan ahli jamaah mengambil wuduk dari Sungai Ramal tersebut.” (Dr Shafie Abu Bakar, August 16, 2010: |"Masjid Jamek Berkembar - Haji Mat Saman Sungai Ramal Luar Bersejarah - Unik").

“Beliau (S.S.Haji Marzuki bin Hussin, Pengarah JAIS, 2012) menggalurkan sejarah Sungai Ramal Luar yang dikatakan dibuka oleh Tuan Haji Mat Saman yang berasal dari Kampar, Sumatera begitu juga pembinaan masjid- asalnya kayu adalah dari hasil usaha Tuan Haji Mat Saman yang mewaqafkan tanahnya untuk masjid. Haji Mat Saman meninggal pada tahun 1935. Atas jasanya mewaqaf dan mendirikan masjid ini, maka nama masjid ini dikenali dengan namanya `Masjid Haji Mat Saman`.
…..
Kaitan nama masjid dengan Haji Mat Saman, ialah kerana keistimewaan tokoh Haji Mat Saman yang mengasas Masjid yang pada asal dari bangunan kayu. Beliau juga orang yang mewaqafkan tanah yang pada tapak ini didirikan masjid pada tahun 1929. Sebagai pengasas beliau terlibat di dalam mentadbir dan memakmurkan masjid berkenaan. Pembinaan masjid ini selari dengan pembinaan masjid-masjid yang sezaman dengannya seperti Masjid Raja Alang Beranang (Sebelum 1900) dan Masjid Raja Muda Musa, Pekan Semenyih (1920an). Masjid Haji Mat Saman turut mengalami pembaikan dan perubahan sebagaimana masjid-masjid semasa dengannya.

Dengan wujudnya nama Jamek, iaitu Masjid Jamek Sungai Ramal Luar, bererti masjid ini adalah Masjid Besar, sekurang-kurangnya semasa pembinaannya dan Masjid Kajang Asal yang masih ada berhampiran Masjid Kajang kini yang diperbuat dari kayu (di tepi Sekolah agama di situ) adalah lebih kecil berbanding dengan Masjid Haji Mat Saman Sungai Ramal sekarang. Sebab itu Masjid Sungai Ramal ini menggunakan nama Masjid Jamek Haji Mat Saman, Sungai Ramal Luar, walaupun sekarang tidak lagi releven sebagai masjid Jamek dengan kedudukannya di Kajang.

(Dr Shafie Abu Bakar, July 27, 2012: |"Perasmian Masjid Unik (Haji Mat Saman) Sungai Ramal Luar Oleh DYMM Sultan Selangor: Satu Daya Tarikan").

1990an-2008: Perancangan dan Bantahan Awal Bangunan Baru

“Sebelum daripada ini, memang sudah ada usaha mendirikan Masjid Jamek Haji Mat Saman dengan bangunan baru, iaitu berikut dari kesedaran (1990an) masjid ini tidak tepat dari segi arah kiblat, usaha membetulkannya dilakukan, tetapi kedudukan saf agak tidak selari dengan ruang dalam bangunan. Faktor ini dan faktor kelamaan menjadi alasan perlunya dibuat bangunan yang baru di atas tapak yang lama. Dari kesedaran dan keperluan ini menggerakkan Tuan Haji Zainal sebagai Nazir dan Pengerusi AJK Masjid Haji Mat Saman pada tahun 1990an mengambil keputusan untuk mendirikan masjid yang baru. Peruntukan pernah didapati dari Kerajaan Persekutuan sejumlah RM9.6 juta bagi mendirikan masjid yang baru tetapi kerana masalah teknikal masjid tidak didirikan dan tarikh tawaran peruntukan lupus dan peruntukan baru dipohon, tetapi sehingga berubahnya pemerintahan negeri Selangor kepada Kerajaan Pakatan Rakyat, pembinaan oleh AJK sebelumnya tidak dapat direalisasikan. Peruntukan baru diluluskan dengan jumlah yang berkurangan dari asal, iaitu RM5 juta (bersama dengan peruntukan derma).

Pada masa kerajaan Pakatan Rakyat dan Sungai Ramal Luar termasuk di bawah DUN Bangi, ADUN Bangi dalam usaha menggerakkan pembinaan Masjid Haji Mat Saman ini berdepan dengan dua tuntutan. Pertama ialah tuntutan didirikan bangunan masjid yang baru sepenuhnya dengan merobohkan yang lama dan tuntutan yang mau mengekalkan bangunan yang lama dengan hujah-hujah tersendiri. Tuntutan mendirikan bangunan yang baru sepenuhnya adalah lanjutan dari usaha yang dilakukan oleh AJK Pembangunan sebelumnya di bawah Tuan Haji Zainal.

Timbul Bantahan

Dalam usaha meneruskan pembinaan bangunan yang baru yang dianggap tidak merujuk kepada ahli qariah, dan dengan kerajaan baru, mereka berpeluang melahirkan bantahan. Bantahan adalah melalui surat bertarikh 21 November 2008 = 23 Zulkaedah 1429 diketuai En. Mohd Lotfi bin Kassim dengan disertakan bantahan bertanda tangan 238 penduduk. Dengan salinan surat kepada Dato` Dr. Hassan Ali Exco Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, ADUN Bangi, Orang Kaya Maha Bijaya Daerah Hulu Langat, Pegawai Agama Islam Hulu Langat, Penolong Pegawai Daerah Pembangunan, Dato` Penghulu Mukim Kajang dan Jurutera Daerah (JKR). Surat dan tandangan beramai-ramai itu Memohon Pembatalan Membina Masjid Baru Mat Saman Sg. Ramal Luar atas alasan:-

1. Pembinaan masjid baru ini tidak pernah mendapat persetujuan bersama dari penduduk kampong malah tidak pernah dibincangkan secara terbuka untuk mendengar pandangan dan pendapat di mana-mana forum samaada Mesyuarat Agong Tahunan atau seumpamanya.

2. Masjid yang didirikan pada 1929 Masehi itu masih dalam keadaan yang baik dan hanya beberapa bahagian sahaja yang perlu dibaiki seperti pemantapan dan penggantian struktur asal, atap, kubah, menara dan tandas.

3. Masjid asalnya dibina hasil dari usaha dan titik peluh datuk nenek kami yang menorah getah, bersawah padi dan melakukan kerja-kerja kampong telah bersusah payah bergotong-royong serta berdikit-dikit menghimpunkan dan mewaqafkan wang dan harta mereka demi untuk kemudahan dan menaikkan syiar Islam untuk anak cucu kemudian hari. Sehubungan dengan itu adalah tidak wajar bagi kita dengan sewenang-wenangnya merobohkan masjid tersebut tanpa sebarang alasan yang kukuh dan munasabah.

4. Tindakan merobohkan masjid ini akan juga akan menghilang waqaf dan jariah orang-orang terdahulu dan ini amatlah bertentangan dengan tuntutan syariat.

5. Lokasi masjid tersebut tidak mengganggu jalan atau apa-apa projek yang sedang atau akan dibangunkan. Masjid baru yang dicadangkan adalah lebih kecil (berukuran 90 kaki x 90 kaki) jika dibandingkan dengan masjid yang sedia ada (berukuran 120 kaki x 150 kaki).

Sehubungan dengan itu kami mewakili sebahagian besar ahli qariah Kg. Sg. Ramal Luar khususnya penduduk asal mencadangkan agar projek ini dibatalkan dan diganti dengan mengubahsuai serta mengekalkan bentuk asalnya.

Berhubung dengan kesedaran pentingnya dikekalkan Masjid Haji Mat Saman ini sebagai Harta Warisan dan khazanah Tempatan, Negeri dan Negara Saudara Mohd Lotfi bin Kassim mewakili ahli Qariah telah menulis surat kepada Pesuruhjaya Warisan, Jabatan Warisan Negara, Tingkat 16 Menara TH Perdana, 1001 Jalan Sultan Ismail, 50694 Kuala Lumpur bertarikh 15 Januari 2009 = 18 Muharram 1430H. mencadangkan supaya Masjid Jamek Haji Mat Saman dijadikan Harta Warisan Negara.

Berhubung dengan bantahan di atas, pertemuan dan perbincangan diadakan dengan AJK dan Ketua Kampung Haji Yusof membincangkan cadangan dan bantahan berkenaan. Pihak Setiausaha JKK Tuan Hj Noor Azhar Bin Haji Abdul Aziz menulis surat kepada Tan Sri Dato` Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan Cadangan pembinaan Masjid Jamek Haji Mat Saman Kg. Sungai Ramal Luar Kajang, Selangor bertarikh 21/02/2009 menyatakan:

Pihak JKK Kg. Sg. Ramal Luar telah bersetuju untuk membuat pindaan dan cadangan ke atas isu pembinaan masjid tersebut. Antara cadangannya ialah:

1. Mengekalkan masjid lama tanpa dirobohkan. Untuk tujuan memulihara khazanah warisan di mana masjid ini dikenalpasti antara yang tertua di Selangor, dibina pada tahun 1929.

2. Membina masjid baru di atas tapak bersebelahan Masjid Lama. Di mana tanah milik Masjid masih luas bagi tujuan tersebut.

3. Kos meroboh masjid lama boleh digunakan membaikpulih bangunan dan mencantikkannya.

4. Dengan tidak merobohkan masjid lama penduduk-penduduk kampong masih lagi boleh berjamaah sementara menunggu pembinaan Masjid Baru

5. Segala waqaf dan sedekah penduduk ke atas Masjid lama dapat dikekalkan.

Pihak JKKK Kg. Sungai Ramal Luar berpendirian, atas nasihat YB Dr. Shafie Abu Bakar (ADUN Bangi) menyokong agar sebahagian peruntukan tersebut digunakan untuk Pemuliharaan dan Pembesaran Masjid yang sedia ada.

Hasil dari bantahan (surat 21 November 2008) dan surat cadangan pindaan bertarikh (21/02/2009) dan mesyuarat terhadap bantahan dan cadangan dan mengambil keputusan terakhir bertarikh (6 April 2009), maka Masjid Jamek Berkembar – Haji Mat Saman menjadi realiti.
” (Dr Shafie Abu Bakar, August 16, 2010: |"Masjid Jamek Berkembar - Haji Mat Saman Sungai Ramal Luar Bersejarah - Unik").

Masjid Jamek Haji Mat Saman (2008)

Gambar-gambar bangunan asal Masjid Jamek Haji Mat Saman pada tahun 2008, sebelum penambahan bangunan baru. (Radzi Sapiee, December 05, 2008: |"Masjid lama (The old mosque at) Sungai Ramal, Kajang").

2009-2010: Pembinaan Bangunan Baru

“Satu keunikan bagi masjid ini, bahawa setelah sekian lama diimarahkan dan bila ada cadangan untuk merobohkannya dan mahu digantikan dengan bangunan yang baru, maka dibuat ukuran arah Kiblat, maka didapati arah kiblat asal masjid ini tidak tepat (lari 29 darjah). Ketidaktepatan arah Kiblat ini disahkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor pada tahun 2009. Maka dengan itu arah Kiblat bagi masjid asal dibetulkan dengan garis-garis arah tidak selari dengan kedudukan arah bangunan dari segi kiblat . Ertinya berlaku perubahan mengadap Kiblat. Dengan keadaan ini kadang-kadang kami memanggil juga Masjid ini sebagai `Masjid Qiblatayn` merujuk kepada perubahan Kiblat yang dialami Nabi Muhammad ketika diarah oleh Allah mengubahkan Kiblat dari Masjid al-Aqsa kepada Kaabah di Masjidil Haram.

Tentang cadangan untuk meroboh dan membina Masjid Lama kepada Masjid Baru mempunyai peristiwa dan sejarah yang tersendiri. Pentadbir Masjid Haji Mat Saman sebelum kerajaan Pakatan Rakyat memerintah Selangor telah membuat keputusan untuk meroboh bangunan lama Masjid Haji Mat Saman, namun apabila Selangor di bawah Kerajaan PR dan masjid belum lagi dirobohkan, kalau dulu mereka tidak berani membantah, tapi Kerajaan PR lebih bersifat telus, maka lahir bantahan terhadap cadangan meroboh bangunan masjid lama. Adun Bangi (Dr. Shafie Abu Bakar) menerima bantahan berkenaan. Antaranya surat bantahan dan tandatangan penduduk berjumlah lebih dari 200 orang yang dihantar kepada Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim surat bertarikh 21 November 2008 – termasuk salinan kepada Adun Bangi. Ini membuat Pengarah Jais pada masa itu – S.S. Dato Khusrin Munawi turun ke Masjid Sungai Ramal Luar – termasuk Adun Bangi hadir berunding dengan masyarakat dan keputusan diambil mendirikan Masjid Baru, tetapi tidak meroboh yang lama. Masjid baru didirikan dengan kos RM4.1 milion dan siap pada 2010. Masjid ini tidaklah begitu besar, kerana ruangnya dapat menampung 1,500 jamaah, sama dengan keluasan masjid lama yang juga dapat menampung 1,500 jamaah.

Walau macam mana dengan mengekalkan masjid lama, ianya bukan saja dapat memelihara warisan, tetapi mewujudkan keunikan. Kerana inilah satu-satunya masjid yang mempunyai gandingan masjid lama dan baru. Masjid ini dapat dipanggil dengan nama timang-timangan sebagai “Masjid Berkembar” (Twin Mosques).”
(Dr Shafie Abu Bakar, July 27, 2012: |"Perasmian Masjid Unik (Haji Mat Saman) Sungai Ramal Luar Oleh DYMM Sultan Selangor: Satu Daya Tarikan").


Gambar-gambar sekitar pembinaan bangunan baru Masjid Haji Mat Saman: “Masjid baru sempenan dibina dan mula digunakan Hari Raya Idil Adhha 2010 lepas. Kini usaha menyambung laluan antara masjid lama dan baru sedang progress dilakukan. Adun bergembira melihatnya setiap kali datang ke masjid ini. Adalah dijangka Masjid Berkembar Haji Mat Saman ini mempunyai daya tarikan yang tersendiri kerana keunikan bangunannya yang merupakan satu-satunya Masjid Berkembar di Negara ini. Ianya juga merupakan antara masjid tertua di Selangor (1929).” (Dr Shafie Abu Bakar, June 7, 2011: |"Projek-Projek Di Hati Adun Bangi").

Masjid Jamek Haji Mat Saman (2012)
Gambar Masjid Jamek Haji Mat Saman (bangunan asal), diambil beberapa hari sebelum perasmiannya oleh DYMM Sultan Selangor (Julai 2012): “Masjid lama ini berusia 83 tahun seperti tertera pada tiang masuk pintu masjid yang ianya telah dibina pada 1929. Ianya masih kukuh dan mengekalkan seni bina tempatan dan tidak berubah hanya di cat semula bagi menyerlahkan keasliannya.” (FAIZMIN, July 17, 2012: |"MASJID KG SG RAMAL LUAR KAJANG").

Pengakuan penting: Kami bukan ahli sejarah! Sila klik di sini untuk penjelasan lanjut.

masjid_haji_mat_saman.1620114216.txt.gz · Last modified: 2021/05/04 15:43 by sazli